Sistem Pendidikan Tunggal 1 Aliran 1 Bahasa
Sistem
Pendidikan tunggal atau satu aliran merupakan antara perkara taboo di Malaysia. Ramai ahli politik Dan juga rakyat Malaysia
yang tidak mahu memperdebatkan dan memilih untuk dibincangkan secara terbuka Dan menyokong
pelaksanaannya. Semuanya takut digelar
rasis atau dihukum perkauman kerana ia merupakan satu bentuk 'hukuman' sejak
akhir-akhir ini. Satu penyakit yang
melanda akibat Dari ketaksuban berpolitik pihak satu lagi.
Pemimpin
kita dan termasuk sebahagian dari kita seringkali mendakwa bahawa sistem
pendidikan kita adalah yang terbaik di dunia. Mereka bangga memberitahu kepada
dunia bahawa sistem pendidikan di Malaysia adalah yang paling demokratik dengan
memberi pilihan paling luas kepada ibu bapa.
Sengaja untuk tidak mengakui bahawa sistem pendidikan kita adalah antara
legasi penjajah yang masih kita kekalkan selain dari sistem perundangan yang
berkiblatkan common law. Kita selalu
beranggapan bahawa perpaduan yang kita bangga-banggakan adalah hasil Dari
permuafakatan dan kompromi sistem pendidikan yang telah dipersetujui oleh
bapa-bapa kemerdekaan terdahulu. Ya kita
bersetuju dengan kenyataan tersebut.
Mungkin keadaan Dan situasi tersebut sesuai pada ketika itu.
Namun
selepas hampir 60tahun apakah kita telah mencapai tahap perpaduan yang diingini
menerusi aliran pendidikan yang pelbagai dan bersifat vernakular? Realitinya
semakin lama kita hidup hubungan etnik semakin mencapah Dan melebar jurangnya.
Ia tidak membawa kita ke mana. Perpaduan
yang diketahui kini sekadar kosmetik dan hanya dipermukaan sahaja. Kita tidak pernah memiliki sentimen
kebersamaan dan kesepunyaan lantaran kita dibentuk oleh sistem pendidikan yang
berlainan bahasa. Bahasa Melayu yang
diperlembagakan tidak pernah dihormati dan digunakan dengan meluas dalam sistem
pendidikan yang diamalkan sekarang. Jadi
di manakah perpaduan yang dibangga-banggakan sebenarnya.
Sistem
pendidikan bukan sekadar memandaikan anak bangsa tetapi tempat untuk memupuk
perpaduan. Apa maknanya negara maju
tetapi polarisasi berasaskan bahasa, pendidikan, pekerjaan, ekonomi semakin
berkembang. Kita mengamalkan pengasingan
diperingkat paling asas iaitu seawal pra sekolah. Bersekolah mengikut etnik masing-masing. Begitu juga apabila melanjutkan ke pengajian
tinggi mereka Akan terarah ke kolej yang dipunyai oleh bangsa mereka. Perkara ini berterusan ke alam pekerjaan Dan
juga penempatan. Mereka Akan terus hidup
di dalam dunia mereka, bahasa Dan kebudayaan mereka sendiri.
Hakikatnya
tiada negara dalam dunia pun yang mengamalkan apa yang kita amalkan sekarang
termasuk negara paling berkuasa Dan maju di dunia. AS Dan Singapura antara contoh negara majmuk tetapi
mereka tetap berpendirian Dan tegas melaksanakan sistem pendidikan tunggal yang
berasaskan satu bahasa secara mutlak.
Banyak contoh negara maju seperti Jerman, Perancis, Jepun, China yang
menggunakan bahasa mereka untuk mencapai kemajuan. Negara membangun seperti Indonesia, Thailand,
Vietnam melaksanakan dasar asimilasi menerusi pendidikan sehingga bangsa
imigran terdidik fasih dalam bahasa kebangsaan negara berkenaan. Mereka semua mendukung aspirasi negara yang
mereka naungi sebagai satu bentuk jatidiri nasional. Tetapi apakah bangsa imigran di negara ini
mengetahui sejarah nasionalisme negara ini dengan baik menerusi sistem
pendidikan yang mereka pelajari di sekolah mereka? Dan apakah mereka menjiwainya
dengan baik sekali?
Sepatutnya
sewaktu kita mencapai kemerdekaan 58 tahun dahulu kita telah pun mengubah
sistem pemerintahan kita dengan menggunapakai satu bahasa tunggal dalam
pendidikan kita. Tidak mengapalah
menghadapi penentangan diperingkat awal.
Itu perkara biasa yang dihadapi oleh semua negara yang melaksanakan
sistem pendidikan tunggal. Namun lama
kelamaan ianya sudah menjadi biasa Dan diterima oleh generasi berikutnya
sebagai sesuatu yang normal. Benar kita sudah
terdedah jauh Dan menyimpang Dari laluan asalnya. Namun untuk Kembali ke laluan yang benar
tetap Ada. Apa yang penting jangan biarkan diri berada terus didalam
kesesatan. Kita menuntut kepemimpinan
negara perlulah berjiwa besar Dan memiliki kesedaran politik yang sangat tinggi
dalam menukar sistem pendidikan negara yang pelbagai aliran kepada satu sistem
pendidikan tunggal yang menerima pakai satu bahasa pengantar tunggal Dari
peringkat rendah sehingga tertinggi.
Pada masa yang sama pembelajaran bahasa asing turut dibenarkan. Inilah yang kita perlu lakukan segera.
Ulasan
Catat Ulasan