Kenapa Saya Menulis😉😉

Sepanjang tahun 2017, hampir setiap hari saya penuhi pelbagai penulisan dalam ruangan 'What's On Your Mind' atau Apa Ada Dalam Minda Anda di FB. Saya menulis dalam bahasa sekolah atau dalam bahasa Zaaba. Gaya penulisan adalah mewakili minda dan jiwa kita. Mungkin tidak 100% tepat, namun setidak-tidaknya orang boleh menilai siapa kita berdasarkan penulisan kita. 


Saya menganggapnya sebagai jurnal atau diari dalam talian @ online diary/journal. Pastinya 50% dari penulisan saya adalah berkaitan topik larian dan kesihatan/kecergasan. Saya bukanlah pakar atau master dalam bidang berkenaan, cuma hadir sebagai amatur sahaja. Namun atas dasar minat mendalam saya menulis dalam berkongsi pengalaman setiap larian yang saya tempuhi dan menerusi pembacaan banyak juga saya kongsikan dalam topik kesihatan dan kecergasan. 


50% lagi adalah penulisan saya atas pelbagai perkara yang berkaitan kepentingan dan juga minat saya. Pastinya topik berkenaan dengan 

-Isu-isu bahasa kebangsaan dan persuratan

-Dunia perbukuan dan pembacaan

-Perkara-perkara semasa yang diberitakan dalam akbar arus perdana

-Perkara-perkara yang diviralkan dalam media sosial yang ada nilai umum

-Ulasan buku-buku yang sudah dibaca dan filem-filem yang ditonton yang mempunyai nilai 

-Politik dan geopolitik tempatan dan antarabangsa yang ditulis dalam bentuk yang neutraliti

-Sejarah atau yang berkaitan dengannya. 

-Pemerhatian dari persekitaran yang boleh dimanfaatkan dalam bentuk penulisan

-Motivasi dalam keagamaan dan kehidupan 

-Keleteh anak-anak dan aktiviti bersama mereka

-Trevelog disesuatu kawasan

-Perkara-perkara berkaitan pekerjaan yang boleh dikongsi dan memberikan sedikit kesedaran/pencerahan seperti keselamatan makanan, denggi, kesihatan persekitaran dan penguatkuasaan 

-Isu-isu alam sekitar seperti pencemaran dan kesedaran

-Lain-lain penulisan yang terlintas difikiran dan pada perkiraan saya wajar untuk dikongsi. 


Ia mewakili pelbagai nisbah peratusan dalam setiap apa yang saya tulis. Saya tidak mengkhususkan terhadap sesuatu isu. Apa yang pada saya mempunyai nilai, maka saya akan merangka dalam kepala saya dengan cuba menyusun ayat. Lalu dalam kelapangan saya akan terus mengarang sebelum ianya meruap.


Ilham dalam menulis datang tidak menentu. Namun kebiasaan semasa dalam perjalanan untuk ke pejabat atau juga kadang-kadang sewaktu pulang dari pejabat atau selepas saya membaca, bermesyuarat, berseminar atau berkursus atau selepas mendengar dari radio. Justeru saya cuba untuk memastikan apa yang ada dalam benak saya akan dokumenkan dalam bentuk penulisan. Tidak berniat untuk menunjuk atau merasakan berbangga. Sekadar cuba memotivasikan orang lain. 


Saya menulis kerana saya suka menulis. Saya tidak kisah dengan bilangan like atau cemuhan dari rakan-rakan alam maya. Saya percaya dan insafi bahawa saya tidak mampu untuk memenuhi ekspektasi atau jangkaan pembaca.  Tidak semua bersetuju dan tidak semua tidak bersetuju. Apa yang saya tulis adalah dari pengalaman amatur saya dan saya gembira untuk melakukan dalam setahun. Setidak-tidaknya saya cuba menulis dengan semampu tanggungjawab saya. 


Moga 2018 saya akan berupaya untuk menulis dari minda dan hati. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca