Kisah kehidupan

Hidup ini sentiasa diuji, sama ada disaat kita senang mahupun susah. Ujian itu didatangkan dalam pelbagai rupa baik yang berbentuk kebaikan ataupun kesusahan. Sebaik melunaskan pembayaran penuh kereta yang masih berbaki 4 tahun tempoh pembayaran di ibu pejabat CIMB, kami disapa oleh seorang mak cik apabila kami keluar dari bank untuk ke UTC Pudu Raya bagi penukaran kad pengenalan versi terkini yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan.


Mak cik berkenaan menahan kami sambil menunjukan bil TNB ditangannya. Bil TNB yang tertunggak ditunjukan kepada kami jumlah tunggakannya, ya hampir RM500. Bagi menyakinkan kami dia menunjukan kad pengenalannya yang menunjukan bahawa alamat yang tertera dibil berkenaan adalah sama dengan alamat di kad pengenalannya. Mak Cik berkenaan cuma meminta kami duit tambang LRT untuk ke Baitul Maal yang terletak di Jalan Ipoh KL. Tujuan ke sana adalah untuk mendapatkan bantuan dari pihak di sana dalam menyelesaikan tunggakan hutang. 


Melihat keadaannya yang tua berusia 60an, uzur kerana menderita kencing manis  kami menawarkan untuk membawanya ke sana. Lagipun kami beranggapan tidaklah jauh untuk ke sana. Pada mulanya makcik tersebut enggan untuk menerima pelawaan kami. Akhirnya ia menerima jugalah pelawaan kami selepas memujuk kerana ia tidak membebankan kami. 


Sebelum ke sana makcik tersebut memaklumkan bahawa dia tidak makan lagi pada pagi itu, maka kami membawanya ke restoren untuk makan. Disebabkan dia menghidap kencing manis, makan yang diambil hanyalah separuh nasi putih, sayur kobis goreng dan air suam sahaja. Masa inilah dia menceritakan kisahnya. 


Suaminya sudah 9 tahun meninggal dunia. Mempunyai 3 orang anak, seorang sudah meninggal dan dua orang OKU (berdasarkan bukti kad OKU anaknya yang ditunjuk). Dia menceritakan kesusahan hidupnya selepas kematian suami. Hidup terpaksa berhutang semata-mata untuk hidup. Merupakan asnaf yang menerima zakat RM200. Dari jumlah tersebut, RM150 untuk menjelaskan sewa rumah PPRT dan RM50 untuk dibuat perbelanjaan.     Saya tidak boleh bayangkan bagaimana mahu hidup dengan wang RM50 untuk sebulan di KL. Pun begitu makcik tersebut merupakan kotak makanan dari pihak zakat setiap bulan. Tidaklah banyak, mungkin cukup-cukup atau mungkin tidak cukup. Jadi tidak hairanlah dia terpaksa berhutang dan juga meminta duit dari orang lain semata-mata untuk makan atau bergerak ke tempat lain apabila kehabisan duit RM50 atau bekalan kotak makanan. 


Setakat untuk duit makan dalam beberapa ringgit atau tambang bolehlah mana-mana orang yang diminta untuk diberikan padanya. Sebab orangpun kasih melihat statusnya sebagai ibu tunggal, berpenyakit kencing manis dan mempunyai anak OKU. Ada yang ikhlas memberi dan ada yang mengambil kesempatan. Dalam tujuan membantu rupa-rupanya dianggap sebagai hutang. Terduduk jugalah untuk membayar hutang. Mujur juga masa tersebut arwah suaminya ada lagi. Dengan kerja sebagai buruh am di pusat membeli belah berapalah sangat gajinya. Namun mengenang hutang yang dipaksa bayar terpaksalah membayarnya sedikit demi sedikit. 


Itu tidak termasuk hutang-hutang dari jiran-jiran yang seringkali menagih untuk dibayar. Tidak dibayar dihambur dengan kata-kata makian. Begitu juga hutang dengan adik beradik. Mereka tetap memaksa makcik tersebut bayar walaupun mereka tahu makcik tersebut susah kerana mereka menganggap makcik tersebut menerima bantuan. Pastinya berduit. Realitinya duit yang diterima amat tidak mencukupi dan terpaksa meminta-minta belas ikhsan orang lain untuk hidup. Kami yang mendengar kisahnya pun kasihan. 


