Kenapa Masih Perlu Kita Meraikan BBK?
Bulan
Bahasa Kebangsaan yang diadakan pada Oktober 2014 baru sahaja berlalu. Tetapi adakah kita menyedari
kehadirannya. Atau langsung tidak pernah
mengambil tahu akan kewujudannya? Apakah signifikannya perayaan ini kepada
sebilangan warga kita? Ironinya kita masih terus berkempen bagi menyemarakkan
perasaan bangga dan sayang terhadap Bahasa Melayu. Kita masih merintih semacam mahu terus
membuat keluhan bahawa perjalanan Bahasa Melayu masih berliku. Dalam gelombang globalisasi atau arus
kesejagatan tuntutan ekonomi dan kemodenan penggunaan bahasa asing khususnya
bahasa inggeris terus mendominasi sehingga menafikan langsung kepentingan
Bahasa Melayu. Realitinya ia dapat diperhatikan dengan jelas bagaimana wujudnya
diskriminasi yang terancang oleh kumpulan elitis dan berkepentingan dengan
mengadakan pelbagai justifikasi atau alasan rasional demi menafikan Bahasa
Melayu dalam pembinaan peradaban dan kemajuan.
Pimpinan
negara yang kebanyakkannya adalah Melayu tetapi begitu liat untuk melaksanakan
dasar pemerkasaan Bahasa Kebangsaan lebih-lebih lagi Pihak Berkuasa
Tempatan. Mereka terlalu bertolak ansur
sehingga Bahasa Melayu sering diensot dan diansurkan. Banyak keutuhan bahasa Melayu telah
ditumbangkan, dipinggirkan secara sistematik.
Adakalanya maruah Bahasa Melayu dilacurkan, disepak, diterajang dan
dihempas pulas. Kita masih terus
berkempen. Kita masih meneruskan
nyanyian senandung lama seolah-olah Bahasa Melayu digemilangkan. Hakikatnya tiada siapa peduli baik pimpinan
elit kerajaan dan swasta, para teknokrat, ekspatariat, professional swasta dan
awam, malahan dari golongan cendekiawan yang tebal pemikiran liberal dan
modennya. Edaran akbar melayu telah lama
dipintas oleh akbar berbahasa Inggeris dan cina. Para pengiklan tidak tertarik untuk
mengiklankan perkhidmatan dan barangan mereka dalam akbar berbahasa Melayu
kerana edarannya terhad.
Hakikatnya
kita telah pun Merdeka 57 tahun tetapi keadaan Bahasa Melayu kita sekadar lebih
baik sedikit diawal kita menikmati kemerdekaan.
Lebih menyedihkan sekali pembabitan golongan bukan melayu begitu
menyedihkan sekali. Mereka menganggap
perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu adalah tanggungjawab bangsa Melayu sahaja,
bukan mereka. Lantaran dengan itu tahap penguasaan
baik dari segi pembacaan, perbualan dan penulisan begitu mengecewakan. Ini mungkin dari pendidikan vernacular yang
merupakan legasi penjajah yang terus dikekalkan malahan diperkasakan dan juga
sikap sebahagian dari bangsa Melayu yang tidak menghormati bahasanya
sendiri. Mereka melihat percakapan
bangsa kita yang sekerat ular sekerat belut menyebabkan semangat mereka untuk
menguasainya menjadi tumpul. Di mana
semangat nasionalisme linguistic kita sebagai penutur jatinya?
Di
Malaysia tidak tahu bertutur dalam Bahasa Melayu pun tidak menjadi masalah
kerana mereka masih boleh hidup malahan menjadi kaya raya kerana mereka boleh
dibenarkan bertutur secara formal dalam bahasa inggeris, mandarin dan
kantonis. Tetapi keadaan ini tidak akan
berlaku di Indonesia. Walapun dipenuhi
dengan pelbagai akronim dan alih kata nama, pelawat atau pengunjung terpaksa
berbahasa Indonesia lantaran rakyatnya baik peribumi mahupun bukan peribumi
bertutur penuh dalam Bahasa Indonesia. Sampai
bila kita harus menipu diri kita dengan menwar-warkan atau dicanangkan seluruh
dunia bahawa kita mendaulatkan Bahasa Kebangsaan kita. Fasal 152 pada hakikatnya sekadar kosmetik
sahaja langsung tidak digerakkan seiringan dengan kemajuan bahasa
inggeris. Akhirnya Bahasa Melayu
langsung ketinggalan dan menjadi bahasa kedua atau ketiga dalam sesetengah sector. Alangkah malangnya nasib Bahasa Melayu.
Ulasan
Catat Ulasan