Surat terbuka kepada Imigresen

Apakah Rasionaliti pengambilan 1.5 juta warga bangla bagi keperluan buruh negara? Tidak cukup lagikah jumlah buruh asing seramai 7 juta termasuk yang berstatus haram? Apa signifikannya kepada keperluan negara yang pada masa yang sama telah mencapai tahap ketepuan tenaga buruh asing? Tidakkah sesiapa dikalangan kita termasuk pembuat dasar dan pihak yang berkaitan dengan penguatkuasa imigran belajar sesuatu akibat dari kemasukan warga asing dalam skala yang besar? Kemasukan imigran dari Tanah Besar China dan Selatan Benua India dalam jumlah yang besar demi menggerak ekonomi kapitalis penjajah telah mengubah landskap soaiobudaya Tanah Melayu.  

Akhirnya imigran ini rata-ratanya membina empayar kekayaan dalam ekonomi negara dan juga golongan profesional yang berjaya.  Kita sebagai bangsa asal tetap kekal dibawah mereka.  Apakah kita perlu mengulanginya semula episod sebegini?  Kita telah dibebani dengan kudis akibat dari kemasukan sejumlah besar warga asing demi mengerakkan momentum pembangunan bagi mencapai taraf negara maju menjelang fajar 2020.  Kita tidak mahu lagi merisikokan kudis pada luka yang bakal bernanah seterusnya membusuk sehingga terpaksa dilakukan autopsi dengan menambah lagi kemasukan warga asing.  Cukup, cukup, cukup.  Kita sudah sedia terbeban dengan permasalahan yang dicetuskan oleh golongan ini.  Jangan ditambah lagi.  


Apakah negara kita terlalu kekurangan tenaga buruh murah atau peringkat sokongan untuk melakukan kerja-kerja perburuhan peringkat rendah sehinggakan terpaksa mengimport tenaga buruh asing?  Apakah tiada lagi rakyat kita yang berpendidikan rendah yang malu atau malas hendak berpekerjaankan 3D-(Dirty, Dangerous & Dusty)? Secara matematiknya dalam satu kohort seramai 500 ribu orang kanak-kanak akan memasuki persekolahan dan yang hanya akan melanjutkan pelajaran ke peringkat sekurang-kurangnya diploma sekitar 50-100 ribu orang sahaja atau 10%-20% sahaja.  80% lagi di mana? Mereka inilah yang sepatutnya mengisi kekosongan kerja pemburuhan rendah tetapi fungsinya kini diambil alih oleh warga asing. Apakah mereka terlalu malu atau malas hendak berpekerjaan sebegini? Rata-rata generasi kini tidak memiliki jiwa dan semangat patriot yang kuat.  Mereka tiada ketahanan untuk berkerja di tengah panas dan berat.  Mereka dimanjakan dengan aplikasi mudah alih dan hidup dalam suasana yang senang-lenang tanpa rasa keterdesakan hidup. 


Hampir semua kerja bertaraf bawahan dikuasai oleh warga asing. Hatta termasuk kerja-kerja di sektor perhotelan yang berhawa dingin.  Hanya beberapa sektor sahaja diperuntukkan untuk warga asing seprti pembinaan, perladangan, perindustrian.  Itu pun bukannya pengisian yang total.  Namun realitinya hampir semua kerja-kerja yang tidak memerlukan otak untuk menulis atau berfikir diboloti oleh mereka. Kebergantungan kita terhadap warga asing telah mencapai ke tahap melampau.  Negara kita mengalami ketepuan atau saturasi tenaga kerja warga asing.  Namun ada juga keputusan yang dibuat oleh kabinet untuk menambah 1.5 juta perkerja Bangla demi memenuhi  tuntutan industri. Kegilaan apakah ini? Menurut akhbar ada 2 juta pekerja asing yang ghaib iaitu tidak melapor atau melarikan diri dari sektor pembinaan. Ini yang dilapor, yang tidak dilapor berapa jumlahnya.  Kita tidak menafikan sumbangan mereka kepada negara tetapi apakah jumlah yang sebegini banyak diperlukan oleh negara kita?  Ada sesuatu yang tidak kena dengan kemasukkan sejumlah besar warga asing. 


Pemandangan yang sama seringkali berulang setiap saban tahun apabila pada musim cuti perayaan kawasan ikonik seperti KLCC, Jalan Silang, Jalan Petaling dan Pudu akan berubah wajah dengan kehadiran kumpulan besar warga asing yang mengambil kesempatan untuk bercuti.  Kehadiran sejumlah warga asing ini sedikit sebanyak memberikan kerimasan dan gangguan kepada warga tempatan yang turut bercuti di kawasan berkenaan.  Pelancong asing yang turut berada dikawasan berkenaan pun merasa keliru sama ada ini Malaysia atau mereka sedang berada di Jakartakah, Yangoonkah, Hanoikah, Dhakakah atau Kathmandukah.  Pihak berkuasa dengan kerjasama pelbagai agensi lain yang berkait perlu melakukan pemantauan dan jika perlu dilakukan tindakan penguatkuasaan lakukan sahaja.  Tahan mereka yang tiada dokumen yang lengkap. Apa gunanya mempunyai kemudahan awam yang bertaraf dunia tetapi semua digunakan oleh golongan ini.  Kemudahan kesihatan milik kerajaan turut dimanfaatkan oleh golongan ini.  Sepatutnya warga kita yang memanfaatnya, tetapi siapa yg memanfaatnya?  


Pihak berkuasa yang diberikan amanah dan tanggungjawab oleh Kerajaan perlulah proaktif dan bertegas.  Kerapkali diadakan operasi dan serbuan ke atas penempatan dan koloni golongan ini, namun apakah hasil penangkapan menggambarkan jumlah populasi sebenar mereka?  Yang ditangkap tidak seramai yang masih lagi bebas berkeliaran di negara kita.  Mereka melakukan apa sahaja kesempatan yang terdapat dihadapan mata demi meraih keuntungan.  Contohilah cara negara jiran atau maju dalam menangani masalah pendatang ini.  Mereka tidak pernah memberi muka kepada golongan ini.  Samada tindakan itu keras atau tidak, legal atau tidak legal namun ianya sedikit sebanyak memberikan pengajaran dan penyesalan kepada warga asing.  Jumlah warga asing seramai 6 juta atau lebih adalah bom jangka yang hanya menunggu masa untuk meledak jika tidak ditangani dengan sewajarnya. Dengan jumlah yang ada sebegini pun kita dibebankan dengan pelbagai permasalahan dari segi sosial, sosiobudaya, kesihatan, kebersihan, keselamatan, keamanan, ekonomi dan juga kepercayaan.  

Kita sudah tidak mampu lagi untuk berhadapan dengan senario sebegini jika keadaan seperti sedia ada masih lagi diteruskan tanpa adanya tindakan tegas oleh pihak berkuasa dan pemerintah dalam membenteras pihak-pihak berkepentingan yang mengambil keuntungan ke atas kehadiran warga asing ini.  Seperti yang dikatakan oleh Datuk Sri Dr Rasi Yatim, dedalu hidup, pokok pun mati.  Dedalu yang dimaksudkan adalah warga asing dan pokok adalah warga tempatan.  Bertindaklah dengan segera dan jangan bertangguh.  Kita tidak mewariskan negara ini, sebaliknya meminjamkan kepada generasi hadapan.  Jika apa yang dipinjamkan kepada generasi hadapan adalah negara yang cacamarba bersedialah kita untuk disumpah seranah oleh mereka.  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca