Bahasa Menunjukan Bangsa…

(i)

Jerman tersenarai kalangan 10 teratas negara bukan berbahasa inggeris yang memiliki kefasihan dengan skor 61.83 berbanding dengan Sweden yang menduduki carta teratas dengan skor 70.94 menurut laporan yang dikeluarkan oleh EF EPI English Proficiency Index.  Manakala Malaysia yang begitu megah bertutur dalam bahasa tersebut walaupun tidak kena pada tempatnya hanya menduduki nombor ke-14 dengan skor 60.30 iaitu dibawah 2 anak tangga berbanding pencabar terdekatnya Singapura, 61.08.  Walau bagaimanapun Singapura ini sebenarnya tidaklah dikelompokan sebagai negara bertutur dalam bahasa asal kerana komposisi warga dalam negaranya 80% adalah bukan warga asalnya sebaliknya bangsa imigran yang dibawa masuk oleh penjajah tetapi dilantikan secara automatic disebabkan hilangnya taraf kedaulatan dan maruah fungsi bangsa asal, Melayu. 

Aneh sekali India dan Filipina yang merupakan mengimport tenaga buruh murah fasih berbahasa inggeris langsung tidak termasuk dalam carta tersebut.  begitu juga dengan Brunei yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya diperingkat pendidikan menengah dan tinggi tidak termasuk.  Hanya Malaysia dan Singapura sahaja jaguh yang memiliki kefasihan inggeris tertinggi dikalangan negara Asia yang berjaya menewaskan negara kuasa ekonomi dunia seperti Jepun, Korea Selatan, China. 

Sungguhpun demikian dengan kedudukan 10 teratas ia tidak menjadikan Jerman kehilangan jati dirinya sebagai bangsa Aryan.  Bahasa mereka dipertuturkan dengan penuh kemegahan dan kebanggaan.  Jika berkunjung ke sana amatlah sukar untuk melihat papan tanda, nama tempat atau struktur, iklan, akbar baik dalam medium bercetak mahupun elektronik, rancangan televisyen atau radio yang menggunakan bahasa asing khususnya inggeris.  Hampir semuanya menggunakan bahasa Jerman.  Semangat nasionalisme dan patriotisme linguistic dikalangan warganya diterjemahkan dengan penuh kebanggaan baik dalam pertuturan mahupun dalam penulisan.  Begitu juga dengan bangsa pendatang atau imigran hampir semua bertutur dalam bahasa Jerman.  Kekuatan ekonomi sebagai negara ke-4 terkaya di dunia dan kuasa terkuat di Eropah tidak melunturkan jati diri berbahasa mereka. 

Berbeza benar dengan negara kita, begitu poyo sekali berbahasa inggeris kerana pada telah menjadi satu stigma dengan bijak atau fasih berbahasa inggeris mereka diklasifikasikan sebagai terpelajar atau berstatus.  Inilah mentaliti bangsa terjajah kerana sekian lama dididik dengan pendidikan legasi penjajah.  Sehingga kini negara kita yang dipimpin oleh pemimpin tempatan dengan penuh bangga tetap meneruskan pembelajaran mengikut tinggalan penjajah.  Bahasa bekas tuan penjajah tetap diletakan berseiringan dalam bahasa Melayu dan keadaan ini seringkali menyebabkan penindasan secara nyata atau tidak nyata terhadap bahasa Melayu itu sendiri. Walaupun mendakwa menggunakan bahasa Melayu hakikatnya bahasa Melayu tidak lebih sekadar symbol dalam Perlembagaan Negara dalam Fasal 152. Kegunaannya hanya terhad dalam sektor awam, pembelajaran agama dan pendidikan rendah  dan menengah sebelum pelaksanaan DLP serta semakin mengecil peratusannya apabila ke peringkat tertinggi kerana dasar kerajaan yang menggalakan penggunaan bahasa asing dalam pembelajaran berteraskan STEM.  Dalam sektor swasta, perbankan, kewangan, perindustrian dan perundangan hampir semuanya dalam bahasa inggeris dan sedikit keistimewaan terhadap bahasa etnik tionghua.  Bahasa Melayu sekadar melukut ditepi gantang.  Tiada nilai komersil dan ekonomi melainkan sekadar kesasteraan tempatan berbahasa Melayu, kuliah-kuliah atau ceramah agama dan urusan rasmi kerajaan. 


Begitulah nasibnya Bahasa Melayu.  Tiada yang megah atau bangga untuk bertutur dengannya.  Hanya bahasa beragam rendah buat mereka yang taksub atau kemaruk dengan keberadaannya.  Situasi ini hanyalah terjadi kalangan negara yang pernah dijajah dan terus menggunakannya demi kemajuan mengikut acuan tuannya.  Kata-kata pemimpin sekadar retorika politik yang sukar untuk diterima pakai.  Munafik dalam berbicara, berucap bangga menyatakan bahawa bahasa Melayu adalah lambang perpaduan dan kemajuan bangsa.  Sebetulnya ia tidak pernah berlaku.  Kerana bahasa asing mengambil alih peranan tersebut.  

(ii)

Begitu mudah dan rapuhnya orang Melayu apabila melupakan perjuangan sebuah institusi bersejarah, betapa mudahnya sikap kacang melupakan kulit yang berlaku selepas 46 tahun mencapai kemerdekaan disaat warganya mula menikmati hasil dari pemartabatannya sebagai bahasa ilmu.  Bangsa begitu cepat melupakan bahawa kejayaan sebahagian besar dari peneraju pembangunan negara adalah hasil dari perjuangan pemartabatan dan pengangkatan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang diarusperdanakan dalam sistem pendidikan nasional bermula pada saat kita mula mencapai kemerdekaan. 

Kalangan mereka yang menjadi kapten atau peneraju dipelbagai konglamerat, industry dan syarikat perniagaan adalah dijaguhkan dari mereka yang pernah mendapat pendidikan asas yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.  Lebih menghibakan nasib Bahasa Melayu diperlekehkan disaat orang melayu menjadi peneraju utama kepemimpinan negara.  Mereka yang diberikan amanah menerusi peti undi dalam memartabatkan nasib bangsa. 

Ketika menghadapi hari-hari malap dimana fungsinya sebagai bahasa ilmu untuk bidang sains, teknologi dan matematik, NGO-NGO yang berkaitan bangkit memperjuangkan nasib bahasa berkenaan dalam pelbagai seminar, bengkel, persidangan meja bulat, dialog dan pendokumentasian dalam bentuk buku merayu untuk mendapatkan sokongan.  Malang sekali mereka telah dilayan bagaikan pengemis oleh para pemimpin yang taksub dengan dasar yang dibangunkan secara tergesa-gesa, diperlekehkan oleh para teknokrat, elitis dan pengagum bahasa tersebut.  Mereka dengan bangganya mengatakan bahawa pengukuran patriotism mereka tiada kena mengena dengan bahasa Melayu sebaliknya berapa tingginya sumbangan material yang mereka sumbangkan kepada negara. 

Mereka tidak menunjukan minat untuk sama menyumbang dalam pemartabatan dan mengarusperdanakan bahasa Melayu dalam bentuk talian hayat untuk penerusannya sebagai bahasa pembangunan negara.  Pada mereka hanya bahasa asing, iaitu Inggeris sahaja sebagai bahasa mutlak yang mampu membawa kepada kemajuan negara.  Bahasa Melayu terus diperlekeh dengan menganggapnya tiada nilai komersil, ekonomi dan teknikal.  Mereka terus membutakan mata, menulikan telinga dan membisukan mulut bagi melihat hakikat dan kebenaran yang diamalkan oleh negara-negara maju.  Negara maju begitu megah dan bangga menuturkan bahasa mereka sendiri dalam semua ruang lingkup kehidupan tanpa berkompromi.  Nasib yang menimpa Bahasa Melayu adalah satu tamparan yang sepatutnya menginsafkan dan menyedarkan umat Melayu dan mereka yang meneriak bangga mengatakan mereka ini orang Malaysia tetapi mulut dan hati langsung tiada sekelumit perasaan bangga untuk menuturkan dengan fasih dalam bahasa berkenaan.

Ini adalah manifestasi kepada betapa rapuh dan tipisnya semangat nasionalisme linguistik dikalangan penutur jati dan juga mereka yang diberikan taraf kewarganegaraan secara automatik.  Bencana yang menimpa kita jika tidak dibendung pastikan akan menjadikan bahasa Melayu sekadar bahasa pertuturan taraf rendah.  Seperti yang pernah diungkapkan oleh Voltaire, penulis terkenal Jerman kurun ke-18 seorang pengagum bahasa Perancis dan Latin, memperlekehkan bahawa bahasa Jerman bahasa Jerman hanya dituturkan oleh “golongan tentera dan kuda-kuda sahaja”.  Apakah itu yang kita hendak?...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca