Penguatkuasaan Akta antara ketegasan dan sekadar ada

Penguatkuasaan terhadap sesuatu Akta bukanlah sesuatu yang mudah.  Program kitar semula telah lama dirancang dan dilaksanakan.  Ianya dilaksanakan secara sukarela.  Apabila dilaksanakan secara sukarela maka impaknya ternyata kurang.  Data yang dikeluarkan oleh KPKT, hanya 11-12 % sahaja item yang dikitar semula, selebihnya dilonggokan ke tapak pelupusan sampah.  Keadaan ini mengakibatkan kos bagi penyelenggaraan tapak pelupusan/sanitasi semakin meningkat.  Selain dari itu penambahan bebanan bahan pelupusan akan memendekkan jangka hayat tapak berkenaan.  Keadaan memaksa pihak kerajaan perlu mencari tapak pelupusan baru dan ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana tapak yang bersesuaian perlu lebih jauh dari kawasan penempatan selain peningkatan kos operasi. 


Tong Kitar Semula

Jadi pelaksanaan pengasingan bahan buangan dari punca adalah sesuatu yang sangat tepat walapun kita sememangnya lewat dari negara-negara maju yang lebih awal mempraktikal amalan sebegini.  Pelaksanaan secara sukarela ataupun percubaan telahpun dibuat lebih awal lagi.  Walapun pelbagai kempen dilaksanakan, namun harapan yang diharapkan adalah kurang memuaskan. Pelbagai alasan diberikan oleh masyarakat terhadap program ini.  Ini semua masalah mentality dan sikap orang kita yang mengambil mudah dengan hanya menyumbatkan semua ke dalam karung sampah tanpa perlu bersusah payah untuk mengasingkan bahan yang boleh dikitarkan semula.  Ketiadaan masa, penambahan kos kerana perlu menyediakan tong sampah tambahan, ketidakbersediaan semuanya adalah alasan klise atau lapuk yang sukar diterima akal.

Begitu halnya juga dengan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang terkandung didalam Akta Makanan 1983.  Peraturan ini menekankan peri pentingnya amalan perlindungan terhadap makanan, pengendali dan persekitaran premis penyediaan dan pemprosesan makanan agar selamat dan sihat untuk dimakan.  Sungguhpun diwartakan pada 2009 namun penguatkuasaan sebenarnya dilaksanakan pada Januari 2014.  Sepanjang tempoh berkenaan pendidikan kesihatan dan educational impunity (pengajaran tanpa dikenakan tindakan hukuman) telahpun dilaksanakan oleh anggota kesihatan dari Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dari Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Seperti biasa impak yang diharapkan pun masih lagi kurang.  Kepada mana-mana pengusaha besar dan mempunyai pelbagai cawangan yang telah mendapat pengiktirafan atau pensijilan GMP atau Halal samada diperolehi menerusi swasta atau antarabangsa ianya tidak menjadi masalah buat mereka untuk mematuhi Peraturan tersebut kerana mereka mempunyai piawaian atau standard higen yang tinggi perlu dipatuhi.  Tetapi yang masalahnya adalah peniaga berskala kecil seperti pengusaha restoren, caterer, warung, gerai dan penjaja (static atau berkenderaan) yang agak culas dan sukar untuk mematuhi sebahagian besar Peraturan ini.  Tambahan pula ramai pula pengguna yang memilik premis sebegini untuk mendapatkan makan kerana murah berbanding dengan restoren besar kebiasaan harga yang ditawarkan lebih mahal. 

Sebenarnya sukar untuk melakukan perubahan minda dan memupuk kesedaran para peniaga dan masyarakat.  Mereka telah terbiasa dengan kebiasaan yang salah.  Apabila ditegur dan disuruh mengubah kebiasaan yang salah kepada yang betul maka timbullah pelbagai penentangan dan pengingkaran.  Bagi mereka selama mereka berniaga tiada seorangpun pelanggan mereka mengadu mengalami masalah apabila menikmati makanan dipremis mereka.  Inilah masalah dan cabaran yang seringkali dihadapi oleh anggota penguatkuasa.  Jika terlalu berlembut, ramai pula yang sekadar ambil ringan berkenaan dengan teguran yang dibuat.  Jika berkeras pula akan ada pula yang akan masuk kes polis.  Serba salah dibuatnya. 


Untuk menjadi bangsa yang berperadaban dan bertamadun, minda perlu dianjakkan.  Anjakan paradigma perlu dilakukan kerana dalam masa kurang dari 5 tahun kita bakal memasuki kumpulan negara berpendapatan tinggi.  Salah satu pra syarat untuk bergelar negara maju atau dunia pertama.  Jika ini pun masih sukar untuk diubah tiada maknanya secara fizikal kita maju, tetapi dari segi sikap kita tetap kekal sebagai negara miskin dan tidak mencapai tahap ketamadunan atau peradaban yang diharapkan.  Apa gunanya makanan yang disediakan tetap kekal dengan amalan dan persekitaran yang kurang higen, yang mencerminkan ketidakselamatan dan ketidakbersihan serta pembaziran sumber dengan tidak melaksanakan amalan pengitaran semula yang cekap dan bersepadu.  Semua indicator ini merujuk kepada ketersediaan kita untuk memasuki ambang negara maju.  Ketidakpatuhan terhadap petunjuk ini merupakan satu kegagalan kita untuk merancang minda dan kesedaran masyarakat kita.  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca