SEMINAR PROFESSIONAL QURANIC MASTERPLAN


Alhamdulillah 27 Febuari 2016 Allah izinkan kami sekeluarga menghadiri seminar dari IPN dan PROFAZZ, suami dan anak-anak turut serta :)

Apabila zaman berubah, semakin canggih semakin banyak yang ingin dikejar, hakikatnya apa yang kita mahu sebenarnya dan penghujungnya kita hanya menuju kesana bukan?
Biarlah sesetengah menganggap seminar begini hanya untuk ustaz ustazah atau hafiz hafizah, tiada yang mustahil jika kita mahu teruskan usaha, sedangkan niat pun Allah beri ganjaran inikan pula sekecil-kecil usaha dengan menghadiri seminar sehingga usaha ke arah yang lebih jauh dilaksanakan

Seminar dimulakan dengan sesi pertama oleh Pn Lina pengasas atau founder IPN, Mukadimah yang menarik apabila Puan Lina berkongsi pengalaman beliau  berinteraksi bersama Darwish. Kisah seorang cina menunggang motosikal dengan membawa 2 orang anak. darwish mempertikaikan tindakan pakcik tersebut, kerana mengikut undang-undang motosikal hanya boleh dinaiki 2 orang, sedangkan pakcik tersebut membonceng melebihi 2 orang. Pn Lina gemar menggunakan peluang yang ada dengan memancing anaknya supaya sentiasa termotivasi. Pn Lina menjelaskan bahawa, pakcik cina sanggup supaya dapat membawa anaknya belajar untuk berjaya, begitu juga Darwish "You should do whatever to success like that uncle" selagi usaha itu tidak dilarang oleh Allah lakukan untuk capai impian.

Kemudian disambung pula dengan kisah sekumpulan katak yang tinggal disebuah tasik, ditasik tersebut ada dtembok yg besar dan tinggi. Walaupun kumpulan katak tersebut boleh menghidu makanan disebalik tempoh tetapi kumpulan katak ini sentiasa berfikiran negetif bahawa mereka tidak mampu menyeberangi temboh tersebut, tetapi hanya seekor sahaja yang tidak berfikiran begitu dengan mencuba  melompat dan berjaya kerana katak ini pekak dan tidak dapat mendengar kata-kata katak yang lain. Walaupun katak pekak berjaya melepasi tempok tersebut, tetapi semua katak yang tinggal masih lagi tidak mencuba kerana mereka fikir katak itu berjaya dan pekak kerana tuhan itu adil, mestila  katak pekak diberi kelebihan untuk melompat dengan tinggi sekali dan berjaya. Mereka sentiasa berfikiran negatif dan tidak mencuba. Begitula nasib kita jika tidak mencuba...

Puan Lina menceritakan kisah berkenaan pemakaian tali pinggang.  Anak-anaknya tidak memakai tali pinggang keselamatan kerana ianya bukan dilakukan oleh Nabi.  Benar ia tidak dibuat oleh Baginda, tetapi dalam konteks sekarang ianya adalah satu kesalahan jika tidak memakaikannya atas alasan keselamatan.  Zaman tersebut orang menaiki unta atau kuda, jadi memanglah tidak memakai apa-apa perlindungan keselamatan.  Apa yang penting adalah mencegahkan diri dari terjebak kepada kemudaratan.  Bukankah Islam menganjurkan supaya mencegah kemudaratan.  Cumanya di sini anak beliau cuba mengaitkan situasi sekarang dengan apa yang dilakukan di zaman Rasullallah. 

Kisah Less Murray yang Berjaya menyambung pelajaran ke Universiti Havard disebalik kisah keluarganya yang terlibat dalam penyalahgunaan dadan dan juga HIV+.  (ada videonya dalam Youtube)

Diet seperti kurma merah dan raisin yang direndam dalam air panas dan juga air barli sebagai minuman kesihatan yang boleh dibikin sendiri. 

Kenapa mesti Quranic Professional?

Untuk dunia dan akhirat. Tiada gunanya menjadi cerdik tetapi jahil al-Quran. Kepentingan mempelajari Al Ouran bagi mengenal huruf, membaca, menghafal, memahami dan menjadi sebagai asas pandangan atau pandangan dunia (weltanschauung) bagi seorang anak. 

Puan Lina kebiasaannya akan menyuruh anak-anaknya untuk bermain pada jam 5.30 petang.  Secara alaminya kanak-kanak akan bermain tetapi tentukan masa.  Kita boleh menentukan sama ada anak-anak kita ini introvert (bersendirian) atau ekstrovert (suka berkawan).  Mereka yang jenis ekstrovert akan mencari kawan dan menyesuaikan diri untuk berkawan.  Pernah pengalaman anak puan Lina sendiri terlihat video lucah yang tersimpan dalam ipad milik rakannya lalu memutuskan persahabatan dengan rakannya kerana prinsip.  Prinsip untuk tidak melihat perkara-perkara yang lagha (sia-sia) adalah sudah terbina dalam diri anak Puan Lina asbab dari didikan Al-Quran yang diterapkan di dalam diri mereka.  Mereka dapat menilai dan mengenal mana yang baik dan buruk. 

Untuk merancang keperluan anak, janganlah meletakkan harapan atau ekspatasi yang tinggi kerana kita tidak mengetahui halangan yang berada dihadapannya.  Jadi rancanglah dengan betul dan sesuaikan dengan keperluan dan kemampuan anak tersebut.  Jangan terlalu memaksa tetapi didiklah dengan berhemah dan berhikmah.  

Puan Lina juga berkongsi pengalamannya dalam mendidik anak-anaknya dengan kaedah arithmetic.  Beliau mengambila masa dua tahun bagi memahirkan anak-anaknya dengan kaedah tersebut sehingga mereka mahir mengira angka-angka besar tanpa menggunakan kalkulator. 

Imam Syafie menghafal Al-Quran 30 juzuk ketika berusia 7 tahun.  Ianya tidak diajarkan dengan tajwid sebaliknya diajar mengenal huruf dan ayat. Tajwid itu akan datang kemudian apabila ia sudah mempraktikan bacaan tersebut. Subjek tajwid boleh dipelajari dengan berguru apabila mereka sudah menguasai kemahiran membaca Al-Quran.  Apa yang penting diajarkannya membaca. 

Sigmeud Freud - Tokoh yang mempelopori teori minda bawah sedar.  Antara praktik yang boleh digunapakai adalah menghafal Al-Quran semasa hendak tidur atau menghafal ketikanya dalam keadaan mamai.  Ia semacam flash back atau mengingati semula apa yang telah kita pelajari sebelumnya. 

Anak-anak yang selalu mendengar Al-Quran sebelum tidur, sukar untuk melelapkan matanya jika tidak mendengar Al-Quran. Ini adalah pengalaman yang dilalui oleh anak Puan Lina sendiri.  Beliau akan membawa radio kecil atau compact untuk diperdengarkan kepada anak-anaknya jika mereka bermalam di hotel. 

Sistem persekolahan adalah ciptaan barat, khususnya yang dibawa oleh penjajah kita, Inggeris.  Ia merupakan legasi atau tinggalan penjajah yang diteruskan oleh Malaysia dalam membentuk generasi yang berpendidikan.  Sebab itu setiap keluaran atau produk yang dihasilkan disebut sebagai batch atau istilah yang digunakan dalam konteks barangan. 

Puan Lina sendiri pernah menghadiri kursus berkaitan pemprograman.  Majoritinya dihadiri oleh cina dan Cuma segelintir sahaja Melayu.  

Untuk kekal membaca dalam tempoh yang lama, jangan mengamalkan pembacaan dengan menunduk kerana ia akan menyebabkan kita mudah mengantuk.  Kaedah terbaik adalah dengan meletakkan bahan bacaan pada paras mata. 
 
Dalam usia bayi 4 bulan perasaan malu sudah ada dalam diri mereka.  Maka dengan itu menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk melatihkan rasa malu agar ianya bertempat. Ada keadaan kita perlu merasa malu da nada keadaan kita tidak perlu merasa malu. 

AL Haya – sesungguhnya bagi sesiapa yang beragama itu adalah akhlaknya dan aklhak bagi orang Islam adalah malu. 

Muhammad Al-Fateh selain sebagai seorang Sultan dan panglima perang juga memiliki bakat melukis.  Banyak dari hasil lukisan baginda dipamerkan di Muzium Turki. 


Web untuk trait personaliti.



Surah Yusuf dan An-Nur, terdapat ayat-ayat yang mengisahkan berkenaan perzinaan dan pelacuran. Ini adalah sebagai satu bentuk pendidikan bagi mengelakan anak-anak terjerumus ke lembah berkenaan. 

Kaedah SASU, kaedah untuk mengaitkan setiap tindakan yang dilakukan seharian atau rutin bermula dengan bangun tidur sehingga tidur adalah berpandukan kepada ayat al-Quran dan doa yang berkaitan dengannya. 

Filem
  • The Pursuit of Happynesss (are we limiting our child potential)
  • Ben underwood:The Boys sees the world without eyes
  • Liz Murray:From Homeless to Havard


PROFAZZ

Professional dalam kerjaya

Huffaz dalam menghafal dan menjaga Al-Quran

Bukan hasil yang diperlihatkan, tetapi apa ikhtiar yang kita usahakan untuk mencapai hasil tersebut.  Hasil tidak semestinya membuahkan apa yang diingini ataupun tidak, tetapi ikhtiarlah yang perlu diberi penekanan dalam mengusahakan hasil tersebut. 

Masa bujang atau sebelum berkahwin adalah masa yang penting dalam menentukan apa karektor anak kita pada masa hadapan.  Jika baik kita pada masa bujang, Inn Shaa Allah anak yang bakal diperolehi kelak akan turut baik.  Namun sebenarnya factor persekitaranlah yang banyak menentukan pembentukan anak tersebut.  Pembawaan genetic hanya menyumbang kepada 10-20 % sahaja sebenarnya.  Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.  Permulaan yang baik akan diakhiri dengan penamat yang baik. 

Peringkat kehidupan dalam membentuk Huffaz

0-3 tahun

Nabi mengajar setiap sahabatnya dengan cara yang berbeza.  Ini adalah kerana ciri dan keperluan setiap sahabat itu adalah berbeza.  Pencapaian dan kemampuan setiap sahabat juga berbeza. Jadi setiap pengajaran yang diberi adalah mengikut kesesuaian dan kebolehan mereka untuk mengamalnya. Maka ajarkan anak juga adalah mengikut tahap mereka.

Fokus kepada pembacaan.  Bentukkan budaya membaca dikalangan ahli keluarga.  Membudayakan amalan membaca dengan mengwujudkan sudut bacaan atau perpustakaan di rumah.  Adakan buku dan Al-Quran.  Baca dihadapan mereka. 

4-9 tahun

Ibu bapa adalah sebagai rakan sepermainan.  Bermainlah dengan anak-anak.  Pada saat ini pupuklah budaya membaca dengan buku-buku yang baik yang berunsur keislaman dan tokoh-tokoh besar Islam. 

10-15 tahun

Membentuk pembudayaan Al-Quran.  Janganlah memaksa mereka.  Seterusnya kita serahkan kepada Allah.
 
Pendedahan kepada pendidikan luar dengan lebih intensif.  Pendidikan yang ada pentarbiyahan agama.  Akademik yang formal dengan pendidikan agama berjalan seiringan.  Pendidikan adalah priority yang tertinggi.  Doktrinisasi dari ibu bapa adalah dengan apa yang diajar.  Hasilnya nanti akan membentuk siapa anak mereka kelak.  Perlu memupuk rasa kebanggan dan kemegahan sebagai seorang muslim pada diri anak-anak. 

16-17 tahun

Boleh dihantar ke maahad Tahfiz (tempoh 2 tahun).  Ini bergantung kepada kecepatan atau kecekapan mereka dalam menghafal Al-Quran.  Tidak digalakkan untuk menghantar anak pada usia yang terlalu muda kerana mereka masih tidak memahami apa kehendak mereka mereka.  Sebaik-baiknya hantar mereka dengan kerelaan mereka sendiri atau atau kesedaran sebaik mereka bersedia.  Dengan cara ini mereka lebih jelas matlamat mereka menghafal Al-Quran.
 
Mereka akan menghafal dengan maturity atau kematangan dan apa yang lebih penting mereka berupaya untuk memahami apa yang mereka hafal serta berupaya untuk menyampaikannya dengan baik.  Selain dari itu penguasaan bahasa Arab yang baik banyak membantu anak-anak untuk mempercepatkan proses penghafalan kerana mereka faham apa yang mereka baca. 


Kenapa adanya sifat lupa? Ini adalah fitrah manusia itu sendiri.  Allah menjadikan manusia ini mudah lupa supaya mereka sentiasa berdampingan dengan Al-Quran dan terus membacanya disamping mengukuhkan hafalan.  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca