Kegilaan terhadap penamaan asing...
Sudah menjadi semacam tren untuk menamakan apa jua
kawasan pembangunan baru dengan nama-nama asing. Ia semakin menggila semenjak dari tahun 2003
iaitu dari tarikh pelaksanaan PPSMI.
Situasi ini dilihat amat bertentangan dengan semangat Fasal 152 yang
termaktub dalam Perlembagaan negara.
Namun tiada siapa peduli begitu juga dengan PBT yang sepatutnya
diberikan amanah untuk mematuhi asas perlembagaan turut memandang sepi dan
tiada kesedaran nasioanlisme linguistik.
Alasan atau justifikasi yang diberikan oleh pihak pemaju atau pengiklan
adalah untuk menampakan nilai komersil, elegan, kemodenan atau menarik
perhatian pelabur atau prospek. Satu
alasan yang lemah tanpa ada sokongan ilmiah dan empirikal sebaliknya hanya
berpandukan kepada persepsi yang berat sebelah dengan penafian terhadap bahasa
kebangsaan.
Apakah ada perhubungan korelasi antara nama asing yang
diberikan dengan jumlah kemasukan pelaburan? Di mana signifikannya? Ini semua
berniat buruk untuk melenyapkan kejatidirian sesuatu tempat. Mala fide atau niat jahat yang terdapat dalam
benak sebahagian besar pemaju (yang pastinya bukan peribumi dan Islam) adalah
untuk mengubah landskap asalnya yang dahulunya adalah penempatan kaum asal
tetapi dibangunkan sedemikian rupa untuk menggantikannya dengan bangsa asing
yang jauh kemampuan ekonominya. Harapan mereka
dengan menamakan atau menjenamakannya dalam bahasa asing ia akan melenyapkan
sejarah tempatan atau mikro tempat berkenaan. Secara halusnya itulah agenda
jahat mereka, mengubah landskap sejarah dan percubaan mensejarahsemulakan
seuatu tempat. Siapa yang rugi dan siapa
yang untung. Sejarah ditulis oleh pihak
yang menang. Apakah ini yang kita mahu?
Singapura adalah contoh tragis bagi sebuah bekas negara yang dahulunya adalah
milik Melayu dan pernah mempunyai Kerajaan Melayu Islamnya.
Situasi saban hari berlaku di Malaysia. Ketidakmampuan untuk menguasai negara yang
berindukan Melayu Islam secara politik digunakan dengan semaksimanya dalam
penguasaan mutlak ekonomi untuk mengubah sejarah kependudukan Melayu dan
Peribumi. Hal ini kita boleh dilihat
dibandar-bandar besar yang majoriti ekonominya dipegang oleh bangsa
berkenaan. Sungguhpun kepemimpinan
negara dikuasai oleh bangsa Melayu dan Peribumi dan berkongsi kuasa dengan
minoriti lain tetapi kelihatan begitu berkompromi dengan situasi penamaan
asing. Demi kuasa undi mereka sanggup
berkompromi bagi dilihat pemimpin yang mewakili semua bangsa kerana tidak mahu
dilihat sebagai ultralis dan chauvinis bangsa.
Mereka mendakwa sebagai pemimpin berjiwa besar tetapi kecil dari segi
semangat patriotisme lingusitiknya.
KPI mereka hanyalah untuk mengejar kemajuan material
pembangunan negara selain dari melihat peningkatan angka-angka pertumbuhan
ekonomi yang kononnya dapat mensejahterakan bangsa. Hakikatnya disebalik kemakmuran ekonomi yang
dijanakan dengan pelbagai perencanaan transformasi ia menjarakkan lagi jurang
pendapatan. Biarpun negara mempunyai
agenda besar pembangunan dan pengembangan ekonomi Melayu dan Peribumi tetapi
kemajuan pesat yang berlaku dibandar-bandar besar menyebabkan sebahagian besar
dari golongan ini tidak punya daya untuk mengejar rentak pembangunan yang
majoritinya dipacu oleh bangsa asing. Bangsa
asing yang memacu pembangunan disekitar dan membentuk rantaian pembangunan
disepanjang koridor pembangunan telah mengubah nilai sejarah dan kejatidirian
tempat itu sendiri. Sudahnya nilai
bahasa asal digantikan dengan bahasa asing, wajah bangsa asal digantikan dengan
wajah asing, budaya bangsa asal digantikan dengan budaya bangsa asing. Akhirnya ia akan membawa kepada perubahan
nama tempat itu sendiri. Mungkin nama
asal masih lagi dikekalkan tetapi digandingkan dengan nama asing. Pengekalan nama asal hanya sekadar untuk mengiktiraf
tempat itu sendiri, sedangkan bangsa, wajah dan budaya malahan jiwa asalnya
sama sekali telah berubah.
Jika disorot kembali atau dibuat secara retrospektif
dikala kita mencapai kemerdekaan, dengan semangat kemerdekaan yang membara
habis segala nama yang sebelum ini dinamakan dengan pelbagai nama kolonial kita
tukarkan dengan nama bercitra tempatan. Namun
semakin jauh kita dari tarikh kemerdekaan, semakin luntur pula jatidiri patriotisme
linguistik kita. Kita akur dengan rentak
globalilasi tajaan kuasa imperialisme baru. Golongan Anglo-Saxon (Inggeris) yang
bekerjasama erat dengan Yahudi telah mencorakkan dunia dengan idea mereka. Salah satunya adalah menerusi imperialisme
bahasa. Mereka memomokkan bahawa
kemajuan tidak akan tercapai tanpa penguasaan bahasa mereka. Tambahan mereka merupakan kuasa kolonial
terakhir yang menguasai lebih sepertiga dunia dengan menanam kukuh benih bahasa
dalam sistem pendidikan berteraskan Anglo Saxon yang akhirnya akan menjadi
legasi yang paling berkesan.
Ternyata idea mereka ini sangat berjaya. Sungguhpun asalnya mereka hanya sebuah negara
kepulauan kecil di benua Eropah tetapi berjaya menyebarkan diaspora yang
seterusnya membentuk negara yang berjuraikan keturunan mereka seperti di
Amerika, Kanada, Australia dan New Zealand.
Selain dari itu mereka berjaya membina koloni atau subjek bangsa anak
jajahan yang tebal pengaruh Inggerismenya atau golongan Anglophilia dihampir
semua negara jajahan takluknya. Negara kita
antara contoh klasik terbaik dalam kejayaan penerapan sistem pendidikan yang
berteraskan kolonial. Tambahan pula dengan ledakan teknologi internet tiada
tempat atau ruang di dunia yang tidak ada tempat di dunia akan disebarkan
dengan bahasa mereka. Ya memang amat
mustahil untuk kita mengisolasikan diri dari cengkaman mereka melainkan dengan
berkompromi atau menjadi subjek kepada mereka.
Apa yang boleh kita lakukan ambil apa yang terbaik dari
mereka tanpa perlu dipengaruhi atau menjadi hamba yang tertawan secara jiwa dan
mindanya. Masalahnya ramai yang
merelakan diri menjadi hamba secara langsung bagi dilihat sebahagian kabilah
atau komuniti dunia yang dibentuk oleh kuasa imperialis. Walau bagaimanapun disebalik kegilaan bangsa
kita yang bagai dirasuk untuk menukarkan segala-galanya dengan nama asing yang
kononnya untuk dilihat ‘maju’ oleh bangsa luar ada juga bangsa-bangsa besar dan
maju yang tidak terjejas jatidiri mereka.
Bangsa Jepun, Korea, China, Jerman, Itali, Perancis, Russia dan beberapa
negara di Asia Tenggara yang masih berjaya mengekalkan kemandirian,
kejatidirian dan kebangsawanan bahasa mereka. Semakin menggila asakan atau rempuhan
globalisasi semakin kuat pula mereka memperkasakan nilai bahasa mereka. Mereka menggunakan kekuatan bahasa asing
dengan memperkuatkan bahasa mereka. Kemajuan
yang dijana tidak meminggirkan bahasa mereka.
Kemajuan material adalah berseiringan dengan peningkatan dinamisme
bahasa mereka.
Tetapi apakah kita mengambil maklum dan mempelajari dari
mereka? Kepemimpinan kita bersikap angkuh dengan tidak melihat kemajuan yang
dicapai oleh bangsa lain tanpa perlu mengabaikan pembinaan bahasa kebangsaan
dan rasmi sendiri. Mereka hanya
memandang sehala sahaja bahawa kemajuan hanya boleh dicapai secara mutlak
dengan hanya menggunakan bahasa imperialis.
Kemajuan yang dicapai dan berlatarbelakangkan pendidikan tinggi di sana
menjadikan mereka selesa berkiblatkan ke sana.
Apakah ini salah asuhan ataupun sengaja membutatulikan mata hati dan
menulikan pendengaran terhadap hakikat kemajuan yang boleh dicapai dengan ilmu
dari bahasa sendiri.
Tidak salah untuk kita menguasai pelbagai bahasa asing
demi memajukan bangsa dan negara kerana itulah yang wajib dituntut. Sesuatu bangsa tidak memiliki semua
kepandaian, kerana itu mereka perlu bergantung dengan pihak lain untuk
maju. Bagaimana caranya? Adalah dengan
cara mempelajari ilmu dalam bahasa bangsa berkenaan lalu kembali menyebarluaskan
ke bangsanya dengan cara menterjemahkan ilmu berkenaan. Inilah cara yang sepatutnya. Bukannya dengan mengekal ilmu berkenaan tanpa
sebarang memeribumikan ilmu dengan cara menyesuaikan ilmu dalam konteks
watannya. Apa yang salah adalah menjadi
hamba kepada bahasa asing. Mereka
menciptakan pelbagai slogan demi menjustifikasikan keberadaan bahasa
berkenaan. Slogan seperti Bahasa Global,
Bahasa Intelektual, Bahasa Ekonomi dan pelbagai lagi slogan yang muluk-muluk
hanya sekadar mewajarkan tindakan mereka untuk memaksakan segala nama dan
kandungannya haruslah berpaksikan kepada bahasa imperialis.
Tahun ini merupakan tahun ke-60 kita mencapai
kemerdekaan. Namun situasi penjajahan
bahasa asing yang diakibatkan dari penjajahan atau penawanan minda dan jiwa
oleh bahasa asing terus-meneurs kekal. Adalah
tidak mustahil jika kita berpeluang menyambut kemerdekaan ke-100 tahun keadaan
masih lagi sama seperti ini atau lebih teruk lagi, jika tindakan pembendungan
tidak dilakukan dengan lebih tegas. Apalah
maknanya sebuah kemerdekaan dan kebebasan tetapi pada masa yang sama kita kekal
dijajah secara jiwanya oleh penjajah yang memerintah secara proksi…..
Ulasan
Catat Ulasan