SENARAI BACAAN SEORANG BANDUAN DI PENJARA
Saya bertemu Daniel Genis di sebuah kedai buku. Ketika
itu bulan Mac, dan saya berada di situ untuk bercakap kepada sekumpulan panel
mengenai novelis komik di penghujung era Soviet bernama Sergei Dovlatov dan
Genis datang berjumpa saya selepas itu untuk berbual mengenai buku. Jelas
daripada perbualan kami bahawa beliau memang tahu banyak tentang buku. Genis
bercakap dengan banyak dan cepat dan pandangan matanya yang lesu seolah-olah
memberitahu bahawa beliau menyimpan rahsia yang sangat menarik. Pada malam itu,
beliau memakai baju t yang hampir menampakkan perut dan baju kot yang seperti
tidak muat dengan badannya. Dia mempunyai sebab kukuh untuk berada di kedai
buku: bapanya adalah Alexender Genis yang pernah bekerjasama dengan Dovlatov
iaitu seorang penulis non-fiksyen Rusia yang mana koleksi eseinya pada masa ini
tersenarai sebagai buku paling laris di Rusia.
Saya dan Genis berbual panjang. Rupa-rupanya ibu-bapa
kami walaupun tidak rapat, sebenarnya saling mengenali antara satu sama lain
dan kami berdua pernah bersekolah di sekolah menengah yang sama. Saya agak
pelik kenapa kami berdua tidak pernah berjumpa. Sebabnya kata Genis, beberapa
minggu sebelum itu beliau baru dibebaskan dari penjara dimana beliau merengkok
selama 10 tahun 3 bulan selepas mengaku salah atas 5 pertuduhan samun
bersenjata. Beliau juga dengan bersahaja memberitahu bahawa waktu sebenar
beliau mula membaca buku dengan serius bukanlah ketika beliau melanjutkan
pengajian dalam bidang sejarah di Universiti New York atau ketika beliau
bekerja di sebuah agensi penerbitan buku di Manhattan tetapi sebaliknya ketika
beliau berada di Green Haven Correctional Facility (Pusat Pemulihan Green
Haven) di Stormville, New York. Disana, beliau menyatakan bahawa beliau telah membaca
sebanyak 1048 buah buku.
Usai pertemuan itu, kami sering berhubung dan selepas
beberapa kali makan malam bersama dan meminum berbotol-botol air mineral yang
mengandungi sulfur dari Brighton Beach, Genis mula bercerita dengan lebih
terperinci. Beliau membesar di sebuah pangsapuri di Washington Heights, sebuah
pangsapuri yang pada tahun 80an dan awal dekad 90an menjadi sebuah rumah kelab
untuk penulis dan seniman yang berhijrah dari Soviet dan sangat kuat minum
arak. Bapanya – seorang pengkiritk budaya, eseis dan hos radio yang dalam
lingkungan penulis di Rusia dikenali sebagai kombinasi janggal antara
Bernard-Henri Levy dan Bill Bryson - akan melayan tetamu yang datang berkunjung
sambil meminum vodka. Bersama Dovlatov dan jurnalis Peter Vail, bapa Genis akan
mengedit akhbar mingguan yang sangat berpengaruh iaitu "The New
American" yang diterbitkan dalam bahasa Rusia.
Di pangsapuri yang terletak di Ellwood Street ini,
sekumpulan lelaki memasak dan berbincang tentang seni dan politik dan selepas
menikmati minuman, tugas mengemas akan diserahkan kepada ibu Genis bernama
Irina yang bekerja di Pan Am. Ada diantara mereka kadangkala minum dengan
banyak sehinggakan mereka tertidur di pangsapuri berkenaan dan mendapati diri
mereka berada di dalam tub mandi apabila mereka bangun keesokan harinya. Genis
yang masih kecil ketika itu akan menerima sepasang sut dan duit poket sebagai
upah menterjemah buku-buku yang sangat sukar dibaca kedalam bahasa Rusia. Genis
memberitahu "ketika kecil, saya seperti orang dewasa didalam tubuh
kanak-kanak dan saya belajar bahawa jika saya berkelakuan nakal, kelakuan saya
amat mudah dimaafkan selagi saya menjadi seorang kanak-kanak yang berbakat dan
memiliki kelebihan artistik".
Lingkungan sosial Genis ketika sekolah menengah
tertumpu kepada gerombolan kumpulan Punk dan muzik Wu Tang Clan, tetapi secara
peribadinya beliau suka mengunjungi kedai-kedai buku antik, menyusuri
edisi-edisi buku klasik Greek dan Roman dari kurun ke 17 hingga kurun ke 19 dan
juga buku-buku tulisan Aquinas, Monstesquieu dan Dante. Di awal persekolahan
menengah beliau, ada juga buku yang mempengaruhi beliau untuk berjinak-jinak dengan
dadah dan beliau selalu mendekati mereka-mereka yang memiliki buku-buku seperti
itu. "Membaca buku-buku tulisan Nietzsche, Burroughs dan buku-buku the
Beats bukanlah satu idea yang bernas bagi seorang remaja" kata Genis.
Semasa di kolej, Genis mula berjinak-jinak membeli
kokain daripada pengedar jalanan yang beliau kenali di Washington Heights dan
menjualnya semula kepada pelajar-pelajar Universiti New York dengan harga yang
lebih tinggi. Keuntungan yang beliau perolehi digunakan untuk membeli buku,
belajar selama satu semester di Copenhagen, mengembara mengelilingi Eropah dan
membayar sewa yang tinggi untuk pangsapuri yang terletak di penjuru Second
Street dan Second Avenue, dimana di tempat tersebut lah beliau telah ditangkap
kerana menjual satu auns kokain kepada seorang polis yang menyamar sebagai
pembeli. Ia merupakan kesalahan pertama beliau dan peguam beliau berjaya
membuat rundingan untuk mengurangkan pertuduhan beliau kepada pertuduhan yang
lebih ringan dan perintah pemerhatian selama 5 tahun, yang mana menurut Genis
mungkin diberikan kepada beliau atas faktor "beliau masih remaja dan berkulit
putih".
Genis tidak suka untuk meminta pertolongan ibunya
untuk menjamin beliau tetapi beliau juga tidak kisah dengan masa depan beliau.
Kata Genis "saya sentiasa tahu bahawa saya akan bekerja dalam dunia
perbukuan, dan mereka yang bekerja dalam dunia perbukuan selalunya tidak kisah
tentang kesalahan-kesalahan lampau yang berkaitan dengan dadah". Semasa di
kolej, Genis menjalani latihan praktikal dengan syarikat penerbitan Applause
Books dimana beliau berjaya mendapat kredit sebagai pengedit dalam sebuah
ensiklopedia filem, dan selepas habis belajar di Universiti New York – satu
semester lebih awal dengan kepujian – beliau bekerja dengan Nancy Love, seorang
ejen buku di Upper East Side. Beliau menguruskan hal-hal berkaitan dengan
kontrak dan surat-surat pertanyaan. Selepas dua tahun, beliau kehilangan kerja
tersebut dan teman wanita beliau pada masa itu telah memperkenalkan beliau
kepada suntikan heroin.
Ketika melawat Latvia bersama pakcik beliau, beliau
sedar bahawa beliau telah ketagihan heroin. Beliau tertewas dengan ketagihannya
ketika berada di stesyen keretapi Riga. Akibat tidak mampu menahan ketagihan
beliau, beliau terjerumus berkongsi alatan menyuntik dadah dari era Soviet yang
dipinjam daripada seorang pengedar yang membawanya didalam kot yang dipakai.
Sekembalinya beliau ke New York, Genis mengahwini seorang penganjur majlis
keraian berbangsa Hungary bernama Petra Szabo, dan selama hampir setahun beliau
berjaya menyembunyikan ketagihannya daripada isteri beliau. Beliau pernah
menjalani sesi detox dan pemulihan dan pernah juga mencuba metadon tetapi
semuanya menemui kegagalan. Ketagihannya menelan belanja yang amat tinggi
sehingga 200 dolar setiap hari dan beliau sentiasa tidak mempunyai duit. Pada
tahun 2003, semasa beliau menerima upah sebanyak 25 dolar sehari di Princeton
Review sebagai pengajar pelajar yang sedang membuat persediaan bagi menduduki
peperiksaan kemasukan ke kolej, beliau berhutang dengan seorang pengedar heroin
berbangsa Ukrain sebanyak 5 ribu dolar. "saya menjadi amat takut,
terutamanya tentang keselamatan isteri saya" kata beliau. "Saya
pernah terfikir bahawa saya patut meminjam duit daripada ibu-bapa saya".
Sebaliknya, Genis mula bergiat dalam aktiviti rompakan
yang rasanya mungkin aktiviti jenayah paling bermartabat rendah di tempat
beliau tinggal. Pada bulan Ogos tahun itu, dalam tempoh seminggu, beliau
merompak dua buah kedai dan tiga pejalan kaki dengan menggunakan pisau dimana
beliau akan meminta maaf dengan panjang lebar kepada mangsanya sebelum
melarikan diri. "Saya sebenarnya perompak yang teruk” beritahu Genis
kepada saya. Dua orang lelaki berjaya menghalang Genis daripada merompak mereka
dengan membaling pizza kepada Genis. Seorang pemilik kedai iaitu seorang wanita
bertubuh kecil yang ketika itu sedang menutup kedai tehnya pada sebelah malam
menjadi berang dan menyuruh Genis untuk
“berambus” apabila Genis cuba meminta duit daripada beliau. Genis akur.
Selepas hampir seminggu, hasil rompakan beliau cukup
untuk membayar hutang beliau kepada pengedar, dan beliau juga berjaya membuang
ketagihan beliau. Beliau berjaya menjalani kehidupan normal selama 3 bulan
sehinggalah apabila seorang perempuan yang beliau pernah rompak ternampak
beliau di jalanan. Genis telah digari di sebuah penjuru di Stanton dan Bowery.
Penangkapan beliau turut dilaporkan didalam akhbar the New York Post dengan
tajuk berita "Sorry Bandit’ Jailed in Polite Rob Spree". Genis ketika
itu masih dalam tempoh pemerhatian, dan beliau merengkok didalam penjara selama
9 bulan kerana tiada siapa yang datang untuk menjamin beliau sementara beliau
menanti jatuh hukum di Riker’s Island. Pada bulan Jun 2004, hakim menjatuhkan
hukuman penjara selama 12 tahun terhadap beliau dimana 10 tahun darinya adalah
hukuman penjara mandatori.
Genis pernah hidup di berdozen penjara berkawalan
maksimum, dan penjara yang memiliki kawalan biasa yang merupakan sebahagian
daripada sistem pengadilan jenayah Amerika. Semasa didalam penjara, beliau
pernah menjadi kerani untuk seorang rabbi, mencuba latihan bina badan (yang
menyebabkan kecederaan kepada tulang belakang beliau), menyaksikan pergaduhan
kaum dan pembunuhan, melihat seorang lelaki cuba melemaskan diri didalam tandas
dan memakan burung camar yang dimasak oleh tukang masak penjara. Beliau
berpeluang mengenali Michael Alig si pembunuh rakan sebilik (Club-Kid Killer),
Robert Chambers si pembunuh rakan belajar waktu malam (Preppie Killer) dan
Ronald Defeo Jr yang menjadi ilham kepada novel "The Amytaville
Horror" kerana membunuh empat adik beradik dan ibu-bapa mereka. Tetapi
kebanyakan masa Genis didalam penjara sebenarnya banyak dihabiskan dengan
membaca. "Hari-hari di penjara mempunyai persamaan diantara mereka, dan
banyak perbualan yang sangat bernilai dan bermakna buat saya adalah dengan
penulis buku" kata Genis. Beliau membuat catatan tentang buku-buku yang
beliau baca didalam sebuah jurnal.
Baru-baru ini, beliau membenarkan saya untuk menyemak
tindanan buku-buku mengandungi mukasurat bercampur aduk yang ditulis dengan
tulisan kecil dan kemas oleh beliau. Setiap buku di catatkan nombor dan dicatit
catatan yang eseistik tetapi ringkas kerana faktor kekurangan kertas untuk
menulis di penjara. Beliau selesai membaca buku terakhir dalam senarai beliau –
sebuah memoir tulisan Alig yang beliau gemari – pada bulan Januari.
"Saya bermula dengan membaca buku-buku yang
membantu saya untuk menyedarkan saya tentang keadaan sekeliling saya"
imbau Genis, yang bermaksud buku-buku tentang pemenjaraan. Beliau membaca
"Papillon", "The House of the Dead" tulisan Dostoyevsky,
naratif Gulag tulisan Solzhentisyn dan
Shalamov, Autobiografi Malcom X, memoir tentang Spandau tulisan Albert Speer dan
"Newjack: Guarding Sing Sing" tulisan Ted Conover (empat mukasurat
daripada buku ini telah dibuang oleh pihak penjara). Kemudian beliau menghadam
tulisan berkaitan rejim otoritarian ("hal menjijikkan yang secara
perbandingan membuatkan saya berasa lebih baik" tulis Genis): Biografi Pol
Pot, Mao dan Pinochet; sejarah Khmer Rouge dan Revolusi Budaya; dan diari
Goebbles.
Memasuki penjara sebagai seorang ateis yang mempunyai
relativiti moral yang melengkung, Genis cuba berhadapan dengan persoalan baik
dan buruk, menghadam Pascal, Rousseau dan Schopenhauer, "Crime and
Punishment" dan "Hunger" tulisan Knur Hamsun. Diselang-seli
dengan bahan bacaan fiksyen sains oleh William Gibson, Frederik Pohl dan Philip
K Dick sebagai bahan bacaan santai, jurnal yang ditulis oleh Genis nampak
seperti baru bermula.
"Membaca
di dalam penjara memberi peluang kepada saya untuk mengikut minat saya"
ujar Genis; yang mana ada antaranya adalah tangen antropologi yang diilhamkan
melalui persahabatannya dengan banduan lain. Genis membaca "The Little
Flowers of St. Francis" dan "Lolita" apabila beliau mula memasak
pesto (“yang melibatkan ketuhar mikro”) bersama seorang bekas rahib lelaki
Francisan yang dipenjarakan atas kesalahan mencabul kanak-kanak. Seorang bekas
anggota Black Liberation Army mengilhamkan beliau untuk membaca "Soul On
Ice", tajuk-tajuk daripada Donald Goines dan Frantz Fanon, dan juga
sejarah pergerakan Rastafari.
Perbualan beliau dengan seorang rabbi memperkenalkan
beliau kepada Martin Buber, Josephus, Spinoza, sebuah buku oleh Lubavicther
Rebbe Menachem Schneerson, pamplet oleh Chabad yang tidak terkira banyaknya,
malah turut memperkenalkan beliau kepada hasil kerja epistolari kurun ke 12
oleh Maimonides berjudul "A Guide for the Perplexed" (Genis:
“tulisannya seperti tidak ada penghujung”). Agak di luar jangkaan juga, seorang
rakan gay turut berkeras mahu beliau mengemaskini bacaan beliau berkenaan homoseksualiti
("secara asasnya, ia banyak berkisar kepada tulisan Chesterton dan
"Brideshead Revisited") berserta memoir daripada David Sedaris dan
Augusten Burroughs dan juga "Cooking With Fenet Branca" tulisan James
Hamilton-Peterson. "Orang di sekeliling saya meilihat apa yang saya baca
dan saya banyak mendapat soalan dan pertanyaan tentang buku yang saya sedang
baca" ujar Genis.
Banduan tidak dibenarkan untuk menggunakan internet,
dan kadangkala buku-buku amat susah untuk diperolehi. Bapa Genis akan membawa
banyak buku ketika datang melawat; ada yang dipesan daripada katalog yang
dicetak atau dipinjam daripada perpustakaan lain; yang lain datang dari
perpustakaan penjara yang menurut Genis "memiliki lebih kurang 15 ribu
tajuk buku, yang kebanyakannya adalah buku James Patterson". Menghadam
koleksi buku-buku lama ini membolehkan Genis menyemai minat terhadap
penulis-penulis yang mungkin buku mereka jarang dibaca pada masa kini, dan
beliau menghabiskan masa berminggu-minggu membaca karya Casanova, Jeremy
Bentham, "The Prisoner of Zenda" dan kesemua karya pengenalan kepada
Richard Francis Burton yang menterjermah "A Thousand and One Nights"
dan menyamar untuk menyusup ke dalam kota Mekah. "Penjara membolehkan saya
untuk melakukannya" kata Genis dengan nada yang seakan nostalgik.
Menyusuri mukasurat demi mukasurat jurnal Genis
memberitahu saya bahawa beliau kadangkala membaca sesebuah buku hanya atas
sebab buku itu ada pada beliau. Agak susah untuk menerangkan kenapa ada
catatan-catatan mengenai buku seperti "Sumo: From Rite to Sport,"
oleh P. L. Cuyler ("penulis tidak mahu mengakui ada sesuatu yang tak masuk
akal tentang sumo"); "Sport Supplement Review," oleh Bill
Phillips ("Saya bersyukur apabila mengetahui kreatina tidak mendatangkan
kesan buruk terhadap buah pinggang"); "Hard Candy" oleh Andrew
Vachss ("masih bodoh"); "A Divine Revelation of Hell," oleh
Mary K. Baxter ("saya membaca buku ini ketika saya terpaksa menunggu di
klinik selama 5 jam"); "Jackie, Oy!" oleh Jackie Mason dan Ken
Gross ("beliau dilahirkan di Wisconsin!"); "Christina of
Sweden" oleh Sven Stolpe ("Karektor yang sungguh mengujakan!");
"The Xenophobe’s Guide to the Russians," oleh Vladimir Zhelvis
("keseluruhannya mengandungi fakta stereotaip dan benar"); "Sausage,"
oleh Nichola Fletcher ("pengenalan terhadap sosej –sosej terbaik di
dunia"); "Pellucidar," oleh Edgar Rice Burroughs ("masalah
berkenaan graviti masih belum diselesaikan"); dan "The Great War:
American Front," oleh Harry Turtledove ("saya tidak mahu lagi membaca
apa-apa tulisan daripada Turtledove").
Genis mengambil masa setahun untuk menghabiskan 7
jilid tulisan Proust. Kebanyakannya dilakukan ketika beliau dalam kurungan
persendirian kerana dituduh melakukan "transaksi haram" selepas
beberapa orang banduan "menjual jiwa mereka (kepada Genis)" untuk
beberapa cawan kopi ("beberapa pengawal penjara beragama kristian tidak
peduli tentang jenaka saya" tulis Genis). Beliau membaca "In Search
of Lost Time" disamping dua buku panduan akademik yang penuh dengan
anotasi dalam bahasa Perancis, dan sebuah kamus. Beliau menyatakan tiada buku
lain yang membuatkan beliau berasa masa yang dihabiskan didalam penjara begitu
berharga. "Sudah tentu, kita juga seperti seniman memori…," tulis
Genis berkenaan buku "Time Regained" didalam jurnalnya yang merujuk
kepada banduan-banduan didalam penjara. "Setiap banduan hidup di masa
lampau dan berusaha membuat masa mereka berlalu dengan pantas" tulis
beliau. "Tetapi untuk membunuh hari-hari anda sebenarnya adalah seperti memendekkan
hidup anda sendiri".
Didalam penjara, masa adalah musuh dan ikhtiar pada
masa yang sama, dan Genis menyatakan Proust meyakinkannya bahawa satu-satunya
cara untuk beliau wujud di dunia luar walaupun dalam tempoh yang singkat adalah
dengan menjadi penulis. Beliau berjaya menulis sebuah novel bertajuk
"Narcotica", karya fiksyen spekulatif mengenai masyarakat yang tidak
menjadikan aktiviti berkaitan dadah sebagai satu kesalahan jenayah.
Genis kini tinggal bersama Szabo – mereka kekal
berkahwin semasa beliau berada didalam penjara – berdekatan terusan Gowanus.
Beliau mula mahir menggunakan Facebook dan telefon pintar, dan sedang bersiap
sedia untuk menjadi seorang jurnalis sepenuh masa. Szabo kini bekerja sebagai
seorang instruktor yoga, dan kali terakhir saya melawat mereka, Szabo duduk
dilantai dalam posisi yang bertentangan dengan beberapa anatomi normal seorang
manusia. Genis mengeluarkan sekotak rokok Marlboro 100. Saya bertanya apakah
buku yang beliau sedang baca.
"Secara
jujurnya," kata Genis, "saya sudah tidak membaca buku sejak saya keluar
dari penjara".
Artikel tulisan Alex Halberstard ini diterbitkan oleh
New Yorker pada 08 Julai 2014.
20/07/14
Diambil dari Blog Segalanya Tentang Buku
Ulasan
Catat Ulasan