Pengkastaan Bahasa
Bagaimana Korea Selatan bertegas dalam pelaksanaan sistem
pendidikan tinggi kebangsaan yang menggunakan Bahasa Korea (Hangul)?
Sebagai sebuah negara yang benar-benar MERDEKA, Korea Selatan
bertegas untuk tidak berkongsi tempat dengan mana-mana bahasa lain dalam
menjayakan sistem kebangsaannya.
Kerajaan Korea Selatan sedar dan insaf bahawa penggunaan Bahasa Korea
dalam sistem pendidikan bukan sahaja memastikan bangsanya menguasai dengan baik
bahasa berkenaan sebaliknya sebagai JATI DIRI yang dipupuk dalam jiwa dan minda
merdeka mereka.
Inilah KEMEGAHAN yang paling besar dimiliki oleh Korea
apabila mereka berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan lebih efisien dalam
memastikan rakyatnya boleh menghayati jati diri nasional seperti yang dihasrat
oleh kerajaan. Penggunaan Hangul dapat
memastikan seluruh warga Korea mendapat pendidikan dengan cara yang lebih
difahami agar ilmu yang diperolehi dalam bahasa sendiri dapat digunakan untuk
membangunkan ekosistem yang sesuai dengan cita rasa Korea. Ia menunjukkan keaslian ekologi minda atau
autentisiti (authenticity) bangsa mereka dalam mencipta pembangunan berteraskan
kebudayaan Korea. Dan orang luar akan
mengatakan Ya, itu dari Korea.
Inilah yang membezakan Korea dengan Malaysia. Sistem pendidikan kita membenarkan bukan
sahaja pelajar luar memperkotak-katikan atau memperbodohkan dasar bahasa dalam
sistem pendidikan, malahan pelajar dari kalangan bangsa tempatan sendiri yang
menjadi agen penggalak kepada ‘pelacuran’ dasar bahasa itu sendiri. Inilah legasi penjajah yang masih terus
dikekalkan dalam sistem pendidikan negara kita.
Legasi vernakular. Dari sekolah
rendah dipecahkan-pecahkan kepada persekolahan berasaskan kaum dan apabila
belajar di peringkat tertinggi hanya bahasa asing iaitu Inggeris digunakan
sebagai bahasa ‘rasmi’.
Mana ada negara maju yang mengamalkan pengkastaan
bahasa. Bahasa yang berbeza digunakan
dalam sektor yang berbeza. Untuk tujuan
berurusan dengan Kerajaan digunakan Bahasa Melayu, untuk tujuan berurusan
dengan swasta yang menguasai perindustrian dan bernilai komersil digunakan
Bahasa Inggeris. Untuk tujuan perolehan
ilmu sains, teknologi, ekonomi dan perundangan digunakan Bahasa Inggeris. Untuk pemerolehan ilmu berkaitan kesasteraan
dan agama diajarkan ke dalam Bahasa Melayu.
Mana boleh ada dasar ‘pecah dan perintah’ sebegini. Ia tidak langsung membantu keberlangsungan
atau kemandirian Bahasa Melayu itu.
Bahasa Melayu dilayan selayak sebagai ‘pariah’ sedangkan bahasa bekas
penjajah diangkat darjatnya seumpama ‘Brahmin’ setinggi yang mampu.
Ini adalah akibat dari krisis ketidakyakinan dan juga
minda terjajah, minda yang tidak merdeka yang membelenggui sebahagian besar
dari pembuat dasar dan juga para pemegang taruh (share holder) yang terdiri
dari ekonomis, teknologis, elit-elit politik dan tokoh-tokoh perniagaan dalam
penentuan dasar berkenaan. Perasaan
megah dan sombong berbahasa asing tidak pernah dirasakan apabila berbicara
dalam Bahasa Melayu. Sebaliknya rasa
kekerdilan dan kelihatan kekampungan atau bodoh apabila bercakap sepenuhnya
dalam Bahasa Melayu. Mereka merasa
kerdil apa berhadapan dengan sesuatu yang hebat dan besar. Bagi mengelak rasa kekerdilan maka hanya
bahasa asing sahaja yang terpakai supaya mereka kelihatan dan merasakan
sebahagian dari kelompok yang besar. Inilah
masalah keparahan mentaliti yang kian menvirus dalam benak mereka. Masalah persepsi. Lantaran dengan itu ruang, masa dan
perbelanjaan diberikan dalam nisbah yang banyak kepada bahasa asing@Inggeris
berbanding dengan Bahasa Melayu. Bahasa
Melayu sebenarnya tidak pernah berada difikiran apatah lagi dihati mereka. Mereka memperolehi banyak manfaat dan faedah
material dan status sosial menerusi bahasa Inggeris. Hakikatnya mereka hidup dalam ilusi dan kepalsuan
dengan sekadar menumpang tuah bangsa yang berjaya. I
Secara luarannya mereka tanpa berjaya tetapi dari segi
jiwa, pemikiran dan kepercayaan mereka diikat dan dipasung kukuh oleh tuan
mereka. Mungkin mereka menyedari, tetapi
buat-buat tidak sedar dan merelakan diri mereka terus kekal kerana kredit
keselesaan dan kemewahan yang diperolehi.
Tiada siapa yang waras akalnya untuk menafikan
kepentingan penguasaan bahasa asing dalam berurusan dengan masyarakat
luar. Kuasailah apa sahaja bahasa yang
boleh memberikan manfaat kepada kemajuan bangsa. Tetapi tidaklah sampai menggadaikan
kepentingan bahasa ibunda itu (mother tongue) sendiri. Korea Selatan dan lain-lain negara maju tetap
meletakan penguasaan bahasa asing sebagai pra syarat untuk mencapai kemajuan,
Cuma tidak berlebihan seperti mana yang diamalkan oleh Kerajaan kita. Mungkin penguasaan bahasa Inggeris mereka
tidak secemerlang kita, tetapi mereka tidak pernah berada dibelakang kita dari
segi pencapaian sains dan teknologi, kesasteraan, kesukanan serta pembangunan
ekonomi. Mereka berjaya membangunkan kemajuan bangsa berteraskan kekuatan bahasa
tanpa mengabaikan kepentingan menguasai bahasa asing yang lebih kepada tujuan
komunikasi yang pastinya tidak akan mengambil alih peranan bahasa ibunda. Itulah ciri-ciri yang perlu ada sebelum layak
digelar bangsa maju.
Ulasan
Catat Ulasan