PATRIOTISME ILMU
PEMERIBUMIAN DAN PATRIOTISME ILMU
SEBAGAI PENJANA ILMU BARU*
Shaharir bin Mohamad Zain
*Terbit ddlm. Azizan (Pnyut.). Wacana Sejarah
dan Falsafah Sainsa: Pemantapan Pengjian Sjarah, Falsafah dan Dasar Sains. DBP,
2009: 1-37
BILAKAH LAGI PEMERIBUMIAN ILMU?
Pemeribumian (di alam Melayu; pe-Melayu-an
khu-susnya di Malaysia) ilmu di Malaysia sebagai juzuk alam Melayu bermula
sejak era Hindu-Buddhanya lagi, iaitu sejak abad ke-4M. Kebenaran ini
berdasarkan prasasti tertua dalam bahasa Melayu yang dijumpai di Vietnam dan
setampang batu bersurat 6 ayat bahasa Melayu zaman kerajaan Melayu Campa. Dalam
ayat itu sudah ada perkataan ni (ini), punya, sa (se), rivu (ribu), thun
(tahun) dan tujuh. Kerajaann Hindu-Buddha Melayu yang terkenal ialah kerajaan
Funan (2 M - 6 M) yang berpusat di Kemboja, kerajaan Campa (2 M - 15 M) yang
berpusat di Vietnam dan kerajaan Sriwijaya (6 M - 13 M) yang berpusat di
Sumatera. Pemelayuan ilmu pada zaman itu ialah pemindahan ilmu daripada tamadun
Hindia (Hindu dan Buddha). Oleh itu pemeri-bumian ilmu pada zaman tersebut
ialah pemindahan ilmu Hindu-Buddha dalam bahasa Sanskrit kepada ba-hasa Melayu
yang dikenali oleh orang Cina sebagai ba-hasa Kunlun (sebutan Cina untuk
“gunung” atau versi purbanya, “pnom”; sesuai dengan perkataan “Melayu” yang
berasal daripada Sanskrit “Malaya” yang ber-makna “Gunung” itu).
Muhammad Alinor ( 2004; 2005) banyak
mengkaji status ilmu pada zaman tamadun Melayu purba ini. Umpamanya, beliau
mencatatkan adanya 240 buah kitab ilmu keagamaan Buddha daripada kerajaan
Melayu Funan yang dihantar ke China melalui sarja-na Funan yang bernama
Paramartha atau Gunaratna pada 546 M (sarjana Melayu Funan lain yang
terke-nalnya ialah Mandra/Mandrasena yang tiba di China pada tahun 503 M, dan
Sanghapala/Sanghavarman/Kang Seng-k’ai yang berada di China pada tahun 506 M –
522 M). Beliau juga mencatatkan adanya sejumlah 1350 kitab keagamaan Buddha
yang dirampas oleh panglima China, Liu Fang, yang mengalahkan keraja-an Campa
603 M (walaupun tiada nama sarjana Campa yang diketahui setakat ini). Yang
lebih terkenal lagi ialah adanya beribu-ribu kitab keagamaan Buddha pada masa
kerajaan Melayu Sriwijaya yang dicatatkan oleh sarjana China terkenal, I-Tsing.
Beliau berada di Sumatera 670-an Masihi (lihat Takakusu, 1963). Apabila kembali
ke negara China beliau membawa kitab tersebut untuk diperibumikan
(diterjemahkan daripada Melayu kepada China). Antara sarjana Melayu Sriwijaya
yang terkenal ialah Sakyakirti, Dharmakirti, dan Atisa. Kehebatan ilmu dalam
bahasa Melayu terbukti lagi dengan adanya kegiatan pemeribumian (pen-Tibet-an)
ilmu Melayu di Tibet yang dilakukan oleh oleh seorang sarjana besar Kerajaan
Melayu Sriwijaya yang bernama Atisa itu yang berasal dari Hindia sekitar 1010
M.
Walaupun demikian, sehingga kini belum
diketahui sama ada terdapat terjemahan buku-buku sains khusus seperti “Sains
Matematik” Hindu karya Aryabhata pada abad ke-5 M dan Bhaskara-Acharya pada
abad ke-12 M. Karya-karya agung dari China dalam bidang sains sebelum Tamadun
Islam seperti karya sains matematik Chow Kung pada tahun 1110 SM, Chang Tsung
pada abad ke-2 M, Liu Hui pada abad ke-3 M, Hisa Hou pada abad ke-6 M, Wang
Hs’iao T’ung pada abad ke-7 M dan lain-lain lagi (lihat Madonick, 1965) juga
nampaknya tidak mendapat perhatian sarjana Melayu. Ketiadaan pemeribumian ilmu
China kepada kebudayaan Melayu mungkin jelas apabila mempertimbangkan
sedikitnya perkataan China dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu. Mengikut
hipotesis kami, karya-karya agung ini memang tidak diperibumikan di alam
Melayu, dan inilah satu daripada punca kelemahan sains Melayu purba. Keadaan
ini berterusan pada zaman Melayu Islam hingga kini seperti yg dihuraikan di
bawah ini.
