Cabaran Route 68...

Alhamdulilah..berjaya menamatkan cabaran Larian Ultra Route 68 edisi ke-2 penganjurannya pada 10 April 2016.  Saya menganggapnya ini adalah ‘hadiah’ hari lahir saya ke-36 pada 3 April lepas. Mampu lagi menguji kesihatan dan keupayaan diri dalam acara yang agak ekstrem ini. Dengan jarak 70km melalui 7 hentian, bermula dari Dewan Orang Asli ke Kolam Air Panas Bentong sejauh 35km pergi dan kembali.  Berjaya menamatkan dalam masa 11jam ++ dengan cut off 12jam.  Ini adalah penyertaan kami yang pertama ini acara ini dan kali ketiga bagi larian ultra selepas 2 kali P100 (100km).  





Larian yang amat memeritkan dan menjerihkan. 16km pendakian, 19km menuruni bukit dan kembali dengan 19km pendakian dan 16km menuruni.  Nyaris hendak mengalami dehidrasi atau strok haba (heat stroke) kerana mula terasa mual dan hendak pitam.   Ubatnya, minum air secara berterusan.  Saat yang paling menguji mental adalah berpatah balik semula dari CP 7 ke CP 3 dengan laluan yang mendaki.  Hendak menangis rasanya hu3…penyesalan hanyalah ungkapan pada mulut sahaja, tetapi tidak pada hati he3...





Masa pelepasan adalah jam 6 pagi, namun kami terlewat 15 minit kerana menunaikan solat Subuh di Dewan Orang Asli.  Selepas 3km berlari dalam kegelapan barulah menemui pelari pertama yang terkebelakang dan seterusnya.  Kiri dan kanan adalah hutan dan gaung, maklumlah melalui Jalan Gombak  Lama.  Cuak juga kerana pada permulaan larian diwaktu pagi hari yang masih gelap, tiba-tiba kedengaran bunyi semacam mengekori kami dari hutan disebelah kanan kami.  Bunyinya seumpama bergerak dari dahan ke dahan dan bukannya dari tanah.  Hendak kata monyet pun tidak juga kerana hari masih gelap.  Untuk menyedapkan hati, anggapnya sebagai babi hutan dan pada masa yang sama mulut terus membaca ayat Kursi.  Apabila ternampak kelipan lampu, blinker itu menandakan ada pelari dihadapan kami. Hari pun sudah pun mula menyiang hari. Disebelah kiri kami adalah gaung dan disebelah kanan kami adalah tebing.  Bergurau juga dengan adik selaku pace atau peneman saya, jika dibuang mayat ditepi gaung ini tiada siapa yang tahu.  Dengan syarat kenalah bijak dalam melupuskan mayat tersebut supaya tidak tersangkut di mana-mana pokok atau banirnya.  Jika tidak jika mayat sudah mula berbau pastinya ia akan menarik perhatian orang yang lalu lalang untuk mengetahuinya.  Rupa-rupanya memang ada kes pada hari berlangsungnya acara itu, mereka yang berbasikal di laluan tersebut (tidak diketahui dengan tepat di mana lokasinya) telah menemui mayat wanita digaung (dipaparkan dalam mystar dan Metro keesokannya Isnin, 11 April). 


Kami memulakan larian dengan pendakian.  Dari garisan permulaan sehingga ke CP 3 adalah bukit semata-mata dengan kecerunan yang berbeza.  Walaupun tidak secerun acara larian King of Bukit Larut yang sangat terasa tinggi sejauh 13km, namun 16km tetap terasa peritnya.  Sesudah melepas persimpangan jejantas ke Genting Highlands keadaan mula menurun.  Saya fikir mungkin CP 5 pusingan U adalah di Janda Baik, rupanya jangkaan saya meleset kerana CP 5 baru berjarak 25 km dan kami perlu melepasi 2 lagi CP yang berjarak 5.5km dan 4.5km setiap satunya.  Baru terasa mental.  Sungguhpun bukit yang dituruni adalah landai mungkin dalam kecerunan 15-20 darjah tetapi saya boleh membayangkan apabila berpatah balik semula.  Jam pada waktu tersebut sudahpun 9.45 pagi matahari mula terasa bahangnya. Di CP telah mula kelihatan peserta-peserta 50km mula berpatah balik.  Dalam perjalanan ke CP 6 kelihatan peserta-peserta 70km berpatah balik.  Terasa mental juga sebenarnya kerana masih jauh lagi CP 6 dan CP7.  Jam 11 pagi akhirnya kami Berjaya sampai ke CP7.  Di sini kami berehat dalam lebih kurang 15minit dengan memakan sedikit nasi lemak.  Sebenarnya tidak lalu makan, memandangkan dari CP1 hingga CP6 hanya makan pisang dan tembikai serta sedikit biskut, paksakan juga untuk menghabiskan nasi lemak bagi tujuan mengisi perut.  Kami guna terlalu banyak kalori jadi perlukan sedikit makanan yang berat untuk menampung tenaga yang digunakan dalam perjalanan kembali. 






