Keputusan Bijak Bangsa Inggeris Dalam Memilih Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kebangsaan
Kira-kira 300 tahun dahulu
Rakyat Empayar Britain atau dahulunya dikenali sebagai Great Britain telah
membuat keputusan yang bijak dengan menggunakan bahasa ibunda mereka iaitu
Bahasa Inggeris sempena nama bangsa mereka sebagai bahasa pemersatuan,
perhubungan, pendidikan dan ekonomi. Walaupun membantah bantahan yang
kuat dari sebahagian besar golongan bangsawan, ilmuan dan elitis Inggeris yang
begitu taksub dengan bahasa Perancis dan Latin yang merupakan bahasa dunia ketika
itu, namun berkat dokongan dan usaha yang tidak pernah putus asa para pejuang
bahasa Inggeris akhirnya bahasa ini dimartabatkan dibuminya sendiri.
Sebelum ini bahasa Inggeris
hanyalah bahasa penuturan kelas rendah bagi kaum petani yang miskin tidak punya
sebarang keistimewaan. Bahasa ini tidak mempunyai tempat di pusat-pusat
pengajian tinggi dan penulisan baik kesusteraan dan juga buku-buku ilmiah. Para
ilmuan inggeris ketika itu lebih berbangga dapat menulis dan bercakap dalam
bahasa Perancis atau latin sebagai tanda intelektual dan kebitaraan serta
menunjukkan status sosial yang tinggi. Namun tiada siapa sangka dari
bahasa kelas kedua atau ketiga di tanah airnya sendiri disebuah kepulauan di
Eropah akhirnya bertukar menjadi bahasa yang paling dominan dan berkuasa dimuka
bumi. Bahasa inggeris tidak berdiri dengan sendiri oleh orang luar
sebaliknya bahasa Inggeris menjadi hebat kerana didukung dan diyakini
oleh penutur jatinya sendiri. Jati diri yang terbina kuat dalam jiwa
mereka menjadikan bahasa ini merakyat dengan meluas di negaranya sendiri.
Segala ilmu diterjemahkan ke
dalam bahasa Inggeris bagi membina kepustakaan dan persuratan keilmuan yang
mantap terhadap rakyatnya sebelum mereka berkeyakinan untuk memulakan ekspedisi
penjajahan di sebahagian besar 1/3 dunia. Penjajahan yang dilakukan ini
merupakan antara perencanaan hegemoni perluasan bahasa yang paling berjaya.
Hampir sebahagian besar bekas tanah jajahan yang disatukan dibawah satu
perkumpulan yang dikenali sebagai Komanwel menggunakan bahasa Inggeris sebagai
bahasa pertama atau kedua. Legasi bahasa, budaya dan pemikiran inilah
yang membentuk kecacamarbaan sebahagian besar bangsa bekas jajahan.
Malaysia sendiri tidak terkecuali dari dilanda permasalahan inferioriti
andainya tidak mahir berbahasa Inggeris.
Secara halusnya bangsa
penjajah Inggeris yang berindukan Britain dan negara koloni Inggeris seperti
Amerika, Kanada, Australia dan New Zealand yang kebetulan merupakan negara maju
berjaya mengwujudkan persepsi keagungan terhadap pengguna bahasa Inggeris.
Dalam minda Bangsa dunia ketiga atau bekas jajahan, mereka menanamkan racun
bahawa mereka tidak akan maju dan berjaya jika tidak menggunakan bahasa
Inggeris dalam kehidupan mereka. Sebenarnya agenda bahasa hanyalah
bersifat permukaan sahaja, tetapi disebalik bahasa, budaya dan pemikiran yang
terdapat dalam bahasa inilah yang akan mempengaruhi sebahagian besar para
pemerintah dan elitis dalam merencanakan agenda halus penjajahan tidak nyata.
Tidak salah untuk menguasai
bahasa asing lebih-lebih bahasa musuh kita. Kerana ia memberikan
kelebihan strategik kepada kita Dari segi pemerolehan ilmu dan perhubungan. Tetapi yang salah adalah menjadi pemuja, pentaksub Dan pengagum terhadap
bahasa berkenaan sehinggakan segalanya perlu ditukar Dan diubah kepada bahasa
berkenaan. Inggeris tetap kekal sebagai bangsa inggeris dengan
kejatidirian yang tebal tetapi kita berubah Dari segi pemikiran Dan jiwa
walaupun kekal berkulit sawo matang. Kita tetap sebagai Melayu tetapi
tidak Dari segi isi dalamnya. Produk inilah yang dinamakan sebagai satu
bentuk kejayaan buat bekas penjajah.
Ulasan
Catat Ulasan