Kaki Dalam Kasut
Artikel ini ditulis oleh Tun Dr Mahathir pada sekitar tahun 2009 yang mendapat reaksi yang luar biasa dari pelbagai golongan khasnya golongan yang kononnya memperjuangkan hak kebebasan, keadilan, liberal, kesamarataan, yang memperjuangkan meritokrasi atau yang memohon permainan di atas padang yang rata yang mengatasnamakan rakyat yang bebas dari sentimen perkauman, agama dan hak keistimewaan...
Namun betulkah?
Artikel ini secara jujur membincangkan persoalan tersebut. Bacalah dengan mata hati yang terang dan jelas tanpa diprasangkakan.
Di forum anjuran Gempita dan UMNO bertajuk Kedudukan
Raja-Raja Melayu dan Orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia di Zaman
Liberalisasi dan Globalisasi, saya ditanya oleh seorang pensyarah Melayu dari
UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) apakah saya pernah fikir untuk
meletak diri saya di tempat orang bukan Melayu (put yourself in the shoes of a
non-Malay) bersabit dengan diskriminasi terhadap mereka di negara ini.
2.Saya percaya penyoal berpendapat orang bukan Melayu berasa
amat tertekan dan kecewa dengan "ketidakadilan" terhadap mereka di
Malaysia (oleh Kerajaan yang dikuasai oleh orang Melayu).
3.Saya tidak tahu samada penyoal ini pernah bertanya kepada
tokoh bukan Melayu soalan yang sama iaitu perasaan orang Melayu akan keadaan di
negara nenek moyang mereka yang mereka sudah jadi kaum yang secara relatif
termiskin dan masih ketinggalan.
4.Jika beliau bertanya dan tokoh tersebut menjawab secara
ikhlas, beliau akan dapati bahawa orang Melayu amat kecewa dengan kemiskinan
relatif mereka sehingga terpaksa meminta-minta sepanjang masa dan juga
ketinggalan dalam pelbagai bidang.
5.Mereka cuba yakin mereka adalah tuan di negara mereka
tetapi mereka tahu sebenarnya mereka bukan tuan. Orang bukan Melayu yang
menjadi tuan yang sebenar.
6. Kerana mereka rela berkongsi negara mereka dengan kaum
lain, kaum yang berasal dari tamadun yang lebih tua (4,000 tahun) dan lebih
berjaya, hari ini yang sedikit yang ada pada mereka pun hendak dipisah dari
mereka.
7.Fikirkan hanya berkenaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Agihan
kekayaan korporat dalam DEB ialah sebanyak 30% bagi bumiputra (walaupun mereka
adalah 60% dari penduduk) dan 40% bagi kaum lain serta 30% bagi orang luar.
Tetapi setelah diusahakan selama 39 tahun bahagian yang terdapat bagi mereka
ialah 20%, sedangkan yang terdapat bagi kaum lain ialah hampir 50%, walaupun
mereka hanya 26% dari jumlah penduduk.
8.Nilai harta milik bumiputra pula berjumlah 15% sedangkan
yang baki dimiliki oleh bukan bumiputra disebabkan harta di bandar bernilai
lebih tinggi dari di luar bandar.
9.Tokoh bukan Melayu yang cuba duduki tempat Melayu (in the
shoes of the Malays) jika ikhlas, akan rasa kekecewaan Melayu melihat hampir
semua perniagaan dan perusahaan serta kekayaan yang diperolehi darinya dimiliki
oleh bukan Melayu. Segala estet rumah mewah juga diduduki oleh bukan Melayu.
Sikit benar orang Melayu yang tinggal di estat mewah ini. Lebih ramai yang
tinggal di kawasan setinggan.
10.Mungkin semua ini disebabkan kesalahan orang Melayu
sendiri. Mereka tidak guna peluang yang disediakan bagi mereka. Ada yang
salahguna peluang-peluang ini pun. Tetapi jika seorang pengayuh beca diberi
sejuta Ringgit, apakah ia akan dapat berniaga dan berjaya dalam bidang ini.
11.Social engineering bukan hanya dilakukan oleh orang
Melayu sahaja. Sosialisme dan Komunisme juga merupakan sejenis social
engineering untuk mengurang atau menghapus jurang antara yang miskin dengan
yang kaya. Mereka juga tidak berjaya sepenuhnya walaupun mereka mengguna
kekerasan yang dahsyat. DEB dilaksanakan dengan berhati-hati tanpa kekerasan,
tanpa rampasan dan sering dipinda apabila menghadapi tentangan dari bukan
Melayu. Apakah persepsi orang Melayu terhadap DEB?
12.Lihat sahaja sejarah perjuangan Melayu. Pada Pilihanraya
1955, diwaktu mereka menguasai 82% dari kawasan-kawasan pilihanraya, mereka
rela memberi sejumlah yang tidak kecil dari kawasan - kawasan mereka kepada
kaum lain dan mengundi calon dari kaum-kaum ini sehingga menang melawan calon
Melayu lain (PAS).
13.Kemudian mereka anugerahkan satu juta kerakyatan tanpa
syarat biasa kepada kaum lain sehingga peratusan rakyat Melayu jatuh dari 82% kepada
60%. Siapakah yang lain yang pernah lakukan yang sedemikian?
14.Pada ketika itu nama rasmi negara ialah Persekutuan Tanah
Melayu. Apabila Semenanjung Tanah Melayu dicantum dengan Singapura, Sarawak dan
Sabah, perkataan "Tanah Melayu" digugur dan cantuman negeri - negeri
ini dinamakan Malaysia. Dengan itu hilanglah identiti Melayu dalam nama negara
sendiri. Tidak pula mereka tuntut nama-nama lain digugur.
15.Tidak seperti di negara-negara yang membenar hanya bahasa
kebangsaan mereka sahaja untuk semua sekolah nasional, orang Melayu bersetuju
bahasa Cina dan Tamil dijadikan bahasa pengantar di sekolah bantuan Kerajaan.
Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) tidak menjadi bahasa kebangsaan seperti di
negara-negara jiran dan di Eropah, Australia dan Amerika.
16.Dan banyaklah lagi korban yang dibuat oleh orang Melayu
supaya kaum lain mendapat apa sahaja yang dituntut oleh mereka, demi keamanan
dan perpaduan rakyat dan negara.
17.Apakah gamaknya perasaan tokoh yang meletak diri di
tempat orang Melayu, terhadap semua korban ini? Apakah dia masih fikir yang
orang Melayu harus korban segala-gala yang dituntut daripada mereka?
18.Dengan rencana ini saya tetap akan di cap sebagai racist
oleh racist bukan Melayu. Tetapi kalau mereka sanggup menerima yang benar, mereka
boleh banding korban orang Melayu pemilik asal negara ini dengan korban mereka
untuk kepentingan negara ini.
19.Saya berpendapat jika negara ini hendak aman dan maju,
agihan kekayaan dan kualiti hidup semua kaum hendaklah adil (fair) walaupun
tidak sama (unequal). Janganlah hendaknya mana-mana pihak atau kaum tanggung
beban kemiskinan yang keterlaluan, sementara kaum lain hidup mewah. Mengumpan
sokongan dengan mengambil hak satu kaum untuk diberi kepada kaum lain bukanlah
caranya - lebih-lebih lagi mengambil dari yang kurang berada untuk diberi
kepada yang sudah lebih berada.
Ulasan
Catat Ulasan