Penterjemahan: Persepsi dan Kewajipan

Kenapa saya banyak membaca buku dari negara jiran, Indonesia khususnya buku luar yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia? Seperti sedia maklum, negara tersebut sangat giat dalam melaksanakan penterjemahan karya.  Boleh dikatakan buku-buku yang mendapat jolokan ‘Bestseller’ atau anugerah yang berprestij seperti Nobel, Pullitzer atau Man Booker Prize pasti ada terjemahannya dalam versi Indonesia.  Berbanding dengan Malaysia yang agak jauh ketinggalan dari segi daya usahanya untuk melakukan penterjemahan. 

Keadaan ini adalah disebabkan kelompok yang menguasai kemahiran dwibahasa yang ramai.  Ini bersandarkan kepada pengaruh Inggeris yang menjajah hampir 200 tahun Malaysia, menyebabkan pendidikan di Malaysia masih lagi meneruskan legasi penjajah.  Selain dari itu persepsi atau tanggapan warga Malaysia terhadap pembaca karya terjemahan itu sendiri. Mereka menganggap pembaca yang membaca karya terjemahan adalah mereka yang tidak berkemahiran dalam penguasaan bahasa berkenaan berbanding dengan mereka yang berkemahiran, mendapat manfaat dari bahasa sumber.  Sungguhpun demikian, penterjemahan tetap perlu dilakukan. 

Apakah negara maju seperti Jerman, Perancis, Jepun, Korea malahan China yang masih terus menerus melakukan penterjemahan besar-besaran sehinggi kini adalah mereka yang tidak mahir pelbagai berbahasa sumber (dalam konteks ini adalah Inggeris) walaupun mereka telah mencapai status negara maju meninggalkan Inggeris dan negara yang berseketurunan dengannya dalam sesetengah keadaan?  Ini Cuma anggapan atau persepsi bagi menimbulkan stigma.  Stigma negatif terhadap mereka tidak menguasai bahasa inggeris yang dianggap bahasa super global akan menyebabkan kehilangan daya saing atau kompetitif sehingga ketinggalan.  Stigma atau sentimen sebegini hanya wujud dikalangan negara yang pernah berada dibawah penjajahan sekian lama sehingga menyebabkan walaupun telah mencapai kemerdekaan dari segi fizikal atau lahiriahnya tetapi jiwa dan mentality tetap terpasung dengan keagungan atau keterpesonaan terhadap penjajah.  Ini termasuklah juga dalam penerusan berbahasa dan berbudaya mengikut tuan penjajah mereka.  Malaysia antaranya yang masih tebal perasaan dan sentimen terhadap bekas tuan penjajahnya, Inggeris. 

Apakah Inggeris 300 tahun dahulu merupakan bangsa yang bodoh semata-mata mereka melakukan penterjemahan? Mereka merupakan antara bangsa yang giat melakukan penterjemahan selepas Itali dan Perancis.  Hampir semua karya besar dan agung silam ada dalam versi terjemahan bahasa Inggeris.  Malahan kebanyakkan karya agung Islam adalah dari sumber sekunder iaitu dari versi terjemahan bahasa Latin dan Perancis dan bukannya dari bahasa sumber asal iaitu Arab.  Apakah mereka tidak berkemahiran?  Sebenarnya inilah rahsia kepada kebangkitan bangsa Inggeris.  Berkat dari kesedaran nasionalisme yang tinggi termasuk juga kesedaran linguistik yang tinggi disamping pembabitan dalam Perang Salib yang dipupuk kebencian terhadap kuasa Islam ketika itu, menjadikan mereka berusaha lebih gigih untuk mempertinggikan darjat bangsa mereka dari semua segi termasuk bahasanya sekali.  Tetapi sayang perasaan sedemikian tiada dimiliki oleh sebahagian besar kepemimpinan negara kita dan juga golongan elitis baik ilmuwan, teknokrat dan para usahawan yang menguasai dunia konglemerat dan multinasional. 

Penterjemahan adalah satu jendela atau pintu kepada gedung ilmu sesuatu bangsa.  Kita tidak memerlukan ramai yang mahir bahasa berkenaan. Cukup dengan mereka yang punyai tahap penguasaan yang baik dan menterjemahkan ilmu berkenaan dalam bahasa sasaran bangsa mereka.  Ilmu-ilmu yang diterjemah akan terus merakyat kepada bangsa mereka.  Benar kita memerlukan penguasaan sesuatu bahasa, tetapi apakah kita memerlukan semua orang menguasai bahasa tersebut pada tahap tertinggi?  Apakah semua bangsa inggeris ketika dahulu memiliki penguasaan tertinggi bahasa Latin, Perancis dan Arab tahap tertinggi sehingga membolehkan mereka menterjemahkan ilmu ke dalam bahasa Inggeris?  Tidak.  Cuma segelintir sahaja.  Tetapi merekalah yang sangat komited, berdedikasi dan sedia berkorban untuk kepentingan dalam misi memandaikan bangsa mereka dalam bahasanya sendiri.  Hasilnya bangsa mereka yang dahulunya hidup di kepulauan yang jauh di benua Eropah akhirnya menguasai sepertiga dunia dengan kuasa ketenteraan secara fizikalnya dan sesudah era pasca colonial, bangsa mereka terus menguasai dunia secara keseluruhannya menerusi bahasa mereka. 


Apa yang lebih penting adalah maksud yang dihasratkan dalam penulisan buku atau dokumen itu boleh difahami oleh bangsa lain.  Adakalanya sukar untuk memahami secara langsung bahasa mereka, tetapi dapat difahami dengan baik apabila ianya dilakukan penterjemahan yang baik oleh penterjemah yang hebat.  Ini adalah disebabkan kebolehan penterjemah tersebut menguasai dan memahami dengan baik buku atau dokumen tersebut.  Semua tamadun besar yang wujud di dunia sama ada dari tamadun silam atau kini adalah bergantung kepada pembangunan peradaban ilmunya.  Antaranya adalah bidang penterjemahan ilmu luar ke dalam bahasa sumber tempatan, sementara pembangunan ilmu dalam konteks tempatan yang menggunakan bahasa tempatan terus dipergiatkan.  Tiada jalan yang pintas untuk maju, semuanya memerlukan usaha yang panjang dan konsisten.  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca