Balasan terhadap penodaan alam



Jika kita meletakan tanggungjawab menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama, pasti tiada akan muncul penyakit bawaan kencing tikus atau leptospirosis.  Ianya terjadi akibat dari tikus liar yang hidup di hutan ini memakan sampah sarap yang berupa sisa makanan dan juga lampin pakai buang yang ditinggalkan merata-rata oleh pengguna yang tidak bertanggungjawab apabila mengunjungi kawasan rekreasi seperti Hutan Lipur atau kawasan perkelahan sama ada di sungai atau di pantai. 

Kebiasaannya kejadian ini terjadi apabila berlakunya hujan lebat dikawasan sekitarnya.  Aliran air hujan akan menyebabkan terjadi larian air permukaan di lantai-lantai hutan dan membawa segala-galanya masuk ke dalam sungai.  Pastinya rodensia atau tikus ini akan membuang air kencing atau najisnya di sekitar kawasan berkenaan.  Secara tidak langsung ia membawa sekali buangan haiwan berkenaan masuk ke dalam sungai.  Apabila pelawat datang ke kawasan berkenaan dan bermandi-manda, buangan haiwan yang dijangkiti dengan kuman berkenaan akan masuk ke dalam rongga tubuh seperti mulut atau hidung atau juga bukaan luka mereka yang mandi di kawasan berkenaan. 

Akibatnya mereka yang tidak memiliki imuniti tubuh yang kuat akan mengalami gejala atau simptom akut seperti demam yang panas, menggigil, muntah, sakit perut, cirit-birit dan beberapa simptom lain.  Jika dibiarkan berlarutan ia akan menyebabkan kematian.  Apa yang terjadi sebenarnya adalah dosa kita kepada alam sekitar.  Ia tidak akan terjadi andainya kita peka dan punya kesedaran yang tinggi dalam menjaga kebersihan alam sekitar.  Begitu halnya juga dengan denggi, taun@tifoid dan juga HFMD semuanya itu adalah berpunca dari kegagalan kita dalam aspek higeniti baik diri sendiri mahupun persekitaran tempat tinggal.  

Tiada gunanya jika pihak Jabatan Kesihatan dan juga Pihak Berkuasa Tempatan mengadakan segala program kesedaran, peringatan dan juga menyediakan pelbagai kemudahan pembuangan sampah yang sistematik andai orang awam sendiri tiada kesedaran atau mengambil sikap tidak acuh dan tidak peduli dengan segala macam aktiviti yang dilaksanakan.  Selagi tidak kena batang hidung atau tubuh sendiri tiada sebab buat mereka untuk meneruskan perlakuan pengotor mereka.  Inilah masalah mentaliti dan moral orang kita.  Jika tindakan secara mendidik tidak berkesan kerana kebebalan mereka untuk mematuhinya maka jalan terakhir adalah penguatkuasaan dengan cara mengenakan penalti.  Agensi penguatkuasaan bukanlah terdesak untuk melakukannya tetapi sebagai pendekatan untuk mengajar supaya lebih bertanggungjawab. 

Tiada guna memiliki kereta mewah, kekayaan harta benda, berpendidikan tinggi, memilki status sosial yang tinggi, penampilan yang menarik dan wajah yang menggoda andai akhlak atau moral kepada alam berada dibawah tapak kaki.  Apa yang telah terjadi sekarang tidak akan mengubah keadaan yang lepas, namun ia akan memudahkan urusan masa hadapan.  Kita bukanlah pemilik atau penjaga kepada alam ini kerana alam ini mempunyai Penjaganya sendiri, sebaliknya kita meminjamkan alam ini kepada anak cucu kita pada masa hadapan.  Jadi bertanggungjawablah kepada alam.     


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca