Titah DiRaja DYMM Raja Nazrin di Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia
Titah DiRaja DYMM Raja Nazrin di Kongres Majlis Agama Islam
Negeri Seluruh Malaysia 26 Sept 2011 (Isnin, 11.30 pagi)
Berikut adalah teks titah Diraja Pemangku Raja Perak Darul
Ridzuan:
TITAH DIRAJA DULI YANG MAHA MULIA PEMANGKU RAJA PERAK DARUL
RIDZUAN RAJA NAZRIN SHAH DI KONGRES
MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SELURUH MALAYSIA.
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR.
Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji tertentu bagi ALLAH Subhanahu Wata’ala yang
memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagi
Nya (pula) segala puji di akhirat, dan Dialah saja Yang Maha Bijaksana, lagi
Maha Mendalam pengetahuan Nya.[1]
Hamba-Mu ini, dengan hati yang bening – ingatan yang hening, melafazkan
seikhlas tutur dari denyut nadi – menzahirkan setulus kalam dari pancaran hati,
kalimah kesyukuran yang setinggi-tingginya atas anugerah rahmat dari Mu jua Ya
ALLAH, mengangkatkan martabat Hamba-Mu ini untuk menyempurnakan satu tanggung
jawab fardu kifayah di pagi ini. Dengan segala kerendahan sifat – kelemahan
kudrat, hamba-Mu mohon mendapat petunjuk dan panduan dari Mu jua.
2. Selawat dan
kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam,
semulia-mulia kejadian. Demikian juga ke
atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk
mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang
berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan.
Semoga memperoleh ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala sehingga ke
hari kebangkitan.
“ WALLAHI, WABILLAHI,
WATALLAHI
Maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguhnya
dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya
pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana Undang-undang dan
Perlembagaan Negeri yang telah disah dan dimasyhurkan dan yang akan disah dan
dimasyhurkan di masa hadapan ini. Dan
lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya
memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap atas pemerintahan
yang adil dan aman di dalam negeri.”
3. Demikian
lafaz ikrar sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong selaku
Ketua Utama Negara. Status Ketua Utama
Negara bukan sekadar simbol hiasan.
Status Ketua Agama Negara menuntut kepada penyempurnaan tanggung jawab
besar memenuhi amanah. Terkandung lima
kata kunci dalam sumpah jawatan tersebut; ia itu: Undang-undang, Perlembagaan
Negeri, Agama Islam, Adil dan Aman.
4. Kongres
Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia yang berlangsung pada 26 dan 27
September ini, dianjurkan, menyusuli ketetapan yang telah diperkenankan dalam
Persidangan Majlis Raja-Raja. Menjunjung
titah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Patik merafak sembah junjungan kasih
setinggi-tingginya atas limpah perkenan Duli-Duli Tuanku, memberikan pengiktirafan
ke atas batang tubuh Patik, menyempurnakan hasrat Duli-Duli Tuanku, untuk Patik
menzahirkan Titah Diraja atas tema “MAJLIS AGAMA ISLAM PEMACU TRANSFORMASI
UMMAH”.
5. Setiap yang
tersurat dizahirkan dari yang tersirat.
Ketetapan Majlis Raja-Raja memperkenankan kelangsungan Kongres ini,
perlu direnung secara tajam, diamati secara halus dan diselami secara mendalam;
betapa keprihatinan yang tersirat dalam ruang minda Duli-Duli Yang Maha Mulia
Raja Melayu tentang senario semasa negara; senario semasa negara yang harus
dirangkaikan dengan lima kata kunci yang terkandung dalam sumpah jawatan Seri
Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong; senario semasa negara berkaitan Islam,
survival ummah dan perpaduan ummah, soal keluhuran Perlembagaan, soal
kedaulatan undang-undang, soal keadilan, soal keamanan; serta lebih utama
keprihatinan Duli-Duli Yang Maha Mulia itu, sebagai pewaris kepada Tujuh Wasiat
yang telah diperkenankan kepada rakyat-rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal
dan subjek Raja-Raja Melayu oleh sembilan Raja Melayu pada tarikh 5 Ogos 1957,
lalu memberikan perkenan menurunkan tanda tangan persetujuan kepada pembentukan
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
6.
Perlembagaan Persekutuan secara nyata menetapkan kewajipan penting Seri
Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, selaku Ketua Utama Negara untuk memelihara
kesucian agama Islam pada setiap masa.
Tanggung jawab penting tersebut didukung bersama oleh sembilan Raja
Melayu di Negeri-negeri. Tanggung jawab
penting tersebut telah sekian lama diamanahkan kepada Raja-Raja Melayu dan
Raja-Raja Melayu telah menyempurnakan amanah tersebut dengan memastikan
kesucian Islam tidak ternoda, syiar Islam terus dikembangkan dan umat Islam
dilindungi dari penyerapan fahaman lain hingga boleh dimurtadkan. Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan
memberi kuasa kepada Negeri menggubal undang-undang untuk mempertahankan agama
Islam dan penganutnya dari dipengaruhi unsur-unsur agama lain.
7. Islam mula
berakar di negeri-negeri Tanah Melayu sejak kurun keempat belas. Islam terpahat kukuh di persada sejarah
negara. Islam telah tersebar di
negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu lebih awal dari
Melaka[3]. Dengan pengislaman Raja
Melaka dalam tahun 1409[4], Islam bertapak lebih kuat di alam Melayu[5],
dijadikan agama rasmi Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah
(1446-1458)[6] Kesultanan Melaka
dianggap sebagai salah sebuah Kerajaan Islam yang ulung di Asia Tenggara,
berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara[7].
8. Risalah
Islam memberikan impak besar kepada jiwa dan minda masyarakat Melayu. Islam
mengisi kandungan rohani, begitu serasi – begitu sebati dengan jiwa dan budaya
Melayu. Ajaran Islam diterima pakai
sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan umat Melayu di Malaysia. Islam mengubah anutan agama umat Melayu
kepada satu agama wahyu yang ditanzilkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala[8]. Proses pengislaman di alam Melayu berlangsung
dalam masa yang singkat dan merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan
kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat[9].
Ajaran Islam cepat menyerap di kalangan umat Melayu kerana Islam
merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang
sedia wujud, memperlihatkan kebijaksanaan umat Melayu melakukan asimilasi,
menyesuaikan sistem kepercayaan lama dengan yang baru[10].
9. Islam
memberi dimensi baru kepada minda Melayu.
Ia telah mencetuskan satu revolusi pemikiran di kalangan umat, berupaya
menyemai nilai dan semangat keagamaan yang luhur[11]. Islam telah merobah bukan sahaja struktur
zahir masyarakat Melayu malah turut menyentuh struktur batinnya[12]. Berpalinglah pandangan hidup umat Melayu,
gugur dari singgahsana alam seni dan mitos yang khayal, berpindah ke alam akal
dan budi yang menuntut kepada gaya tertib yang lebih teratur, berjaya membina
daya rasionalisme dan intelektualisme di kalangan umat, mengangkat adab dan
susila serta kesedaran terhadap
kemuliaan insan dan keagungan Tuhan[13].
