Aktif dan Sihat di Tahun 2015
Setiap
larian punya cabaran dan keseronokkannya tersendiri. Tidak tahu berapa liter peluh saya tertumpah
di sepanjang trek larian dan secara anggarannya saya berhabisan lebih kurang
RM1500 untuk membayar yuran larian.
Paling murah adalah RM5 iaitu larian Selangor Fun Run Plus dan paling
mahal adalah Putrajaya 100miles, RM200.
Secara puratanya setiap satu larian bayarannya adalah RM70++. Mahal sebenarnya. Akan tetapi walaupun mahal, sambutannya
adalah diluar dugaan, menunjukkan peserta tidak kisah untuk membayarnya asalkan
mereka berpuas hati mendapat medal dan baju acara yang cantik.
Sepanjang
tahun 2015 sebanyak 21 acara larian yang saya sertai secara rasmi. Rasminya di sini bermaksud berdaftar dan
berlari. Tahun lepas larian pembukaan
adalah Larian MPI yang telah diadakan pada 11 Januari dengan jarak 10km
berlangsung di Padang Merbok KL dan diakhiri iaitu larian penutup, Newton
Challenge sejauh 30km pada 20 Disember bertempat di Giant Kinrara Puchong. Dalam pada itu kumulatif jarak larian adalah
393km dengan jarak terdekat adalah 5km bagi acara Larian Selangor Fun Run Plus
yang diadakan pada 1 Februari di PKNS Shah Alam. Manakala jarak terjauh adalah 100km bagi
acara Putrajaya 100miles pada 28&29 November di Putrajaya.
Larian
bukit yang saya sertai adalah King Of Bukit Larut, Taiping yang diadakan pada
26 April dengan jarak 26km (13km pendakian, 45o dan 13km menurun). Bagi saya larian ini begitu mencabar. Larian trail atau off road adalah CEC pada
24 Januari sejauh 16km dan Maeps Trail pada 26 Julai (selepas raya)
masing-masing di MAEPS dan Forest Trail di Taman Botani Kepong dengan jarak
16km pada 12 Disenber. Bagi larian
berhalangan yang saya sertai adalah CEC pada 24 Januari dengan jarak 16km dan
di km terakhir perlu melepasi 14 halangan.
Seterusnya acara Spartan Race 6km + 20 halangan + bebanan yang diadakan
di litar Setia Alam pada 10 Oktober sempena Bulan Sukan Negara yang membabitkan
penyertaan KJ selaku Menteri KBS dan acara CEC yang diadakan di Bukit Expo UPM
13 Disember dengan jarak 6km dan 15 halangan.
Tahun
lepas juga menyebabkan banyak acara larian yang terpaksa dibatal dan ditunda
gara-gara jerubu melanda pada bulan Ogos-Oktober. Antara yang dibatalkan adalah SCKLM. Saya Cuma membuat larian penghormatan sejauh
10km sebelum mengambil medal dan baju penamat.
2 acara lagi yang sepatutnya berlangsung pada September adalah CEC dan
Ultra Bukit Chenta UM tetapi ditunda ke November, lalu memaksa saya membuat
Back to Back 12 & 13 November dengan berlari Ultra Bukit Chenta pada malam
12 November dengan jarak min 25km untuk mendapat medal dan keesokan paginya 13
November di Bukit Expo UPM untuk acara CEC.
Ada
juga acara yang langsung tidak dapat saya sertai iaitu KL Towerthon pada 17
Mei, gara-gara demam teruk yang memaksa saya memberikan bib larian kepada adik
saya. Larian yang mencabar buat saya
adalah King Of Bukit Larut, Spartan dan Putrajaya 100miles. Bagi saya ianya begitu menguji kekuatan
mental dan fizikal saya. Bayangkan
mendaki 13km dengan kecerunan antara 30o dan 45o, berlari
selama 22jam dalam keadaan cuaca panas di Putrajaya dan merentas halangan,
lumpur dan mengangkat bebanan dalam keadaan demam. Namun saya lakukan dengan kudrat yang
semampunya. Alhamdulilah semuanya saya
lalui tanpa mengalami kecederaan.
Walaupun begitu ada juga larian yang menyeronokkan dan santai iaitu
Selangor Fun Run 1 Februari dan Milo Breakfast Day 10 Mei dengan jarak
masing-masing 5km dan 7km. Saya menolak
stroller membawa anak sulung saya, Araf.
Larian ini sebenarnya mewah dengan makanan dan minuman. Santai tidaklah santai, masa yang saya
catatkan agak laju juga sebenarnya. Masa
terpantas adalah 24 min untuk jarak 5km bagi acara Selangor Fun Run dan paling
lama 22jam 42min bagi acara Putrajaya 100miles.
Keseluruhannya
masa yang saya habiskan atas jalan raya adalah 3565 minit atau 59 jam 42min
atau 2 hari 8 jam. Itulah serba sedikit
analisa saya sepanjang beracara dalam tahun 2015. Bagi tahun 2016 saya mungkin akan
mengurangkan hampir separuh larian saya.
Dalam sebulan dua kali saya akan berlari, satu yang rasmi dan satu lagi
bersama anak-anak. Larian bersama
anak-anak ini samada saya berdaftar secara rasmi atau tidak itu
terpulanglah. Penting buat saya, saya
Cuma berlari santai dalam jarak antara 3-5km.
Ini sebenarnya lebih untuk membawa anak-anak berjalan sahaja. Saya akan menggunakan stroller atau baby
carrier buat mereka. Tidak
mengapalah. Apabila mereka sudah
berkemampuan untuk berlari saya akan mendaftar atas nama saya tetapi berlari
bersama mereka nanti. Inn Shaa
Allah.
Saya
sudah puas berlari. Jadi untuk masa ini,
biarlah sebahagian dari larian ini saya berlari bersama anak-anak dan isteri
dalam jarak yang dekat dahulu sebagai mengambil mood mereka dahulu. Inilah cara pada perkiraan saya untuk
menggalakan dan mendedahkan mereka pada peringkat awal sebelum mereka mempunyai
minat tersendiri dalam dunia larian.
Saya harap mereka akan mewarisi sedikit dari minat saya. DNA saya ada pada DNA mereka.
Ulasan
Catat Ulasan