Tragedi Keyakinan
Sebahagian Dari kepemimpinan negara Dan elit yang
berpengaruh seringkali memomokan bahawa keutamaan yang tinggi dalam bahasa
Melayu Akan memundurkan negara. Mereka
beranggapan dengan hanya penguasaan bahasa inggeris yang mutlak diperingkat
pengajian tinggi Dan penyertaan kerjaya sebagai profesional yang fasih
berbahasa berkenaan sahaja merupakan satu-satunya instrumen untuk negara
menjadi negara maju Dan berpendapatan tinggi.
Begitulah taksubnya pemikiran mereka akibat
terpengaruh dengan ledakan globalisasi tajaan Barat yang diketuai oleh
imperialis Amerika Dan sekutu Baratnya yang kuat iaitu Britain, selain Dari
Australia. Kita tidak pernah menafikan
langsung kepentingan penguasaan bahasa asing yang tidak terhad hanya bahasa
keluarga Anglo Demi kelebihan ilmu yang terdapat dalam bahasa berkenaan Dan
lain-lain bahasa. Kita memerlukan ilmu
untuk pembinaan kemajuan bangsa kita.
Dan kita percaya tiada pun mana-mana bangsa maju di dunia ini menafikan
penguasaan bahasa asing. Tetapi apakah keutamaan bangsa maju berkenaan Akan
melebih-lebihan bahasa asing berbanding bahasa kebangsaan/rasmi mereka?
Tidak. Mereka tetap meletakkan keutamaan
bahasa mereka di puncak tertinggi. Mereka
memaksimakan penggunaan bahasa sebagai bahasa tunggal pendidikan, bahasa yang
digunapakai dalam kemajuan sains Dan teknologi, bahasa yang diberikan nilai
ekonomiDan komersil untuk urusan perniagaan, kewangan dan perbankan, bahasa
yang digunakan dalam penegakan hukum keadilan, bahasa untuk persidangan baik
tempatan mahupun antarabangsa, bahasa pengucapan ilmu Dan budaya tinggi, bahasa
untuk pembinaan kepustakaan Dan persuratan bangsa, bahasa untuk seni kesusteraan
Dan bahasa perpaduan.
Tetapi gambaran Dan scenario sebegini tidak terjadi di
negara kita, Malaysia. Bahasa Melayu
terlalu banyak dinafikan peranan, fungsi Dan status elitnya. Apa yang lebih malang ianya diperendahkan
taraf kebangsawanannya oleh barisan pemimpin melayu yang diberi amanah untuk
memimpin dan disokong oleh elit atau golongan yang terdiri dari usahawan serta
kumpulan pertubuhan yang kurang semangat patriotisme dan nasionalisme
linguistiknya.
Bahasa Melayu dinafikan sebagai wahana pengucapan
budaya tinggi khususnya di universiti, bahasa tersebut ditidakan peranannya
dalam penyampaian ucapan apabila adanya peserta dari luar, dinafikan fungsi bahasanya di sektor swasta,
diturunkan darjatnya dalam jurispenden dan keguaman untuk penegakan hukum,
dinyahfungsikan sebagai bahasa perbankan, kewangan dan insurans, dinafikan
nilai ekonomi dan komersialnya, dijatuhtarafkan sebagai penulisan berimpak
tinggi dalam institusi pendidikan tinggi, bahasa Melayu cuma ditarafkan sebagai
bahasa yang layak untuk komunikasi rendah seperti di pasar-pasar malam, borong,
atau dipasaraya mega cuma layak diletakkan tulisan berbahasa Melayu di pintu
KELUAR atau TANDAS. Betapa rendah dan
hinanya nilai Bahasa Melayu pada penilaian mereka.
Masalah ini berpunca dari kelemahan para pemimpin
kita. Ketidaktegasan mereka menyebabkan
banysk pihak yang anti bahasa Melayu menjadi persis kaduk naik junjung. Mereka
sendiri tidak menunjukan contoh tauladan yang baik ketika berbahasa. Nilai sendirilah sewaktu mereka diwawancara
oleh wartawan bahasa yang diucapkan bersifat rojak, tidak menggunakan bahasa
Melayu ketika menyampaikan ucapan walaupun ketika majoriti hadirin adalah orang
tempatan. Penggunaan bahasa Melayu ini
tergantung kepada situasi jika yang hadir itu golongan rakyat kebanyakan maka
bahasa Melayulah yang digunakan. Jika
yang hadir itu golongan elit atau bukan Melayu pastinya bahasa Melayu rojak
atau Inggeris yang digunakan. Mereka
sendiri yang mengkastakan bahasa Melayu. Seolah-olah bahasa tidak berupaya
untuk memahamkan mereka golongan elit yang dikatakan terpelajar dan berstatus
sosial yang tinggi.
Hairan sekali.
Di negara maju golongan elit, terpelajar dan memiliki status sosial yang
tinggi merupakan agen kepada penyuburan bahasa kebangsaan dan rasmi
mereka. Mereka berkomunikasi da menulis
dalam bahasa mereka sendiri. Bahasa
asing cuma digunapakai jika berjumpa dengan mereka yang langsung tidak tahu
bertutur dalam bahasa mereka. Mereka
meletakkan keutamaan berbahasa betul dan kena pada tempat penggunaannya. Malang sekali semangat ini hampir tiada
dikalangan elit negara kita. Jelas
mereka berbicara, bertutur, menulis, membaca dan menonton atau mendengar dalam
bahasa Inggeris ataupun Mandarin/Kantonis. Bahasa Melayu, itupun taraf bahasa
rojak buat mereka terpakai apabila berjumpa dengan orang kebanyakan atau warga
asing. Inilah hakikat pahit yang perlu
diakui dan bukan untuk menimbulkan persepsi perkauman.
Justeru dengan itu bagaimana buat kita untuk menangani
permasalahan yang berkaitan dengan ketidakyakinan mereka terhadap keupayaan
berbahasa Melayu. Ini sebenar berkait
rapat dengan minda dan jiwa yang terjajah dengan keagungan bahasa
penjajah. Benar mereka memperolehi
manfaat dari penguasaan bahasa berkenaan.
Tetapi itu bukan tiket untuk menjustifikasikan perbuatan mereka terus
meremehkan bahasa Melayu. Bangsa besar
dan maju yang lain tidak sama sekali berkompromi dengan bahasa mereka kerana
itu jati diri atau pengenalan bangsa buat mereka. Sekalipun kita sangat fasih dan adakalanya
lebih sudu dari kuah atau lebih Inggeris dan orang Inggeris kita tetap tidak
akan diterima sebagai komuniti mereka dan tidak sebijak minda asli yang
merupakan penutur jati bahasa tersebut.
Mereka ini hanya menggunakan bahasa pinjaman dan
menumpang dalam minda asli bangsa tersebut agar seolah-olah kelihatan hebat
seperti mereka. Jadi berbaliklah kepada
jalan yang benar. Takkan selamanya kita
hendak hidup dalam kesesatan.
Penguatkuasaan dan ketegasan perlu ada.
Pemimpin perlu memperlihatkan komitmen dengan ucapan atau kenyataan
sebagai penegasan terhadap bahasa Melayu.
Janganlah hanya beretorik. Depan
cakap lain belakang cakap lain. Bahasa
Melayu perlu ditransformasikan sebagai wujudnya pelbagai program transformasi
lain. Berlaku adillah dengan bahasa
lidah bangsanya sendiri.
Ulasan
Catat Ulasan