Memori pentauliahan Intake 21 UPM..
Ada pertanyaan adakah
terdapat perbezaan tauliah dulu dengan sekarang? Saya jawab ya, memang
terdapat perbezaan yang sangat nyata. Setiap pengambilan atau intake punya ceritanya masing-masing
yang mengambarkan kehebatan zamannya. Keunikan itulah yang membezakan
setiap intake sebagai modal atau legasi mereka kepada intake dibawahnya. Saya ditauliahkan pada 4 Mei 2002 hari Sabtu di USM pada Istiadat Pentauliahan Diraja Pasukan Pegawai Simpanan kali ke-21 oleh SPBA Tuanku Syed Sirajuddin berbanding dengan Pentauliahan PALAPES kali-34. Pastinya terdapat perbezaan dari segi masa, suasana dan aktivitinya dalam julat 13 tahun.
Ada kenangan yang sempat
dirakam menerusi lensa kamera yang menggunakan teknologi filem. Ada juga
saat atau momen yang tidak dirakam sebaliknya kekal terabdi dalam lipatan
memori yang cuma boleh diceritakan dalam penulisan atau dilisankan. Dahulu
tiada kemudahan kamera digital yang boleh mengambil gambar sebanyak mungkin tanpa
perlu khuatir akan kehabisan filem. Jadi
sebahagian besar dari gambar acara atau aktiviti tidak banyak dirakam sebagai
bukti. Selebihnya kena rajin membuat
pencarian menerusi album gambar-gambar lama dari rakan-rakan lain. Tapi itu kerja sukar. Kebetulan jika ada yang memuatnaik dalam FB
atau lain-lain media social ianya rezeki terhadap kenangan tersebut. Saya akan menceritakan berkenaan kenangan
aktiviti sebelum pentauliahan dan semasa pentauliahan buat pengambilan
saya, iaitu Intake 21 UPM yang ditauliahkan di USM pada 4 Mei 2002.
Beberapa bulan sebelum pentauliahan sibuk diadakan pertandingan antara
Kompeni bagi pemilihan anggota senior ke pertandingan rentas desa, rentas
halangan, bola tampar, bola jaring dan kawad serta juga persembahan untuk malam
kebudayaan. Sukan seperti rentas desa, bola tampar dan jaring boleh
dibantu dengan peringkat junior dan intermediate. Sebaliknya rentas
halangan dan kawad seratus peratus senior sahaja. Sebab itu boleh dilihat
hampir setiap petang ramai sahaja kadet-kadet akan berlari dengan membawa beg
pack yang berisi pasir di sekitar Bukit Expo bagi mencari stamina.
Tujuannya adalah untuk
mengelak kepewaian dalam latihan dan pertandingan. Jurulatih hanya tahu
mengarah dan menghukum sahaja. Sesiapa yang ingkar perintah atau lemah
pasti akan dihukum. Hukuman yang diberikan bukannya khusus kepada pesalah
sahaja tetapi kepada semua. Kata kerjasama. Jadi kena denda pun
bersama-sama. Pemilihan peserta dalam mewakili sesuatu pertandingan
adalah batu aras bagi standard seorang senior sebelum bergelar pegawai.
Jadi yang tidak terpilih seolah-olah akan merasa tersisih dan
mengwujudkan persepsi dikalangan juniornya bahawa senior berkenaan memang
kokap. Inilah persepsi yang sangat dielak oleh senior tak kala mereka
menjadi pegawai. Mereka mungkin boleh berlagak dengan junior baru tetapi
tidak kepada junior yang sediada.
Latihan yang diusahakan atas
inisiatif sendiri samada dijalankan secara individu atau berkumpulan adalah jalan terbaik untuk meningkatkan tahap stamina sebelum
diambilalih dan dibelasah oleh jurulatih. Kebiasaannya jurulatih akan
melanyak kadet-kadet ini pada tahap yang maksima baik fizikal mahupun mental.
Ini kerana pada mereka, senior mampu untuk menerima asakan dari jurulatih
dan juga pegawai-pegawai menerusi latihan yang telah diterima sejak Dari junior
lagi. Tambahan pula pada zaman saya jumlah PK adalah lebih ramai
berbanding dengan PKW. Jadi tiada masalah untuk melanyaknya. Setiap
kadet akan berusaha sedaya mungkin untuk terpilih. Di sinilah wujudnya
semangat pertandingan dan keuniversitiaan, kekompenian dan kepengambilan atau
keintakekan yang melampau. Saat yang mengembirakan adalah nama terpilih
untuk mewakili pertandingan selepas memenangi atau penilaian yang dibuat oleh
jurulatih diatas kesungguhan dan stamina yang dimiliki. Tetapi ini
hanyalah permulaan sebelum memasuki latihan fasa pentauliahan yang sebenar.
Latihan ini bermula sebaik
tamatnya peperiksaan akhir semester ke-6. Inilah saat azab sengsara yang
dilalui oleh senior. Samada berbaloi atau tidak terpulanglah kepada
empunya badan. Kekuatan Dan ketahanan mental Dan fizikal bakal teruji.
Latihan ini diadakan siang dan malam. Tidur memang tidak cukup sebenarnya. Maka pandai-pandailah hendak mencari peluang
dan kesempatan asalkan jangan kantoi atau diketahui oleh jurulatih dan pegawai.
Bagi yang terpilih untuk rentas halangan latihan, larian membawa beg pack yang
ditambahi dengan 2 mestin pasir adalah kewajiban dikenakan ke atas pesertanya
selain dimestikan untuk push up dengan menggunakan penumbuk dan jari bagi
kekuatan tangan. Kami perlu berlari jarak 2km dan melepasi semua halangan
yang ditetapkan. Sesiapa yang lambat atau gagal melepasi akan dilempang disitu
juga. Memang teruk latihan yang kami lalui. Saya sendiri yang
memaksakan diri untuk layak dalam pasukan yang kami istilahkan sebagai elit.
Saya tertarik dengan melihat kemantapan PK dan juga PKW yang tepilih dan
bertanding sewaktu menjadi anggota bantuan ketika pentauliahan senior saya di
UKM tahun 2000 dahulu. Pertandingan Merentas Halangan dibuat di litar Kem
Sungai Besi. Sejak dari itu saya berazam
untuk terpilih dalam pasukan elit yang dipandang tinggi oleh anggota.
Mantap kerana mereka perlu ada kekuatan untuk berlari, melepasi halangan
dsn juga kemahiran menembak. Selain dari itu kami jugalah yang
merupakan peserta rentas desa. Malam pula aktiviti rejimental.
Semuanya menguji mental dan fizikal pada tahap yang tinggi.
Selepas 2 minggu fasa ini
barulah kami bergerak ke USM. 3 minggu disini sangat menyeksakan. 1
minggu yang pertama diadakan latihan pembiasaan ditempat lawan.
Aklimitasi yang dilalui sepanjang 2 minggu sebelumnya banyak membantu
kami. Pertandingan rentas desa, rentas halangan dan bola jaring diadakan
pada minggu ini termasuk juga dengan malam kebudayaan. Di sini kami bertemu
dengan kekuatan kadet Dari 8 universiti lain. Kami bertembung dengan
peserta terbaik mewakili universiti untuk setiap pertandingan. Usai
sahaja minggu pertama bermula latihan kawad pentauliahan disiang harinya
dan watikah di malam harinya. Ini sahaja hampir 2 minggu. 2
minggu ini cukup untuk menukar warna kulit seratus peratus yang telahpun
berubah sedikit kounturnya. Kawad pentauliahan juga membabitkan
penerimaan pedang bagi pegawai kadet terbaik setiap IPTA. Berbanding
sekarang tiada penganugerahan pedang kepada pegawai kadet terbaik dilakukan di
padang kawad. Justeru masa yang diambil ketika di padang kawad adalah
lebih lama. Mujurnya kami tidak mengadap
matahari ketika berkawad kerana kedudukan Pentas Diraja adalah di mengadap
utara. Maka limpahan sinaran matahari
hanya di sisi kanan kami iaitu di Timur padang kawad. Jumlah PK yang ditauliahkan bagi setiap IPTA
juga jauh lebih ramai ketimbang sekarang yang terlalu ramai PKW. Apa
hendak jadi saya tidak tahu kerana semakin kurang pelajar lelaki untuk bergiat
aktif dalam ko-kuriulum pertahanan.
Saya Cuma menceritakan apa
yang dilalui oleh intake saya sahaja. Saya percaya setiap intake Ada ceritanya
sendiri. Cerita itulah yang menjadi kenangan terabadi. Pentauliahan
punya cerita Dan kisahnya sendiri. Kisah kemantapan, keunikan dan
kemenangan itulah yang bakal dijaja kemudiannya. Suka, duka, jerih payah
Dan air mata merupakan saksi kepada pentauliahan kita. Tiada hari yang
tidak dibasahi dengan peluh apabila menyertai PALAPES/ROTU. Nampak langit berlari, Nampak tanah
berguling. Walaupun impak latihannya
kurang sepertiga dari tahap latihan anggota tetap, namun ianya adalah satu
pengalaman yang sangat berharga buat bekas atau alumni PALAPES yang tidak
menyertai pasukan tetap. Kami berpeluang
merasai semua pakaian tentera dan sebahagian dari latihannya. Hargailah
kenangan tersebut. Ia merupakan sebahagian epik kepada kehidupan singkat
kita di dunia ini.
Ulasan
Catat Ulasan