10. Beberapa
pengubahsuaian lantas berlaku dalam sistem pemerintahan dengan pengenalan
identiti baru. Raja dan Kerajaan diberi
taraf baru, menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai ‘penjelmaan
tuhan di bumi’, status yang meletakkan Raja sama taraf dengan tuhan, beralih
kepada konsepsi bahawa Raja adalah ‘bayangan ALLAH di muka bumi (zillulah fi
al-Ard)”[14]. Hubungan batiniah Raja
dengan para dewata ditinggalkan, di sebaliknya talian spiritual dirangkaikan
dengan Allah dan Rasul serta kekudusan tokoh para aulia dan anbia[15]. Berdasarkan konsepsi baru ini, Raja hanya
bertaraf wakil atau khalifah di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan. Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana
Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari
sudut amal makruf Baginda menyempurnakan tanggung jawab, lantas menginsafkan
Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah ILAHI yang sama sekali tidak
boleh disalahgunakan. Raja wajib
menjunjung amanah pemerintahan dengan melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan
rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu
Wata’ala[16].
11. Islam dan
Melayu adalah tunggak utama Tanah Melayu.
Undang-undang Islam diguna pakai untuk mentadbir negeri-negeri di Tanah
Melayu. Negeri Melaka telah mengkanunkan
Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka berdasarkan Hukum
Syarak[17]. Di negeri Perak,
Undang-Undang 99 juga digubal berdasarkan prinsip Hukum Syarak; Terengganu,
Kelantan dan Kedah menyerap pengaruh Islam dalam pentadbiran masing-masing[18].
12. Selepas
kejatuhan Melaka, kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu meneruskan tradisi
pemerintahan beraja yang kekal berpandukan undang-undang Islam sehingga
munculnya penglibatan Inggeris dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu. Inggeris telah memisahkan urusan pentadbiran
negeri dengan agama Islam. Proses
peralihan kepada sistem pentadbiran perundangan Inggeris telah dilakukan dari
negeri ke negeri. Hal ehwal Islam
ditadbirkan secara berasingan dengan penubuhan institusi-institusi khusus untuk
urusan Agama Islam dan adat istiadat Melayu.
13. Di negeri
Perak, pentadbiran Islam dipertanggungjawabkan kepada beberapa Orang Besar
Negeri yang dilantik oleh Sultan[19].
Salah seorang Orang Besar Delapan, Imam Paduka Tuan dilantik memegang
jawatan Kadi[20]. Di pertengahan abad
kesembilan belas, terdapat gelaran-gelaran Imam Seri Raja Kota Lama Kanan, Imam
Siraja Pakih Kota Lama Kiri, Imam Malaikat Amin Ketior, Imam Siraja Diraja
Geronggong, Imam Seri Jidin Sayong, Imam Siraja Mahkota Bota, Imam SyakuI-Islam
Pasir Salak dan Imam Siraja Dalam Istana Sultan[21]. Dalam abad kedua puluh, Majlis Orang
Besar-Orang Besar dan ulama ditubuhkan untuk mengambil tanggung jawab mengurus
tadbir hal ehwal Islam di Perak[22].
14. Amat
ketara, urus tadbir berpaksikan Islam yang merangkumi aspek perundangan,
toleransi, ekonomi dan sosial ketika itu, telah diterima sebagai cara hidup
masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di bumi ini[23]. Pengiktirafan tersebut selanjutnya
diterjemahkan melalui kes Raman – lawan Laton, apabila Mahkamah Rayuan bagi Negeri-Negeri
Melayu Bersekutu memutuskan bahawa Islam adalah “lex loci of the
land”[24]. Begitu ketara Inggeris
mengakui hakikat bahawa Islam merupakan satu-satunya agama yang diiktiraf
sebagai agama bagi negeri-negeri Tanah Melayu, berkedudukan tertinggi
berbanding agama-agama lain.
15. Berasaskan
hakikat tersebut, Hakim Abdul Hamid yang menganggotai Suruhanjaya Reid telah
bersetuju dengan memorandum yang dikemukakan oleh Parti Perikatan supaya Islam
dijadikan agama bagi Persekutuan Tanah Melayu.
Parti Perikatan adalah gabungan parti-parti politik yang mewakili
masyarakat Melayu, masyarakat Cina dan masyarakat India, tiga kaum utama di
kalangan penduduk Tanah Melayu. Dengan
pertimbangan bahawa sudah terdapat 15 buah negara di dunia ketika itu
meletakkan agama dalam Perlembagaan mereka,
Hakim Abdul Hamid mengakui bahawa Islam memiliki kedudukan istimewa di
Negeri-Negeri Tanah Melayu dengan menyatakan:
Petikan:
“ If in these
countries a religion has been declared to be the religion of the State and that
declaration has not been found to have caused hardships to anybody, no harm
will ensure if such a declaration is included in the Constitution of
Malaya. In fact in all the Constitutions
of Malayan States a provision of this type already exists. All that is required is to transplant it from
the State Constitution and to embed it in in the Federal”[25]
16. Tradisi
pengiktirafan Islam sebagai agama Negara telah diterjemahkan melalui
persetujuan yang telah dicapai oleh kaum-kaum dan kumpulan- kumpulan agama yang
menghuni Tanah Melayu untuk menerima Perkara 3(1), meletakkan di dalam
Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan Perkara 3(2)
untuk menjamin hak-hak, keistimewaan, kuasa prerogatif Raja-Raja di
Negeri-Negeri. Islam adalah ‘Magna
Carta’, satu kontrak sosial yang tersirat, dan adalah komponen yang terkandung
di dalam Perlembagaan, satu kontrak sosial yang tersurat di negara ini.
17. Perkara
3(1) Perlembagaan Persekutuan yang diperlengkap dan diperkukuh dengan beberapa
peruntukan lain[26], telah memartabatkan Agama Islam sebagai agama bagi
Persekutuan; dan hakikat akan penerusan kedaulatan Raja-Raja Melayu di
Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya di kenali sebagai Malaysia. Adalah penting untuk Perlembagaan Persekutuan
ditafsirkan secara menyeluruh untuk memastikan kesemua peruntukan yang
terkandung di dalamnya adalah berikat dan berkuasa.[27]
18.
Perkara-perkara utama mengenai Islam yang terkandung di dalam
Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah. Ia perlu ditafsirkan secara holistik,
dikaitkan dengan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan, demi memastikan,
tujuan sebenar peruntukan-peruntukan tersebut tidak dimanipulasikan hingga
menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.
19. Dalam kes
Dato’ Menteri Othman bin Baginda & Anor melawan Dato Ombi Syed Alwi bin
Syed Idrus[28], Ketua Hakim Negara ketika itu, Yang Amat Arif Raja Azlan Shah
memutuskan antara lain:
Petikan:
“ In interpreting a constitution two points must be borne in
mind. First, judicial precedent plays a
lesser part than is normal in matters of ordinary statutory
interpretation. Secondly, a
constitution, being a living piece of legislation, its provision must be
construed broadly and not in a pedantic way – with less rigidity and more
generosity than other Acts”
(see Minister of Home Affairs v Fisher (1979) 3 All ER 21)
Yang Amat Arif Raja Azlan Shah seterusnya menyatakan:
Petikan:
“It is in the light of this kind of ambulatory approach that
we must construe our Constitution. The
Federal Constitution was enacted as a result of negotiations and discussions
between the British Government, the Malay Rulers and the Alliance Party
relating to the terms on which independence should be granted. One of its main features is the enumeration
and entrenchment of certain rights and freedoms. Embodied in these rights are the guarantee
provisions of Article 71 and the first point to note is that, that right does
not claim to be new. It already exists
long before Merdeka, and the purpose of the entrenchment is to protect it
against encroachment.”
20. Segala yang
terpahat di dalam Perlembagaan adalah dalam semangat menjunjung Tujuh Wasiat
Raja-Raja Melayu yang secara tegas menetapkan antaranya, Islam sebagai agama
Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu
diperuntuk dan dipertahankan, kedudukan istimewa Orang Melayu dan kepentingan
sah kaum-kaum lain dilindungi, kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah Negara
kekal terjamin. Perkara-perkara ini
tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan semata-mata melalui suara majoriti
dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat atau ahli-ahli Dewan Negara tanpa perkenan
Raja-Raja. Perkara-perkara ini tidak
boleh sewenang-wenangnya dijadikan modal politik untuk kepentingan politik. Perkara-perkara tersebut adalah prinsip asas,
prinsip utama yang tidak boleh sama sekali diperdagangkan.
21. Islam
adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak
di dalam Perlembagaan Persekutuan[29].
Yang Arif Hakim Mohd. Noor Abdullah dalam penghakiman kes Meor
Atiqulrahman Ishak dan yang lain – lawan – Fatimah Sihi dan yang lain,[30]
telah memberikan tafsiran berikut:
Petikan:
“… Peruntukan ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi
agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai’ bermakna Islam adalah
agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara ini. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan
duduk berganding bahu atau berdidiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu,
terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Ini bermakna Kerajaan bertanggung jawab
memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam seperti mana yang termampu
dilakukan oleh Kerajaan sekarang, dan agama-agama lain hendaklah diatursuai dan
dihalatuju ke arah yang menjamin supaya ia diamalkan dengan aman damai dan
tidak menggugat kedudukan utama agama Islam….”
22. Setelah
lima puluh empat tahun tanah air mencapai kemerdekaan, setelah tiga belas Raja
Melayu secara bergilir bertakhta di singgah sana Ketua Utama Negara, setelah
dua belas kali pilihan raya umum dilangsungkan, dan setelah enam Perdana Menteri
memimpin Kerajaan Persekutuan, pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang
menghormati sejarah penubuhan Malaysia, amatlah penting diperingatkan semula,
malah wajib terus diperingatkan sepanjang masa.
Segala persetujuan yang telah dicapai wajib dihormati. Prinsip-prinsip asas terutama menyentuh Islam
dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan. Walau apa sekalipun alasan, walau apa
muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke
peringkat menggadaikan nasib ummah di hari ini dan di hari muka. Ummah wajib berdiri teguh – berpendirian
tegas, tidak berundur ke belakang walau setapak sekalipun.
23.
Pencerobohan-pencerobohan yang dilakukan di masa lalu, hari ini perlu
dibayar dengan harga tinggi oleh ummah. Abdul’llah Munsyi mencatatkan bahawa
dalam adat resam Melayu, pengajian Al-Quran diperkenalkan kepada anak sebelum
mempelajari Bahasa Melayu; tetapi Rafles pada tahun 1810 telah menganjurkan
supaya pelajaran bahasa Melayu hendaklah diasingkan dari dasar pelajaran
Al-Quran[31]. Satu arahan yang pada
hakikatnya merupakan senjata halus, memulakan pemisahan pengajian Islam dalam
sistem pendidikan di kalangan ummah.
Muhammad Nejatullah Siddiqi, yang dianggap penulis paling berpengaruh di
kalangan generasi pertama ahli Ekonomi Islam, menghuraikan bagaimana sistem
pendidikan yang diwarisi di negara-negara Islam memisahkan pendidikan sekular
dengan agama lalu menghindarkan peluang kepada umat Islam menguasai pengetahuan
ekonomi[32]. Pelbagai muslihat yang
dilakukan di masa lalu, hari ini telah menidakkan ummah kepada haknya; betapa
kedaulatan Kesultanan Melayu Johor terhakis sepenuhnya dari lakaran sejarah
Singapura dan betapa pula Kedaulatan Kesultanan Melayu Kedah di Pulau Pinang
turut dipadam, dan betapa Melaka pada hari ini sudah tidak beraja lagi; dan
betapa Hukum Kanun Melayu dihakis dari menjadi sumber undang-undang setelah
diketepikan dengan penerimaan Common Law Inggeris.
24. Penghakisan
martabat agama Islam di bumi ini bukanlah sesuatu yang tidak mungkin terjadi
atau tidak dirancang secara tersirat baik dari dalam mahupun dari luar negara.
Jika dihalusi, usaha-usaha pencerobohan terhadap Islam bukan sahaja tampak
berlaku, tetapi berlaku dalam terang lagi bersuluh. Ia mungkin bermula dengan satu jamuan – satu
nyanyian, satu perkhemahan – satu lawatan; ia mungkin bermula dengan segenggam
garam – setahil emas, ia mungkin bermula dengan satu kalimah – satu ceramah.
25. Beta pernah
menzahirkan peringatan bahawa pencerobohan besar bermula dari perbuatan
kecil. Ia mungkin bermula dari sebuah
surau, atau sebuah madrasah, atau sebuah masjid atau sebuah mimbar. Ia bermula dari satu ungkapan, satu ucapan,
satu khutbah, satu tazkirah atau satu doa; ia bermula dari pencerobohan kecil
dan jika dalam menghadapi pencerobohan kecil, umat Islam masih belum insaf,
masih berdegil dan masih sombong mempertahankan ego, masih memilih untuk
bertelagah, maka umat Islam sebenarnya telah memberikan petanda yang salah;
petanda seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh dilakukan ke
atas umat Islam dan terhadap institusi Islam.[33]
26. Hari ini,
kemusnahan ummah dan watan tidak lagi perlu menghadapi pencerobohan dari
Alfonso de Alburque atau Rafles atau Francis Light atau Yamashita atau Mac
Michael. Pencerobohan-pencerobohan baru
boleh berlaku melalui manipulasi fakta sejarah, melalui perbuatan
mempersendakan lagu kebangsaan, melalui penghinaan bendera negara, melalui
pelanggaran menghormati kalimah suci ALLAH yang sekian lama eksklusif kepada
umat Islam. Keangkuhan semakin berlaku
- toleransi umat Islam semakin
dicabar. Ummah kelihatan semakin
dilemahkan, ia mungkin berpunca dari satu kenyataan, satu ungkapan. Ia mungkin berpunca dari satu kekaburan dasar
atau satu tafsiran yang salah; ia mungkin berpunca dari perlakuan rasuah atau
perbuatan pecah amanah. Walau apa
puncanya, ia laksana anai-anai yang semakin membesarkan busut – yang semakin
mereputkan ummah.
27. Umat Islam
wajib menghayati semangat “BERSATU
TEGUH-BERCERAI ROBOH”. Umat Islam wajib
mengambil iktibar dari peristiwa penyatuan yang dicerminkan oleh kaum lain
dalam mempertahankan maruah mereka. Dua
patah perkataan yang terselit di antara ribuan perkataan dalam sebuah novel,
yang dianggap menghina kaum mereka, telah menyatupadukan warga berketurunan
India Malaysia untuk membantah secara habis-habisan. Meskipun tidak ada niat penulis novel untuk
menghina mana-mana kaum, tetapi atas semangat mempertahankan maruah bangsa,
warga Malaysia berketurunan India dari pelbagai kumpulan politik, baik yang
bersama kerajaan mahupun yang tidak bersama kerajaan, para akademia dan
pelbagai organisasi, bercantum tekad – bergabung usaha, bersatu suara – bersatu
tindakan atas nama mempertahankan maruah.
Tuntutan mereka menghasilkan kejayaan.
Semangat bersatu sedemikian atas nama maruah bangsa, sewajarnya
dijadikan teladan.
28. Islam akan
terhakis apabila tanggung jawab terhadap urusan Islam gagal dipantau secara
tegas. Islam telah mula dijadikan
instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa, sehingga ke
peringkat sedia berkompromi kepada perkara-perkara prinsip menyentuh
aqidah. Hari ini nama suci ALLAH,
dilaporkan telah diguna pakai tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam – tanpa
mengendahkan potensi yang boleh
mengelirukan aqidah anak-anak Islam – tanpa mempedulikan betapa terhirisnya
perasaan ummah. Nama suci ALLAH yang
termaktub di dalam Al-Quran diambil dan dijadikan terjemahan kepada perkataan
God. ALLAH adalah kalimah yang amat suci
di kalangan umat Islam, kini turut dinamakan kepada simbol pujaan agama
lain. Kalimah suci ALLAH bukan sekadar
“nama am” yang bermaksud “Tuhan” walau apa bentuknya. Kesucian kalimah ALLAH amat tinggi di sisi
Islam. Kalimah tersebut bila dicetak
pada kertas, tidak boleh dipijak, tidak boleh dijadikan bahan bungkusan, tidak
boleh dibawa ke dalam tandas. ALLAH
adalah nama khas, Tuhan Maha Suci – Tuhan Maha Agung. ALLAH adalah satu-satunya Tuhan berdasarkan
Kalimah Syahadah yang dilafazkan:
“Bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH”;
29. Amatlah
bahaya jika prinsip asas agama diredakan
untuk dijadikan bahan tolak ansur politik. Sesungguhnya insiden yang sedang berlaku,
merupakan ujian besar kepada umat Islam di bumi ini. Ujian yang mungkin sengaja diturunkan oleh
ALLAH Subhanahu Wata’ala terhadap umat Islam, menguji keikhlasan kepimpinan
Islam di bumi ini; ujian ILAHI terhadap ketegasan umat Islam keseluruhannya, di
kalangan ummah, ulama, barisan pemimpin, organisasi politik hatta Raja-Raja. Ia adalah ujian terhadap ketegasan umat Islam
untuk mempertahankan kalimah tauhid, KEESAAN ILAHI, ALLAH yang “SATU” lagi
berkuasa di atas segalanya, ALLAH yang mengamanahkan kuasa di kalangan mereka
yang telah ditentukan. Dalam menghadapi
cabaran besar ini, berpegang dan yakinlah kepada kalam ALLAH mengikut yang
terkandung dalam ayat 26 Surah Al Imran yang bermaksud:-
Petikan:
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai Tuhan yang mempunyai
kuasa pemerinthan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa
yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari
sesiapa yang Engkau kehendaki; Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang
Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau
kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah
sahaja adanya segala kebaikan.
Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu[34]”
30.
BERPEGANGLAH kepada kebesaran ILAHI, dengan bersendikan keteguhan iman,
untuk berani menegakkan yang hak, menentang perlakuan mungkar. Yakinlah bahawa
kuasa itu adalah amanah ALLAH, datangnya dari ALLAH, dan ALLAH akan memberi
berkat, memberi petunjuk, memberi perlindungan dan memberi kemenangan kepada
mereka yang memiliki kekuatan untuk mempertahankan kesucian kalam tauhid. Hanya sanya kerana politik, umat Islam jangan
sampai hilang pedoman untuk tidak menghalang sesiapa sahaja “mengALLAHkan” apa
sahaja yang mereka anggap tuhan. Satu
keredaan yang membuka jendela kepada proses yang berpotensi menyimpangkan
aqidah.
31. Sudah
terlalu lama umat Islam di bumi ini, berfikiran selesa dengan status bangsa,
status agama dan status sejarah. Sudah
terlalu lama umat Islam berfikiran selesa sebagai pewaris kepada tanah air
pusaka bangsa. Sudah terlalu lama umat
Islam berpendirian selesa sebagai penduduk majoriti di sebuah negara merdeka,
sudah terlalu lama umat Islam bersandarkan keselesaan kepada tiang politik yang
disifatkan kukuh. Keselesaan umat Islam
telah mengulitkan mereka leka tidur di siang hari bermimpikan bahagia. Hari ini segala-galanya telah berlalu. Tanpa sesuatu langkah strategik – langkah
berani, umat Islam dibimbangkan sedang menghitung hari, berada di ambang untuk
menghadapi nasib bermusafir kelana di rumah sendiri. Ada kalanya
umat Islam yang berani bersuara tentang bangsanya dan umat Islam yang
berpendirian tegas untuk mempertahankan kesucian agamanya, dianggap melakukan
dosa kepada negara-bangsanya.
32. Ummah
mengimpikan pencapaian ekonomi yang lebih baik, profesion pekerjaan yang lebih
baik, taraf hidup yang lebih baik, urus tadbir negara yang lebih baik. Ummah mengimpikan pemerintahan adil lagi
saksama; pemerintahan yang berlandaskan undang-undang yang tidak dilaksanakan
secara diskriminasi, melalui badan kehakiman yang berintegriti; pemerintahan
yang menghormati kesaksamaan gender, keadilan sosial, menyediakan kemudahan
pendidikan yang dapat membangunkan potensi insan. Ummah mengimpikan negara yang bebas dari
kekacauan dan persengketaan; negara yang mengagihkan kemakmuran secara saksama. Sesungguhnya masih ada jurang di antara
menggapai harapan dengan realiti, lalu mencetuskan pelbagai reaksi – pelbagai
kebimbangan – pelbagai keresahan.
33. Raja-Raja
Melayu sejak zaman berzaman memiliki sifat prihatin terhadap kelangsungan bangsa
dan kesucian agama, dua perkara yang begitu dekat di hati Raja-Raja
Melayu. Rekod-rekod perundingan
membuktikan, semasa era pentadbiran Inggeris, Raja-Raja Melayu senantiasa mengingatkan Inggeris untuk memastikan
berlakunya perimbangan terhadap peribumi dalam program yang diperkenalkan oleh
Inggeris baik dari segi pendidikan, pertahanan, pekerjaan, penghijrahan,
pembukaan tanah dan pelbagai perkara lagi.
34. Raja-Raja
Melayu sangat prihatin terhadap masalah perpaduan ummah di hari ini. Ummah kelihatan berada dalam babak yang
begitu taksub untuk menang ‘sorak’ tanpa memikirkan kampung lamannya mungkin
tergadai. Raja-Raja sedang memerhatikan
pendirian taksub kepimpinan politik di kalangan ummah, memilih untuk berpatah
arang berkerat rotan, bergembira melihat yang kalah menjadi abu dan berpuas
hati walaupun yang menang akan menjadi puntung-puntung arang; pimpinan politik
di kalangan umat Islam hari ini tidak lagi menghayati semangat biduk berlalu
kiambang bertaut.
35. Dalam
suasana pimpinan poltik di kalangan umat Islam tidak lagi mahu bersepakat, umat
Islam perlu mempunyai platform penyatuan yang kukuh – platform penyatuan yang
bebas dari politik berparti. MAJLIS di
bawah payung naungan Raja-Raja perlu berada di barisan hadapan memenuhi peranan
kritikal ini. Roh Islam wajib
dikembalikan. Islam itu adalah sumber
kekuatan perpaduan yang amat hebat.
Islam berperanan sebagai penentu identiti, sebagai peta spiritual di
dalam hidup, memberikan panduan dan makna, tujuan dan harapan, serta berperanan
sebagai faktor tersangat penting untuk membina perpaduan. Dalam konteks negara ini, Islam memberikan
identiti ummah dan identiti negara.
