Kenapa saya suka menyimpan artikel

Selain dari berlari dan membaca, kegemaran saya adalah suka menyimpan keratan akbar tidak kisah apa sahaja, asalkan ia menarik minat saya dan mempunyai berita.  Saya mula menyimpannya sejak tahun 1996 sewaktu bersekolah di MRSM sehinggalah sekarang.  Bayangkan sudah berapa banyak artikel akbar atau majalah tersimpan dalam puluhan fail dokumentasi peribadi saya sendiri.  Pada mulanya saya hanya menghadkan kepada ucapan Belanjawan yang mana pada ketika dibentang oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim Menteri Kewangan merangkap Timbalan Perdana Menteri. Selepas saya melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi dan ijazah pertama saya mula meluaskan kepada artikel ucapan dan penulisan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun), artikel berkaitan nasionalisme dan patriotisme, artikel berkaitan perbukuan dan pembacaan, wawancara tokoh-tokoh seperti Ungku Aziz, Syed Bukhari, artikel berkenaan bidang kesihatan dan apa jua yang bernilai termasuk kisah-kisah artis seperti Sudirman. 


Apabila saya melanjutkan diperingkat sarjana, minat terhadap isu berkaitan kebahasaan mula tercetus rentetan dari PPSMI.  Sehingga kini persoalan berkaitan kebahasaan dan patriotisme linguistik terus kekal saya simpan.  Begitu juga dengan bidang yang berkaitan kerjaya saya ketika itu kesihatan pekerjaan dan persekitaran, alam sekitar banyak yang saya simpan.  Artikel yang berkaitan dengan perjuangan bangsa mula mendapat tempat apabila saya mula mengenali politik dengan agak baik sewaktu di universiti.  Ia semakin membara dalam diri saya apabila tercetusnya isu berkenaan tuntutan Suqui dan Dong Zhong pertubuhan kaum cina yang begitu lantang memperjuangkan kepentingan mereka.  Secara tidak langsung jiwa sayangkan bangsa dan rasisme timbul dalam jiwa ini.  Selepas saya mula menjinakkan diri dalam dunia larian jalanan pada tahun 2002 saya mula menyimpan artikel yang berkaitan dengan larian dan kecergasan.  Titah ucapan Sultan antara yang saya simpan.  Sultan Dr Nazrin Shah dan Sultan Sharafuddin Idris Shah antara titah dan wawancara baginda yang saya simpan.  Ia banyak menyentuh berkenaan isu bangsa dan agama yang disampaikan dengan cara yang berhemah. 


Dahulu saya rajin  menyusun artikel ini berdasarkan tajuk atau isu.  Kemudian apabila jumlah artikel yang disimpan semakin menimbun saya akhir menyimpan sahaja tanpa mengikut perkumpulan tajuk atau isu.  Sehingga kini saya tidak pasti berapa banyak artikel sebenarnya yang saya simpan.  Ia bersifat rencam dan pelbagai.  Saya tidak menghadkan terhadap sesuatu isu.  Namun secara nisbahnya perkara berkaitan linguistik, ucapan politik, pembacaan dan perbukuan, perjuangan bangsa dan kesihatan adalah yang begitu dekat dengan minat saya.  Semakin lama nilainya akan semakin meninggi kerana saya tahu bukan semuanya mempunyai minat untuk menyimpan secara individu melainkan usaha yang dibuat oleh pihak arkib dan juga perpustakaan.   Bukan semua punyai minat untuk melakukan aktiviti ini.  Ia memerlukan minat yang asas iaitu membaca dan seterusnya memilih artikel atau penulisan yang bernilai.  Setiap orang minat dan tanggapan terhadap sesuatu perkara adalah berbeza. 


Ada yang menganggap berita atau artikel itu begitu bernilai dan ada pula yang menganggap artikel yang sama tiada nilai atau tiada apa-apa yang menarik minatnya.  Tidak mengapalah.  Ada artikel yang saya simpan kena mengena dengan kehidupan dipersekitaran saya. Saya sendiri pernah keluar dalam surat khabar secara tidak sengaja he3.  Ada invididu yang saya pernah jumpa tetapi dipaparkan di dalam surat khabar kerana pencapaiannya.  Ia bukan persoalan akademik atau intelektual, tetapi lebih kepada kehidupan kita yang ada nilai berita.  Perkara yang berkaitan dengan intelektual jarang menarik umum untuk mendekatinya.  Ia adalah kerja yang renyah, rumit dan leceh.  Selain memerlukan minat untuk membaca benda yang serius ia juga menuntut penelitian terhadap isu dengan lebih mendalam.  Saya tidak kata saya pandai atau bijak.  Saya bukanlah belajar tinggi manapun.  Cuma minat saya yang terarah dalam aktiviti ini.  Ia bukanlah sesuatu yang diluar dari kebiasaan.  Sebenarnya ada sahaja orang sebegini, Cuma kita sahaja yang tidak berjumpanya sahaja.  Ada yang saya jumpa, mereka begitu obeses lebih dari saya. 


Banyak yang kongsikan dalam media sosial adalah dari apa yang saya baca dan saya simpan.  Terpulanglah kepada umum untuk membaca atau tidak.  Saya sekadar berkongsi apa yang saya fikirkan ia menarik dan sesuai dibaca.  Saya sekadar memanjangkan apa yang dibuat oleh orang dan memberikan sedikit ulasan atau komen terhadap apa yang saya baca bagi dikongsi bersama.  Penulisan saya pun hanya bertaraf amatur.  Jadi ia tidak seberapa menarik pembaca yang ramai atau mungkin apa yang saya ketengahkan bukanlah minat umum.  Apa yang penting buat saya, saya menggunakan kemudahan yang ada dalam media sosial baik blog, FB dan wassup sebagai medan buat saya untuk terus memperbaiki mutu penulisan saya dan berkongsi mana yang perlu bagi pembacaan umum.  Menerusi dari amalan membaca dan menyimpan artikel ini ia memberikan saya sedikit idea untuk menulis sesuatu dan mempelajari cara penulisan mereka. 


Apabila kita semakin banyak membaca, kita akan teruja untuk menulis.  Menulis bagi saya adalah satu bentuk terapi.  Jika kata-kata terperangkap di dalam minda tetapi tidak dapat dibebaskan dalam format dokumen ia adalah merugikan.  Lebih baik ia diterjemahkan dalam bentuk kata-kata.  Setidak-tidaknya ia memberikan sedikit manfaat kepada sesiapa yang sudi membacanya.  Ianya akan kekal selagi mana ia tersimpan baik. 



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca