Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu: Retorika dan Ironiknya

Usaha untuk mengadakan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu adalah pendekatan yang terbaik dalam mengantarabangsakan Bahasa Melayu yang telah berstatus antarabangsa.  Ianya pendekatan untuk memegahkan dan melahirkan rasa bangga terhadap penggunaan Bahasa Melayu yang sememangnya telah mencapai tahap pengucapan intelektual budaya dan pemikiran tinggi.  Ironi sekali, hakikatnya Bahasa Melayu yang dimegahkan dalam pertandingan dan diucapkan dengan penuh berapi hanyalah retorika atau kepura-puraan sahaja, di tanah kelahirannya atau di buminya ia seakan-akan dipinggirkan dengan begitu sistematik sekali.


Yang meminggirkannya bukanlah bangsa imigran yang diberikan taraf kewarganegaraan atau bangsa asing yang diberikan status pemaustatin sementara atau tetap, ianya dipinggirkan oleh penutur jati yang hilang jati diri, perasaan hormat, perasaan bangga, perasaan megah dan perasaan patriotisme linguistiknya terhadap bahasanya sendiri.  Mereka merasakan bijak, terpelajar, berstatus dan maju apabila menuturkan dengan fasih sekali bahasa inggeris.  Tiada siapa menafikan penguasaan bahasa asing, tetapi biarlah dilakukan dengan bijaksana dan berlaku adil.  Keadilan dalam berbahasalah yang perlu diberi penekanan.  Berbahasalah pada tempatnya.  Itulah yang dilakukan oleh negara bangsa maju.  



Dalam pembinaan bangsa, Kementerian Pendidikan langsung tidak memperlihatkan keprihatinan atau ketegasan dalam soal berbahasa.  Selepas berjaya menubuhkan menukarkan bahasa pengantar kepada Bahasa Melayu dan kemuncaknya adalah penubuhan UKM pada tahun 1970, pada tahun 1993 beberapa kursus di Universiti Awam diberikan pengecualian untuk mengajar dalam bahasa inggeris atas alasan hilangnya daya saing dikalangan mahasiswa oleh pucuk pimpinan ketika itu.  Bermula dengan Akta Pendidikan 1996 yang melonggarkan syarat penggunaan Bahasa Melayu diperingkat pengajian tinggi Bahasa Melayu, bermulah episod merendahkan martabat Bahasa Melayu itu sendiri dengan PPSMI pada 2003.  Lalu dihentikan seketika pada 2012 akibat bantahan rakyat kerana meminggirkan bahasa Melayu dan dihidupkan semula dengan versi yang lebih drakonik iaitu DLP pada tahun 2015.  Semuanya ini dibentuk oleh sekumpulan pemikir dan pemain industri yang rendah jati dirinya tetapi amat bangga mengaku sebagai warga Malaysia.  Mereka tidak sedar bahawa jiwa dan minda mereka terpasung dengan keagungan bahasa inggeris. 


Bahasa Melayu diserang dari segenap sudut akibat dari ketidakpercayaan terhadap keupayaan bahasa ini untuk memandaikan bangsa dan membina kemajuan bangsa.  Bahasa Melayu di sini seakan-akan memerlukan talian hayatnya bagi meneruskan kelangsungan survivalitinya.  Peminggiran atau pengesampingannya di dalam sektor swasta yang diteraju majoritinya oleh bangsa imigran jelas menganaktirikan Bahasa Melayu sebaliknya meletakan penggunaan utama bahasa asing khususnya Inggeris dalam urusan rasminya termasuk juga penggunaan bahasa etnik Tionghua.  Nilai Bahasa Melayu juga terus dilacurkan di semua GLC atau GLIC yang jelas memartabatkan penggunaan bahasa inggeris dalam semua urusan rasminya.  Lebih malang lagi sektor awam yang peneraju utamanya adalah penutur jati tidak mempraktik penggunaan Bahasa Melayu seratus peratus.  Sebagai contoh sektor perbankan atau perbendaharaan dan kehakimanan jelas menggunakan bahasa inggeris melebihi dari yang sepatutnya.  Walhal yang mengetuainya adalah dari kalangan penutur jatinya. 


Inilah hakikat yang perlu diketahui bahasa Melayu yang dipelajari atau dituturi oleh bangsa asing adalah langsung tidak dimartabatkan di tanah airnya sendiri.  Bahasa Melayu yang mereka pelajari hanyalah layak untuk kegunaan taraf rendah sahaja untuk sebahagian dari kehidupan di sini.  Di bahagian lainnya pula bahasa asing dimartabatkan dan diperkasakan dengan melulu dan keterlaluan.  Malaysia bukanlah tempat terbaik untuk melahirkan warga asing yang mampu berbicara bahasa Melayu dengan penuh ketrampilan.  Kerana realit kehidupan di sini tidak menggambarkan apa dibayangkan.  Indonesia adalah tempat terbaik untuk belajar dan seterusnya mempraktikan baik dalam percakapan, membaca dan menulis. 


Sebab kenapa ditulis sedemikian? Mungkin kerana kecewa, namun apa yang lebih terkesan adalah kerana terhakisnya rasa kepercayaan terhadap pihak diamanahkan untuk memartabatkan Bahasa Melayu.  Mereka mengabaikan langsung Wasiat Raja Melayu yang menitahkan agar Bahasa Melayu tidak dipinggirkan dan memastikan penggunaannya dimartabatkan.  Biarpun kesungguhan dan keazaman yang tinggi diperlihatkan oleh agensi seperti DBP, ITBM dan puluhan penerbit dan NGO yang tegar dan kental perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu,ia akan tetap tidak berjaya jika kepemimpinan negara sendiri tidak meletakan keyakinan yang tinggi dan komitmen politik yang jitu serta berjiwa besar dalam memperkasakan Bahasa Melayu dalam semua ranah tanpa pengecualian seperti mana yang berjaya dilakukan oleh Indonesia, Thailand, China, Jepun, Jerman, Britain, USA yang begitu yakin untuk maju dengan bahasanya sendiri. 


Sebenarnya tiada titik noktah dalam sesuatu perjuangan.  Mungkin cara penulisan adalah instrumen atau medium terbaik untuk memberikan pencerahan disebalik kekurangan diri.  Apa yang lebih penting teruskan menulis.  Kita perlu memperbetulkan kelaziman yang salah dan melazimkan atau membiasakan yang betul.  Niatkan dengan baik agar diberikan kefahaman dan bukannya untuk menimbulkan perdebatan dan polemik.  Selebihnya kita serahkan kepada Allah.   

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca