Bahan bacaan
Sewaktu
kecil bagi menyemai minat membaca, abah memaksa saya untuk membaca akbar. Di rumah kebiasaannya abah membeli Utusan
Malaysia atau Berita Harian sahaja dan akbar Inggeris selalunya NST. Jadi dari situlah saya dipupuk dengan
kesedaran untuk membaca. Ketika itu usia
saya lebih kurang 8-9 tahun. Hampir
setiap malam akan dipaksa membaca ruangan editorial atau sidang redaksi
diruangan rencana. Faham atau tidak itu
perkara nombor dua, yang penting membaca.
Sejak dari itu saya memupuk minat dengan membaca akbar. Waktu itu tiada pun isme-isme politik kerana
focus hanya untuk membaca. Seronok rasanya kerana ketika itu membaca tanpa dipengaruhi oleh rasa prejudis atau berprasangka. Kita membaca kerana itulah yang perlu dibaca khususnya dalam menambah kosa kata, membaiki tatabahasa dan mencari idea untuk mengarang. Itu sahaja tujuannya tidak lebih dari itu.
Apabila
sudah melangkah masuk ke sekolah menengah barulah saya faham akbar berarus
perdana adalah mendukung dasar pemerintahan semasa. Sehingga kini saya teruskan sahaja membaca
akbar tersebut kerana nilai kewartawanan dan etika dalam penulisan. Saya suka menulis sebenarnya. Saya banyak mengasah penulisan saya sejak
dari sekolah sehingga kini menerusi akbar yang saya baca. Dan apabila bersekolah menengah pembacaan
saya diperluaskan kepada majalah-majalah dan buku-buku. Cara penulisan saya
semakin berubah seiringan dengan peningkatan kualiti bahan bacaan saya.
Pengalaman
menimba ilmu di universiti merupakan peluang yang terindah dalam kehidupan saya
kerana medan pengajian tinggi menemukan pelbagai ragam pelajar dan mendedahkan
saya dengan pelbagai ideology dan isme. Baik
yang bersifat aspirasi (menyokong kepemimpinan pemerintah) dan pro mahasiswa, anti establishment yang lebih
cenderung membawa suara dan semangat menentang.
Pelbagai bahan bacaan dihadapkan selain dari pembacaan buku akademik
yang merupakan teras wajib. Saya tidak
memperlihatkan warna atau topi politik yang ketara.
Saya
lebih suka mengambil pendekatan terbuka dengan tidak terlalu menyebelahi
mana-mana pendapat. Kita punya pendapat
tersendiri. Kebetulan apa yang saya
setuju itu sama dengan apa yang mereka fikirkan, tidak bermakna saya menyebelahi
mereka dan jika apa yang pendapat saya bertentangan dengan apa yang mereka
persetujui tidak bermakna saya tidak sealiran dengan mereka. Masing-masing punya pendapat jadi
berpeganglah dengan apa yang diyakini dan jaga terlalu memaksa orang lain untuk
menerusi pendapat mereka. Semua ini
adalah bergantung kepada jenis bacaan yang kita baca.
Lebih
selamat jika kita terbuka dalam perbincangan.
Atau lebih selamat jangan berbincang atau memulakan sesuatu yang boleh
memanaskan. Lagi-lagi dalam situasi
sekarang, medan untuk menyuarakan pendapat begitu luas sekali. Kehadiran media elektronik, jika tidak
dimanfaatkan dengan baik akan menjadi medan tuduh-menuduh dan
fitnah-menfitnah. kita akan berkongsi
apa yang kita baca dan fikirkan. Tiada pihak
yang akan mengedit apa yang kita tulis. Semuanya
atas tanggungjawab masing-masing. Jika
mereka merasakan bertanggungjawab maka mereka akan menulis dengan lebih
bertimbangrasa. Namun jika rasa amarah
itu tidak boleh dikawal, maka itu tanggungjawab sendiri. Berani buat berani tanggung.
Lebih
selamat jika kita berkongsi bahan bacaan yang boleh dinikmati semua pihak. Bahan bacaan yang neutral sifatnya tidak
terlalu panas yang mana sama panasnya dengan fenomena El-Nino yang melanda saat
ini. Ditambahi pula dengan keadaan ekonomi
yang menekan dan politik yang tidak seberapa memihak kepada pihak
pemerintah. Semua ini menambah stress
kepada warga dan mereka akan menulis atau berkongsi apa jua maklumat. Syukur keadaan di negara kita boleh dikatakan
masih lagi terkawal walaupun diluar sana menyebabkan kekacauan dan
huru-hara. Kebanyakkan dari kita masih
lagi rasional biarpun ada yang galak vokalnya.
Bacalah apa jua pun bahan bacaan. Kita tidak boleh menghalang hak mereka untuk mendapatkan bacaan mereka. Apa yang penting buatlah penilaian apa yang kita baca. Kita diberikan akal untuk menyaring atau menapis apa jua yang kita baca. Sekiranya bahan bacaan yang kita baca itu berfaedah, ambillah pengajaran darinya dan jika ianya tidak patut untuk diamal atau dituruti jadikanlah sebagai sempadan. Tiada bacaan yang secara relatifnya tidak atau bermanfaat untuk dibaca. Semuanya bergantung kepada penerimaan dan penilaian kita.
Ulasan
Catat Ulasan