Berjiwakah Bahasa Melayu Dalam Jiwa Bangsanya Sendiri?

Bulan Oktober yang disinonimkan dengan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dengan mengekalkan tema 1 Negara 1 Bangsa dan 1 Bahasa telah pun berakhir. Namun agenda perjuangan pemartabatan Bahasa Melayu (BM) tidak pernah berakhir. Ianya satu usaha yang berterusan selagi BM belum didaulatkan dengan semutlaknya di bumi kelahirannya sendiri. Iklan berkenaan pemartabatan BM yang mana dalam satu masyuarat yang dipengerusikan oleh majikannya berbangsa Melayu, dihadiri oleh pekerja berbangsa Melayu, Cina dan India. Majikannya bertanyakan berkenaan status projek dalam bahasa inggeris, namun pertanyaannya dibalas dengan BM oleh pekerja berbangsa Melayu dan Cina. Mungkin disebabkan merasa malu beliau menukarkan kepada BM apabila bertanyakan soalan yang sama kepada pekerja beliau berbangsa India. Indah sungguh situasi sebegini apabila digambarkan dalam dunia pekerjaan.

Namun realiti dan hakikatnya, BM dalam mana-mana mesyuarat sama ada bagi penjawat awam apatah lagi swasta, hampir tidak pernah diadakan sepenuhnya dalam BM. Setiap pertanyaan mahupun jawapan akan dikemukakan dalam bahasa inggeris ataupun dirojakkan. BM hampir tidak pernah mengecap makna kemerdekaan di sektor swasta. Sebagai penjawat awam yang sepatutnya menjadi contoh dalam berbahasa kebangsaan tidak menunjukkan teladan yang sepatutnya kepada pelanggan mereka. Bagi pegawai atasan kerajaan, mereka sendiri lebih selesa berbahasa sekerat ular sekerat belut. Jadi di manakah rasa kesedaran diri mereka sebagai individu yang merasakan ketanggungjawaban dalam menggunakan BM? Ini yang sedihnya. BBK yang diadakan saban tahun sekadar menjadi acara tahunan atau ritual yang tidak lebih bagi menunjukkan simbolik terhadap BM tetapi ia tidak langsung membekas dalam jiwa kebanyakkan pengurusan atasan kerajaan ataupun golongan elit politik. Mereka sekadar mengungkapkan BM adalah bahasa perpaduan (ungkapan retorik yang entah berapa kali diucapkan), tetapi tidak bersungguh untuk meletakkan darjat tertinggi BM dalam bidang keilmuan tinggi di IPTA dan IPTS, penyelidikan yang berimpak tinggi, perekonomian (baik dalam mana-mana gerakan transformasi), perdagangan dan perundangan. Mereka sekadar beretorik.

Begitu halnya dalam penulisan laporan contohnya laporan penilaian alam sekitar ataupun laporan berkaitan kesihatan pekerja yang dihantar ke pihak kerajaan dari pihak swasta atau GLC hampir semuanya menulis dalam bahasa inggeris. Jika adapun penggunaan BM hanyalah pada tajuk ataupun ringkasan eksekutif atau abstrak, selebihnya dalam bahasa inggeris. Tiada undang-undang yang mewajibkan penulisan laporan di dalam BM untuk dihantar kepada Kerajaan, yang ada cuma garis panduan penulisan laporan sama ada untuk menulis dalam BM ataupun BI. Tetapi sedia dimaklumi penggunaan BI begitu mendominasi walaupun tanpa arahan rasmi dan ia telah menjadi semacam ‘mazhab wajib’ yang tidak rasmi dan diwarisi. Persepsi bahawa BM tidak layak menjadi wahana komunikasi dan penulisan dalam apa jua urusan telah dituruti tanpa bantahan dan secara tidak rasminya mazhab BI menjadi sesuatu yang wajib dianuti oleh semua pihak swasta dan GLC. BI secara tidak langsung diperkuasakan, diberi martabatnya yang tertinggi oleh semua pihak pengurusan swasta dengan alasan kononnya untuk memudahkan urusan dengan pihak antarabangsa. Ironinya walaupun selalunya mereka berurusan dengan orang tempatan tetapi hanya BI juga yang terpakai. Hairan bin ajaib.

DBP dibawah Ketua Pengarah yang baru Prof Awang Sariyan telah membentuk satu pasukan audit BM bagi melihat penggunaan BM di semua kementerian di sektor Kerajaan. Audit yang dilakukan bagi melihat sejauh mana BM aras tinggi atau standard digunakan dalam semua minit mesyuarat, mesyuarat, laporan tahunan atau apa jua laporan, komunikasi, pengiklanan atau hebahan samada secara elektronik mahupun cetak. Ia satu usaha yang murni dan sekurang-kurangnya kita boleh melihat kementerian mana yang benar-benar memartabatkan penggunaan BM. Penarafan mungkin boleh dibuat dalam gred A sehingga D dan diwar-warkan. Bukan tujuan kita menjatuhkan air muka sesuatu peneraju kementerian tetapi ia sebagai satu pengajaran supaya melebihkan usaha untuk meletakkan BM ditempat yang sepatutnya. Keadilan sepatutnya berlaku kepada BM kita. Ini perlu dilakukan bagi manifestasi keseriusan pihal DBP dalam menguatkuasakan BM. Adalah tidak adil jika audit bahasa ini dilakukan di kementerian sahaja, sewajarnya ia perlu diperluaskan ke sektor swasta khasnya GLC seperti Khazanah, PNB, PETRONAS, Felda, TNB, Telekom, UDA, MAB, Sime Darby dan lain serta juga syarikat tempatan yang dipunyai oleh bumi atau bukan bumi bertaraf konglemerat seperti Air Asia, Kencana Sapura, KPJ, Berjaya, Genting dan lain-lain. Realitinya pembudayaan berbahasa Melayu hampir tiada dalam dunia swasta. Jika dilihat taraf BM sangat menyedihkan dan diketepikan sama sekali, jika boleh diberi penarafan berkemungkinan D ke bawah, maknanya BM gagal sama sekali dimartabatkan.

Tiada siapa pun menafikan kepentingan berbahasa asing, bukan sahaja bahasa inggeris malahan kuasailah apa jua bahasa bangsa maju sama ada Jepun, Korea, Jerman, Perancis, kerana setiap bangsa mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Cuma apa yang kita mahukan adalah keadilan terhadap BM itu sendiri. Letakkan ditempat yang sepatutnya, dahulukan kepentingan penggunaannya berbanding bahasa lain, muliakan ia dengan melebihkan penggunaannya dari bahasa lain. Kita tidak mahu ucapan retorik pemimpin dengan bahasa yang berbunga yang mengatakan bahawa BM adalah bahasa perpaduan dan telah berjaya dimartabatkan dalam Fasal 152, tetapi yang diperlukan adalah tindakan tegas untuk merealitikannya dalam semua sektor tanpa pengecualian. Kita tidak mahu pendekatan cakap tidak serupa bikin. Moga BBK yang diadakan saban tahun tidak sekadar simbolik yang dipenuhi dengan seminar, pidato, pantun, deklamasi sajak atau syair, tetapi perlu lebih kepada apa hasil yang telah dicapai. Sebagai cadangan hasil dari audit perlu diwar-warkan pengiktirafan dimedia eletronik mahupun cetak bahawa IPTA, IPTS, Kementerian, GLC atau Konglemerat atau syarikat multinasional mana yang benar-benar memartabatkan penggunaan BM sepenuhnya. Pengiktirafan juga wajar diberi kepada NGO atau individu mana berusaha memartabatkan BM. Semua ini perlu dilangsungkan secara langsung dalam semua media elektronik. Pihak Kerajaan seharusnya serius dalam usaha ini.

Kesejagatan (globalisasi) dijadikan alasan untuk kita meniru dan memastikan kebergantungan kita kepada konglemerat Barat dan negara maju. Teknologi import tanpa sebarang pembaharuan dan pinjaman modal asing akan hanya menjadikan negara bergantung kepada Barat dalam hubungan penjajahan berbentuk kolonial baru. Pendidikan yang kita terima menerusi sistem pendidikan kita yang mengikut tafsiran Barat yang mengandaikan hanya berlaku resapan ilmu hanya akan melahirkan individu pengagum Barat dan memperpanjangkan agenda Barat dalam bahasa penjajah.


Tiada gunanya kita maju, tetapi acuan pembentukkan kemajuan adalah berasaskan acuan yang dipinjam dari luar atau Barat tanpa penyesuaian. Tiada gunanya mendabik dada mengatakan maju, tetapi maju dengan bahasa asing, pada masa yang sama BM diketepikan baik dalam sains dan teknologi, pendidikan dan pekerjaan. tiada gunanya menjadi maju tetapi minda, jiwa dan lidah kita dijajah sepenuhnya oleh bahasa asing dan budaya asing. Tiada gunanya mendakwa sebagai bangsa Malaysia yang maju, tetapi bercakap sepenuhnya dalam bahasa penjajah ataupun sekerat ular sekerat belut.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca