Penaksiran pencemaran bahan kimia
Sebulan yang lalu dalam Dis 2017 saya telah diminta oleh ketua unit KPAS bagi membantu berhubung aduan pencemaran kimia. Dari aduan yang saya baca, pengadu merujuk kepada aktiviti premis yang melakukan kerja-kerja kimpalan, pemotongan dan penyemburan cat yang telah menyebabkan premis jualannya telah dicemari dengan habuk atau partikel halus/kasar yang berpunca dari aktiviti berkenaan. Merujuk kepada gambar-gambar yang dilampirkan jelas menunjukan kesan pencemaran ke atas belakang premis dan aduan ini berasas. Berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang agak berkarat yang mana sebelum ini merupakan teras utama pekerjaan saya diswasta dulu, saya cuba membantu mana yang termampu.
Sebaik tiba dialamat yang diadukan mendapati kerja-kerja berkaitan pemotongan, pengimpalan dan pencanaian besi sedang rancak dibuat. Manakala tiada pula aktiviti penyemburan cat dilakukan. Dari pemerhatian kami terhadap persekitaran di dalam premis berkenaan:
-Kurangnya aktiviti kekemasan
-Kerja-kerja pelogaman dilakukan dikawasan terbuka tanpa adanya LEV, fume hood atau exhaust fan bagi menyedut sebarang wasap atau debu, sebaliknya hanya kipas.
-Pemakaian PPE yang tidak diselia dengan baik. Ada yang melakukan kerja-kerja pengimpalan tidak memakai cermin mata khas disamping pelindung muka yang usang bagi melindungi dari sinaran arc (UV)
-Ketiadaan partition kerja dengan kerja-kerja dilakukan tanpa susunan
-Ketiadaan tirai atau tabir yang menutup kerja-kerja penyemburan cat jika dibuat sehingga menyebabkan persekitaran dicemari dengan partikel cat atau logam
-Ketiadaan MSDS/CSDS/Inventori bahan kimia terhadap cat atau cecair thinner yang disimpan oleh pemilik premis
Pemerhatian persekitaran
-Dinding-dinding belakang sekitar premis dicemari dengan partikel debu atau cat
-Daun-daun yang terdapat pada tumbuhan dipersekitaran premis turut dilitupi dengan partikel dari cat atau logam
-Longkang dipersekitaran turut terdapat kesan-kesan cat. Ini berpunca dari aliran air hujan yang menimpa dikawasan sekitar premis
Kami juga membuat temubual terhadap penduduk yang berada disekitar premis samaada terkesan atau tidak dengan aktiviti yang berlaku dipremis berkenaan. Memandangkan kami yang melakukan siasatan dan penilaian tidak membawa peralatan, maka penilaian kami adalah bersifat kualitatif dan bukannya kuantitatif. Penilaian kami bersandarkan pemerhatian terhadap aktiviti dilakukan dan juga temubual pekerja berkenaan kekerapan aktiviti yang dilakukan. Kami juga mengambilkira kelemahan dalam memberikan perlindungan terhadap persekitaran kerja dan juga dengan alam sekitar dengan aspek kejuruteraan terhadap ketiadaan pemasangan LEV, chimney dan exhaust fan.
Dalam laporan yang dibuat oleh unit KPAS saya membantu dari segi penaksiran risiko kesihatan. Disebabkan ketiadaan MSDS maka pencarian aktif dilakukan dalam enjin google dengan menaip nama yang terpapar pada tong cat yang digunakan. Jika tidak 100% tepat setidak-tidaknya kami berusaha mencari dari CAS no yang pastinya boleh mencari MSDS terhadap bahan kimia yang sama dengan kandungan cat tersebut. Kami memilih bahan VOC's yang signifikan dari segi kesan kesihatannya. Pastinya kandungan Benzene dan terbitan darinya seperti etilbenzene terdapat sedikit dalam pembuatan cat tersebut.
Kami menggunakan risk matrix atau jadual dalam format CHRA bagi mendapatkan magnitud dan risiko pendedahan bagi membolehkan untuk dibuat kesimpulan. Tidaklah terlalu kompleks seperti CHRA sebaliknya bagi menunjukan bahawa dapatan dari siasatan itu adalah signifikans. Saya membantu sekadar yang termampu. Mujur juga ketua unit yang menjaga KPAS ada sedikit pengetahuan berkenaan penilaian bahan kimia kerana mengikuti kursus CHRA. Keadaan ini tidaklah membebankan saya untuk membantunya kerana beliau tahu menggunakan carta risk matrix berdasarkan H phrase dari GHS bagi klasifikasi dan pelabelan bahan kimia.
Saya seronok dapat membantu dan mengaplikasikan ilmu. Sepatutnya bagi saya kita perlu ada pakar dalam bidang tertentu agar kita boleh mempelopori bidang berkenaan. Sayang sekali kita ada pengetahuan tetapi tidak dapat dperkembangkan dalam sesuatu lapangan sehinggakan orang lain membina kepakaran dalam bidang kita sendiri dengan mengambil sijil kompeten atau master atau PhD kerana mereka nampak manfaat dan peluang darinya. Saya berada di industri hampir 8 tahun dalam bidang kesihatan pekerjaan dan higen industri. Bidang ini terlalu dinamik perkembangannya dan banyak peluangnya. Saya nampak realiti kayanya ilmu dari lapangan ini.
Ulasan
Catat Ulasan