Warna Ketidaksamarataan

Berikut adalah berkenaan kupasan buku The Colour of Inequality karya Dr Muhammed Abduk Khalid yang mendedahkan berkenaan realiti ketidaksamarataan dalam pengagihan kekayaan, ketidakseimbangan dalam pemerolehan harta dan pendapatan, kadar simpanan dan penabungan yang rendah, kedudukan bangsa majoriti dalam strata ekonomi yang masih terkebelakang dan dominasi golongan kaya yang menguasai lebih 3/4 kekayaan negara yang rata-rata adalah dari satu kaum sahaja.   Bacalah perkongsian tersebut dengan hati yang tenang dan berlapang dada serta minda yang besar.  


Perbahasan mengenai maju dan mundur status sosioekonomi bangsa Malaysia sudah bermula sejak zaman Pendeta Za’ba, fokusnya terhadap kaum Melayu ((Abdullah Hussain & Khalid M. Hussain, 2000. Pendeta Za’ba dalam Kenangan (edisi kedua), Dewan Bahasa & Pustaka.)). Sejak era 1950-an lagi, kesenjangan atau jurang kekayaan antara kaum sudah wujud. Dalam negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, isu ini wujud seperti barah yang perlahan-lahan merebak sebelum mencetuskan ketegangan politik dan sosial, diingati dalam rekod kerajaan mengenai peristiwa 13 Mei.

Dalam keghairahan kita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, Dr. Muhammed Abdul Khalid menarik perhatian kita mengenai isu taburan kekayaan dalam masyarakat Malaysia menerusi The Colour of Inequality. Selain daripada isu ketegangan kaum yang timbul disebabkan jurang kekayaan, ia juga membawa kepada pelbagai kesan lain dalam sistem ekonomi:

Kekayaan menjana kuasa beli yang lebih tinggi, dan ia juga berupaya untuk menjana lebihan dan diwariskan kepada generasi masa depan.
Pemilikan kekayaan adalah salah satu sumber pendapatan.
Pemilik kekayaan mempunyai lebih akses kepada kredit berbanding bukan pemilik.
Mereka secara tidak langsung mempunyai kuasa ekonomi dan politik lebih kuat berbanding kelas lain.

Oleh itu, kajian mengenai taburan kekayaan lebih hampir kepada realiti ekonomi rakyat terbanyak berbanding ukuran purata pendapatan rakyat. Dari segi teori ekonomi pula, kesenjangan kekayaan ini diukur menerusi pekali Gini (Gini coefficient) antara julat nilai 1 (taburan sangat tidak sama rata) dan 0 (taburan sama rata).

Berdasarkan pekali Gini pada 2004 iaitu 0.418, The Colour of Inequality menunjukkan bahawa 93.7 peratus daripada angka ini disumbangkan oleh jurang kekayaan dalam kelompok kaum, berbanding 6.3 peratus yang disebabkan jurang antara kaum di Malaysia.
Ada beberapa hal yang perlu kita tinjau semula menurut Dr. Muhammed Abdul Khalid. Pertama mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mendapat reaksi yang rencam. Berdasarkan perangkaan dan statistik rasmi menunjukkan bahawa berjaya merapatkan jurang kekayaan antara kaum yang menjadi salah satu objektifnya. Selain itu, kita perlu bertanya apakah yang menyumbang jurang yang semakin melebar ini? Pewarisan, taraf pendidikan dan tekad politik juga menyumbang kepada maju atau mundurnya pelaksanaan polisi bagi menangani masalah ini.

Dr. Muhammed Abdul Khalid mengusulkan beberapa cadangan dasar untuk dilaksanakan antaranya reformasi sistem percukaian negara menerusi pelaksanaan 3 jenis cukai iaitu cukai pewarisan (inheritance tax), cukai laba modal (capital gain tax) dan juga cukai nilai tambah atau dikenali sebagai GST((Thoughts on Alternative Budget, Economics Malaysia. http://econsmalaysia.blogspot.com/2014/10/thoughts-on-alternative-budget.html

Dua kategori cukai pertama menyasarkan golongan kaya dan berkemampuan manakala yang terakhir membabitkan rakyat terbanyak.
Satu lagi cadangan dasar yang dikupas secara rinci ialah beberapa perubahan dasar pengajian tinggi sejak awal 2000 antaranya sistem meritokrasi menggantikan sistem kuota dalam kemasukan ke IPTA, perubahan dasar penajaan biasiswa, dan peningkatan bilangan IPTS.

Beliau berpendapat perubahan-perubahan ini hanya memberi manfaat kepada golongan kaya dan berkemampuan berbanding mereka yang kurang mampu, khususnya pelajar dari luar bandar.

Hal ini disebabkan kaitan rapat antara taraf pendidikan dengan jurang kekayaan, misalnya jumlah pendapatan yang lebih tinggi dengan mempunyai pendidikan tinggi berbanding lepasan sekolah menengah dan rendah.

Sudah tentu buku The Colour of Inequality yang baik begini tidak berguna tanpa perbahasan dan perhatian dalam masyarakat awam di samping tekad politik bagi memastikan sesuatu dasar dilaksanakan berhasil dengan baik dan berjaya.

Malaysia sememangnya negara yang semakin tahun semakin kaya. KDNK negara berkembang sekitar 5-6% sejak 4 tahun lepas. Keuntungan 200 syarikat terbesar di Malaysia kian bertambah.

Tahun 2013 sahaja, 200 syarikat ini telah untung sebanyak RM163 billion- iaitu lebih 11% daripada tahun sebelumnya. Tidak mustahil mereka akan lebih untung kerana daripada kemakmuran ekonomi negara.

Keuntungan yang bertambah ini, ditambah dengan royalti Petronas yang ‘tetap’ sebanyak RM30 billion setahun sudah pastilah menjadikan Malaysia adalah sebuah negara yang kaya.
Oleh yang demikian analisis yang dibuat oleh para penganalisis ekonomi dan kenyaataan optimis menteri berkenaan dengan prestasi ekonomi kita adalah tepat. Tetapi menjadi negara kaya sahaja tidak memadai sekiranya pengagihan kekayaan tidak dilakukan dengan betul.

Bagaimana untuk kita menjelaskan keadaan di mana 80% daripada isi rumah di Malaysia menerima pendapatan kurang RM5000 sebulan dan 40% daripadanya lebih kurang daripada RM2000. Pada masa yang sama jumlah kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia telah meningkat sebanyak 12% daripada tahun lepas kepada RM213 billion.
Tidak hairanlah apabila dicampur semua angka ini kita akan mendapat purata pendapatan rakyat Malaysia sebanyak RM5,900. Sesungguhnya angka ini tidak tepat untuk menggambarkan keadaan sebenar.

Untuk membuktikan kecelaruan formula ‘purata’ ini bolehlah kita membaca statistik pelaburan di dalam Amanah Saham Didik yang dikeluarkan PNB. Pada 2014, purata pelaburan bagi setiap pelabur adalah RM14,500. Jumlah ini banyak jika dilihat sekali pandang. Tetapi realiti sebenar adalah jauh berbeza. 86% pemilik akaun hanyalah mempunyai RM1000 dan 0.5% pelabur atasan memiliki RM1.5 juta seorang.

Keadaan ini tidak jauh bezanya dengan simpanan pencarum KWSP yang mana 78.6% adalah mereka yang bergaji kurang daripada RM3,000. Di dalam Amanah Saham Bumiputera, 75% daripada pelabur hanya mempunyai purata RM611 di dalam simpanan.
Ini menjelaskan mengapa baru-baru ini timbul desakan supaya bank-bank lebih banyak mencetak not wang RM10 di mesin ATM. Sememangnya ada di kalangan kita yang baki akaun banknya kurang daripada RM50 pada suatu masa.

Dalam usaha menjadi negara berpendapatan tinggi, kerajaan ingin mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan pendapatan negara. Rasionalisasi subsidi dijalankan di mana harga minyak dan eletkrik mula mengikut harga pasaran.
Tahun hadapan, cukai GST akan dikuatkuasakan. Sudah tentu harga sesetengah barangan dan perkhidmatan akan naik. Ini menyebabkan ‘pendapatan boleh guna’ golongan kebanyakan semakin kurang. Mereka ini terpaksa meminjam wang untuk meneruskan kehidupan dan sekaligus meningkatkan kadar hutang isi rumah di Malaysia.
Menakutkan? Belum cukup lagi.
M
enurut kajian Sime Darby Properties, mereka yang ingin memiliki rumah di Lembah Klang perlu memiliki pendapatan isi rumah sebanyak RM14,580 sebulan. Tidak hairanlah permohonan mereka untuk mendapatkan pinjaman perumahan ditolak oleh bank.
Lebih 34% hartanah yang bernilai RM250,000 sehingga RM1 juta tidak terjual sepanjang 2014. Rumah tidak akan menjadi semakin murah dan pemaju hartanah semkain gemar membina rumah yang mahal. Kos sara hidup yang meningkat mengurangkan lagi kemampuan golongan ini untuk membeli rumah.

Pada masa yang sama golongan berpendapatan tinggi di Malaysia semakin kaya. Permintaan terhadap hartanah bernilai lebih RM1 juta begitu hebat sehinggakan hanya 8% daripada hartanah tersebut yang tidak terjual. Setiap minggu, ada sahaja pelancaran projek perumahan yang baru.

Hotel-hotel mewah bertaraf lima bintang seperti Harrods, W Hotel, St Regis dan Banyan Tree akan membuka cawangannya di Malaysia. Jualan kereta berjenama seperti BMW, Mercedes Benz, Volkswagen, Mini Cooper, Audi dan Land Rover mencatatkan rekod jualan tahunan.

Syarikat penerbangan antarabangsa seperti Air France, Lufthansa, British Airways dan Turkis Airlines berlumba-lumba menyediakan penerbangan terus ke negara masing-masing berikutan wujudnya pasaran. Restoran-restoran mewah sudah tumbuh ibarat cendawan lepas hujan. Kesemua ini tidak akan berlaku jika tidak ada permintaan yang tinggi.

Sudah tiba masanya masalah jurang pendapatan ini diberikan perhatian yang sewajarnya.
Adakah Malaysia satu-satunya negara yang mengalami keadaan ini? Tidak. Amerika Syarikat mempunyai 46 juta orang miskin. Di negara-negara maju di eropah juga golongan atasan 7% memiliki 60% daripada kekayaan negara. Malaysia mungkin tidak seteruk itu tetapi tanda-tanda ke arah itu sudah mula kelihatan.

Di atas kertas, angka-angka petunjuk ekonomi sememangnya menakjubkan. Persoalannya adakah ini pertumbuhan yang berkualiti di mana pengagihan kekayaan dilakukan secara menyeluruh atau pertumbuhan yang mengikut kehendak pasaran semata-mata?

Pasaran- sebagaimana yang diketahui tidak mengambil kira kesejahteraan orang ramai. Melainkan kerajaan campur tangan di dalam pasaran.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca