Daulat Tuanku



Semalam hari Rabu 16 Rejab 1436H bersamaan 6 Mei 2015telah diadakan Istiadat Pertabalan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibnu Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sebagai Sultan Perak ke-35.  Baginda Sultan adalah Sultan yang paling saya kagumi.  Bukan kerana Baginda seorang Sultan sebaliknya kerana kebitaraan, keintelektualan disamping karismatiknya sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat. 

Baginda adalah putera raja Melayu yang pertama mencapai tahap pendidikan tertinggi iaitu ijazah kedoktoran dalam ekonomi Dan politik Dari Universiti Cambridge.  Saya banyak membaca titah ucapan Baginda.  Akbar arus perdana kerap Kali memuatkan titah ucapan Baginda diruangan hadapan atau utama atau rencana akbar kerana nilai beritanya yang berimpak tinggi Dan signifikan.  Acapkali titah ucapan Baginda Sultan menyentuh situasi atau scenario semasa dan menghubungkaitkan dengan sejarah silam peradaban bangsa dengan pendekatan yang memperlihatkan tahap kesarjanaan Dan keintelektualan yang tinggi.  Baginda menghuraikannya dengan Penuh tertib dan tersusun Gaya bahasa serta menegur dengan Penuh hikmah terhadap sesuatu isu tanpa perlu mengguriskan hati pihak lain. 

Satu perkara menarik yang seringkali diperkatakan adalah kecintaan Baginda sultan terhadap dunia perbukuan Dan budaya membacanya.  Justeru pesta Buku atau wacana ilmiah adalah menjadi medan terbaik buat Baginda untuk mendapatkan Buku-buku yang terbaik disamping mendengar atau berkongsi pandangan Dan pendapat dengan para bijak pandai Dan juga ilmuwan.  Hasil Dari kecintaan terhadap Buku dan pembacaan yang mendalam dan meluas dizahirkan dalam titah ucapan Baginda yang mempunyai nilai penyelidikan yang tinggi, disokong dengan fakta Dan data, disamping menggunakan bahasa yang sesuai dengan audiannya. 

Dalam situasi semasa yang keadaan masyarakat semakin terbuka Dan liberal, tambahan pula dengan keterbukaan kerajaan terhadap perkembangan teknologi komunikasi khususnya media sosial menjadikan segelintir Dari mereka bebas untuk mengkritik sesuatu perkara yang dahulunya di anggap taboo.  Institusi Beraja tidak terkecuali.  Baginda Sultan antara yang terkehadapan dalam mempertahankan institusi Beraja Dan Melayu dalam Siri ucapannya.  Baginda sendiri tidak terlepas dari kritikan Dan provokasi pihak yang taksub dengan pegangan politik.  Ini seringkali terjadi apabila berlaku situasi yang tidak menyebelahi pihak yang taksub dengan ideologi sempit fahaman siasah tertentu lalu mengheret institusi Beraja dengan fahaman demostran jalanan.  Walau bagaimanapun Baginda sultan tidak melatah dengan perbuatan golongan yang dianggapnya sebagai berminda budaya pelarian, buta sejarah bangsa, tidak mempunyai akar budaya Dan melanggar adat.  Sebaliknya Baginda sultan menyeru dengan bijaksana dan berhemah golongan berkenaan agar kembali menjunjung tinggi kekayaan akal budi bangsa dengan tidak membenarkan diri menjadi warga yang tidak bertamadun, miskin adab Dan papa adat. 

Moga pemerintahan Baginda sultan mendapat keberkatan Dan petunjuk Dari Illahi dalam mengemudi takhta kekuasaan.  Biarpun berkonsep raja berpelembagaan dalam negara Dan Negeri yang berteraskan demokrasi sebagai asasnya namun peranan yang dimainkan oleh sultan atau raja tidak wajar dipinggir Dan diperkecilkan.  Sebaliknya ia perlu dipertahankan sebagai kuasa berkecuali Dan berada diatas pengaruh politik selain sebagai kuasa pengimbang. 

Digarhayu Tuanku
Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!

Daulat Tuanku!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca