Kenapa Masih Perlu Kita Meraikan BBK?
Bulan Bahasa Kebangsaan yang diadakan pada Oktober 2014 baru sahaja berlalu. Tetapi adakah kita menyedari kehadirannya. Atau langsung tidak pernah mengambil tahu akan kewujudannya? Apakah signifikannya perayaan ini kepada sebilangan warga kita? Ironinya kita masih terus berkempen bagi menyemarakkan perasaan bangga dan sayang terhadap Bahasa Melayu. Kita masih merintih semacam mahu terus membuat keluhan bahawa perjalanan Bahasa Melayu masih berliku. Dalam gelombang globalisasi atau arus kesejagatan tuntutan ekonomi dan kemodenan penggunaan bahasa asing khususnya bahasa inggeris terus mendominasi sehingga menafikan langsung kepentingan Bahasa Melayu. Realitinya ia dapat diperhatikan dengan jelas bagaimana wujudnya diskriminasi yang terancang oleh kumpulan elitis dan berkepentingan dengan mengadakan pelbagai justifikasi atau alasan rasional demi menafikan Bahasa Melayu dalam pembinaan peradaban dan kemajuan. Pimpinan negara yang kebanyakkan...