Islam adalah benteng pertahanan kekuatan ummah, benteng pertahanan yang
gagal ditembusi oleh setiap kuasa yang pernah melakukan penjajahan politik,
penjajahan budaya, penjajahan ekonomi di bumi ini.
36. Islam tidak
wajar dilihat melalui lensa politik, kerana lensa politik boleh berubah. MAJLIS AGAMA ISLAM (MAJLIS) adalah institusi
bukan politik, institusi yang bertanggung jawab secara langsung kepada
Raja-Raja sebagai Ketua Agama Negeri.
MAJLIS AGAMA ISLAM diwujudkan melalui Undang-undang Tubuh Negeri sebagai
Pihak Berkuasa Utama Negeri mengenai hal ehwal Islam selepas Raja
Pemerintah. Institusi ini hendaklah
berstatus bebas sebebasnya dari pengaruh dan campur tangan politik berparti;
dan Raja pada setiap masa wajib memastikan takhta kekal di atas politik
kepartian.
37. MAJLIS
AGAMA ISLAM NEGERI berada dalam kedudukan yang boleh memenuhi dua peranan
secara bijaksana untuk memastikan kelangsungan Islam dan survival umat Islam di
negara ini. Dalam perkara-perkara yang
tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan dalam perkara-perkara yang
tidak menderhaka kepada Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, ‘MAJLIS’ wajiblah
memenuhi peranan pelengkap, bekerjasama erat dengan Kerajaan yang dipilih
secara demokratik; tetapi dalam apa juga usaha yang bercanggah dengan semangat
asal Perlembagaan dan berunsur menderhakai Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu,
‘MAJLIS’ wajib secara tegas – secara lantang, berpegang kepada prinsip, menolak
serta menentang; serta segera menyembahkan kepada perhatian Raja-Raja
cadangan-cadangan alternatif demi mempertahankan syiar Islam – demi menjamin
ummah tidak berakhir dengan nasib berdagang di bumi sendiri.
38. Peranan
MAJLIS kini semakin kritikal dan masa tidak memihak kepada umat Islam kerana
kekayaan ekonomi dan kekayaan intelek masih belum memihak kepadanya. MAJLIS AGAMA ISLAM wajib keluar dari
kepompong pendekatan yang usang dan berani mencabar tradisi yang jumud. Dalam mendukung tanggung jawab besar terhadap
ummah, ‘MAJLIS’ perlu melakukan perekayasaan, membawa minda keluar dari sangkar
kurungan ciptaan Inggeris, mencelikkan pandangan untuk berupaya merangka
rancangan dan tindakan yang lebih substantif.
39. Hassan Al
Bana dalam Usul Ishrin menggariskan Islam ialah sistem yang syumul merangkumi
seluruh aspek hidup, Islam adalah negara dan watan, pemerintah dan umat, akhlak
dan kekuatan, rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang, ilmu dan
kehakiman; Islam merangkumi material dan harta benda, usaha dan kekayaan, jihad
dan dakwah, tentera dan fikrah, akidah yang benar dan ibadat yang sah.[35] Insan yang menerima Islam sebagai pegangan
agamanya, memiliki ikatan dan komitmen yang mendalam kepada Tuhan Maha
Pencipta. Islam adalah Addin, satu cara
hidup yang lengkap dan berkesinambungan, mengaitkan kehidupan di alam dunia dan
di alam akhirat, perlu dibincangkan secara berintegrasi tanpa memisahkan
komponen duniawi dengan komponen ukhrawi.
‘MAJLIS’ wajib menghayati tafsiran sedemikian dalam hasrat melakukan
transformasi peranan, transformasi agenda dan transformasi pendekatan.
40. Justeru
itu, peranan MAJLIS harus diluaskan, dimerdekakan dari minda lama yang dengan
sengaja disempitkan oleh Inggeris.
Peranan MAJLIS hendaklah ditakrifkan secara bijak, disuntik dengan
tenaga pemikiran dan tenaga pelaksana berwibawa untuk menghasilkan idea bernas
dan program dinamik. Selagi tindak
tanduk MAJLIS tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan, Negara hendaklah
mengiktiraf MAJLIS sebagai institusi strategik, berpotensi menyempurnakan
tanggung jawab fardu kifayah, berperanan sebagai benteng terakhir dan terpenting untuk
menjamin kelangsungan Islam dan survival ummah walau apa pun senario politik
yang berlaku di dalam negara.
41. MAJLIS
perlu menimbangkan empat platform untuk diberikan fokus utama untuk berperanan
lebih berkesan dalam membela nasib ummah.
Pertama: menyemak dan menghalusi dasar-dasar negara dan pelaksanaan
dasar agar tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan tidak bertentangan
dengan wasiat Raja-Raja Melayu.
Kedua: mengenal
pasti, memantau, membantu dan memperlengkap usaha-usaha Negara untuk
membangunkan taraf ekonomi, taraf pendidikan dan taraf sosioekonomi ummah.
Ketiga: menerokai
usaha untuk membangunkan modal insan dan modal sosial di kalangan ummah agar
tidak tercicir dan ketinggalan dengan menyuntik perisian dan komponen latihan
yang lebih relevan dengan keperluan guna tenaga semasa dalam
institusi-institusi pendidikan agama di semua peringkat terutama di luar
bandar.
Keempat:
memaksimumkan kegunaan infrastruktur agama Islam yang sedia ada seperti
masjid dan surau, dipelbagaikan aktiviti dan dibangunkan sebagai pusat
pembangunan kecemerlangan ummah.
42. Kongres
Ekonomi Bumiputera Ketiga yang dianjurkan dalam tahun 1992, dan Kongres Ekonomi
Bumiputera Keempat yang berlangsung dalam tahun 1999, begitu juga Kongres
Ekonomi Islam Ketiga pada tahun 2009, merumuskan resolusi khusus mengenai
peranan masjid. Ditegaskan pentingnya
masjid berperanan lebih aktif, sebagai pusat pembangunan ekonomi, perkembangan
ilmu dan pembangunan sosiobudaya. Beta
juga sering kali menzahirkan saranan supaya peranan masjid diperluaskan sebagai
pusat pembangunan ilmu, pembangunan budaya dan pembangunan ekonomi. Banyak masa terlibat dalam urusan merancang
pembinaan sesebuah masjid, banyak sumber digunakan untuk membina sesebuah
masjid. Sebaik sampai ke Medinah,
Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam tidak sekadar membina masjid, tetapi
membangunkan masjid. Baginda lebih
mengutamakan komponen perisian untuk memakmurkan masjid. Falsafah di sebalik pembinaan masjid harus
diselami, supaya belanja besar membina bangunan tersergam, dilengkapi pendingin
udara, dihamparkan permaidani tebal, dikilau cahaya chandelier, tidak menjadi
monumen sepi, sekadar dimakmurkan seminggu sekali di hari Jumaat, tiga puluh
malam setahun di bulan Ramadhan, dua pagi setahun di pagi Aidilfitri dan
Aidiladha. Selebihnya, ia tinggal dalam
isolasi sebagai bangunan sepi lagi sunyi.
Banyak masa, banyak usaha, banyak belanja, banyak sumber digunakan di
bumi ini untuk membina masjid tetapi sedikit sekali usaha dilakukan untuk
membangun dan memakmurkan masjid.
43. Kongres
Ekonomi Islam Ketiga berlangsung di Dewan Merdeka ini pada 12 hingga 15 Januari
2009. Ramai pemikir dalam bidang ekonomi
Islam membentangkan pelbagai fakta, huraian, pandangan dan cadangan. Status pencapaian ekonomi umat Islam
dibentangkan, ketidakcapaian matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dihuraikan,
merangkumi tanggapan-tanggapan negatif terhadap DEB, terutama dari aspek
penyelewengan dan ketirisan yang dilakukan oleh ummah yang mengutamakan
kepentingan peribadi dan tergamak mengorbankan kepentingan ummah. Kongres menyedari pentingnya disedarkan ummah
tentang cabaran sistem ekonomi persaingan yang dinamik lagi didorong oleh
faktor pasaran.
44. Salah satu
kertas yang dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Islam Ketiga, melaporkan bahawa,
dalam tahun 1999, jumlah dana masjid yang terkumpul dianggar berjumlah tiga
ratus juta ringgit tetapi disimpan beku dalam akaun pelaburan [36],
mencerminkan keterbatasan pemikiran, keterbatasan pengetahuan, keterbatasan
pengalaman dan keterbatasan pendedahan di kalangan ummah untuk mengupayakan
mereka melaburkan dana terkumpul tersebut secara lebih produktif yang dapat
dimanfaatkan untuk pertumbuhan ekonomi.
45. Turut dipaparkan
perkembangan data kutipan zakat di Malaysia, meningkat dari 320.4 juta ringgit
dalam tahun 2001 kepada 806.3 juta ringgit dalam tahun 2007[37]; peningkatan
kutipan 150 peratus dalam tempoh enam tahun, meningkat pada kadar purata 25
peratus setahun. Kutipan yang bertambah
hendaklah diperlengkap dengan program yang memberi impak untuk membangunkan
status ekonomi Islam. Zakat hendaklah
dilihat dari lensa ekonomi yang lebih luas, dilakukan transformasi imej dan
transformasi peranan, diuruskan secara lebih produktif sebagai sumber kekuatan
membangunkan ekonomi ummah yang lebih bermakna hingga berupaya menjadi
institusi paling berjaya membanteras kemiskinan.
46. Data di
Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri menunjukkan pada tahun
2006, terdapat hampir lapan puluh sembilan ribu (89,000) ekar tanah wakaf di
seluruh negara.[38] Sebahagian besar
tanah tersebut tidak dapat dibangunkan secara produktif. Dilaporkan terlalu banyak halangan dari segi
syarat dan hukum yang menyebabkan sumber ekonomi umat Islam ini terikat dan
tidak dapat dimajukan. Senario ini
tentulah menuntut kepada keperluan untuk para ulama dan umara di era ini
melakukan ijtihad. Kertas-kertas yang
dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Islam Ketiga, di samping melaporkan status
ekonomi ummah, mengandungi banyak saranan bernas; antaranya mengenai Yayasan
Wakaf Tunai, Koperasi Islam yang sangat berpotensi untuk digerakkan, Potensi
Membangunkan Tanah Wakaf, Pengukuhan Institusi Mal. Laporan lengkap Kongres setebal 875 halaman,
membuktikan ummah sebenarnya tidak ketandusan idea. Kelompangan berlaku di peringkat melaksana,
cabaran berlaku di peringkat membawa keluar pemikiran sebahagian ummah untuk
bersedia dan berani melakukan tafsiran yang lebih relevan dengan suasana
ekonomi, suasana politik dan suasana sosial di era globalisasi. Telah dua tahun sembilan bulan Kongres
Ekonomi Islam Ketiga berlalu, sejauh manakah tindakan yang telah disusul?
Institusi manakah yang telah mengambil tanggung jawab susulan secara
serius? Hari ini umat Islam sekali lagi
berkongres di Dewan Merdeka ini.
47. Sistem
ekonomi Islam diturunkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala kepada umat manusia
melalui wahyu[39] . Ia adalah sebahagian
dari ajaran Islam kerana itu segala hukum dan peraturannya adalah berasaskan
Al-Quran, Al-Sunah, Al-Ijmak dan Al-Qias[40].
Kerana itu tindakan umat Islam dalam usaha melakukan pelbagai kegiatan
ekonomi dikira ibadah dengan bermatlamatkan keikhlasan kerana ALLAH Subhanahu
Wata’ala.
48. ‘MAJLIS’
sebenarnya menghadapi cabaran besar, cukup untuk mencetuskan perasaan
keterujaan. Cabaran besar memerlukan
institusi yang berwibawa untuk menghadapinya.
Jika MAJLIS bersungguh mahu menghadapi cabaran besar ini, dan jika
Negara ikhlas mahu melihat MAJLIS bertenaga
dan berupaya melaksanakan tanggung jawab besar ini secara berkesan
dengan memberi impak yang signifikan, maka MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI hendaklah
dipertingkatkan keupayaan dan diperkasakan.
Langkah-langkah awal berikut perlu dirintis:
Pertama:
Mengemaskinikan Enakmen MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI untuk mempunyai bidang
kuasa yang membolehkan MAJLIS berfungsi secara lebih berkesan, memiliki
autonomi dan akauntabel kepada ALLAH dan Raja.
Kedua: Memastikan
MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI bebas dan bersih dari sebarang pengaruh, campur
tangan dan penglibatan politik kepartian serta memastikan keanggotaan MAJLIS
tidak disertai oleh individu yang aktif dalam parti politik melainkan yang
diperkenankan oleh Raja Pemerintah dilantik atas jawatan bagi mewakili Pihak
Berkuasa Negeri atau sesuatu institusi yang penting kepada MAJLIS.
Ketiga: Melantik keanggotaan yang lebih representatif dengan
bilangan yang cukup dan dari kalangan yang memiliki pelbagai kepakaran untuk
menjadi tenaga penggerak berupaya melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi,
perniagaan, perdagangan, pendidikan dalam hasrat membangunkan taraf
sosioekonomi umat Islam di samping melindungi kesucian Islam
Keempat: Menerokai
kaedah dan pendekatan yang dapat memperkukuhkan kedudukan kewangan MAJLIS
secara lestari.
Kelima: Menjadi pemegang amanah kepada institusi pendidikan,
tabung kewangan, dan hartanah yang strategik untuk umat Islam.
Keenam:
Memperkukuhkan sumber manusia pentadbiran Majlis secara kuantiti dan
kualiti dengan imbuhan setimpal yang dapat menarik modal insan berkualiti
tinggi.
49. MAJLIS
hendaklah dirangka sebagai satu Dewan Pentadbiran Islam di bawah naungan,
pengawasan dan pemantauan Raja, bertanggung jawab terhadap perkara berkaitan
Islam. MAJLIS dapat berperanan sebagai
jambatan penghubung di antara umat Islam dengan Raja, di antara umat Islam
dengan Kerajaan pilihan rakyat dan di antara umat Islam dengan warga yang tidak
beragama Islam. Negara wajib melihat
MAJLIS sebagai rakan strategik yang boleh diberikan kepercayaan dan sokongan
untuk kepentingan jangka panjang ummah.
MAJLIS tidak harus dibiarkan hidup bagaikan musafir kelana bersendirian
mengusahakan rezeki secara kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,
terus berada dalam parameter sempit yang telah digariskan oleh Inggeris pada
satu masa dahulu. Pembiayaan atau
‘endowment’ secara khusus wajib disediakan untuk akhirnya membolehkan MAJLIS
mencapai status yang tidak lagi perlu membebankan negara.
50. Jabatan
Agama Islam hendaklah memahami secara jelas akan maksud dan keperluan
penubuhannya. Ia ditubuhkan untuk
berfungsi kepada MAJLIS dan akauntabiliti Jabatan Agama Islam adalah berbeza
dengan jabatan-jabatan Kerajaan yang lain.
Bahawa dari segi rohnya, penubuhan Jabatan Agama Islam, adalah untuk
melaksanakan dasar-dasar dan perkara-perkara yang diputuskan oleh Majlis. Tanggung jawab Jabatan Agama Islam adalah
kepada MAJLIS dan kepada Raja. Untuk itu
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri perlu menghormati batas sempadan dan bidang
kuasa yang terletak secara langsung di bawah budi bicara Raja, demi mengelak
dari berlakunya keadaan satu kapal dua nakhoda.
Apa jua hasrat Pihak Berkuasa Negeri menyentuh Islam dan Adat Melayu
hendaklah disampaikan melalui saluran MAJLIS atau dipersembahkan untuk
pertimbangan Raja Pemerintah.
51. Dalam
urusan Agama Islam, Kuasa Raja Pemerintah berada di tahap paling tinggi dan
wajib dipertahankan. Ummah hendaklah
mempunyai fahaman dan melakukan tafsiran yang jelas bila merujuk kepada Raja
Pemerintah; bahawa yang didaulatkan adalah Takhta Pemerintahan sebagai satu
institusi negara dan hendaklah disisihkan dengan sebarang perasaan kurang
selesa dengan mana-mana batang tubuh peribadi.
Bahawa yang dipertahankan itu, bukan sekadar batang tubuh peribadi
seorang Raja tetapi Kerajaan Baginda: kerana tanpa Kerajaan tidak akan wujud
sebuah negara, tanpa negara apalah ertinya suatu bangsa[41] . Jika takhta pemerintahan ditiadakan, akan
hilanglah payung negara – payung yang selama ini memberikan naungan kepada
status Islam di negara ini. Tanpa
institusi Raja berperanan sebagai Institusi Ketua Agama Islam, Islam akan
berpecah kepada pelbagai puak – pelbagai kumpulan – pelbagai kabilah;
masing-masing di bawah pimpinan yang berasingan; akibatnya kekuatan penyatuan
usaha amar ma’ruf nahi mungkar akan beransur-ansur lemah. Islam akan menjadi agama yang diamalkan
secara individu. Pada akhirnya Islam gugur dari tanggung jawab negara, tinggal
sebagai amalan rakyat yang masih cintakan agamanya; sedangkan yang tipis
fahaman agamanya, akan menjadi semakin liberal – semakin bebas, malah ada di
antara mereka akan sampai ke peringkat melakukan perkara-perkara yang menodai
kesucian Islam. Demikian nasib yang
telah menimpa ummah di negara-negara tertentu di Asia Tengah; negara yang di
suatu masa dahulu pernah menjadi pusat perkembangan tamadun Islam, melahirkan
ramai ulama dan cerdik pandai Islam, kini segala-galanya hanya menjadi bahan
kajian sejarah.
52. Agama Islam
dan pegangan aqidah ummah wajib dipelihara dan dilindungi sepanjang masa oleh
Ketua Negara. Islam InsyaAllah kekal
menjadi identiti negara dan watan selagi kuasa dan tanggung jawab terhadap
Islam kekal di bawah bidang kuasa Raja-Raja.
Secara tersurat, sejarah mencatatkan bahawa dalam perjanjian dengan
Inggeris, bermula dengan Perjanjian Pangkor, Raja-Raja menyerahkan kuasa
mentadbir negeri kepada Inggeris dan Inggeris bersetuju mengekalkan Islam dan
Adat Melayu di bawah kuasa Raja. Tafsiran yang tersurat harus juga menyelami
kemungkinan-kemungkinan yang tersirat; bahawa dalam perkenan Raja menyerahkan
kuasa-kuasa lain, mungkin Raja sendiri sebenarnya ada muslihat, berasaskan
nasihat para ulama, berpandukan petunjuk dari ILAHI, telah tidak sama sekali
memperkenankan urusan Islam dan Adat Melayu disentuh, satu pendirian berwawasan
jauh Raja-Raja ketika itu, yang telah menyelamatkan agama dan ummah di bumi
ini. Pernahkah digambarkan keadaan di
negara ini dan nasib ummah di hari ini, jika Inggeris juga turut diberikan kuasa
mentadbir urus agama dan adat. Tentunya
hari ini, status Islam tidak akan termaktub di dalam Perlembagaan Negara;
sementara umat Islam tidak memiliki kekebalan dari diayah fahaman lain;
membolehkan murtad begitu mudah berlaku di kalangan ummah.
53. Betapa
status Islam dan nasib malang yang bakal dihadapi oleh ummah jika institusi
Raja ditiadakan, dan kerajaan pilihan rakyat yang berkuasa pada satu hari
nanti, berpegang kepada doktrin pemerintahan, bahawa agama adalah urusan
individu – agama adalah di luar bidang tanggung jawab negara. Akan berkelanalah ummah, Masjid Ubudiah,
(begitu juga masjid-masjid lain), mungkin bertukar menjadi muzium, tempat para
pelancong dimaklumkan bahawa di suatu
masa dahulu, bangunan yang begini cantik seni binanya ini, adalah tempat
‘pengikut ajaran Muhammad’ menunaikan sembahyang. Barang dijauhkan ALLAH dari berlakunya
senario menyayat hati itu. Untuk itu
kuasa Raja Melayu dalam urusan Agama Islam dan Institusi Islam sangat perlu
dipertahan dan diperkukuhkan, demi memastikan Islam terus kekal menjadi
identiti Negara. Senario yang berlaku di
serata dunia menunjukkan hanya negara yang masih memiliki sistem pemerintahan
beraja yang dapat meletakkan Islam sebagai agama rasmi Negara. Dalam hasrat membina kekuatan ummah dan jati
diri bangsa dan dalam hasrat memastikan kelangsungan ummah, kuasa-kuasa
prerogatif yang kekal diperuntukkan kepada Raja-Raja wajib dirujuk secara
bijaksana.
Ya ALLAH, Ya AZIM, Ya AZIZ, Ya MALIK, YA WAHID, TUHAN yang
MAHA BERKUASA lagi MAHA MENGETAHUI
54. Kepada Mu
jua hamba-Mu memohon agar ISLAM kekal menjadi identiti negara – identiti watan;
identiti ummah – identiti bangsa. Kepada
Mu juga hamba-Mu ini memohon agar melimpahkan kekuatan dan kegagahan,
keberanian dan ketegasan di kalangan mereka yang telah Engkau angkatkan darjat
menjadi khalifah, di kalangan mereka yang telah Engkau amanahkan dengan
tanggung jawab sebagai ulama dan umara di bumi ini. Hamba-Mu amat insaf akan Firman Mu yang terkandung
dalam ayat 72 Surah Al-Ahzaab; bermaksud:
Petikan:
“ Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggung jawab amanah
(Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya) maka
mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana
tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu)
manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan
manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara
yang tidak patut dikerjakan[42]”
Kepada Mu jua YA ALLAH
55.
Limpahkanlah segala nur dan petunjuk kepada Raja-Raja kami, demikian
juga kepada para ulama dan umara kami,
untuk bersatu niat – bersatu usaha; bersatu hati – bersatu jiwa, sama-sama
berjaya membentuk sebuah negara yang sejahtera dan mendapat keampunan Mu –
‘BALDATUN TAYYIBATUN WA RABBUN GHAFUR’[43] seperti mana yang Engkau gambarkan
dalam ayat 15 SURAH SABA. Limpahkanlah
segala ihsan Mu kepada Raja-Raja kami yang mendukung tanggung jawab berat
selaku Amirul Mukminin seperti yang terkandung dalam lafaz ikrar sumpah jawatan
untuk memelihara Islam – untuk menyempurnakan pemerintahan secara adil dan
aman. Hamba-Mu amat insaf betapa amanah
dan tanggung jawab tersebut akan dinilai di hari kebangkitan seperti peringatan
Mu yang terkandung dalam ayat 9, Surah Al Imran bermaksud:
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan
menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari
kiamat) yang tidak ada keraguan padanya, Sesungguhnya ALLAH tidak memungkiri
janji Nya[44]”
Mohon kami YA ALLAH mendapat rahmat bimbingan dan
pengampunan dari Mu jua. Amin, Ya Rabul
Alamin.
56. Adat Melayu
menetapkan tugas Raja di junjung, kerja sendiri dikendong. Dalam semangat adat Melayu itu, sekadar ini
yang dapat Patik menjunjung titah menyempurnakan hasrat Duli-Duli Tuanku
Raja-Raja Melayu untuk Patik menyampaikan amanat di Kongres ini. Dalam kapasiti patik selaku Yang Dipertua
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, patik merafak sembah penuh taat –
penuh setia kepada Duli-Duli Tuanku, dan dengan limpah rahmat dari ILAHI juga,
serta daulat dan perkenan Duli-Duli Tuanku, Patik dan ahli-ahli MAJLIS AGAMA
ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK akan setiap masa, berazam mempertahankan
kesinambungan tradisi negara beraja – rakyat bersultan, agar kekal subur
sepanjang masa dan akan pada setiap waktu menjunjung titah hasrat Duli-Duli
Tuanku selaku payung agama dan payung negara.
Semoga Duli-Duli Tuanku Selamat Bertakhta.
DAULAT TUANKU,
ALLAH HU AKBAR! ALLAH HU AKBAR! ALLAH HU AKBAR.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
[1] Al-Quran –Saba – 34:1
[2] Sumpah Jawatan Yang Dipertuan Agong, Perkara 37, Jadual
Keempat, Bahagian 1, Perlembagaan Persekutuan.
[3] Mahayuddin Haji Yahya, Penyebaran Islam Di Tanah Melayu
Sebelum Lahirnya Kerajaan Melayu Melaka: Sejarah Dan Implikasinya dalam Polemik
Sejarah Malaysia – Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia 2008) 31
[4] Encyclopedia of Islam, 1218
[5] Abdul Monir b. Yaacob, Undang-undang Islam Dalam Hukum
Kanun Melaka Dalam Polemik Sejarah Malaysia-Jilid 1. (Kuala Lumpur: Arkib NegaraMalaysia, 2008),
319
[6] Abu Bakar Abdullah, Ke Arah Perlaksanaan Undang-Undang
Islam di Malaysia: Masalah Dan Penyelesaiannya, (Kuala Terengganu: Pustaka
Damai, 1986) 8.
[7] Abdullah Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi
Pentadbiran Islam Di Malaysia”.
[8] A. Aziz Deraman, Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia:
Suatu Analisis Perkembangan Kebudayaan I Malaysia, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka, 2003) 109.
[9] Ibid 105.
[10] Ibid.
[11] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah Dan
Kebudayaan Melayu, 19.
[12] Ibid 22
[13] Ibid 20.
[14] Abdullah Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi
Pentadbiran Islam di Malaysia”, Konvensyen Kebangsaan Sejarah Malaysia,
(Jabatan Sejarah, Universiti Malaya: 16-18 Ogos 1994), 1.
[15] Muhammad Yussoff b. Hashim, Kesultanan Melaka dan
Budaya Politik dalam Polemik Sejarah Malaysia Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib
Negara Malaysia, 2008) 192.
[16] T. Arnold, The Caliphate, (Karachi: Oxford University
Press, 1965), 50; S,N.H. Naqvi, Ethicsand Economy: An Islamic Approach,
(Leicester: Islamic Foundation, 1981) 45-47.
[17] Mahamad Naser bin Desa, “Kekebalan Islam Dalam
Perlembagaan Persekutuan”, Wacana Ilmiah, ILIM 2009, 1
[18] Ibid.
[19] Abdullah Alwi Hassan, opcit, 19.
[20] R.J. Wilkinson, Notes on Perak, History: Papers on
Malay Subjects, History Pt. II, (Kuala Lumpur: F.M.S. Govt. Press, 1924) 69-71;
E. Sadka, “The Journal of Sir Hugh Low, Perak. 1887”, JMBRAS, Vol. XXVII, Pt.
4, No. 168 (1954), 107-108. dlm Abdullah Alwi Hassan., 19.
[21] R.J. Wilkinson, opcit, 72, dalam Abdullah Alwi Hassan,
19.
[22] Perak State Council Minutes, 1877-82, dicetak di dalam
R.J. Wilkinson, Papers on Malay Subjects, Ser 1, History Pts 3 and 4,
(1907-1909), Passim; Perak Annual Report, 1932, 3. dalam Abdullah Alwi Hassan,
20.
[23] Ibid.
[24] (1927) 6, FMSLR 128, dipetik dari Mahamad Naser bin
Desa.
[25] Ahmad Ibrahim: The Position of Islam in The
constitution of Malaysia, 213
[26] Perkara 11(4), 12 (2), 121 (1A), Senarai 2-Senarai
Negeri – Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
[27] Abdul Kadir bin Sulaiman, Ucaptama: “Kedudukan Islam
Sebagai Agama Bagi Persekutuan Dalam Perlembagaan Persekutuan”, 4.
[28] (1981) 1 MLJ 29
[29] Mahamad Naser bin Disa, opcit, 6.
[30] (2000) 1 CLJ 393
[31] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah Dan
Kebudayaan Melayu, 62.
[32] Rodney Wilson, “The Development of Islamic Economics:
Theory & Practice, in Islamic Thought In The Twentieth Century, ed Suha
Taji-Farouki and Basheer M. Nafi (London: I.B. Tauris, 2004) 199.
[33] Raja Nazrin Shah, “Titah Sempena Majlis Anugerah
Kecemerlangan Pelajar” anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam, 30 Ogos 2010.
[34] Al-Quran, 3:26.
[35] Abdurrahman Haqqi, ‘Lima surah sedia panduan
bernegara’, Berita Minggu, 9 Ogos 2009, 32.
[36] Fidlihan Muhammad, Mohd. Yahya Mohd. Hussin, Nurul
Fadly Habidin, Mad Ithnin Salleh, Salwa Amirah Awang, “Pendidikan Pelaburan
Dana Masjid: Keperluan Memperkasa Ekonomi Ummah Islam”, Kongres Ekonomi Islam
Ketiga, 12-15 Januari 2009, 701.
[37] Ibid
[38] Hasnol Zam Zam Ahmad, “Cabaran Dalam Mempertingkatkan
Potensi Pembangunan Tanah Wakaf”, Kongres Ekonomi Islam Ketiga, 12-15 Januari
2009, 661.
[39] Zainal Abidin Hashim, ‘Memperkasakan Ekonomi Ummah
Melalui Koperasi Islam: Satu Tinjauan Strategik”, Kongres Ekonomi Islam Ketiga,
12-15 Januari 2009, 749.
[40] Ibid.
[41] Zurinah Hassan, petikan dari “Puisi Korban Hang Tuah”,
Pujangga Tidak Bernama, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994), 45.
[42] Al-Quran, 33:72.
[43] Al-Quran, 34:15.
[44] Al-Quran, 3:9
Ulasan
Catat Ulasan