Pada zaman Melayu Islam, pemeribumian
ilmu ke-pada ilmu Melayu daripada sumber Islam atau Timur Tengah (dalam bahasa
Arab) bermula di Aceh (keraja-an Pasai) pada abad ke-13 M dan kemuncaknya pada
abad ke-16 M hingga ke-17 M dengan tokoh agung-nya Hamzah Fansuri, Nur al-Din
al-Raniri, Abdul Rauf Singkel dan Bukhari al-Jauhari. Pada abad ke-18 hing-ga
awal ke-19 pemeribumian ilmu dari sumber Arab berlaku di segenap pelosok alam
Melayu walaupun yang terkenalnya ialah yang berpusat di Patani, Riau, dan
Kalimantan. Namun berasaskan dokumentasi manuskrip Melayu Islam oleh Mohd
Saghir terbitan ta- 1991 hingga kini, terutamanya tahun 2000 dan ta-hun 2002
serta pungutan manuskrip Melayu Islam oleh Shaharir (2003a), ternyata tiada
terjemahan atau adaptasi yang dilakukan terhadap buku-buku sains khusus
daripada tamadun Islam. Buku-buku yang dimaksudkan seperti karya al-Khwarizmi
(terkenal di Barat sebagai Algorism), al-Batani (terkenal di Barat sebagai
Albategneus), al-Bitruji (terkenal di Barat sebagai Alpetragius), al-Faraghani
(terkenal di Barat sebagai Alfaraganus), al-Haitham (terkenal di barat sebagai
Alhazen), Ibn Sina (terkenal di Barat sebagai Avicenna), al-Biruni, al-Tusi dan
Ulugh Beg. Contoh ini sekadar menamakan ahli sains besar Tamadun Islam yang
mempunyai karya agungnya masing-masing yang semuanya diterjemah kepada
bahasa-bahasa di Eropah. Ini tidak bermakna sains Melayu Islam tidak banyak,
cuma tidak setinggi yang sepatutnya jika pemeribumian ilmu sains Islam
dilakukan sehebat seperti yang dilakukan oleh bangsa-bangsa di Eropah itu. Satu
daripada puncanya ialah kerana sarjana Melayu Islam nampaknya hanya berminat
kepada hal-hal keagamaan sebagaimana tabiatnya pada zaman Hindu-Buddhanya
dahulu dan nampaknya berinteraksi hanya di Makkah yang bukannya pusat keilmuan
Tamadun Islam, tetapi hanya pusat beribadat khusus sahaja.
Namun, ilmu daripada tamadun Melayu
yang ada itu pun (etnosains Melayu) tidak diketahui umum oleh orang Melayu kini
kerana disisih dengan halusnya oleh penjajah-penjajah Inggeris dan Belanda.
Sejak kurun ke-20, oran Melayu merasakan semua ilmu adalah daripada penjajahnya
sahaja. Walaupun sebenarnya ilmu penjajah itu merupakan hasil pemeribumian
bangsa penjajah daripada sumber Islam/Arab. Apabila Indonesia muncul pada 1945
dengan sumpah pemudahnya yang bermaksud “bahasa Indonesia ialah bahsa Melayu”,
barulah negara itu beriltizam menjadikan bahasa Melayu (kini dikenali sebagai
bahasa Indonesia sahaja) sebagai bahasa ilmu. Namun begitu, pembinaan semula
tamadun Melayu itu tidak berasaskan pada tamadun Melayu terdahulu, tetapi
dimulai semula daripada sifar dengan pemeribumian ilmu dari penjajahnya,
Belanda. Begitu juga yang berlaku dengan Melayu di Malaysia kira-kira 10 tahun
kemudiannya (sekolah Menengah) atau 20 tahun kemudiannya (jika berasaskan pada
penubuhan universiti) dimulai dengan sifar dengan pemeribumian ilmu Inggeris.
Dengan segala kelemahan itu,
pemeribumian ini berlaku di Malaysia agak baik dengan pertolongan daripada
Indonesia sehingga 1980-an. Walaupun demikian, pemeribumian ilmu ini tidaklah
berlaku dengan penuh keiltizaman daripada pemerintah kerana tiada gerakan
besar-besaran dalam penterjemahan. Akan tetapi kemajuannya agak pesat juga,
iaitu sejak tahun 1990-an Malaysia nampaknya dapat mengatasi Indonesia yang
bermula jauh lebih awal dari Malaysia. Buktiny, universiti pertama di Indonesia
yang menggunakan bahasa pengantar dalam Melayu Melayu, iaitu Universiti Gajah
Mada ditubuhkan pada tahun 1949, sedangkan Universiti Kebangsaan Malaysia
ditubuhkan pada tahun 1970. Hal ini berpunca daripada perancangan sumber daya
manusia yang jauh lebih baik daripada Indonesia. Akan tetapi ternyata
disebabkan ketiadaan kegiatan pemeribumian yang diikut-sertakan dengan
penterjemahan yang hebat seperti yang berlaku pada penjajah besar Alam Melayu
ini (Belanda dan Inggeris), maka inilah yang menyebabkan (pemeribumian ilmu itu
mudah patah di tengah jalan. Ia dipatahkan oleh orang yang memang tidak pernah
percaya kepada pemeribumian ilmu sebagai jalan tabii pembangunan tamadun atau
kemajuan bangsa.
Pemeribumian ilmu menerima usikan yang
agak kuat dengan penubuhan Uniersiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada
1983 yang berstatus universiti swasta mengabaikan langsung bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar, walau pada tahun itulah juga semua universiti awam di
Malaysia menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya. Namun,
usikan ini cuma seketika tetapi tidaklah menggugahkan perjalanan pemeribumian
ilmu kerana kestabilan yang telah dicapainya. Pemeribumian ilmu ini ditimbal
pula dengan kemunculan gagasan besar pada sekitar tahun itu juga, “penerapan
Islam” dan “pengIslaman Ilmu”. Gagasan ini mudah ditanggapi sebagai satu
pengukuhan pemeribumian ilmu kerana sebahagian besarnya disebabkan status
bahasa Melayu sebagai bahasa agama Islam terbesar kedua selepas Arab di dunia
ini. Perlembagaan Malaysia juga menegaskan bahawa Melayu semestinya Islam. Oleh
itu sebelum tahun 1995 istilah “pemeribumian ilmu” di Malaysia, khususnya dalam
bidang sains, tidak pernah ditimbulkan oleh sesiapa sebagai suatu istilah
kerana prosesnya sedang berlaku dengan mantap walaupun tidak pantas pada kadar
yang sepatutnya. Lagipun gagasan “Penerapan Ilmu” dan “pengislaman Ilmu” pada
1987-1997 begitu gah dalam tempoh itu dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah
Menengah (KBSM). Kurikulum ini mengutarakan “penerapan nilai merentas
kurikulum” dan “penerapan Islam” serta penubuhan institusi Islam bagi
mewujudkan sebuah tamadun Melayu yang hebat dalam acuan sendiri. Namun, tiada
siapa pun menduga rupanya “panas tidak sampai ke petang”.
Sebelum KBSM, para guru sains sekolah
umpamanya sudah menganggap tugas mereka menyampaikan ilmu dalam bahasa rasmi
negaranya, bahasa Melayu sebagai kegiatan tabiinya sahaja, kerana kegiatan
sebegitu sudah berusia 37 tahun pada tahun 1995 itu. Para ahli akademik pun
hampir sedemikian juga kerana pada tahun itu sudah sesuku abad lamanya siswazah
aliran Melayu dilahirkan bagi UKM, dan 12 tahun bagi universiti-universiti yang
lain. Sehingga tahun 1995 “universiti” hanya bermakna universiti awam sahaja
kerana universiti swasta tidak diizinkan kewujudannya. Hal ini kerana dalam
perbicaraan “Universiti Merdeka” pihak swasta melawan kerajaan pada 1978,
Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penubuhan universiti (tau insitusi
pendidikan secara swasta dan berbahasa pengantar bukan bahasa rasmi negara
adalah bertentangan dengan perlembagaan negara. Datangnya tahun 1990-an, sudah
puluhan ribuan siswazah sains aliran Melayu terhasil, malah ribuan pula
peringkat Sarjana dan ratusan peringkat Doktor Falsafah yang tesis-tesisnya
semuanya dalam bahasa Melayu. Kelemahan besarnya yang diwarisi sejak zaman
sebelum Islamnya lagi, ialah suatu penyakit barah ketiadaan kegiatan
penterjemahan ilmu yang bersungguh-sungguh sehingga buku-buku sains dari
tamadun besar di Eropah (Inggeris) tidak cukup diterjemah dengan kadar yang
sepatutnya. Sehingga pada tahun 1990-an itu buku-buku sains dalam bahasa Melayu
(terjemahan dan adaptasi) hanya berjumlah tidak sampai seribu judul sahaja, dan
itu pun banyak yang berulang isi dan tahap pengajiannya. Ssedangkan keperluan buku
teks asasi di peringkat prasiswazah sahaja memerlukan sebanyak sekitar 2000
buah di samping keperluan sekitar 1700 buah buku baru setiap tahun bagi
menggantikan buku-buku teks usang, buku rujukan dan buku popular peningkat
pemikiran (lihat Shaharir 2005a). Inilah yang menjadi satu daripada punca
berlakunya tragedi besar umat Melayu Malaysia abad ke-20 dalam sejarah
pembangunan modennya; iaitu tragedi matinya pemeribumian sains di Malaysia. Hal
ini berlaku khususnya dalam komponen terpentingnya, pendidikan sains aliran
Melayu, setelah 45 tahun nampaknya berjalan lancar mulai 1958 (sehingga 2003).
Pada akhir 1994, istilah “pemeribumian
sains” (walau pun belum diuar-uarkan oleh sesiapa lagi) secara tersiratnya
tercabar kerana Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia masa itu, seolah-olah
menegaskan pembangunan sains di Malaysia tidak lagi perlu dilakukan dalam
bahasa kebangsaan Malaysia, tetapi patutlah dilakukan dalam bahasa Inggeris.
Alasannya ialah demi mengejar sasaran “Wawasan 2020” dan “globalisme”. Sebagai
reaksi daripada tanda-tanda perubahan dasar pembangunan sains Malaysia inilah
maka pada 1995 istilah “pemeribumian ilmu” dikemukakan oleh penulis ini
(Shaharir 1996, 1995/1997) bagi menggantikan “pengIslaman ilmu” yang
ditafsirkan sebagai “bebas bahasa” itu. Pada tahun 1997 penulis mengemukakan
konsep “sains Melayu” pula sebagai pengisian tabii “pemeribumian ilmu” di
Malaysia. Sebahagian pandangan itu malah disiarkan dalam akhbar perdana (Berita
Harian:18 Jun 1997). Walaupun makalah sepenuhnya baru diterbitkan (sayangnya
tanpa senarai rujukannya) oleh Mohamed Anwar (2004) yang juga mengubah secara
tidak tekalnya istilah “pemeribumian” dalam makalah asal itu kepada
“pewatanan”. Sungguhpun gelombang baru Inggeris dalam pendidikan dan
pembangunan sains di Malaysia sudah mulai dirasai, tetapi Penerbit UKM pada
2003 menggagahi kewujudan dan aspirasi asalnya dengan menerbitkan perincian
penulis terhadap konsep dan kaedah pelaksanaan pemeribumian sains.
Suara kontra keunggulan “pemeribumian
sains” mulai didengari dengan lantangnya sana-sini pada 2003 apabila kerajaan
mula menjadikan bahasa Inggeris sahaja sebagai bahasa pengantar mata pelajaran
sains dan matematik sekolah. Sejak itu, satu daripada unsur utama pemeribumian
sains tertanam hidup-hidup. Kini para pendokong “pemeribumian sains” dikatakan
sedang berhempas pulas, kata orang, semata-mata “hidup segan” sahaja. Makalah
ini boleh dianggap manifestasi keadaan ini, walaupun penulis tidak sekali-kali
berasa segan atau silu. Penulisan sebelum ini tentang kewajaran pemeribumian
ilmu telah dilakukan oleh penulis dengan panjang lebarnya (Shaharir, 2005c).
