Mengenang Keranda 152..isu yang tidak pernah diselesaikan
Hari ini dinobatkan sebagai mengenang peristiwa
perarakan Bahasa Melayu. Kebetulan Fasal 152 yang diperuntukan dalam
Perlembagaan Negara adalah Bahasa Melayu bersamaan 15 Feb, maka diraikannya
sebagai mengenang peristiwa berkenaan yang mencapai kemuncaknya pada 3 Mac 1967. Ianya terjadi akibat dari ketidakpatuhan
terhadap janji yang dinyatakan oleh para pengasas kemerdekaan bahawa Bahasa
Melayu akan terpakai 100% dalam semua urusan kenegaraan selepas 10 tahun kita
merdeka. Ianya memang pelik. Kerajaan pada masa tersebut memperuntukan tempoh
masa berkenaan sebagai waktu peralihan untuk mengubah dasar bahasanya dari
Bahasa inggeris ke Bahasa Melayu. Jadi dalam
10 tahun berkenaan, hampir semua urusan masih menggunakan bahasa inggeris dan
pada masa yang sama Bahasa Melayu mula mengambilalih secara berperingkat semua
urusan rasmi berkait kerajaan.
Namun sehingga tarikh yang dijanjikan masih terdapat
beberapa institusi berkaitan kerajaan seperti kehakiman yang masih tebal
pengaruh keinggerisannya. Jadi ini
menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan pejuang Bahasa Melayu bahawa janji
dan tuntutan berkenaan dimungkiri oleh pihak kerajaan pimpinan Melayu. Maka beberapa siri mesyuarat dan dialog
diadakan. Mujurnya ketika itu UMNO
secara majoritinya disokong oleh guru-guru Melayu yang menggugut untuk keluar
dari UMNO dan pada masa yang masa juga diadakan perarakan yang membawa keranda
bertulis 152 yang diketuai oleh Pengarahnya Tan Sri Syed Nasir yang turut
dikenali sebagai Singa Bahasa dan juga Usman
Awang, sebagai manifestasi dan sombolik terhadap ketidakpuasan hati, rasa kekecewaan
dan ‘kematian’ terhadap Bahasa Melayu. Rententan
dari itu menyebabkan kerajaan yang terlena dan terbuai dengan ‘nikmat’
kemerdekaan mulanya bertindak dengan beberapa perancangan. Sebenarnya ia masih lagi gagal untuk
menyedarkan kelompok elit yang berpendidikan inggeris yang tebal jiwa
keinggerisannya disamping secara luarannya memperlihatkan semangat nasionalisme
kemelayuan yang tebal. Dan perancangan
yang lebih terancang hanya muncul selepas 2 tahun kemudian selepas insiden
berdarah 13 Mei 1969.
Hakikat sebenar, perjalanan Bahasa Melayu untuk menjadi
sebagai bahasa pemersatuan yang merentas semua ranah tanpa sebarang prejudis
dan pengecualian masih lagi tidak menjadi kenyataan biarpun lebih baik dari
dahulu. Tembok tebal yang mendindingi
sebahagian besar sector swasta, perbankan, kewangan dan perundangan masih lagi
terpahat kukuh semangat menggunakan bahasa bekas penjajah. Ini termasuk juga dalam dasar pendidikan
negara yang telah beberapa kali digubal dengan cuba menjustifikasikan bahasa
inggeris dalam sistem arus perdana. Dasar
yang tidak konsisten dengan semangat Fasal 152.
Pelbagai alasan diberikan bagi menafikan keberadaan, kebangsawanan,
kelestarian dan kedinamikan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa tunggal dalam
penggunaan semua sektor dan merentas batas perkauman. Ini adalah berakibat dari pemimpin terdahulu
yang mengekalkan legasi penjajah dalam sistem pendidikan negara kita.
Sistem pendidikan vernacular yang menggunakan bahasa
pengantar berbeza dari sistem pendidikan kebangsaan terus dikekalkan demi
meraih undi dan sokongan politik yang tidak seberapa. Golongan yang bermuka-muka atau berlidah
cabang disebalik NGO pendidikan ini begitu kuat memberi tekanan dari luar dan
menggunakan kuasa pemujukan dari dalam yang terdiri kalangan politik sebangsa
mereka untuk terus mengekalkan legasi pendidikan mereka. Sebenarnya penjajah Barat telah lama mengkaji
dan berpendapat bahawa sistem pendidikan yang berkiblatkan kepada bahasa mereka
adalah instrument terbaik dan berkesan untuk mengekalkan kesinambungan siri
penjajahan. Penjajah juga berpendapat
penggunaan bahasa yang pelbagai juga adalah satu cara untuk membolehkan bahasa
mereka digunakan kerana ia bersifat ‘neutral’ iaitu tidak memihak atau
memberatkan kepada etnik tertentu. Mereka
telah menduga bahawa bukan selama-lamanya mereka mampu menjajah negara
berkenaan kelak bangsa penjajah akan bangkit menuntut kemerdekaan. Jadi sebagai jalan terbaik adalah dengan
menyediakan seberapa ramai yang boleh golongan berpengaruh atau elit dari
kalangan anak jajahan dengan pendidikan yang berorentasikan Barat dan juga
menyajikan pelbagai bahan bacaan dalam bahasa mereka serta juga membawa mereka
belajar negara penjajah.
Dengan ini mereka akan mendapat gambaran bahawa dengan
pendidikan yang diterima oleh mereka maka inilah kemajuan yang bakal diperolehi
oleh anak bangsa jika mereka merdeka. Kita
mengecap kemerdekaan menerusi sesi rundingan dengan pihak penjajah. Perlembagaan Negara juga dirangka bersama
oleh mereka dan menggunakan bahasa penjajah.
Jadi tiada bezanya Cuma peranan penjajah dikurangkan dan kelebihan
diberikan kepada bangsa yang bakal merdeka.
Apa yang penting peranan bahasa mereka dikekalkan dan diletakkan sebagai
bahasa kedua. Biarpun sebagai bahasa
kedua, tetapi pengaruhnya adalah lebih
kuat malahan diperkasakan dari semasa ke semasa oleh wakil yang menerima didikan
mereka. Tanpa kelibat fizikal penjajah,
namun arahan penguatkuasaan ‘secara tidak rasmi’ terus berjalan dan menjadi
tradisi yang sukar untuk diperbetulkan kerana ianya diterima umum sebagai
kebiasaan walaupun kebiasaan tersebut sebenarnya bertentangan dengan Fasal
152.
Seolah-olah segalanya seperti dirancang oleh pihak
penjajah supaya kita kekal meneruskan kebergantungan kepada mereka buat
selama-lamanya. Pelbagai momokan
diceritakan menerusi proksi atau wakil anak bangsa dijajah bahawa tanpa
penguasaan kepada bahasa penjajah mereka akan terus ketinggalan dari arus
globalisasi, persaingan mendapat ilmu dan teknologi, gagal mendapat pekerjaan
dan menjadi bangsa tercicir akibat tidak menguasai bahasa penjajah. Golongan yang memperjuangakan Bahasa Melayu
dilabelkan sebagai ultralis, nasionalis sempit, ekstremis bahasa, fanatic atau
apa-apa sahaja gelaran negatif. Mereka ini
seolah-olah dibutakan bahawa ada bangsa lain yang jauh lebih maju dari bekas
penjajah dan tidak pula dipaksa menguasai bahasa penjajah secara
menyeluruh. Bangsa seperti Jerman,
Perancis, Jepun, Korea Selatan, Austria, Russia, China dan beberapa bangsa
besar lain tidak pula menjadikan penguasaan bahasa inggeris sebagai bahasa mutlak
kemajuan. Mereka percaya bahawa bahasa
pembinaan yang terbaik adalah bahasa mereka sendiri. Bahasa asing hanya digunakan sebagai topang
atau sokongan kepada penambahbaikan terhadap bahasa dan kemajuan bangsa
mereka. Mereka tidak menafikan kelebihan
bahasa asing, tetapi tidaklah sampai seperti apa yang dilakukan dilakukan oleh
kepemimpinan negara kita.
Percayalah isu bahasa ini tidak akan selesai malahan
akan terus dipolitikan dan dipolemik. Apa-apa
pun dari kemelut bahasa ini, yang memperolehi keuntungan adalah Bahasa Inggeris
itu sendiri. Bahasa Melayu pula akan
terus diasak dari segenap penjuru baik dari kalangan penutur jati yang kurang
jatidiri melayunya (tetapi sangat marah dikatakan tidak melayu), golongan
liberalis, golongan berpendidikan vernacular yang tegar semangat kiasu dan
rasisnya dan pastinya pemain-pemain industri swasta yang merupakan lubuk
terkuat bahasa berkenaan. Strategi yang
dirangka dengan baik dan halus ini ternyata sangat Berjaya sebagai mekanisme
untuk terus memaksa penggunaan bahasa mereka ke atas subjeknya iaitu bangsa
yang dijajah.
Ulasan
Catat Ulasan