Selesai makan dan menambah air 100plus dan mineral yang dipenuhi ais serta membasahkan badan dan kepala dengan ais kami memulakan larian pada jam 11.15 pagi.  Untuk keselamatan tapak kaki dari terus melecet, saya pakaikan pad wanita pada kasut.  Lupa pula untuk membawa mafla bagi melindungi muka dan leher dek keterikan matahari yang membahang.  Tidak mengapalah, hitam sahaja he3.  Cuaca pada waktu itu sememangnya mula membahang dan terasa seakan menggigit kulit yang terdedah.  Ais yang diletak dalam botol, topi dan baju semuanya mencair dengan cepat.  Pada masa ini saya terpaksa menukar teknik, kurangkan berjalan lebihkan larian.  Nampak peserta dihadapan saya mula merapati sama ada dengan berlari atau berjalan sehinggalah kami dapat memintas mereka dan menjarakkan sedikit barulah berjalan sekejap.  Teknik ini kami gunapakai sehingga ke kembali ke CP 3 berdekatan Genting Sempah


Pada masa ini dari CP7 kembali ke CP3 memang terasa sangat azab dan mental.  Ada kalangan peserta yang telah mula menDNFkan diri kerana tidak mampu untuk mengharunginya atau tidak dapat melepasi masa yang dikehendaki dari setiap CP.  Cuaca yang panas mula memberikan sedikit kesan kepada saya.  Saya berdoa agar tidak pitam atau mengalami dehidrasi yang melampau.  Terasa juga mual. Tetapi saya paksa minum air supaya aliran eletrolit dan bendalir dalam badan terus berjalan.  Pengeluaran peluh yang tinggi memaksa kami minum air mineral dan isotonic dengan kerap tanpa perlu menunggu dahaga.  Saya teringat kata-kata listen to your body.  Jadi inilah cara yang terbaik.  Alhamdulilah prestasi saya jauh lebih baik berbanding acara ultra sebelum ini.  Saya tidak mengalami kekejangan yang kerap Cuma adik saya sahaja yang tiba-tiba kejang sehingga tidak mampu berjalan dalam perjalanan CP4-CP3.  Mujur dia pandai mengurut ha3. Saya mampu menolaknya ke tepi jalan supaya tidak menganggu aliran trafik. 


Kami berhenti sebentar di Genting Sempah untuk menunaikan solat Zuhor.  Waktu tersebut jam sudahpun menunjukan 2.30 petang, setengah jam sebelum cut off.  Usai menunaikan solat kami terus kalut ke CP 3.  Alhamdulilah sempat sampai ke CP berkenaan sebelum masanya.  Memang terasa genting kerana terpaksa mengejar masa.  Saya teringat masa di zaman kadet intermediate sewaktu pengunduran kami perlu melepasi bombing line.  Jika kami gagal melepasi bombing line pada waktu yang ditetapkan kami dikirakan sebagai tertewas kerana artileri atau pesawat pengebom akan memulakan tembakan bermula dari bombing line sehingga ke kawasan penawanan (kubu). 


Kasihan juga apabila melihat ada peserta yang terpaksa menamatkan larian pada CP tertentu kerana kegagalan untuk menyempurnakan misi.  Hendak buat macam, kerana itulah peraturannya.  P100 tidaklah setegas ini peraturannya.  Mujur kami masih mampu untuk mengerahkan kudrat.  Misi yang seterusnya adalah menuruni.  Dari CP3-CP1 laluannya adalah menuruni.  Walaupun menuruni namun diingatkan kecederaan adalah lebih mudah terjadi. Ini kerana kaki kita mula mengalami ketegangan biarpun tidak seberapa kejang dan apabila menuruni ditambahi pula dengan jisim tubuh maka ia akan memberikan tekanan yang lebih kepada otot peha dan betis selain lutut.  Inilah punca kenapa mudahnya terjadi kejang atau sakit lutut.  Jika tidak beringat pastinya ACL akan kita alami.  Inilah yang paling ditakuti oleh semua peserta larian.  Justeru kami perlu lebih beringat. 


Memanglah mudah menuruni bukit tetapi mudah juga untuk mendapat kecederaan.  Pengalaman terdahulu sangat membantu bagi mengelakan terjadinya situasi kekejangan atau kesakitan pada lutut.  Sehingga ke garisan penamat, masa yang kami ambil adalah hampir 2jam 15minit bagi menyudahkan jarak 16km.  Boleh dibayangkan betapa perlu berhati-hatinya apabila melangkah untuk menuruni.  Teknik yang sama digunakan iaitu cuba merapati peserta dihadapan dan memintas mereka.  Inilah yang ulangi terhadap peserta-peserta yang dihadapan kami.  Alhamdulilah kami Berjaya sampai ke garisan penamat pada jam hampir 5.30 petang mengikut jam penganjur.  Jika ditolak waktu solat lebih kurang 30 minit, masa bersih (net time) adalah 10 jam ++.  Walau apa pun kami bersyukur kerana Berjaya menamatkan larian ini dalam masa yang ditetapkan kerana terpaksa mengejar masa.  Selesai berlari dan bergambar dengan rakan-rakan sepelarian, kami menunaikan solat Asar.  Azab jugalah untuk menduduki antara dua sujud kerana sakit.  Tahniah kepada peserta yang Berjaya menamatkan disiplin 50km dan 70km serta tidak kurang juga kepada yang DNF kerana anda Berjaya memberanikan diri dalam acara ini.  Keesokannya saya mengambil CR/AL kerana memang sudah  tahu pun, keadaan berjalan mengenkang akan terjadi. 

Bukan semua orang mampu.  Tahniah juga kepada legenda kita, Uncle Oliver Ker yang masih lagi berlari dalam memotivasikan peserta lain. Dalam usia menghampiri 80 tahun walaupun tidak Berjaya menamatkan larian yang mana Cuma menamatkan pada CP 5 (35km) kerana masalah kaki, namun beliau menjadi motivator atau mentor yang terbaik kepada semua pelari yang jauh lebih muda darinya. 



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca