Kehidupan tidak pernah statik....
Kehidupan kita tidak pernah statik. Hanya orang mati sahaja yang statik. Kita yang masih berpeluang menjalani
kehidupan akan terus melalui dinamik kehidupan.
Kita sentiasa akan belajar selagi kita masih hidup. Ianya adalah proses yang tidak
bernoktah. Hanya kematian yang akan
menoktahkan proses pembelajaran kita. Untuk
menjadikan seseorang itu berubah, perubahan tempat dan persekitaran perlu
berlaku. Adakala ia menimbulkan sedikit
konflik. Ya kita sudah selesa berada di
sesuatu tempat atau zon, jadi perubahan yang berlaku baik yang dipaksa,
terpaksa akan menimbulkan sedikit ketegangan.
Berlainan pula dengan mereka yang rela dan bersedia menerima perubahan,
ia mengambilnya sebagai cabaran baru. Perubahan
akan mematangkan pemikiran dan tindakan kita.
Mahu tidak mahu kita perlu bergerak seiringan dengan masa
yang berjalan kehadapan. Tiada masa yang
berundur melainkan kita sendiri yang mengambil tindakan untuk berundur dan
tidak mahu berubah. Hakikatnya kita sebahagian
dari alam ini terlibat dengan hukum atau sunatullah yang telahpun ditetapkan
oleh Illahi. Sebelum orang merencanakan
sesuatu ke atas kita, Allah sentiasa berada dihadapan dalam merencanakan kita
juga. Biarpun rencana manusia memberikan
logik dan justifikasi yang munasabah terhadap kita, Allah juga yang
sehebat-hebat perencana telahpun merencana yang terbaik kepada kita. Paling penting jangan putus hubungan dan
komunikasi dengan Allah. Cara terbaik
untuk berhubung dan berkomunikasi adalah menerusi solat dan doa. Solat wajib mahupun sunat. Semuanya itulah
adalah wadah atau saluran yang terbaik.
Sungguhpun kita tidak tahu, sama ada kita ini
berkemampuan, bersedia atau tidak dengan situasi yang baru, Allah terlebih
dahulu menakdirkan bahawa kita sebenarnya berkemampuan untuk melaluinya sejajar
dengan perencanaannya. Perencanaan
Allahlah yang sebaik-baik kejadian.
Allah mengetahui tahap kemampuan hambaNya dan tidak sesekali akan
menganiaya hambaNya, melainkan mereka sendiri yang memilih untuk mencampak ke
lembah kebinasaan. Allah tahu kemampuan
kita, lantaran dengan itu Allah memberikan kita peluang untuk mencubanya. Petunjuk dariNya wajib dimohon apabila
berdepan dengan sesuatu yang tidak dijangka.
Saya percaya apa yang berlaku adalah takdirNya dan
telahpun tertulis dalam bukunya. Cuma
saya tidak tahu tahap kemampuan atau ketersediaan saya untuk
menghadapinya. Saya Cuma mampu berdoa
dan mengharapkan yang terbaik. Saya
tidak tahu apa yang bakal terjadi dan masalah yang akan dihadapi kemudian
harinya. Dalam saat beginilah syaitan
akan memainkan peranannya dengan menimbulkan ketakutan, ketidakyakinan dan
gambar yang negatif. Saya tidak
menafikan inilah yang bermain pada fikiran saya. Memperolehi realiti dan
gambaran ditempat yang baru, adalah sesuatu yang tidak menyenangkan. Apatah lagi ianya terkenal dengan lubuk
masalah baik dari segi bebanan kerjaya dan juga orangnya yang bermasalah.
Seboleh mungkin biarlah. Mungkin orang lain, lain
pengalamannya. Mungkin orang yang kemudiannya, lain pengalaman yang bakal
dilalui. Apa yang bakal dihadapi
terimalah. Sentiasa percaya bahawa Allah
bersama kita. Allah bersumpah dua kali dalam Surah Al-Syarh bermaksud
Kelapangan dalam ayat 5&6 bahawa Allah menyertakan dalam setiap kesusahan
ada kesenangan dan dalam setiap kesulitan ada kemudahan. Berpegang kepada keyakinan itulah yang
menjadi motivasi untuk bergerak ke hadapan.
Allah tidak membebankan hambaNya dengan bebanan yang tidak mampu
ditanggung. Saya harap saya mampu
menanggungnya sepadan dengan kapasiti saya.
Saya sedar banyak kekurangan dalam diri, dan rasa tidak layak untuk
menggalasnya. Apa yang saya harap bantuan
dari mereka agar saya dapat membantu mereka.
Ulasan
Catat Ulasan