Bah Kuning, salah siapa?

Bencana banjir yang berlaku pada akhir tahun lepas sehingga dikenali sebagai bah kuning adalah mengambarkan betapa teruknya alam yang diperlakukan.  Nilaian taksiran kasar yang mencecah billion ringgit adalah manifestasi terhadap nilai rasuah yang berlaku akibat pembabitan tangan-tangan ghaib disebalik musibah yang berlaku. 

Kita boleh memberikan ribuan alasan seperti taburan hujan yang sangat tinggi pada hari berkenaan namun dengan melihat jutaan ton puing atau debris serta ribuan balak yang tersadai di kawasan musibah mengundang persoalan apa yang sebenarnya berlaku dan sangat sukar untuk kita menafikan keraguan disebaliknya.  Malahan alasan bersifat Islami pun terpakai bahawa ini takdir Allah.  Sebenarnya perkara ini tidak akan berlaku jika semua  pihak yang terbabit dalam pembukaan tanah untuk tujuan pembalakan dan pertanian melakukannya secara mampan dan lestari.  Kejadian ini berlaku akibat dari ketamakan yang melampau serta diiringi dengan rasuah dalam rantaian bermula dari permohonan kontrak sehinggalah kepada penganugerahan kontrak atau konsesi dan seterusnya kepada pelaksanaan.  Penguatkuasaan yang lemah turut menyumbang kepada musibah ini. 

Sebatang pokok yang bersaiz serdahana berkeupayaan untuk menyerap sehingga 400 gelen air.  Semakin besar pokok semakin banyak pula jumlah air yang mampu diserap.  Hujan lebat yang turun menyebabkan berlakunya surface water runoff atau larian permukaan air ke atas permukaan yang terdedah atau digondolkan.  Debris atau puing yang dibawa oleh air tersebut akan dialirkan ke sungai dan menyebabkan sungai menjadi cetek dan sempit akibat dari proses sedimentasi atau pemendakan.  Keadaan ini menyebabkan kawasan hulu sungai menjadi seolah-olah empangan.  Akhirnya akibat tidak mampu menahan asakan air yang berlebihan menyebabkan ia pecah dan mengalirkan sejumlah besar air yang deras diibaratkan seperti tsunami ke kawasan sungai yang seterusnya dengan membawa sejumlah besar bebanan berupa balak dan pokok-pokok.  Rempuhan inilah yang membawa kepada kemusnahan skala besar dalam setiap jajaran laluannya.  

Semoga kita boleh mengambil manfaat akibat dari kerosakkan yang dicetuskan oleh kita.  Kita boleh mengatakannnya sebagai takdir.  Tetapi takdir ini boleh diubah jika kita melaksanakan perencanaan dengan penuh kemampanan dan kelestarian terhadap alam yang kita bangunkan.  Mungkin akan berlaku sedikit perubahan namun tidak ianya tidaklah sehingga membawa kepada bencana sebegini.  Jangan kerana ketamakan yang membelenggu diri dan didorong untuk mengaut kekayaan sehingga sanggup merasuah sesiapa sahaja seolah-olah merasa diri kebal dari dihisab oleh pengadilan di dunia mahupun di akhirat.  Setiap pembangunan perlu dibatasi dengan panduan agama dan minda yang menyantuni peri pentingnya alam kepada kehidupan manusia.  Semua saling kait mengait dan memerlukan satu sama lain.  Alam juga adalah benda hidup.  Jika kita menghormati alam, nescaya alam akan menghormati kita juga.      


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca