MEMBACA DUNIA DENGAN 196 BUKU
Penulis Ann Morgan telah mencabar dirinya untuk
membaca sebuah buku dari setiap negara di dunia dalam tempoh setahun. Beliau
telah menukilkan pengalaman beliau dan apa yang beliau pelajari -
Saya selalu fikir diri saya ini lebih kurang seperti
seorang manusia kosmopolitan tetapi rak buku saya memberikan gambaran berbeza
tentang diri saya. Selain daripada beberapa novel dari penulis India dan
beberapa buah buku dari penulis Australia dan Afrika Selatan, rak buku saya
kebanyakannya tersimpan judul-judul buku dari penulis British dan Amerika.
Lebih teruk, saya jarang cuba untuk membaca karya-karya yang diterjemahkan.
Bahan bacaan saya masih berlegar sekitar karya-karya yang ditulis oleh penulis-penulis
berbangsa Inggeris.
Jadi pada permulaan tahun 2012, saya mencabar diri
saya untuk cuba membaca buku dari setiap negara (kesemua 195 negara yang
diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan juga negara yang pernah
menjadi anggotanya iaitu Taiwan) dalam tempoh masa setahun untuk mengetahui
apakah yang telah saya ketinggalan.
Tanpa sebarang
idea tentang bagaimana untuk mendapatkan setiap judul buku dari hampir 200
negara yang terpampang di rak kedai buku tempat saya tinggal, saya mengambil
keputusan untuk mewujudkan sebuah blog bertajuk A Year Of Reading The World dan
meminta cadangan tajuk-tajuk buku yang boleh saya baca dalam bahasa Inggeris.
Maklumbalas yang diterima amat menakjubkan. Tanpa saya
sedari, begitu ramai orang dari segenap pelusuk dunia memberi idea dan
menawarkan pertolongan. Ada yang mengepos buku dari negara mereka kepada saya.
Ada yang secara sukarela melakukan berjam-jam pencarian bagi pihak saya. Tambah
lagi, ada beberapa penulis, seperti Ak Welsapar dari Turkemnistan dan Juan
David Morgan dari Panama yang menghantar terjemahan novel mereka yang masih
belum diterbitkan kepada saya yang memberi peluang yang amat berharga kepada
saya untuk membaca karya-karya mereka yang tidak mampu dibaca oleh 62% rakyat
British yang hanya fasih berbahasa Inggeris.
Walaupun terdapat ramai bibliofil yang menyokong saya,
jujurnya, mengumpul buku-buku ini bukanlah satu tugas yang mudah. Untuk
permulaan, hanya lebih kurang 4.5 peratus sahaja karya sastera yang diterjemah
diterbitkan di United Kingdom dan Britain, justeru untuk mendapatkan versi bahasa
Inggeris buku-buku ini bukan satu kerja yang senang.
NEGARA-NEGARA KECIL
Terlalu sedikit bahan bacaan dalam bahasa Inggeris
yang boleh ditawarkan oleh negara-negara kecil seperti Comoros, Madagascar,
Guinea Bissau dan Mozambique. Ini adalah realiti sebenar negara-negara Afrika
yang menggunakan francophone dan lusophone (bahasa Portugis) dalam pertuturan
seharian mereka. Bagi negara-negara ini, saya terpaksa bergantung kepada
manuskrip yang belum diterbitkan dan untuk negara kepulauan kecil Sao Tome dan
Principe, saya mungkin akan terkandas tanpa sebarang bahan bacaan jika bukan
kerana jasa baik penterjermah-penterjermah sukarelawan dari Eropah dan Amerika
yang sudi menterjermah cerita-cerita pendek penulis bernama Olinda Beja yang
berasal dari negara Satomean ini untuk saya.
Terdapat juga tempat dimana cerita-cerita dongeng
tempatan jarang ditulis. Contohnya jika anda mahu mengetahui rantaian
cerita-cerita dongeng tempatan di Marshall Island, ia adalah satu cabaran yang
amat sukar untuk mendapatkan cerita-cerita ini dalam bentuk buku dan anda mungkin terpaksa meminta kebenaran
daripada penghulu tempatan (Iroji) untuk mendengar cerita-cerita ini daripada
penglipura tempatan. Hal yang sama juga berlaku di Niger, dimana cerita-cerita
lagenda dipelihara oleh penglipura profesional tempatan yang dikenali sebagai
Griot (yang mana mereka ini telah dilatih sejak dari umur tujuh tahun dalam
seni bercerita dan muzik). Rekod bertulis tentang cerita-cerita dongeng
tempatan juga adalah amat sedikit dan jika anda pergi mendengar cerita-cerita
ini daripada penglipura tersebut, anda hanya akan dapat menangkap sebahagian
kecil sahaja daripada cerita tersebut.
Lebih menyukarkan lagi, keadaaan politik sesebuah
negara turut menyusahkan misi saya. Walaupun kemerdekaan Sudan Utara pada 09
Julai 2011 adalah detik indah bagi penduduknya selepas mengharungi perang
saudara berdekad lamanya, ianya juga memberi cabaran tersendiri. Adalah sesuatu
yang tidak munasabah untuk mengharapkan adanya penerbitan buku dalam bahasa
Inggeris bagi sebuah negara yang masih kekurangan jalanraya, hospital, sekolah
dan infrastruktur asas. Jika bukan kerana pertolongan penduduk tempatan yang
menghubungkan saya dengan penulis bernama Julia Duany yang menulis untuk saya
cerita yang selama ini hanya disampaikan dari mulut ke mulut, sudah tentu saya
terpaksa ke Juba untuk mendengar sendiri cerita-cerita dongeng tempatan daripada
penduduk tempatan sendiri.
Secara keseluruhannya, mencari cerita dengan cara
sebegini memang memakan masa yang lama sama seperti membaca buku dan menulis
blog. Ianya memang cabaran yang hebat untuk melakukan kesemuanya dalam masa
yang singkat dan banyak masa saya habiskan setiap malam membaca buku sehingga
mata saya berair demi mencapai misi saya iaitu membaca sebuah buku setiap 1.87
hari.
KONDISI MENTAL
Apapun, ianya satu usaha sangat berbaloi. Dalam saya
meneroka lanskap kesusasteraan dunia, banyak perkara menakjubkan berlaku. Jauh
dari sekadar pembaca yang mengembara dari tempat duduknya, saya mendapati diri
saya mendiami ruang mental para penulis. Saya bukan sahaja mengembara ke
tokong-tokong eksotik, malah saya mampu melihatnya sepertimana seorang yang
beragama Buddha melihatnya. Saya turut
mengembara ke kawasan budak pengembala di kawasan pergunungan Altai di
Mongolia. Bersama Nu Nu Yi sebagai pemandu pelancong saya, saya turut merasai
pengalaman festival keagamaan di Myammar dari medium perspektif seorang
transgender.
Di tangan penulis-penulis yang berbakat, saya
mendapati, pengembaraan melalui buku yang saya lalui menawarkan pengalaman yang
jarang dirasai oleh pengembara sebenar iaitu masuk ke dalam kotak pemikiran
individu yang tinggal beribu batu jauhnya dan merasai sendiri pengalaman
kehidupan mereka dari kaca mata mereka sendiri. Lebih mengesankan daripada
beribu berita, cerita-cerita yang saya baca ini bukan sahaja membuka mata saya
terhadap kehidupan individu di tempat-tempat lain, malah membuka hati saya
terhadap apa yang mungkin mereka rasa.
Atas sebab itu juga, ia mengubah cara saya berfikir.
Melalui pembacaan cerita-cerita yang dikongsi oleh pembaca-pembaca yang saya
tidak kenali dari seluruh dunia, saya menyedari saya bukanlah manusia yang
terasing, sebaliknya saya adalah sebahagian daripada rangkaian yang melitupi
dunia.
Satu demi satu, nama-nama negara dalam senarai saya
yang pada mulanya hanya sekadar bertujuan sebagai latihan intelektual di
pemulaan tahun bertukar menjadi tempat yang hidup dan mengujakan yang dipenuhi
dengan kasih sayang, kemarahan, harapan dan ketakutan. Tempat-tempat yang
selama ini kelihatan terpencil dan eksotik menjadi sangat dekat dan biasa
kepada saya. Yang paling penting, saya belajar bahawa fiksyen sebenarnya
menjadikan dunia ini benar.
Diambil di Blog Segalanya Tentang Buku
Senarai daftar buku yang beliau baca menerusi cabaran mental ini boleh diakses di blog tersebut.
19/07/14
Ulasan
Catat Ulasan