 |
e-sijil penyertaan kepada yang berjaya menamatkan larian mengikut kategori |
Alhamdulillah, itulah
kalimat yang terpacul dimulut saya, sebaik usai melangkah ke garisan penamat
cabaran larian Putrajaya 100miles (Ultramarathon@100p) yang baru kami sertai
pada hujung minggu lepas 28-29 Nov 2015 yang bertempat di Taman Sri Empangan, Putrajaya.
Ini adalah penyertaan buat kali kedua. Kali pertama menyertai memang rasa
menyesal sebab mental dan fizikal saya teruk terdera. Namun apabila Berjaya menamatkan larian,
hilang semua rasa penyesalan tersebut, sebaliknya timbul perasaan puas hati
kerana Berjaya mengharunginya. Pada tahun
ini pihak penganjur telah membuat beberapa penambahbaikan iaitu dengan
mensyaratkan setiap peserta untuk memiliki keperluan wajib yang perlu
ditunjukan kepada penganjur sebelum mengambil bib. Begitu juga dengan
sedikit perubahan pada trek.
 |
Pelepasan yang dibuat digarisan permulaan |
Tahun lepas kami Berjaya menamatkan
larian dalam masa 26jam sebaik melintasi kaki ke garisan penamat pada jam
9pagi. Pada tahun ini kami berusaha
untuk memperbaiki masa. Itu matlamat utama kami untuk tahun ini.
Syukur Allah mentakdirkan kami untuk bertemu dengan pelari bertaraf
veteran, Kak Ruby untuk menjadi pacer dan anchor kami secara tidak langsung.
Malu juga sebab kak ini berusia 50 tahun pada tahun hadapan dan ini
adalah penyertaan kali pertama untuk jarak ultra. Tetapi kami mengabaikan sahaja. Jika memikirkan ego sebab lelaki yang 15
tahun lebih muda, pastinya matlamat untuk memperbaiki masa tidak tercapai.
Kaki melecet memang tidak boleh dielak. Saya sendiri mengalami
tahap kelepuhan atau kemelecetan pada tapak kaki. Tetapi tahap kesakitan
semakin ketara apabila melepasi km ke 55, akhirnya memaksa saya mengambil pain
killer untuk menahan kesakitan. Jika tidak pastinya is menjadi liabiliti
kepada pergerakan kami.
 |
Bersama adik, di CP1 selepas 10km dari garis permulaan |
Kami memang tidak merancang
untuk tidur. Jadi ini memang memerlukan kekuatan mental. Mental
kami teruji apabila melalui CP3-CP4, apabila melalui jam 11.15pagi.
Matahari mula memperlihatkan keterikannya. Edisi merentung bermula.
Laluan ini cukup mencairkan mental para peserta dengan jarak terjauh 13km
dengan terpaksa melalui trek dengan kecerunan 45darjah untuk 2km terakhir.
Kaki tiba di CP4 jam 1.15petang. selepas 1jam berehat dengan
menunaikan solat dan refreshment kami kembali untuk ke CP5. Cuaca memang sangat panas. Kami ingat hendak
hujan kerana melihat awan tebal berwarna gelap.
Jangkaan kami meleset, sebaliknya cuaca terus panas sehingga kami ke CP5
pada jam 4.15petang. Kami bertembung
dengan pelari 100batu yang bergerak ke CP6.
Hebat mereka. Di CP ini saya
bertemu dengan junior BSKPP UPM. 4
orang, perempuan semuanya. Mereka menjadi
sukarelawan untuk CP ini. CP ini
menyediakan hidangan yang berat iaitu nasi ayam. Saya mengambil seadanya sebagai tenaga. Hendak makan banyak tidak mampu, jadi saya
makan sekadar untuk menampung tenaga yang telah digunakan dan bakal digunakan
untuk perjalanan patah balik. Selesai menunaikan
solat dan bergambar dengan junior BSKPP kami bergerak kembali semula ke
CP4.
 |
CP3-CP4 jarak 13km edisi merentung |
 |
2km cabaran pendakian naik dan turun (45 darjah) selepas 11km mengharungi laluan panas |
 |
Berehat di CP4 selepas azab sengsara |
Cabaran ini kembali semula
ini satu hal juga. Kaki semakin melecet
dan ini melambatkan pergerakkan. Dalam perjalanan
ini saya terpaksa mengambil pain killer selepas dinasihatkan berbuat
demikian. Sebaik sahaja mengambil pain
killer ini tidak sampai seminit, semacam satu tenaga baru menyerap masuk dan
kesakitan tapak kaki semakin berkurangan.
