Muslim Runners @ Subuh Worrior SCKLM edisi 2016
Sepanjang saya berlari, jarang dapat saya menikmati suasana
sebegini selepas pelepasan, acara larian yang diadakan sebelum solat Subuh. Kebiasaannya saya akan melihat khemah surau
sementara yang didirikan sebelum sesuatu acara diadakan. Jadi ramai yang boleh menunaikan solat dalam
keadaan yang boleh dikatakan selesa. Ada
juga surau sebegini tetapi hanya sekali sahaja dalam acara Bukit Jalil Marathon
(Brooks Half Marathon). Mujur ada disediakan
berkotak air mineral untuk berwuduk. Selepas
itu saya tidak tahu di mana surau sementara tersebut untuk edisi yang
berikutnya.
Dalam edisi SCKLM 2016 ini, tapak
surau sementara dan mobil yang disediakan oleh pihak penganjur berdekatan
dengan tol AKLEH dalam km 11 dan km 15. Kemudahan
mengambil wuduk juga disediakan. Tidak seperti
2 tahun sebelum ini, para pelari Muslim terpaksa berwuduk di pili air yang
terletak di kawasan tol. Belajar dari pengalaman terdahulu dan atas rasa
kebertanggungjawaban dan keprihatinan, pastinya ada suara-suara orang Muslim
yang mencadangkan agar disediakan kemudahan yang ditarafnaikan dan pihak
penganjur yang prihatin dengan keperluan pelari Muslim bersetuju. Sebenarnya urusan agama kita wajar diurus
sendiri oleh orang Islam sendiri. Jangan
diharapkan kepada orang bukan Islam, kerana itu tidak ada dalam pertimbangan
mereka. Jadi kita perlu memaklumkan
kepada mereka.
Setidak-tidaknya para pelari bukan Islam yang menguasai
85-90% dari jumlah keseluruhan 7000 peserta marathon penuh sedar akan kewajiban
pelari Muslim untuk menunaikan solat apabila tiba waktunya. Ini adalah disiplin yang wajib dikerjakan
oleh orang Muslim apabila tiba waktu yang diwajibkan bersolat. Mereka melihat kesatuan kita dalam solat yang
dilakukan.
Sebelum ini laluan full marathon ada melalui masjid
khususnya di laluan yang menghala ke Cheras.
Jadi ini memudahkan untuk pelari Muslim untuk menunaikan solat Subuh.
Ada masanya stesen minyak yang kecil tidak mempunyai fasiliti yang sempurna
untuk bersolat jadi ia menyukarkan kepada pelari yang terlajak laju. Begitu juga dengan WS yang langsung tidak
kelihatan ‘tanda-tanda membolehkan bersolat’.
Sebab pengalaman saya sendiri, pernah bertanya dengan sukarelawan yang
menjaga WS di mana arah kiblat. Mereka
tidak tahu, padahal mereka itu Melayu Islam.
dalam hati terdetik, takkan tidak bersembahyang. Jadi dalam serba kekurangan, gunakan air
mineral untuk berwuduk dan melihat arah kirmizi atau di mana cahaya pagi pertama
(menentukan arah Timur) bagi membolehkan di mana Barat sebagai petunjuk
Kiblat.
Sukarkan. Sebab
itu ada penganjur contohnya Larian Marathon Jambatan Sultan Mahmud Kuala
Terengganu dibuat pada jam 6.15 pagi untuk jarak 42km semata-mata untuk
membolehkan peserta Muslim bersolat (walaupun memang ada yang tidak bersolat),
semata-mata tidak mahu dilihat ‘menanggung dosa’. Pada hal pihak penganjur boleh sahaja
mengesyorkan laluan yang banyak kemudahan surau atau masjid. Anggaran boleh dibuat dengan
mengambilkira kepantasan larian dan
jarak yang difikirkan munasabah sama ada untuk para pelari tersebut bersolat di
surau atau di masjid atau didirikan kemudahan surau sementara di WS. Perkara boleh dibuat dan dirunding. Memanglah kita tidak boleh bertolak ansur
dengan perkara yang difardukan wajib, namun kita boleh memudahkan semua pihak
agar semua mendapat manfaat. Pelari dapat
bersolat apabila tiba waktunya dan penganjur pula tidak pula dikecam kerana
melambatkan acara.
Persoalan solat ini sebenarnya datang dari hati. Biarpun penganjur menyediakan pelbagai
kemudahan,tetapi jika tidak ada kesedaran untuk bersolat, mereka tetapi tidak
akan bersolat. Begitu juga dengan mereka
yang peka dan menjaga solatnya, walaupun tiada kemudahan surau yang disediakan
tetapi mereka tetap berusaha untuk mencari masjid atau surau atau stesen minyak
disepanjang laluan larian atau berhenti di mana-mana WS. Ini negara kita Malaysia. Jadi selagi pemimpinnya orang Melayu yang
punya kesedaran Islam yang tinggi selagi itulah kita boleh guna kelebihan
tersebut untuk mendakwa mana-mana pihak yang menghalang umat Islam dari tidak
menunaikan solat.
Siapa kata berlari sebelum Subuh tidak boleh menunaikan
solat. Mana-mana pelari Muslim sudah
membuktikan ia boleh ditunaikan apabila masuk waktunya. Mungkin dari segi prestasi pencapaian ia
terbantut kerana masa tersebut digunakan bersolat. Namun jika kita mendahulukan kepentingan
Allah lebih dari kepentingan makluknya (larian), nescaya Allah akan membantu
hambaNya untuk menang. Ini kepada mereka
yang benar-benar untuk bergelar juara.
Yang penting letakan kepercayaan sepenuh kepadaNya, keberkatannya akan
datang kemudian. Inn Shaa Allah, mereka
tetap boleh memenanginya walaupun kedengarannya agak mustahil kerana logiknya
apabila tertinggal jauh kebelakang, sukar untuk mengejarnya kembali. Semuanya itu tiada kemustahilan buat
Allah. JADI MAKA JADILAH IA.
Buat pemenang mereka mungkin mendapat habuannya di dunia
walaupun tidak bersolat. Setidak-tidaknya
mereka ada keuntungan. Berbanding kita
sudahlah tidak menaiki podium, solat pun tidak, bukankah kedua-duanya kita
rugi. Jadi adalah lebih baik kita mendapat
salah satu keuntungan, dan keuntungan yang wajar sekali adalah keuntungan
diakhirat. Jika tidak mampu menolak
kemudaratan yang kecil janganlah diundang kemudaratan yang besar.
Macam kami pelari bertaraf amatur ini tidak seberapa
kisah sangat. Tiada podium untuk
dikejar. Mungkin kepada yang mengejar PBnya,
prestasinya mungkin terjejas. Bagi kami
apa yang lebih penting dari kesihatan dan kecergasan, keberkatan itulah yang
dicari. Benar kita menginginkan
sanjungan di dunia, tetapi jangan lupa pula sanjungan di akhirat. Itu yang lebih kekal abadi. Mungkin ada sedikit kerugian, akan tetapi
jika kita mendahulukan kepentingan Allah, Allah akan membalas dengan
sebaik-baik balasan.
Terima kasih. Berguna sekali artikel ini.
BalasPadam