59 Kemerdekaan : Merdekakah kita....
Semalam Rabu, 31 Ogos 2016 negaraku meraikan Hari
Kemerdekaan atau Kebangsaan atau Merdeka yang ke-59. Benar banyak kemajuan yang telah kita kecapi
selama hampir 6 dekad baik dari segi pembangunan fizikal, peningkatan material
dan status. Namun ada lagi dari
sebahagian sektor masih lagi dibelenggu dengan legasi penjajah iaitu bahasa dan
stigma. Seolah-olah tanpa menggunakan
pengaruh kekuatan tersebut kita tidak akan maju. Itulah simbol penjajahan lampau yang masih
dikekalkan malahan diperkasakan, ditransformasikan, diberikan pengwajahan baru
dan diindoktrinasikan dalam minda dan jiwa menerusi pendidikan bahawa tanpa
penggantungan dari bahasa bekas penjajah kita tidak akan maju…
Selalunya juga diterapkan dalam sejarah kita bahawa
penjajahan Jepun yang dilakukan oleh Imperial
Army selama hampir 4 tahun bermula Dis 1941 sehingga Ogos 1945 digambarkan
sebagai era penuh kekejaman dan kesengsaraan bagi penduduk Tanah Melayu (TM). Ramai yang dibunuh, dirogol dan dikerah
menjadi buruh paksa oleh tentera Jepun.
Tindakan gopoh dan melulu dan penuh dengan pemaksaan selain tidak
menghormati Sultan dan agama Islam serta adat menyebabkan ramai dari penduduk TM
bangkit melakukan penentangan secara bersenjata bagi melawan tentera
Jepun. Itulah kemusnahan dalam gambaran
sejarah yang kerapkali diceritakan secara lisan dan didokumenkan dalam lembaran
sejarah. Namun kita seolah-olah
melupakan bahawa penjajahan yang dilakukan oleh Inggeris selama lebih 170 tahun bermula dengan pendudukan oleh Kapten Francis Light di Pulau Pinang
bermula pada 1780an sehingga 1957 adalah penjajahan total yang mengubah seluruh
struktur TM.
Berbeza pula dengan Inggeris yang mengambil pendekatan
berhemah dengan pelbagai bentuk perjanjian yang lebih banyak menguntungkan
Empayar mereka di Timur yang lebih dikenali sebagai Kompeni Hindia Timur. Mereka menguasai dengan baik bahasa tempatan
dan menulis pelbagai perjanjian dengan Sultan untuk memonopoli perdagangan
rempah dan juga hasil galian iaitu timah.
Mereka menjaga hubungan yang baik dengan Sultan dan kaum bangsawan yang
lain dengan memberikan pelbagai imbuhan (rasuah) agar tidak masalah dikemudian
hari. Sultan dan kaum bangsawan ini akan
menjadi jurucakap kepada rakyat tempatan bagi pihak Inggeris bagi melunakan
sebarang ketegangan. Selain dari itu penjajah
juga bertindak bijak dengan tidak mengganggu agama Islam dan adat bangsa Melayu. Ini juga merupakan pendekatan terbaik agar
tidak timbul pemberontakan rakyat tempatan.
Secara psikologinya Inggeris berjaya menjajah secara senyap menerusi
tindakan bijak yang penuh muslihat yang banyak tidak disedari oleh kalangan
aristokrat dan juga rakyat tempatan.
Namun ada juga yang menyedari perbuatan Inggeris yang
memonopoli dan membawa masuk imigran luar khasnya dari Tanah Besar China dan
Benua Selatan iaitu India. Golongan ini
terdiri dari Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Sagor, Tok Janggut, Abdul Rahman
Limbong, Rentap, Mat Saleh, Dol Said dan lain-lain pahlawan melayu ini
melakukan tindakan bersenjata bagi menghalau Inggeris. Ramai yang terbunuh, dibuang negeri, dihukum
bunuh dan dicabuli hak oleh Inggeris. Golongan
diwajahhitamkan sebagai penentang terhadap pihak Imperialis.
Jika dibandingkan dengan kemusnahan yang dilakukan oleh
Jepun selama hampir 4 tahun, penjajahan Inggeris yang memakan masa lebih 150 tahun
lebih besar impak kemusnahannya. Mereka bukan
sahaja membolot sebahagian besar khazanah bumi Tanah Melayu, mereka juga
menjarah sebahagian besar khazanah persuratan melayu yang sarat dengan ilmu maritim,
perhukuman, astrologi, perdukunan atau tabib, persenjataan yang dibawa keluar
ke negara mereka, mereka juga mengubah demografi sosial dengan membawa beban
kemasukan imigran asing untuk menggerakan ekonomi kolonial mereka. Selain dari itu sistem pentadbiran dan ekonomi
juga diperkenalkan dengan melatih anak watan yang terdiri dari kalangan
bangsawan ini dengan bahasa pendidikan dari negara mereka agar boleh menjawat
jawatan yang tidak lebih tinggi dari penjajah.
Dari segi non fizikal pula mereka berjaya menerapkan dalam jiwa dan
mentaliti penduduk tempatan dengan keagungan atau supremersi bangsa Anglo. Tanpa kebergantungan kepada bahasa mereka
atau pengaruh mereka, bangsa yang dijajah tidak akan maju. Inilah legasi yang paling berjaya diterapkan
oleh mereka dalam sejarah penjajahan.
Seringkali kita membandingkan tahap kemusnahan atau kerosakan
yang dilakukan oleh pelbagai bangsa penjajah tetapi kita lupa bahawa kemusnahan
yang dilakukan oleh Inggerislah paling ketara.
Sungguhpun mereka melakukan secara berperingkat secara berhemah dan
berbudiman dengan pelbagai bentuk perundingan dan perjanjian dengan golongan
pemerintah tempatan, mereka penjajah ‘makan semua’ atau menguasai secara mutlak
hasil bumi dan pada masa yang sama membayarkan pampasan atau pencen kepada
pihak penguasa tempatan agar ‘tutup mulut’.
Apalah sangatnya nilai saguhati atau pampasan yang diperolehi jika
dibandingkan dengan keuntungan yang dilihat ratusan kali ganda tinggi bagi
mengayakan ekonomi pihak Imperlialis. Kemusnahan
dari segi hasil bumi, kemusnahan dari segi strata sosial, kemusnahan dari segi
bahasa dan budaya dan yang paling ketara adalah kemusnahan dari segi jiwa dan mentaliti
rakyat itu sendiri.
Sebaik sahaja kita mencapai kemerdekaan 59 tahun, apa
yang tinggal pada kita hanyalah kerosakan yang telah diwajahkan oleh penjajah
kepada kita. Kita yang terpaksa
membersihkan ‘najis’ yang ditinggalkan oleh mereka dengan pelbagai beban sosial
khususnya dari puak imigran yang secara tiba-tiba menjadi bangsa TM secara jus
soli, pegangan ekonomi warga Melayu yang hampir 0, kemiskinan dan kemelaratan
bangsa Melayu, pembahagian kekayaan
sosial yang tidak rata, keganasan komunis yang bermaharajalela. Semuanya ini perlu dilakukan oleh anak bangsa
tempatan itu sendiri akibat dari syarat-syarat yang digariskan menerusi
perundingan kemerdekaan dengan pihak penjajah di negara penjajah. Penjajah langsung cuci tangan dan tidak
bertanggungjawab terhadap sebarang permasalahan yang mereka cetuskan.
Amatlah mustahil buat penjajah untuk melepaskan secara
bebas tanpa berbuat apa-apa yang boleh menguntungkan mereka. Jadi dalam sesetengah fasal dinyatakan secara
tersirat akan agenda halus mereka. Yang menghadiri
ke perundingan berkenaan pun adalah dari golongan pemimpin melayu yang mendapat
pendidikan penuh dari bangsa penjajah itu sendiri. Ironi sekali. Biarpun berbekalkan semangat
nasionalisme dan patriotisme untuk memerdekakan negara dari penjajah, namun
secara bersyaratnya penjajah masih lagi dibenarkan untuk beroperasi dalam
tempoh tertentu sebagai tempoh peralihan kononnya untuk membolehkan anak
tempatan menguasai secara berperingkat. Maksudnya
perundingan secara budiman ini lebih menguntungkan penjajah walaupun kelihatan
penjajah akan mengosongkan segala jawatan mereka dalam tempoh tersebut. Mereka menyematkan minda dan jiwa golongan
yang bakal mengambil alih tempat mereka dengan pelbagai doktrin yang
menguntungkan penjajah itu sendiri.
Kita amat berbangga kononnya kemerdekaan kita diperolehi
dengan cara perundingan berbanding dengan negara-negara yang mencapai kemerdekaan
dengan revolusi berdarah. Hakikatnya kita
begitu berlembut dengan penjajah, kerana penjajah sendiri amat memahami
psikologi melayu yang lembut dan boleh bersetuju dengan syarat-syarat yang
mempunyai maksud tersirat. Tambahan pula
kalangan dari pemimpin bangsa tempatan sendiri yang mendapat banyak manfaat
menerusi pendidikan yang dikurniakan dan juga peningkatan status sosial yang
diperolehi menyebabkan ada antara syarat diterima tanpa memikirkan implikasinya
pada masa hadapan. Kesannya kita telah
pun lihat sekarang. Kurangnya jatidiri
dan patriotisme dikalangan warga pasca kemerdekaan akibat dari sistem
pendidikan yang mengekalkan legasi vernakular, penggunaan bahasa yang berbeza
dalam sektor yang berbeza, polarisasi dengan maksud kemajmukan iaitu kelihatan
bersatu tetapi terasing, pengkastaan ekonomi dan sosial berdasarkan bahasa dan
kerentanan generasi kini dengan globalisasi tajaan imperial moden yang
menghakiskan nasionalisme mereka.
Kepelbagai isme tajaan blok Barat dan Imperialis tunggal
menyebakan perubahan kepada pemikiran sebahagian besar warga yang pernah
diduduki oleh penjajah. Bukannya semua
dari mereka ini mempunyai ketahanan dalaman yang kuat bagi mengekang rempuhan
buas isme tajaan asing. Mereka menerimanya
kerana ini adalah trend masakini dan akan kelihatan canggung, bodoh atau
ketinggalan jika tidak menerimanya.
Sebab itulah kekuatan dalaman yang ditunjangkan dengan
kekuatan pegangan agama, nilai-nilai bahasa dan budaya tempatan yang akan menjadi
benteng terkuat untuk menghalang penjajahan moden ini. Dalam dunia yang penuh kepelbagaian,
kerencaman dan keanekaragaman kita tidak boleh menafikan akan
keberadaannya. Kita wajar
menerimanya. Apa yang diperlukan adalah
penyaringan. Mana yang baik dari semua
itu kita terima untuk kemajuan dan mengekalkan identiti sebagai warga yang
merdeka. Contohilah mana-mana bangsa
maju. Mereka maju dalam pencapaian
fizikal dan juga bahasa serta budaya. Pencapaian
mereka diteladani. Mereka kekal sebagai
bangsa dan identiti mereka. Bukannya maju
dengan meminjam identiti orang lain lalu mendakwa dan bertempik bahawa kita
telah maju. Benar secara fizikalnya kita
maju, tetapi kita gadai maruah dan jatidiri bahasa, budaya dan agama kita hanya
kerana kemajuan yang tidak seberapa.
Bangsa penjajah tidak hairan atau takjub atau kagum
dengan kemajuan yang dicapai oleh kebanyakan bangsa yang pernah dijajah kerana kemajuan
yang mereka kecapi adalah dari ciplakan hasil mereka. Apa yang mereka risau atau berkira-kira
adalah kemajuan bahasa, budaya dan agama iaitu kemajuan non tangible yang tidak dapat ditembusi atau dijajah oleh
mereka. Autentisiti dari nilaian dalaman
ini yang terpelihara kukuh inilah yang menyukarkan buat penjajah untuk terus
mempengaruhi. Realitinya ramai yang
tenggelam dengan nilai-nilai yang diterapkan oleh Barat. Justeru dalam mendekati 6 dasarwasa atau
dekad kemerdekaan, kita masih tidak dapat lari dari bayang-bayang legasime penjajah. Semakin dekat kita dengan Wawasan kemajuan
negara semakin kuat pula kita memperkasakan isme-isme asing. Benar kita semakin maju dari segi material
namun dari segi jiwa kita semakin jauh dari nilai tempatan bangsa kita.
Ulasan
Catat Ulasan