Sakit itu tetap terasa, tetapi saya mampu untuk berlari dengan
baik. Kami terus berlari sehingga ke CP4
dengan merentasi hutan Taman Rimba dalam waktu maghrib dan tiba di sana pada
jam 8.05 malam. Terus bergegas
menunaikan solat maghrib dan isyak. 9.15
kami meneruskan larian ke CP3. Jarak terjauh
dengan 13km. kami tiba di sana pada jam
11.30malam. Saya mengambil kesempatan
dengan menukar baju dan membasahkan sedikit badan bagi menghilangkan peluh
selepas seharian basah dengan peluh.
 |
CP4 - CP5 azab yang memeritkan untuk 11km berikutnya |
 |
CP5 |
 |
Bersama Kak Ruby (pacer) dan sukarelawan junior BSKPP UPM batch 14 (2013) saya batch 2 (1999) |
Jam 1215 pagi kami
menyambungkan semula larian. Jarak ini Cuma
5km sahaja, namun disebabkan keletihan dan ditambahi pula dengan perasaan
mengantuk, membataskan kami untuk berlari.
Sepanjang ke CP2 ini kami banyak berjalan dari berlari. 1jam15minit masa diambil untuk menghabiskan
jarak ini. Kami bertembung dengan
peserta bagi kategori 52km dan 78km sewaktu ke CP2. Mereka memulakan larian pada jam
10malam. Strategi yang bagus. Sekurang-kurangnya kami tidak kesunyian
kerana ramai pelari yang meramaikan trek kami.
Satu lagi keadaan yang menguji mental adalah kembali untuk menghabiskan
CP2-CP1 dan CP1-penamat. Masa pada waktu itu jam 1.45pagi.
Sangat-sangat mengantuk dan letih. Masa itu saya sudah macam zombi
sahaja. Harap pada kekuatan mental untuk untuk memaksa kaki bergerak.
Ditambahi pula Kesakitan pada tapak kaki yang semakin menekan. Lagi
menambah stres.
 |
CP4-CP3 hampir menjadi zombi |
CP1 ke penamat adalah
cabaran yang amat menguji mental kami. Kak
Ruby jelas kek hadapan dan meninggalkan kami.
Pada permulaan 4km kami hanya berjalan sahaja sebab kaki kami sudah
melecet tahap tinggi. Setiap kali hendak
berlari, terasa benar kesakitan di tapak kami.
Sebaik melihat Kak Ruby telah membuat pusingan u, kami terasa
tercabar. Dengan perlahan-lahan cuba
memaksa kaki untuk berlari. Kami
mengabaikan sahaja kesakitan dengan memaksakan kaki untuk terus berlari. Setiap larian kami menyelangselikan dengan
berjalan. Kaki sakit kami kembali berjalan, kurang sakit kami kembali
berlari. Ternyata strategi ini Berjaya. Dalam kepala saya, terfikir kenapa perlu buat
perkara segila ini dengan menyeksa kaki dan badan serta mental. Alhamdulilah kami berjaya menamatkan
larian pada jam 5.43 sebaik usai azan solat subuh dengan masa keseluruhan iaitu
22.42:46 (22jam 42min 46saat).
 |
Alhamdulilah Ultraman 2.0 (22jam, 42min, 46saat) |
 |
Bersama penamat cabaran larian 100km, Kak Ruby (tengah no.7), Muliana (no.3 hebat dan laju) dan Aizat (kiri). Baju penamat berwarna hijau |
 |
Medal penamat (pandangan hadapan) |
 |
Medal penamat (pandangan belakang) |
Ulasan
Catat Ulasan