PEMERIBUMIAN BUKAN DALAM BAHASA
SENDIRI ?
Dalam pewajaran sesetengah pihak terhadap
dasar bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sains dan matematik
kerajaan sejak 2003, ada yang mengetengahkan pandangannya bahawa “pemeribumian
ilmu” di Malaysia boleh sahaja dilakukan dalam bahasa Inggeris. Pemeribumian
ilmu yang dilakukan bukan dalam bahasa sendiri tidak mungkin berjaya seperti
yang dibuktikan di negara-negara di Eropah, Jepun dan Korea. Perbandingan
kejayaan pemeribumian ilmu juga boleh dilihat yang dibuat di China dalam bahasa
sendiri dan India bukan dalam bahasa sendiri. Selain itu, persoalan ini boleh
dilihat pada karya dalam pelbagai bidang lain lagi termasuk yang pernah berlaku
dalam tamadun Melayu sendiri
Pertamanya, seluruh dunia mengiktiraf bahawa
tamadun Melayu amat kaya dengan manuskrip lamanya, terutamanya manuskrip Melayu
Jawi. Setengahnya mengatakan yang terbanyak di dunia kerana kini dianggarkan
sebanyak kira-kira 6 ribu seperti yang dikumpulkan oleh Shaharir 2003a. Mereka
ini juga bersetuju dengan takrif ‘manuskrip Melayu’ bagi karya sebelum abad
ke-19M. Hal ini kerana kerana tulisan pada kertas, daun tar (lontar), kulit
pokok atau haiwan, dan pada batu yang biasa disebut batu bersurat atau prasasti
dalam bahasa Melayu sahaja. Ini sesuai pula dengan persetujuan mereka terhadap
makna karya Inggeris, Perancis, Jerman dan sebagainya. Dalam tahun 1960-an
dahulu para budayawan dan sasterawan di negara kita pernah berpolemik di
kalangannya untuk mentakrif “sastera nasional” atau “sastera Malaysia” untuk
tujuan pengiktirafan. Ada pihak yang mahu memasukkan sastera dalam bahasa
Inggeris atau bahasa-bahasa suku kaum di Malaysia, yang ditulis oleh seseorang
rakyat Malaysia juga dianggap “sastera nasional”. Ternyata kehendak kumpulan
minoriti ini tidak mendapat tempat yang diingininya seperti yang disaksikan
dalam penapisan hadiah-hadiah sastera itu.
Sewajarnyalah penulisan dalam bahasa
Inggeris dalam sastera atau sains diiktiraf sebagai sastera atau sains
Inggeris. Umpamanya, karya yang memenangi Hadiah Nobel Fizik dari India,
Chandrasekhar 1983 dan Raman 1930 memang dianggap sains Inggeris. Hal ini kerana
semua karya mereka yang mendapat perhatian dunia itu ialah
pengukuhan/pembaikan/perluasan ilmu warisan dalam bahasa Inggeris dan karyanya
pun memang dalam bahasa tersebut. Pemenang Hadiah Nobel Persuratan 2001,
Naipaul yang lahir di Trinidad berketurunan India tetapi kemudiannya menetap di
England, sewajarnya dianggap persuratan Inggeris kerana bahasa tulisannya dalam
bahasa Inggeris. Walaupun perkara yang ditulisnya dan melonjakkan nama beliau
adalah berkenaan kehidupan orang Islam di Indonesia dan Malaysia dalam bukunya,
Among the Believers (1981) dan Beyond Belief (1998). Tiada orang Melayu di alam
Melayu ini yang mahu mengiktiraf karya Naipaul itu ialah karya persuratan
Melayu atau ilmu Melayu. Begitu juga sasterawan terkenal berketurunan Ireland tetapi
berkerakyatan United Kingdom, Somersat Maugham, pernah menghasilkan novel,
cerpen dan sandiwaraan terkenal yang berlatarbelakangkan masyarakat di
Asia.Karyanya seperti On a Chinese Screen (1923), The Gentleman in the Parlour
(1930), The Letter (1927), dan The Painted Veil (1925). Beliau berada lama di
rantau Asia bagi menyiapkan tulisan-tulisannya itu, tetapi karyanya itu tetap
dianggap sastera Inggeris kerana bahasanya memang bahasa Inggeris. Karyanya
juga tidak dianggap sastera (bangsa) Ireland, walaupun bangsa Ireland sudah pun
meninggalkan bahasanya yang asal, Seltik, kerana mendokong bahasa Inggeris
sejak abad ke-19 lagi. Sesungguhnya perebutan milik sains dan ‘jenama’ ahli
sains Ireland dan United Kingdom dalam sumbangan seseorang berketurunan Ireland
sering berlaku kerana masalah bahasa (bangsa lain tetapi mendokong bahasa
pembangunan yang sama). Wallace, seorang ahli biologi United Kingdom terkenal
abad ke-19. Beliau berada selama lapan tahun di alam Melayu bersama pembantu
penyelidiknya seorang Melayu bernama Ahmad. Beliau merakamkan begitu banyak
spesies haiwan di alam Melayu (sekitar 35 ribu spesies) pada akhir abad ke-19
dan menjadi rujukan besar Darwin bagi menerbitkan hipotesisnya (kini dikenali
sebagai teori), iaitu Teori Evolusi. Namun karyanya itu tidak pernah dianggap
sebagai sains (alam) Melayu kerana rakaman penyelidikan itu dalam bahasa
Inggeris (Lihat A. Wallace , dalam bukunya, “The Malay Archipelego: The Land of
Orang-Utan and the Bird of Paradise”, yang diterbitkan oleh MacMillan pada
tahun 1869).
Sebaliknya, karya Nur al-Din al-Raniri
dalam abad ke-17M di Aceh, seorang sarjana dari India dan memang bangsa India,
setiap satu yang ditulis dalam bahasa Melayu itu kecuali judulnya, biasanya
dalam bahasa Arab dianggap dunia sebagai karya Melayu atau manuskrip Melayu.
Karya berjudul Bahr al-Lahut dianggap manuskrip Melayu abad ke-12 kerana dalam
bahasa Melayu walaupun bersifat terjemahan sehingga ada salinannya yang
berjudul Bahr al-Dahut daripada karya asalnya dalam bahasa Arab itu. Begitu
juga dengan karya terjemahan daripada bahasa Arab, ‘Aqa‘id al-Nasafi pada tahun
1590 dianggap manuskrip Melayu yang tertua kerana bahasanya. Kedua-dua
manuskrip ini ialah berkenaan dengan fizik dan falsafah sains warisan tamadun
Islam yang mendahului Barat itu, dan malah layak dianggap fizik Melayu atau
kosmologi Melayu (tetapi tidak berlaku demikian kerana orang Melayu sendiri
kini tidak pernah mengiktirafnya sebagai sains dalam tamadunnya akibat sistem
pendidikan yang dilaluinya memang berpusatkan tamadun Eropah.
Pemenang Hadiah Nobel kimia 1999,
Zewail berbangsa dan berkerakyatan Arab-Mesir tetapi menetap di Amerika
Syarikat, sewajarnya dianggap penyumbang kimia Inggeris. Hal ini kerana karya
Zewail yang mendapat pengiktirafan itu semuanya dalam bahasa Inggeris yang
berupa perluasan sains warisan Inggeris. Fizik karya Abdus Salam yang
berkerakyatan Pakistan dan mendapat Hadiah Nobel 1979 tidak diiktiraf sebagai
fizik Pakistan. Bukan kerana beliau tidak berkarya di Pakistan tetapi kerana
bahasa fizik beliau itu semuanya dalam bahasa Inggeris, sungguhpun Pakistan
sendiri pun menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pembangunannya. Kedua-dua
sains sumbangan Zewail dan Abdus Salam ini juga sukar diterima sebagai sains
Islam kerana sains mereka itu tidak bertitik-tolak pada tasawur Islam.
Keislaman Abdus Salam dipertikaikan kerana dukungan Bahaismenya. Oleh itu,
untuk mengatakan sains Muslim daripada sains Abdus Salam itu pun hampir
mustahil diterima oleh komuniti Muslim dunia. Lagi pun Abdus Salam terkenal
dengan pendiriannya bahawa “tiadanya sains Islam”, walaupun nampaknya tidak
demikian pendirian Zewail. Ferid Murad, yang memperoleh Hadiah Nobel Perubatan
1998 memang penyumbang perubatan Amerika-Inggeris bukan sahaja kerana
berkerakyatan Amerika Syarikat, tetapi kerana karyanya semua karyanya dalam
bahasa Inggeris. Walaupun beliau berasal daripada bangsa Albania Muslim
(sebelah bapanya yang berhijrah ke Amerika Syarikat) dan emaknya seorang
Kristian Baptis, manakala beliau sendiri beragama Kristian mazhab Protetan
jenis Episcopalian dan beristerikan seorang Presbiterian.
Sebaliknya, ilmu karya sarjana Jepun,
China, Perancis dan Jerman umpamanya memang tanpa ragu-ragu lagi diiktiraf
sebagai ilmu bangsa-bangsa berkenaan (di samping menjadi ilmu dunia) kerana
banyak karya mereka itu ditulis dalam bahasa bangsanya sendiri. Yang lebih
menarik lagi, buku-buku sains dalam bahasa Inggeris di peringkat sekolah dan
peringkat prasiswazah kini dianggap sains Inggeris, walaupun hampir semuanya
berasal daripada karya dalam bahasa lain, terutamanya oleh mereka yang tidak
kesah kepada sejarah sains. Karya ilmuwan bangsa Inggeris yang terkenal,
Newton, yang asalnya dalam bahasa Latin itu, tidak dianggap karya Inggeris
sehinggalah karya itu diterjemah kepada Inggeris dalam abad ke-18 ini.
Begitulah besarnya peranan bahasa dalam penentuan pemilik sains itu.
Jelaslah pemeribumian ilmu dalam
sesuatu bangsa semestinyalah dalam bahasa bangsa tersebut. Khususnya,
pemeribumian sains di Malaysia supaya menjadi sains Malaysia semestinyalah
dalam bahasa kebangsaan Malaysia, bahasa Melayu. Oleh itu dasar menjadikan
bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sains dan matematik sekolah dan kini
mulai di universiti suatu dasar pengInggerisan sains di alam Melayu sahaja. Dasar
ini perlu ditentang mengikut keupayaan masing-masing sebagaimana yang
diperjuangkan oleh generasi sebelum 1970 dahulu. Suatu yang menarik dikaji
sekarang ialah berapa banyakkah sumbangan sains Melayu/Malaysia daripada
sekitar 4 ribu orang yang bertaraf ahli akademik di kalangan ahli sains
Malaysia sekarang. Sumbangan itu mestilah dalam bahasa Melayu/bahasa negara
Malaysia tanpa perkiraan asal-usul suku kaumnya.
PATRIOTISME ILMU
Satu daripada ciri penting
pemeribumian sains sesuatu bangsa ialah penyesuaian sains itu dengan kebudayaan
bangsa tersebut. Seterusnya memperbaiki sains itu berasaskan kebudayaan bangsa
itu sehingga menjadi sains dalam acuan bangsa itu. Bagaimana penterjemahan
sentiasa memberi kefahaman dan kadang-kadang mencetus idea baru hanya dapat
dirasai oleh mereka yang memang melakukan penterjemahan bukan mekanis. Inilah
yang berlaku dalam penterjemahan lisan atau pencatatan kuliah dalam bahasa
Melayu selama ini di institusi pengajian tinggi awam selama ini. Oleh itu
memanglah sukar meyakinkan kebaikan penterjemahan kepada orang yang “cerdik”
sekali pun tetapi tidak pernah berpengalaman menterjemah. Aspek lain dalam
penterjemahan yang penulis mengistilahkannya di sini sebagai “patriotisme ilmu”
mungkin lebih mudah difahami atau diyakini kepentingannya.
Jika bahasa sesuatu bangsa disisihkan
dalam sistem pendidikan sainsnya, maka amatlah sukar kesedaran perlunya
kebudayaan bangsa tersebut dipersuakan dengan ilmu yang dipelajarinya, dan
seterusnya dilakukan penyesuaian, dan pembaikan dalam acuannya sendiri. Lulusan
daripada sistem pendidikan itu hanya menjadi pengagum kebudayaan bangsa yang
bahasanya menjadi bahasa pengantar ilmu itu. Sementara kehalusan dan kemampuannya
mencerap sebagai ahli sains atau sasterawan paling baik sekalipun sama dengan
pencerap bangsa natif berkenaan sahaja. Contohnya orang Malaysia yang
berpendidikan Inggeris dan berjaya sehingga berfikir dengan bersahajanya dalam
bahasa itu hanya mampu mencerap atau bekepekaan seperti orang Inggeris sahaja.
Ini sungguh bersahaja sahaja berlaku demikian. Inilah isu patriotisme ilmu.
Seseorang patriot ilmu pastinya berminat dengan hubungan ilmu dengan kebudayaan
bangsanya dan menganggap kebudayaannya perlu bersimbiosis dan bersinergi dengan
ilmu yang diperolehnya.
Inilah yang berlaku dalam zaman
Universiti Malaya termasyhur dan megah bergaya dalam bahasa Inggerisnya dahulu,
sebelum 1983. Dalam masa 5 tahun pertama selepas kewujudannya selama 10 tahun,
iaitu dalam tahun 1966-1971 hanya sebuah buku (itupun antologi makalah sains
hayat) dalam bahasa Inggeris dan ratusan makalah SAKTI (=sains, kesihatan,
kejuruteraan dan teknologi) dalam bahasa Inggeris sahaja yang dihasilkan oleh
para ahli sains tempatan di Universiti Malaya. Sedangkan dalam tempoh masa yang
serupa, iaitu 1980-1985, Universiti Kebangsaan Malaysia menghasilkan ratusan
makalah dan puluhan buku dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Sekitar 30% makalah
dalam bahasa Melayu dan hampir 100% buku dalam bahasa Melayu. (lihat Jadual 1).
Kenapa berlakunya perbezaan demikian? Satu daripadanya kerana perbezaan
psikologi jiwa ahli sains di UM dan di UKM itu. Satunya pengagum Inggeris dan
satu lagi pencabar Inggeris kerana jiwa kemerdekaannya yang bertekad mahu
memeribumikan ilmu dan akhirnya mencipta ilmu dalam acuan sendiri. Inilah ciri
sarjana patriot. Jika UM dianggap wujud semenjak UM wujud di Singapura
(universiti induknya) maka data ini lebih negatif lagi kepada prestasi UM dalam
konteks patriotisme ilmu itu.
BIBLIOGRAFI
Andek Masnah Andek Kelawa, 2001. Kepimpinan Wanita
dalam Islam. Kedudukan daloam Syariah. Snt ke-2. Bangi: Penerbit UKM. Snt.
Pertmanya 1999
.
Charnes A. dan Cooper, W.W., 1977. “Goal
programming and multiple objective optimization”. Euro. J. OR , 1: 39-54
Kirkeby O.F., 2000. Management Philosophy. A
Radical-Normative Perspective. New York: Springer Verlag
Madonick H., 1965. The Treasury of Mathematics
1. N.York: Penguins Books
Mohamed Anwar Omar Din (Pyt.), 2004.
Dinamika Bangsa Melayu. Menongkah Arus Globalisasi. Penerbit UKM. Lihat makalah
Shaharir , “Pembinaan sains Melayu”, 303-320
Muhammad Alinor B.A.K., 2004a. “Dialog
Peradaban Melayu Dianalisis menerusi Sebaran Kesusasteraan”. Kesturi , Jil. 14
(1& 2): 50-65, 2004
Muhammad Alinor B.A.K., 2004b. “Kesusasteraan
Mantik Alam Melayu”. Jurnal Antarabangsa Tamadun Melayu, 1(3), hlm.163-177.
Muhammad Alinor B.A.K., 2005a. “Kesusasteraan
Ilmu Mantik Tamadun Melayu Terawal”. Prosiding Seminar Matematik dan
Masyarakat, 26-27 Februari 2005, hlm. 157-161. Kuala Terengganu : Jabatan
Matematik, KUSTEM.
Muhammad Alinor B.A.K., 2005b.
“Epistemologi/Mantik dalam Tamadun Melayu Terawal”. Zulkefli Hamid, Rahim Aman,
Karim Harun dan Maslida Yusof. Prosiding Seminar Antarabangsa Linguistik
Melayu. Jilid II, 2005, hlm. 233-245. Bangi : Pusat Pengajian Bahasa,
Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, FSSK, UKM.
Muhammad Alinor B.A.K., 2005c.
“Kesusasteraan Epistemologi Tamadun Melayu Terawal” dlm Kesturi 15(1&2),
hlm. 59-73, 2005
Shaharir bin Mohamad Zain, 1996. “Pendidikan
Sains Abad ke-21: Cabaran Sejagatisme dan Pasca-x-isme” dlm Siti Fatimah Mohd
Yassin & Anuar Ahmad (Snt. cet. pertama)/Warnoh Katiman (Snt. cet. ke-2),
hlm. 177-189. Prosiding Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara Abad ke-21.
Bangi:Fakulti Pendidikan UKM.
Shaharir bin Mohamad Zain, 1995/1997.
“Towards a quantum leap in the development of Islamic Science with particular
references to Malaysia” dlm. Anuar Ab. Razak dan Abu Bakar Majeed. (Pyt.),
Islam Science and Technology. Hlm. 47-76. Pasca-sidang 1995. Kuala Lumpur: IKIM
1997.
Shaharir bin Mohamad Zain, 1997.
“Mencerna sains mengikut acuan alam Melayu-Islam” dlm. Berita Harian, 18 Jun,
1997. Petikan ringkas daripada makalah, “Pembinaan sains Melayu-Islam” yang
dibentangkan di “Seminar Peradaban Melayu”, di UKM. 13 Mac, 1997.
Shaharir bin Mohamad Zain, 2003a. “Sains dan
teknologi Melayu sebelum dikuasai penjajah Eropah” dlm Jurnal Antarabangsa
Dunia Melayu 1(2), hlm. 157-204, 2003.
Shaharir bin Mohamad Zain, 2003b. Kaedah
Pemeribumian Sains, Teknologi dan Perubatan. Bangi: Penerbit UKM.
Shaharir bin Mohamad Zain, 2004. “Pembinaan
sains Melayu” dlm Mohamed Anwar Omar Din (Pyt.), Dinamika Bangsa Melayu.
Menongkah Arus Globalisasi, hlm. 303-320, Bangi: Penerbit UKM.
Shaharir bin Mohamad Zain, 2005a.
“Terjemahan dan pemindahan ilmu, jalan ke puncak” dm Abdullah Hassan (Pyt).
Terjemahan dan Pengglobalan Ilmu. Kertas Kerja Persidangan Penterjemahan
Antarabangsa ke-10, 2-4 Ogos 2005. Hlm. 41-49. K.Lumpur: PTS Professional Pub.
Sdn Bhd.
Shaharir bin Mohamad Zain, 2005b. “Keperluan,
Kaedah, Status dan Agenda Pemeribumian Sains Di Malaysia: Tidak Ke Mana
Kita!?”.Seminar Sejarah dan Falsafah Sains Kebangsaan Oktober 2004 anjuran
UKM-DBP-ASASI.
Shaharir bin Mohamad Zain, 2005c. “Peranan
bahasa sendiri dalam pembangunan sains sepanjang masa” dlm. Jurnal Pendidikan
Islam ABIM 11(2), hlm. 1-29; “Beberapa akibat daripada pengajaran sains dan
matematik dalam bahasa Inggeris di Malaysia: Suatu penilaian empiris dan
teori”, Kertas Kerja Kongres Pendidikan Melayu 2. Anjuran Persekutuan Badan Pendidikan
dan Pembangunan Melayu (PBPPM), 26-27 Mac 2005, hlm. 17-70; “Masihkah ada
kerdipan berjayanya dalam pengajaran sains dan matematik sekolah menerusi
bahasa Inggeris?” Kongres Menyelamatkan dan Mendaulatkan Semula Bahasa dan
Pendidikan Melayu, 10 Julai 2005, anjuran Kumpulan Prihatin, hlm. 19-38.
Shaharir bin Mohamad Zain, 2005d.
Sains matematik dan pengurusan. Dibentangkan di Simposium Kebangsaan Sains
Matematik ke-XIII, di Alor Setar. Anjuran UUM-PERSAMA 5 Mei, 2005. Muncul dalam
JQMA/Jur. Pengukuran Qualiti dan Analisis 2005, 1(1): 1-43
Shaharir bin Mohamad Zain, 2005e. “Teori
Kepemimpinan Melayu Campa”. Seminar Sehari Pengajian Campa 30 November 2005 di
UKM.
Shaharir bin Mohamad Zain, 2005f.
“Pengoptimuman dalam acuan sendiri”. Siri 5 Kuliah di INSPEM .
Simon H.A., 1957. Models of Man.
Social and Rational. N.York:JWiley.
Takakusu J., 1963. A Record of the Budhist
Religion as Practiced in India and the Malay Archipelego (AD 671-695). Oxford
Univ. Press. Cetakan terjemahan 1896 kepada catatan I-Tsing yang terkenal itu.
Wan Mohd Saghir Abdullah, 2000. Wawasan
Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara jilid 1. Kuala Lumpur: Persatuan Pengkajian
Khazanah Klasik Nusantara & Khazanah Fathaniyah
Wan Mohd Saghir Abdullah , 2002. Wawasan
Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara Jilid 5. Kuala Lumpur: Persatuan Pengkajian
Khazanah Klasik Nusantara & Khazanah Fathaniyah
Menurut Ibn Khatir, Kitab Tarikh Al Hukam, Sami bin Abdullah Al Makhluth dll berlandaskan Al Quran: TAMADUN MANUSIA BERMULA DARI NABI IDRIS AS, baginda dilahirkan di MUnaf/Memphis dan digelar HurMUS Al Haramisah. Nabi Idris AS diutus buat kaum Nabi Syits jurai Qabil, Putera Adam AS. Kaum Nabi Syits kemudiannya dipanggil kaum HurMUS atau MU atau di kalangan KAFIRUN LAKNATULLAH yg rata rata umat Islam percaya lebih dari Al Quran sebagai kaum LeMUria. Nabi Idris AS dikurniakan dng berbagai bagai kemahiran dan kepandaian antaranya: Mahir mengukir segala jenis batu permata, melukis, menulis, mengira, mengukur, berfalsafah dan menjahit serta yg paling utama beroengetahuan tinggi di dalm ilmu astronomi. Di zaman beliau telah terdapat 72 pecahan bhs dan kaum dari pecahan 22 pasang ank ank Adam AS serta telah menggambarkan 188 buah kota di atas lempeng tanah liat dan logam. Baginda juga bertanggung jawab meletakkan 4 raja di 4 penjuru dunia dengan 4 perbezaan cuaca dan bentuk muka bumi: dataran bawah, atas, bukit dan tinggi...Raja Eqlabous, Raja Zios Amon, Raja Elaus dan Zius. Kaum Hurmus (penghuni dataran bawah) bertukar menjadi angkuh, sombong, bongkak, kufur dan mungkar setelah diajarkan berbagai ilmu oleh Nabi Idris AS berkesudahan dibinasakan Allah dengan banjir besar di zaman Nabi Allah Nuh AS. Bermula dri peristiwa tersebut maka terpisahlah 72 pecahan kaum dng 72 asas bhs diberpuluh ribu pulau, tanah besar dan benua benua antaranya kaum dataran bukit atau kaum MALA diberbelas ribu pulau dan tanah besar dng asas bhs yg dikenali dikalangan kayu pembakar api neraka sebagai bhs Austronesia. Kaum Mala menerima AGAMA HANIF ajaran IBRAHIM yg disebarkan oleh penutur bhs INDO-IRANIAN dan INDO-ARYAN dari jurai Nabi Ismail AS (dikurniakan 12 putera dan 1 puteri...SAKA dan BAKA dari puteri Ismail amat digeruni Yahudi) melalui Jalan Sutera ke Selatan dan Utara India, KEDAH TUA dan CAMPA. Bahasa campuran Austronesia, Indo-Iran dan Indo-Arya dijadikan IBU bahasa Sanskrit, begitu juga dng Tulisan Pallawa yg berasal dri Pahlavi dan Persia tulisan rasmi kaum Mala turut dijadikan INDUK tulisan Sanskrit. Kaum Mala kemudiannya dikenali sebagai MALA-UR (UR adalah nma negara kelahiran Nabi Ibrahim AS) di zaman SRIVIJAYA kaum Mala-ur dipanggil MELAYU. Di zaman SAN FO TSI atau SAN JAYA pula baginda berjaya mencipta konsepsi NUSA...NUSANTARA kini SUMATERA dan SEMUA KEPULAUAN SUMATERA, NUSA KAMBANGAN kini pulau Jawa, NUSA ANTARA kini Sulawesi, Kalimantan dll, NUSA ANTARA kini Ambon, Meluku dll, NUSA KANCANA kini Malaysia, NUSA RANTANG kini Selatan Siam, Selatan Filipina, Selatan Funan, Selatan Kambodia dan Campa. Manakala Kerajaan Jawaka (membentuk Kerajaan Jawa) di zaman Srivijaya menerima BUDDHA, Grahi (membentuk Kerajaan Sunda) menerima Hindu dan Medang Merdalong (membentuk Kerajaan Medang Kamulan dan Gana) juga menerima Hindu. KERAJAAN MELAYU dan BANGSA MELAYU AWAL SAMA SEKALI BUKAN BERAGAMA HINDU MAU PUN BUDDHA...yg Hindu Buddha tu Jawa, Sunda, Minanga, Kalinga dsb. Bahasa dan budaya Melayu dari zaman Nabi Idris adalah campuran bhs dan budaya Indo-Iran, Arya, sedikit Mogul dan Malayo-Polinesia. TOLONG PERBETULKAN!!!!
BalasPadamMenjejak Melayu harus bermula dri langkah Islam. Rasulallah SAW adalah penutup dan pelengkap AGAMA HANIF AGAMA ISLAM, merupakan matlamat akhir KENABIAN ADAM AS yg diturunkan padA Nabi Idris AS, Nuh AS, Hud AS, Ibrahim AS dan Ismail AS. Amat tidak wajar menjejak Islam dan Melayu melalui Jurai Ishak yg menurunkan Nabi Nabi Bani Israel yg dikhususkan pada kaum Israel. Begitu juga amat kurang siuman jika menjejak Melayu dri tulisan dan kajian KEPARAT LAKNATULLAH!!! Menurut 2 prof tmpatan yg wjib kedua belah mata mereka dicungkil dan dipotong lidah mereka dlm tulisan mereka menyebut terdapat penemuan fosil manusia berumur berpuluh ribuan tahun malah berjuta tahun...SANGAP ke apa??? Al Quran mewartakan Adam AS adalah manusia pertama yg dijadikan Allah SWT...sejak Adam AS diturunkan ke dunia hingga sekarang menurut pengiraan Nabi Idris dan dismbung oleh Nuh AS, Hud AS serta Nabi Nabi selepas Hud hingga sekarang hanya dalam sekitar 10 ribu tahun...Klu prof tu x percaya dng perkhabaran Al Quran kluar je dri Islam...klu hanya menyesatkan manusia lainnya. Tlng jng prcaya walau sebaris ayat tentang kjian laknatullah psl Melayu trmasuk 2 prof terencat akl tu!!!
BalasPadam