Dia Sekali lagi dia minta tidak mahu disusahkan selepas kami membelanjanya. Masa itu terfikir, tak mengapalah kami melangsaikan hutang tertunggak TNB. Sekali lagi makcik terkejut. Dia boleh boleh meminta bantuan Baitul Maal berdasarkan status dan situasinya. Tetapi kami berhajat untuk membantu meringankan bebannya dan tidak menganggapnya sebagai hutang. Ya sebagai sedekah.  Kami melangsaikan hutang utiliti TNB. Makcik tersebut menangis. Dia tak berhajat untuk menyusahkan kami dengan kisah dia. Dia hanya membayar bil tersebut selepas sekian lama tidak membayar dan sehinggalah ianya dipotong barulah dia pergi ke Baitul Maal untuk membayarnya. Begitulah rutin dan kitarnya. Pembayaran hanya dilakukan apabila berlaku pemotongan bekalan. Kami yang mendengarnya hanya mampu diam sahaja. 


Dia risau kerana takut dianggap sebagai hutang. Makcik tersebut trauma kerana pernah mengalaminya. Pada mulanya dianggap bantuan rupa-rupanya ditagih sebagai hutang. Banyak yang perlu dibayar. Begitu juga dengan duit yang diminta untuk belanja bagi membeli makan atau membayar bil yang diminta sedikit-sedikit dari jirannya. Rupa-rupanya jumlah tersebut dihimpun dan ditagih untuk dibayar. Tak bayar habis dimaki. Makcik tersebut ingat sebagai sedekah tetapi diminta bayar semula. Disebab peristiwa tersebut dia merasa sangat trauma kerana takut kami akan menuntutnya. Dia menceritanya sambil menangis. Dia malu kerana terpaksa berbuat demikian, namun lebih malu kerana tidak mampu untuk melangsaikan hutang dek kerana keterbatasan sumber kewangannya. 


Saya menjelaskan saya sekadar membantunya. Tidak terfikir pula untuk meminta bagi dibayar semula. Selepas ini pun belum tentu boleh berjumpa. Hari ini kami memudahkan urusan makcik kerana Allah menakdirkan rezeki dari duit kami untuk membantu makcik. Mudah-mudahan kemudian nanti Allah memudahkan urusan kami asbab kami membantu memudahkan urusan makcik. Makcik tersebut senyap sahaja dan hanya mampu menangis dan berterima kasih kepada kami. Dia menolak dengan baik pelawaan kami untuk membawanya pulang ke rumah. Dia lebih selesa pulang apabila malam kerana malu berjumpa dengan jiran-jiran yang dihutanginya. Mereka akan menuntut dan dimaki kerana alasan ketiadaan duit. Bukan tidak mahu membayar tetapi tidak mampu. Jadi dia lebih selesa tidur dimasjid atau surau atau dimana ia boleh berehat sebelum pulang ke rumah. Jika tiada wang, apabila lapar atau mahu pulang dia akan meminta orang disekitar untuk memberinya sedikit wang. Begitulah rutinnya. Kami hanya mampu diam sahaja.  Tiada harta dan tidak dipedulikan oleh sesiapa sahaja melainkan memohon belas ikhsan. 


Sebelum pulang, saya bertanya pada makcik tersebut ada tak duit? Makcik tersebut sekadar menunjukan silling yang ada pada begnya yang lusuh, sambil membuka cermin mata yang patah sebelah bingkainya untuk mengesat air mata. Saya mengeluarkan duit yang ada dalam dompet dan memberikan kepadanya. Sekali lagi dia terkejut, tetapi dia menerimanya dan mengucapkan terima kasih banyak-banyak. Dia malu kerana banyak menyusahkan kami. 


Makcik berlalu pergi apabila kami meminta izin untuk pulang. Banyak yang boleh dipelajari darinya. Bukanlah kerana sebab berduit atau apa, sebab kerana kesusahan, kesempitan keadaan yang menyebabkan mereka jadi begitu. Nasib dihujung usia yang masih terpaksa bergelut untuk hidup. Sepatutnya dalam keadaan itu sudah boleh fokus kepada kehidupan untuk mempersiapkan dengan amal ibadat tetapi bukan semuanya bernasib baik. Kisah makcik tersebut merupakan ribuan kisah mereka yang senasib dengannya. 


Syukurilah apa yang ada. Jika kita kelebihan dan kemampuan dalam bahagian kita, tidak salahpun membantu memudahkan atau meringankan urusan mereka. Tidak terjejaspun harta kita. Allah menjanjikan mereka yang bersedekah atau membantu mereka yang susah tidak akan miskin sebaliknya mereka sentiasa kaya dan cukup dengan apa yang ada. Jika tidak mampu membantu dengan baik, sekurang-kurangnya janganlah membebankannya. Kenapa perlu berkira sedangkan Allah tidak pernah berkira kepada kita. Bantulah dengan sekadar yang mampu. Kalau mereka mahu mengambil kesempatan atau apa, biarlah. Itu urusan dia dengan Allah. Yang penting niat kita. Allah mengganjarkan kita dengan kebaikanNya buat mereka yang berniat dan apatah lagi membantunya secara fizikal. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca