Kemelut membeli rumah...
REDHA atau Persatuan Hartanah dan Perumahan Malaysia pada
Okt 2016 mengatakan bahawa nilai hartanah menyusut 40% akibat dari ‘keletihan’
para pembeli tempatan untuk ‘mengejar’ kegilaan peningkatan harga hartanah yang
turut dikaitkan dengan harga rumah yang semakin tidak masuk akal. Rata-rata dari bakal pembeli tempatan menarik diri
dari kegilaan peningkatan harga rumah. Sebaliknya pemaju menyalahkan kemelut dan keadaan kewangan negara yang melemah yang mengakibatkan penjumanan harga pembelian. Pemaju yang tidak pernah jemu-jemu menerima laba keuntungan menyasarkan
penjualan harga rumah dan hartanah kepada golongan asing yang pastinya
mempunyai kapasiti yang tinggi untuk memilikinya.
Bagi pemaju, keuntungan yang tidak bersurut adalah
prioriti utama. Mereka tidak pernah
mempedulikan nasib pembeli tempatan yang bertahun lelah menabung dan menyimpan
bagi membeli kediaman. Mereka menabung
hanya untuk membolehkan mereka membayar deposit rumah sahaja. Adalah sangat mustahil buat mereka mempunyai
simpanan tunai untuk membeli rumah secara tunai. Mereka tidak pernah mengimpikan rumah mewah
dengan harga ratusan ribu malahan jutaan ringgit, cukuplah sebuah kediaman yang
mampu memberikan sedikit kelesaan berlindung untuk sekeluarga. Hampir 80%
golongan pembeli adalah dari kalangan mereka yang B40 dan M40. Mereka tersepit disebalik pendapatan yang
peningkatannya langsung tidak selari dengan peningkatan hartanah yang meroket
tingginya. Adakala harga rumah yang
disasarkan untuk golongan B40 pun tidak mampu untuk dimiliki oleh mereka tetapi
tidak layak untuk dimiliki oleh M40.
Manakala bagi M40 pula rata-ratanya rumah adalah diluar
jangkauan jika mereka bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja.
Sebaliknya pendapatan perlu digabungkan dengan pasangan mereka bagi membolehkan
mereka layak secara minimum untuk membeli rumah. Andainya pasangan mereka tidak bekerja, pasti
keadaannya jauh lebih parah. Sekarang pula
had pendapatan untuk peminjaman telah diturunkan. Contohnya untuk pembelian kediaman berharga
RM500k pendapatan sebanyak RM5000 sudah melayakan mereka untuk pinjaman
berkenaan. Layak tidak semestinya mampu.
Jadi pembeli perlulah berfikiran jauh
supaya tidak terjerat dengan bebanan hutang jangka panjang. Secara puratanya untuk pembayaran semula
kediaman dengan harga sedemikian adalah RM2500 sebulan selama 30 tahun. Benar pendapatan akan meningkat tetapi apakah
cukup baki duit untuk meneruskan kehidupan dengan pelbagai peningkatan kos
hidup yang seiringan dengan peningkatan tahun.
Hidup apabila dilingkari dengan sistem kapitalis yang
menguntungkan yang kaya dan memiskinkan yang sedia ada secara relatifnya tidak
berkemampuan akan menjadikan sebahagian besar manusia diikat dengan perhambaan
keberhutangan yang berpanjangan. Di
zaman manusia mula berkesedaran tinggi terhadap hak asasi manusia, amatlah
mustahil untuk menemui mereka yang menjadi hamba abdi. Tetapi amat tidak mustahil untuk menemui
mereka yang menjadi hamba hutang. Rata-ratanya
berhutang telah menjadi satu kebiasaan biarpun hakikatnya Islam amat tidak
menggalakkan hutang. Berhutang menjadikan
amalan kita tergantung. Itu implikasi
buruknya. Justeru pihak yang berwewang
perlu memikirkan pendekatan menang-menang dalam situasi ketidakmampuan
pemilikan kediaman yang kian mewabak dan membarah dewasa ini.
Ulasan
Catat Ulasan