Pengalaman bergelar ULTRAMAN dalam ULTRAMARATHON 100km

Alhamdulillah, usai sudah acara UItramarathon 100 miles anjuran TeamPacat Adventure yang bertempat di sekitar Putrajaya pada 22 dan 23 November Sabtu dan Ahad yang lepas.  Memang padanya mulanya saya tidak berkeyakinan untuk memasuki acara ultra ini.  Namun memandangkan masa yang diperuntukkan agak munasabah pada perkiraan saya maka saya memberanikan diri mendaftarkannya bersama dengan adik saya.  Ada 4 kategori yang dipertandingkan iaitu 52km, 78km, 100km dan 100batu (160km). 












Bersesuaian dengan statusnya sebagai perlumbaan ultra saya mendaftarkan diri sebagai peserta untuk kategori 100km.  latihan memang agak kurang dalam 1bulan sebelum pertandingan.  Hanya berharap kepada acara larian yang saya daftar dan saya menganggapnya sebagai latihan.  Pada mulanya saya hanya beranggapan bahawa laluan atau trek di sekitar Putrajaya ini hanyalah mendatar sahaja dan hanya elemen cuaca sahaja.  Tidak terfikir dek fikiran aka nada trek lain.  Namun semuanya berubah apabila di hari pertandingan.  Secara keseluruhan untuk kategori 100km dipecahkan kepada 2 sub kumpulan C dan D iaitu lelaki dan wanita.  Ada 10 CP atau titik lapor bagi kategori ini iaitu 5 CP untuk pergi dan 5 CP untuk kembali.  Lebih senang laluan yang sama untuk pergi dan balik. 




Pelepasan dimulai dengan peserta dari kategori 100 batu pada jam 7.15 pagi 21 November 2014.  Ini hanya untuk mereka yang hardcore sahaja.  Selang 5 minit barulah untuk kategori 100km pula iaitu kategori saya dan seterusnya diikuti dengan 2 lagi kategori 78km dan 52km dalam sela masa 5 minit.  Dari CP 1 ke CP 2  jarak adalah 10km.  Memandangkan masih awal dan kebanyakkan peserta masih segar maka seronok semuanya he3.  Lagipun ramai peserta yang lari melalui CP ini.  Agak meriah.  CP2 adalah di Marina.  Di sini semua peserta perlu melaporkan diri (check in) kepada pegawai yang bertugas. Prosedur atau SOP inilah yang digunapakai terhadap semua CP. Sementara meneruskan larian ke laluan seterusnya peserta boleh membuat penyegaran (refreshment) dengan minum dan makan di CP ini.  Kami berhenti dalam masa 10minit sebelum menyambungnya semula.  Untuk menyambung semula larian, kami perlu melapor  diri semula (check out) kepada pegawai bertugas sebagai makluman kami sedia untuk berlari semula.  Laluan ini sebenarnya pergi dan kembali dengan jarak 10km (5km pergi dan 5km kembali) melalui laluan jogging dikawasan perumahan. 




Masa ini masih tidak terasa kerana masih diredupi dengan pepohon dan juga kebetulan cuaca agak mendung sedikit.  Selesai berlari kembali  ke CP 2, minum sedikit air dan kembali meneruskan larian ke CP 3, masa inilah benar-benar terasa walaupun jaraknya hanya 6km.  Waktu ini jam telah pun 10.45pagi. larian diteruskan.  Kepanasan mula menyengat apabila melalui ke PICC.  Kebetulan ada carnival Upin dan Ipin memang ramai pengunjung yang terdiri daripada ibubapa yang membawa anak-anak ke carnival berkenaan.  Kami berlakon berlari dengan mantap, tidak menunjukkan muka penat. Walhal hanya Allah sahaja yang tahu betapa peritnya larian pada waktu menghampiri tenghari.  Usai melepasi kelompok yang ramai saya kembali berjalan kaki dan diselang-seli dengan larian anak-anak ke CP3.  Wow memang penat.  Di sini kami berehat dengan makan buah, roti dan air 100plus.  Jarak kami buat masa ini baru 27km.  Untuk ke CP yang berikutnya iaitu CP 4 jarak yang perlu dilalui adalah 13km. Wah ini kerja gila lari dalam matahari terpacak di atas kepala.  Pada masa inilah kekuatan mental semua para peserta kecuali peserta 52km kerana CP 3 adalah titik berpatah balik (turning point) kembali ke  CP 2 dan seterusnya menamatkan larian.  Betapa untungnya mereka.  Masa ini timbul juga rasa menyesal, tetapi tiada gunanya, melainkan meneruskan sahaja.  Laluan ke CP 4 memang panjang dan kurang tempat untuk berteduh.  Bolehlah dibayangkan keadaan cuaca pada 12.15 tengahari sehingga 2.13 petang cuacanya memang panas.  Air memang sentiasa minum. 





Ahh lupa untuk diceritakan, kantung air atau water pack yang dibeli bocor.  Kebocoran mula disedari pada awal larian lagi kerana ada pelari memaklumkan bahawa terdapat titisan air yang keluar dari beg.  Mungkin pada perkiraan awal tutup tidak kemas.  Tetapi apabila tiba di CP 2 untuk menambah kembali air (top up), ternyata bocor disaluran kantung berkenaan.  Kecewa juga sebab beli pun agak mahal dalam RM90.  Ramai pelari mengatakan jenama berkenaan water pack yang dijual agak kurang kualitinya.  Jadi pengajaran yang kami dapat untuk edisi larian yang akan datang beli yang berjenama.  Harga dalam lingkungan RM300-RM400.  Fikirkan dulu. 


Ok kembali ke laluan penuh derita dari CP 3 ke CP 4.  Saya rasa 90% dari laluan ini kami hanya berjalan kaki sahaja.  Jimatkan tenaga untuk elak dehidrasi atau penyejatan peluh yang melampau.  Waktu ini darah secara biologinya akan berada dalam keadaan yang sangat pekat.  Jadi memang kita akan rasa agak penat sebab darah kurang bergerak ke seluruh tubuh.  Sebagai penyelesaiannya jangan memaksa diri untuk berlari.  Berjalan adalah lebih baik dan sentiasa minum air.  Sebab itu ditangan saya sentiasa ada air.  Ramai kelihatan pelari duduk dibawah pokok untuk berehat kerana kepanasan.  Jarak antara pelari adalah terlalu jauh.  Sayup mata memandang.  Kelihatan imej logamaya atau mirage kerana panas.  Keadaan ini menuntut kekuatan mental yang bukan sedikit.  Mental kena sentiasa berada di atas bukan dikepala lutut.  Agak mengelirukan sebenarnya kerana papan tanda / petunjuk arah (signage/arrow) terletak agak berjauhan di antara satu sama lain.  Dalam masa inilah kedengaran ada kalangan peserta yang tersesat dan tidak melapor diri ke CP yang sepatutnya.  Kebanyakkan dikalangan peserta 100 batu dan 100 km.  Alhamdulillah kami mujur tidak sesat sehinggalah ke CP terakhir. 


Petunjuk arah ke CP 4 memang agak mengelirukan kerana ia terletak dikawasan agak bersemak bersebelahan kandang kuda dan kawasan perumahan.  Ini pun ada kalangan peserta yang terlajak sehingga ke CP 5 tanpa melaporkan diri ke CP 4.  CP 4 terletak di atas bukit di Taman Rimba.  Ini pun masalah juga sebab ianya adalah laluan yang berbukit dengan kecerunan 45 darjah.  Sudahlah kami diuji dengan perjalanan jauh dalam cuaca yang panas dan kena mendaki pula.  Menyesal? Teruskan sahaja.  Ada dikalangan peserta yang mengalami kekejangan sewaktu mendaki laluan ini dan terpaksa dipapah sehingga ke CP 4.  Mungkin kerana terlalu penat dan kurangnya minum air selepas mengharungi perjalanan dalam cuaca yang panas.   Laluan ini sahaja memakan hampir 2km.  naik dan turun.  Dalam jam  2.13 petang Alhamdulilah sampai juga.  Kami berehat/solat, makan sedikit roti. Buah dan coklat serta minum air.  Cuaca mula berubah mendung, ingat hendak hujan tetapi tidak hujang pun.  Cuaca kembali panas apabila kami hendak bergerak ke CP 5.  CP 4 adalah turning point bagi perserta 78km.  Sekarang hanya tinggal peserta 100 km dan 100 batu sahaja untuk meneruskan cabaran.  Jarak dari CP 4 ke CP 5 adalah 11 km.  Ini adalah kiraan dari pihak urusetia.  Tetapi dari GPS yang diukur jaraknya antara 13km – 15km.  Perbezaan ini bergantung kepada setting setiap GPS yang berbeza jenamanya.  Apa-apa pun ianya lebih dari jarak yang diisytiharkan oleh pihak urusetia.


Kami reda sahaja.  Teruskan melangkah dengan gaya brisk walk sehingga ke CP 5 yang terletak di Taman Wetland.  Kebetulan jumpa peserta dari kategori yang sama, kami bercadang bergerak sama.  Ada teman untuk berbual dan berkongsi pengalaman.  Kami tiba pada jam 5.45 petang selepas bertolak dari CP 4 pada jam 3.08 petang.  Di sini peserta dijamukan dengan menu nasi ayam.  Kami makan untuk tengahari dan malam sekali.  Penat tetapi paksa diri makan juga demi tenaga selepas seharian tidak menjamah nasi.  Rehat pun lama solat asar dan maghrib di CP ini.  Kami bertolak semula kembali ke CP 4 pada jam 7.38 malam.   Ini adalah turning point bagi 100 km dan hanya peserta 100 batu yang meneruskan untuk ke CP 6, 7 dan 8.  Saya tidak sanggup.  Ini pun dah terasa azab.  Kelihatan beberapa peserta 100 batu yang hendak menarik diri dari acara ini.  Memang mental betul.  Sebagai kesimpulanya mereka ini DNF.  Ada yang cekal dan kuat mental meneruskan masih meneruskan lagi larian ini.  Dari 44 peserta 100 batu yang berlari hanya 14 orang sahaja yang benar-benar Berjaya menamatkan larian ini dengan melalui semua CP.  Kesudahan yang lain ada yang terus menarik diri da nada juga lari sampai ke CP akhir tanpa melengkapkan 160km (rata-rata Berjaya sampai 140km sahaja).  Apa-apa pun saya tabik/salute kepada mereka kerana berani.  Kebanyakkan dari peserta ini pernah mempunyai pengalaman dalam acara seumpama ini.  Jadi keperluan dari segi mental dan fizikal mereka telah bersedia.  Cuma apa halangan ini acara ini mereka tidak ketahui sepenuhnya.  Apabila sudah berlari baru tahu apa sebenarnya yang menyebabkan mereka tidak dapat menamatkan dengan sepenuhnya. 


Dari CP 5 ke CP 4 kami berlari dalam keadaan hujan yang renyai-renyai.  Memang sudah malam pun.  Kami pun agak risau sebenarnya sebab kena melalui hutan Taman Rimba.  Harap adalah berjumpa dengan pelari lain.  Hanya kami sahaja yang berlari tiada pelari lain yang berlari pada waktu tersebut.  Lari punya lari jumpalah satu pasangan yang berlari sama dengan kategori kami.  Syukur.  Jadi kami pun bergabung dengan pasangan pelari berkenaan.  Rupanya mereka ini adalah pasangan suami isteri yang baru sahaja berkahwin dan memang meminati larian seumpama ini lagi-lagi isterinya.  Bagus.  Jarangan ada pasangan suami isteri yang berkongsi minat dan boleh berlari bersama lagi-lagi untuk acara ultra ini.  Tabik saya buat mereka.  Kami lari dalam hutan dalam keadaan hujan renyai-renyai.  Mujur setiap dari kami memang membawa lampu kepala (head lamp) bagi menerangi jalan sewaktu memasuki kawasan hutan.  Kurang sedikit rasa takut he3…kami tiba di CP 4 pada jam.10.15 malam.  Di sini kami mengambil kesempatan untuk menunaikan solat isyak.  Perut mula terasa lapar.  Malang sekali kebanyakkan makanan di CP 4 telah pun habis, hanya ada sedikit roti roll.  Tidak mengapalah janji ada sesuatu yang boleh dibuat alas perut.  Sebelum menyambung larian saya makan coklat bar sebagai sumber tenaga bagi menempuh perjalanan sejauh 13km untuk ke CP 3.  Dalam perjalanan menuju ke CP 3 kami bergabung dengan satu lagi kumpulan.  Jadi bilangan kami bertambah kepada 6 orang.  Perjalanan memang sangat membosankan kerana kami mula bertolak pada jam 11.30 malam.  Rasa mengantuk mula menguasai perasaan.  

Tambahan pula kaki saya memang sudah agak teruk melecet dikedua belahnya.  Terasa sangat sakitnya.  Ini kerana tapak kasut yang dibaiki adalah tidak sesuai untuk tujuan berlari kerana keras.  Kurang berlakunya penyerapan atau absorpsi tekanan hentakan.  Jadi tapak kaki saya terpaksa menerima bebanan hentakan.  Sangat menyakitkan.  Saya hanya berdoa agar diberikan kekuatan untuk meneruskan larian dan mental yang kuat bagi mengharung perjalanan yang jauh sebegini.    Dalam pertengahan perjalanan terjumpa satu kumpulan yang berhenti kerana seorang dari ahlinya telah tumbang.  Mungkin kerana terlalu penat sehinggakan diri tidak mampu untuk mengimbangi diri menyebabkan kepalanya terhentak di jalan dengan kuat sewaktu jatuh.  Mereka telahpun menelefon pihak urusetia bagi menguruskan mangsa berkenaan.  Sementara mereka menunggu dan menemani rakan yang terbaring akibat keletihan yang melampau kami meneruskan larian ke CP yang berikutnya.  Sepanjang dalam larian kami disajikan dengan deruan mat rempit yang berlumba sesama mereka sambil melakukan aksi berbahaya iaitu berlumba dengan melawan arus.  Tidak masuk akal langsung.  Tetapi itulah dunia mereka.  Biarkan sahaja.  Kami hanya memfokuskan untuk tiba dengan cepat ke CP berkenaan. 



Mata semakin mengantuk, ditambahi pula dengan penat dan pelbagai lagi bentuk tekanan bagi dari segi mental, tubuh dan kaki.  Dalam sedang terpaksa berjalan kami terserempak dengan 2 pelari 100 batu, mereka telah tersalah koordinat CP.  Mereka tidak melapor ke CP 4 sebaliknya terus ke CP 3.  Mereka telah tersasar jauh dan hanya berbaki 2 km sahaja ke CP 3.  Nampak diwajah mereka rasa kesal kerana tidak bertanya kami dengan lebih awal kerana dipertengahan kami terserempak dengan mereka yang menderu laju.  Mantap betul stamina peserta 100 batu ini walaupun sekadar berjalan laju.  Mereka telah meninggalkan CP 4 11km ke belakang.  Mungkin disebabkan kerana tidak mahu penalty mereka berpatah balik ke CP 4.  Mengelirukan sebenarnya petunjuk arah untuk ke sana kerana terletak berhampiran dengan semak.  Jika saya jadi seperti mereka saya rela tidak berpatah kembali sebaliknya meneruskan larian kehadapan.  Dari fizikal mereka, tiada tanda-tanda melecet sebaliknya hanya kepenatan.  Sememangnya mereka ini benar-benar atlet bertaraf ultra.  Kami meneruskan larian ke CP 3 manakala mereka berpatah balik ke CP 4.  Sewaktu untuk sampai ke CP 3 gelembung melecet di tapak kaki kanan saya pecah.  Aduh air bisanya keluar dan menyebabkan kesakitan dan kepedihan yang teramat sangat di tapak kaki saya.  

Saya paksa juga dalam jarak lebih kurang 2km.  hujan rintik-rintik mulai turun.  Akhirnya dalam jam 2.15 pagi 23 November Ahad dengan seribu kepayahan tiba juga ke CP 3, Alhamdulillah.  Jarak terkumpul sehingga ke CP ini adalah 80km.  Di sini saya mengambil ubat kuning dan membalut dibahagian yang melecet.   Tidak berapa kemudian hujan turun dengan lebat.  Syukur kami tiba awal sedikit, jika tidak memang kuyup.  Kami mengambil kesempatan untuk berehat sebentar, hendak tidur memang tidak mampu kerana tidak selesa, selain merasa sangat sejuk akibat hembusan angin yang dibawa oleh hujan.  Tambahan pula apabila sejuk dibahagian dada saya mula terbatuk-batuk.  Sangat tidak selesa. Baring sekadar baring sahaja.  Sehinggalah jam 4.05 pagi saya bangun dan membersihkan diri untuk penyegaran semula bagi menyambung larian.  Saya terpaksa menukar kasut larian ke kasut crocs.  Lebih kurang jam 4.35 pagi kami menyambung semula ke CP 2 dengan jarak 6km.  Waktu ini mental kami teruji, dalam keadaan mengantuk dan tidak cukup rehat kami meneruskan cabaran ini.  Kami lebih banyak berjalan kerana kaki saya memang tidak begitu mengizinkan untuk berlari.  Sakit perut pula.  Mujur ada tandas awam di kawasan Marina ini. Ini kali 3 saya membuang.  Mungkin salah makan kot hu3..nasiblah.  Semua ini benar-benar menguji ketahanan mental dan kesabaran.   

Dalam jam 6.10 pagi kami tiba juga ke CP 2.  Kami menunaikan solat subuh dan mengambil sedikit makanan iaitu maggi sebagai alas perut.  Para urusetia memberitahu bahawa seorang perserta 100km iaitu Uncle Oliver telah tersesat sehingga ke Dengkil sewaktu dalam perjalanan dari CP 4 ke CP 3. Patutnya ketika meninggalkan CP 3 ada marshal bertanyakan kami bahawa Uncle Oliver melapor diri atau tidak.  Rupanya dia tersesat.  Tetapi yang mengejutkan kami adalah jara larian termasuk sesat adalah melebihi 160km.  Wow..dalam siri 7 atau 73 tahun beliau mampu membuat jarak sedemikian.  Tidak masuk akal, tetapi itulah realitinya.  Jam 6.40 pagi kami menyambung semula perjalanan dan disertai dengan sedikit larian untuk jarak 10km.  Cuaca mulai cerah dan panas.  Ramai kelihatan peserta 100 batu yang tiba di CP ini.  Ada yang tersesat dan tidak cukup perbatuan.  Azab benar saya tengok mereka ini.  Tetapi wajah mereka tidak memperlihatkan keletihan yang teramat sangat (exhausted).  Ini yang bangga dengan mereka. 



Kami Berjaya menghabiskan jarak 10km dengan memaksa diri untuk berlari walaupun dalam keadaan serba kesakitan dan ketidakselesaan.  Kami kembali ke CP 2 dalam jam 8.15 pagi.  Berehat sebentar sebelum meneruskan larian ke CP terakhir pada jam 8.45 pagi.  Kami lebih banyak berjalan.  Keadaan cuaca pada pagi itu pun telah beransur panas.  Sakit perut lagi.  Terpaksa cari tandas di premis bangunan kerajaan untuk menunaikan hajat.  Sangat tidak selesa.  Usai menunaikan hajat.  Kami meneruskan perjalanan kami.  Jarak hanya lebih kurang 10km sahaja, tetapi terasa lama sangat. Kumpulan dibelakang kami pun Berjaya memintas kami. Dalam jarak berbaki 4km saya mula memaksa diri dengan mengerah kudrat dan mental untuk berlari.  Di sini saya mula tarik adik saya.  Dia sendiri pun sudah mental sebenarnya.  Saya harap dia tarik saya, tetapi saya yang tarik dia.  Kepanasan matahari mula menyengat.  


Akhirnya pada jam 11 pagi kami Berjaya menamatkan cabaran larian 100km dan bergelar ULTRAMAN.  Jarak GPS 110km dengan masa 26jam +++..berbaki 4 jam lagi sebelum cut off 30 jam.  Alhamdulillah…saya sendiri tidak pernah menyangka untuk memasuki acara sebegini. Apa pun saya bangga dengan pencapaian diri sendiri kerana dalam usia 34 tahun sewaktu ramai kalangan rakan-rakan sebaya yang sama rajin berlari di zaman bergelar mahasiswa dan kadet, saya masih mampu meneruskan legasi larian yang saya cipta 12 tahun dahulu.  Peserta terpantas untuk 100km adalah 12jam.  Manakala bagi 100batu adalah 22jam.  Uncle Oliver Berjaya mencatat rekodnya tersendiri dengan jumlah larian hampir 200km walaupun tersesat.  Kami bergambar dengan otai legend.  Hebat benar stamina dia.  Belum tentu saya mampu mencapai tahap usia dan stamina sama seperti beliau.  Apa yang saya harapkan dan doakan saya sihat dan mampu membuat sesuatu yang bermanfaat jika diizinkan Allah untuk ke usia emas.  Inn Shaa Allah.  Benar kaki saya melecet, bahu saya melecet, kulit gelap (tinted) akibat terbakar dek kepanasan matahari, namun saya puas.  Saya hadiahkan penghargaan ini untuk kepuasan diri saya sendiri.  

Ianya bukan kerana cepat atau lambatnya kita tiba, tetapi persoalannya betapa kuatnya keazaman kita untuk menghabiskan cabaran berkenaan.    Jika panjang usia dan ada kemampuan, Inn Shaa ALLAH saya akan memasuki sekali cabaran ultra dengan persediaan yang lebih terancang.  Pengalaman ini sesuatu yang sangat berharga.  Hanya mereka yang pernah melaluinya sahaja tahu betapa bermakna gelaran ULTRAMAN……Alhamdulillah, terima kasih ALLAH….

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca