Memoir Tun Dr. Mahathir: Kejatuhan Matawang 1997
Pada Mei tahun itu (1997), saya
mengambil keputusan untuk bercuti selama dua bulan dan menyerahkan
tanggungjawab kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pemangku Perdana Menteri.
Saya menganggap ini sebagai satu peluang baik untuk memerhati bagaimana beliau
menjalankan tugas kerana saya sudah pun berfikir untuk bersara pada tahun
berikutnya. Saya mahu pastikan yang apabila Anwar mengambil alih, beliau mampu
mentadbir negara dengan baik.
Ketika berada di Bledisloe dalam
daerah Cotswolds, England, saya menerima berita mengenai serangan ke atas baht
Thailand oleh peniaga mata wang. Apa yang berlaku adalah ahli perniagaan Thai
telah meminjam sejumlah besar mata wang asing pada kadar faedah yang rendah
berbanding pinjaman dalam mata wang baht.
Mereka boleh membuat keuntungan
segera daripada perbezaan dua kadar faedah itu dengan syarat nilai baht stabil.
Peniaga mata wang antarabangsa adalah orang yang mencari keuntungan dengan
memerhati dan mengambil kesempatan daripada ketidakwajaran dan kelemahan
seperti yang berlaku di Thailand ketika itu. Ia diibarat pucuk dicita ulam
mendatang kepada kegiatan mereka.
Mereka menyebarkan berita
kononnya nilai baht terlalu tinggi dan pertumbuhan ekonomi negara itu mustahil
dapat dipertahankan. Mereka kemudian menjual sejumlah besar baht menyebabkan
nilainya merosot berbanding dolar Amerika. Kejatuhan nilai baht menyebabkan
orang Thai yang meminjam dolar menghadapi kesulitan.
Mereka terpaksa mendapatkan lebih
banyak baht bagi membayar balik pinjaman mata wang asing mereka kerana kalau
keuntungan perniagaan mereka tidak mencukupi, mereka mungkin tidak dapat
membayar balik pinjaman.
Sekiranya mereka gagal membayar
balik hutang maka terbukti benarlah dakwaan peniaga mata wang bahawa ekonomi
Thai lemah.
Kemudian mereka melambakkan lebih
banyak baht menyebabkan nilainya merudum lagi. Maka semakin ramailah orang Thai
yang meminjam mata wang asing gagal membayar balik hutang mereka. Sementara
itu, peniaga tersebut kelihatan seolah-olah mereka tidak ada kaitan langsung
dengan krisis berkenaan. Apa yang mereka lakukan hanyalah sekadar bertindak
balas. Hakikatnya, merekalah yang mencetuskan malapetaka itu.
Kitaran tindakan kejam (vicious
cycle) ini pantas merebak. Lebih teruk nilai baht menyusut, lebih ramai
peminjam yang gagal membayar balik hutang dan semakin lemah pula ekonomi
Thailand.
Kerajaan Thai cuba membeli baht
bagi mempertahankan nilainya dengan menggunakan rizab dolar. Bagaimanapun,
peniaga mata wang nampaknya memiliki bekalan baht yang tidak terbatas untuk
terus dilambakkan dalam pasaran.
Akhirnya, kerajaan Thai dibebani
rizab baht yang banyak, tetapi bernilai rendah manakala simpanan mata wang
asingnya merosot teruk. Ini mencetuskan satu lagi pusingan penjualan baht
apabila ia menjadi lebih lemah akibat tanggapan bahawa ia tidak disokong oleh
rizab mata wang asing yang secukupnya.
Apabila saya pulang daripada
bercuti pada bulan Ogos, di Thailand sangat teruk. Kita mengambil keputusan
untuk meminjamkan mata wang utama bagi memperkuatkan rizab antarabangsanya,
tetapi tidak berhasil. Nilai baht terus jatuh.
Kewangan Malaysia berada dalam
keadaan baik pada masa itu kerana kerajaan dan peniaga tidak perlu meminjam
dengan banyak mata wang asing. Kadar faedah kita sentiasa rendah dan pinjaman
mata wang asing tidak akan memberikan apa-apa kelebihan. Rizab mata wang asing
Bank Negara juga mencukupi, setidak-tidaknya cukup untuk menyokong ringgit
kalau diserang. Namun, itu hanyalah andaian.
Kita juga tidak membuatkan diri
kita terdedah seperti orang Thai dengan meminjam mata wang asing dan berurus
niaga dengan peniaga mata wang, jadi apa yang harus kita bimbangkan?
Kemudian kita mula mendengar
mengenai jangkitan kewangan, iaitu bagaimana masalah jiran kita mungkin
menjangkiti kita. Walaupun ekonomi dan kewangan kita nampak sihat, ringgit
mungkin akan diserang juga.
Kalau peniaga mata wang mencetuskan
kehilangan keyakinan terhadap Malaysia, nilai ringgit akan turut jatuh. Saya
langsung tidak faham mengapa hal seperti ini harus berlaku, tetapi pakar
ekonomi pasti ia akan terjadi.
Mereka betul. Peniaga mata wang
mula menjual ringgit secara besar-besaran menyebabkan nilainya merosot. Sebelum
serangan itu bermula pada pertengahan 1997, kadar mata wang kita ialah RM2.50
bagi satu dolar Amerika. Bagaimanapun, menjelang hujung tahun nilai ringgit
tinggal separuh sahaja. Kita tidak tahu siapa yang menjual ringgit atau kepada
siapa mereka menjualnya.
Saya diberitahu mengenai seorang
lelaki bernama George Soros yang pernah menyerang paun British dan lira Itali.
Kedua-dua buah negara itu menghadapi saat genting mempertahankan mata wang
mereka yang disusutkan nilainya secara paksa.
Tanpa mengetahui peniaga mana
yang terbabit, saya mengandaikan bahawa Soros adalah salah seorang daripadanya.
Tidak kira siapa mereka, saya amat marah.
Bagaimanakah orang luar boleh
dengan sewenang-wenangnya memiskinkan negara dan rakyat kita? Bagaimanakah
mereka tergamak berbuat demikian secara sedar dan sengaja? Sekalipun itu bukan
tujuan utama mereka, mengapakah mereka memilih untuk menjahanamkan kita sebagai
produk sampingan strategi perniagaan mata wang mereka? Semua ini tidak masuk
akal kepada saya, sama ada dari segi ekonomi mahupun moral.
Rakyat Malaysia, khususnya
golongan peniaga mula merasai kesan penurunan nilai ringgit. Pengimport
misalnya, tidak dapat mengumpulkan cukup ringgit untuk membeli dolar yang
mereka perlukan bagi membayar kos barangan yang dipesan daripada pembekal
asing. Akibat kekurangan wang, mereka gagal membayar balik hutang.
Rakyat Malaysia yang gemar ke
luar negara pula mendapati kos perjalanan mereka terlalu mahal. Eksport kita
biasanya menggunakan dolar. Jadi, dengan kenaikan nilai dolar kita sepatutnya
memperoleh lebih banyak mata wang ringgit daripada eksport.
Pembeli asing pula mahu membayar
harga yang lebih rendah untuk eksport kita. Mereka mendakwa kos pengeluaran
kita telah berkurangan kerana nilai ringgit merosot. Apa yang mereka tidak
sebut adalah, akibat kenaikan nilai dolar maka bahan mentah, komponen dan
barangan modal (capital goods) yang kita import menjadi lebih mahal.
Kejatuhan nilai ringgit tidak
menjadikan kita lebih berdaya saing, terutama jika dibandingkan dengan jiran
kita yang nilai mata wang mereka juga jatuh.
Kita berasa tidak berdaya apabila
nilai ringgit terus merosot dan ekonomi menuju ke arah kemelesetan. Sebelum
itu, selama hampir 10 tahun berturut-turut, ekonomi kita berkembang pada kadar
lapan peratus setahun.
Kini, kita berdepan dengan
kemungkinan pertumbuhan negatif. Saya tidak boleh berkata apa-apa mengenai
peniaga mata wang – setiap kali saya membuat kenyataan terbuka, nilai ringgit
jatuh lagi.
Pada 17 Jun 1997, sebelum
serangan ke atas mata wang Asia bermula, Pengarah Urusan Tabung Mata Wang
Antarabangsa atau International Monetary Fund (IMF) waktu itu, Michael
Camdessus memuji Gabenor Bank Negara kerana pengurusan ekonomi dan kewangan
Malaysia yang baik.
Pujian itu dibuatnya pada Majlis
Hal Ehwal Ekonomi Dunia, Los Angeles. Katanya: “Malaysia adalah negara contoh
di mana pihak berkuasanya sedar mengenai cabaran menguruskan tekanan akibat
pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan mengekalkan sistem kewangan yang sihat di tengah-tengah
pengaliran masuk modal yang banyak dan pasaran hartanah berkembang pesat.”
Inflasi, kata beliau, adalah
rendah dan tukaran ringgit kekal pada kadar RM2.50 kepada AS$1 untuk jangka
masa yang lama. Ringgit, tambah beliau lagi, adalah mata wang yang benar-benar
kukuh yang mencerminkan kemantapan kewangan Malaysia.
Namun, apabila serangan ke atas
mata wang Asia berlaku, orang yang sama berkata ekonomi kita terlalu panas dan
ini menyebabkan mata wang kita merudum diserang oleh peniaga mata wang. Saya tidak
percaya yang nilai ringgit susut kerana ekonomi kita lemah atau kerana pasaran
hilang keyakinan terhadap Malaysia.
Saya membeli beberapa buah buku
mengenai perniagaan mata wang untuk lebih memahami mekanismenya. Saya yakin
punca kejatuhan ringgit adalah dagangan mata wang bukannya ekonomi atau mata
wang kita.
Saya pernah bertemu dengan
Camdessus sebelum itu dan beliau nampaknya seorang yang baik. Anwar yang ketika
itu adalah Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri lebih kerap berjumpa
beliau.
Saya meminta Anwar merayu kepada
Camdessus supaya berusaha menghentikan dagangan mata wang. Saya berkata,
kegiatan itu tidak perlu dan merosakkan ekonomi negara membangun. Saya tidak
tahu sama ada Anwar menyatakan atau tidak hal itu kepada Camdessus, tetapi tidak
ada usaha diambil bagi menghentikan kegiatan tersebut.
Bagi saya, mendagangkan mata wang
seolah-olah ia satu barangan adalah tidak masuk akal sama sekali. Kopi, gula,
getah dan seumpamanya adalah barangan sebenar dan mempunyai kegunaan yang
sahih, tetapi mata wang tidak mempunyai nilai secara sendiri. Ini adalah
perantara bagi mendapatkan komoditi sebenar. Ia tidak boleh digunakan dengan
cara lain dan tidak boleh dimakan.
Kita bukan lagi berada pada Zaman
Pertengahan (Middle Ages) di mana ekonomi Eropah tidak mempunyai sebarang mata
wang yang diyakini. Ketika itu, peniaga-peniaga di pasar Perancis menggunakan
lada hitam dari Asia Tenggara sebagai mata wang dan pertukaran barang. Hari
ini, kita guna lada hitam dan rempah ratus untuk menambah kesedapan makanan dan
kita guna wang untuk membeli-belah.
Saya teringat pernah membaca
mengenai orang Brazil mencampakkan kopi keluaran mereka ke dalam laut sewaktu
bekalan bahan itu berlebihan dan harganya murah. Ia bertujuan untuk mewujudkan
kekurangan bekalan dan dengan itu dapat menaikkan harganya.
Bagaimanapun, apakah kita perlu
mencampak atau membakar wang untuk menaikkan nilainya? Dalam hal mata wang,
keadaan sebenar yang berlaku adalah lebih teruk kerana wujud lebih banyak wang
dalam edaran berbanding yang diterbitkan oleh bank pusat dan lembaga mata wang.
Bekalan yang berlebihan itu
berlaku kerana bukan mata wang sahaja digunakan untuk jual beli, tetapi juga
cek, kad kredit dan pemindahan elektronik. Jumlah yang diwakili oleh instrumen
tersebut pastinya melebihi jumlah mata wang kertas yang dikeluarkan dan berada
dalam edaran. Hakikatnya, wang sudah bertukar bentuk menjadi maya (virtual).
Apabila menoleh ke belakang
sekarang, jelaslah saya menerima secara literal klise ekonomi, iaitu wang
adalah darah daging kepada sistem kewangan dan ekonomi.
Sebagai seorang doktor, saya tahu
tentang wujudnya sejumlah darah yang berpusing dalam badan seseorang pada
setiap masa (walaupun kadangkala ia terpaksa ditambah melalui pemindahan
darah).
Bagaimanapun, saya belajar untuk
tidak mengguna pakai kiasan itu secara literal dalam hubungannya dengan
ekonomi. Wang bukan macam hutang kerana wujud lebih banyak hutang daripada
jumlah wang dalam edaran bagi menyokong dan menyukatnya. Cara pakar ekonomi
berfikir berbeza daripada doktor. Bagi mereka, dua campur dua kadangkala boleh
menjadi lebih daripada empat.
Setelah Amerika Syarikat muncul
daripada Perang Dunia Kedua sebagai kuasa tentera dan ekonomi dominan, dunia
menerima dolarnya sebagai mata wang rasmi bagi perdagangan antarabangsa dan
juga sebagai mata wang rizab.
Perjanjian Bretton Woods (1)
telah menetapkan nilai dolar pada kadar AS$35 bagi setiap auns emas. Kemudian,
semua negara menetapkan nilai mata wang mereka berdasarkan nilai dolar yang
pada asasnya bermakna nilai emas.
Ekonomi dunia selepas perang
kembali pulih dalam jangka masa peraturan itu dikuatkuasakan. Bagaimanapun,
apabila pada 1971, Amerika keluar daripada piawaian emas, umumnya bagi
membiayai kos perbelanjaan Perang Vietnam yang bertimbun, maka kedudukan mata
wang dunia menjadi tidak stabil. Kuasa pasaran kini menentukan kadar tukaran
mata wang dan kebanyakannya “terapung” dalam hubungan antara satu sama lain.
Bagi saya, tindakan ini
merosakkan kedaulatan nasional dan menyebabkan negara terdedah kepada kezaliman
pasaran serta ketamakan manusia. Orang tamak tidak akan peduli tentang
kebajikan orang lain, dan pastinya juga tidak peka kepada keperluan negara
membangun. Mereka akan menjahanamkan mana-mana negara dan memiskinkan
penduduknya atas nama keuntungan.
Kita terpaksa menerima keadaan
itu walaupun kita tahu mekanisme dan kuasa pasaran boleh dimanipulasikan. Ia
tidak mengambil masa yang lama bagi spekulator untuk mula menyalahgunakan
sistem berkenaan. Sebelum itu, mereka telah mencipta kaedah jualan singkat
komoditi dan saham. Kini, mereka mencipta pula jualan singkat mata wang.
Mereka mengaut keuntungan besar
dengan membuatkan negara muflis, terutama negara membangun. Tindakan mereka ini
jelas satu pembunuhan kewangan. Mereka menubuhkan dana lindung nilai atau hedge
fund dan mempelawa golongan kaya untuk mencarum. Umumnya, pulangan yang
diterima jauh lebih besar daripada pelaburan lain, tetapi operasi dana itu
tidak menghasilkan apa-apa yang boleh digunakan oleh pasaran atau orang ramai.
Paling tidak pun tindakan yang
boleh diambil adalah mengawal selia kegiatan tersebut, tetapi masalahnya orang
yang menuntut ketelusan bagi setiap urusniaga dan rancangan orang lain itu
sendiri yang membenarkan operasi dana diselubungi misteri. Bukankah pelabur
serius tidak akan sanggup mengambil risiko ke atas wang mereka dalam kegiatan
yang penuh rahsia?
Namun, pengendalian dana tersebut
terus dibenarkan menjadi satu misteri. Siapakah peniaga itu? Daripada manakah
mereka memperoleh modal? Berapa banyak mereka meminjam? Kepada siapa mereka
menjualnya dan siapa yang membeli mata wang yang mereka jual itu?
Kita tidak tahu jawapan kepada
semua soalan ini. Dana itu boleh diniagakan sehingga 20 kali ganda modalnya.
Bagi pengurus tabung ini, perkara paling penting dalam ekonomi adalah perluasan
hutang yang jauh melebihi bekalan mata wang sehingga tidak ada kaitan lagi
antara kedua-duanya. Kesan operasi mereka mengakibatkan kebinasaan.
Camdessus adalah orang Perancis,
dan saya dengar beliau bersahabat dengan Presiden Chirac. Jadi, disebabkan saya
kenal baik dengan Chirac maka saya menulis kepada beliau mengenai penjarahan
oleh peniaga mata wang dan saya meminta beliau bercakap dengan Camdessus agar
membantu menghentikan kegiatan itu.
Kemudian, sewaktu Mesyuarat
Ketua-ketua Kerajaan Komanwel atau Commonwealth Heads of Government Meeting
(CHOGM) di Edinburgh, Scotland pada 1997, saya bertemu Tony Blair yang baru
sahaja menjadi Perdana Menteri Britain bagi membincangkan perkara itu. Saya
menjelaskan dengan panjang lebar kesan mata wang dan meminta beliau membawa
perkara itu kepada IMF. Bagaimanapun, segala usaha saya di peringkat itu tidak
menghasilkan apa-apa.
Sebelum itu, Malaysia memperoleh
sedikit pengalaman dalam perniagaan mata wang. Kita mengambil bahagian dalam
kegiatan itu bagi memastikan nilai rizab antarabangsa kita tidak susut akibat
naik turun nilai mata wang yang kita simpan.
Ketika itu kita hanya berurusan
dengan menggunakan mata wang negara-negara maju sahaja. Seperti mana orang
lain, kita juga membuat spekulasi, tetapi tidak memanipulasi. Apa yang kita
lakukan adalah memperincikan risiko yang kita ambil, tetapi apabila salah satu
spekulasi kita songsang, kita telah kehilangan sejumlah besar wang. Selepas
pengalaman itu, kita keluar daripada perniagaan mata wang.
Pada September 1997, saya
dijemput berucap pada mesyuarat tahunan Bank Dunia dan IMF di Hong Kong. Saya
mengambil kesempatan membelasah peniaga mata wang dengan menuduh mereka telah
memiskinkan lagi negara-negara yang sedia miskin di dunia. Saya menyebut nama
Soros sebagai salah seorang peniaga yang memanipulasi mata wang negara-negara
Asia Tenggara dan menggangu gugat pembangunan mereka.
Hari berikutnya, Anwar berucap
pada mesyuarat yang sama. Ketika itu, saya sudah berlepas ke Sabah dan beliau
menelefon saya. Nada suaranya seperti orang marah. Beliau memberitahu saya
bahawa ucapan saya menyebabkan nilai ringgit bertambah susut, cuma beliau tidak
memberitahu saya agar jangan bercakap lagi. Namun, saya terus mengkritik IMF
dan peniaga mata wang.
Dalam satu perjumpaan di Santiago,
Chile, saya mengulangi kutukan ke atas mereka dan sekali lagi nilai ringgit
jatuh. Perkembangan itu membuktikan kepada saya bahawa peniaga mata wang adalah
punca yang menekan turun nilai ringgit.
Ia tidak mungkin disebabkan oleh
reaksi pasaran kerana tindak balasnya begitu pantas. Ini juga bukan disebabkan
persetujuan am pasaran, tetapi kerja beberapa pemain utama yang mempunyai
pengaruh besar terhadap pasaran. Dan atas alasan mereka yang tersendiri, saya
mendapati sesetengah orang sengaja cuba menyekat saya daripada bercakap
mengenai peniaga mata wang.
Di dalam negara, Anwar memulakan
apa yang dikenali sebagai “penyelesaian IMF tanpa IMF.” Pada dasarnya, kita
tidak dilanda masalah ekonomi yang teruk. Kita tidak perlu meminjam daripada
IMF bagi melangsaikan hutang luar kerana kita tidak banyak berhutang. Antara
hutang yang ada masih belum sampai masanya untuk dibayar balik. Hutang yang
telah sampai masanya untuk dibayar balik pula sudah pun kita langsaikan.
Namun, sama ada kita perlu
meminjam daripada IMF atau tidak, Anwar berpendapat bahawa Malaysia perlu
menerima nasihat IMF. Beliau percaya bahawa untuk mengekalkan keyakinan
antarabangsa terhadap pengurusan ekonomi kita, kita perlu melakukan apa yang
diberitahu oleh mereka dan menguruskan ekonomi kita mengikut cara yang mereka
kehendaki.
Anwar berpendapat yang ubat IMF
adalah baik untuk kita dan akan membantu kita pulih daripada penyakit
antarabangsa walaupun kita sebenarnya belum lagi jatuh sakit. Jadi, beliau
menaikkan kadar faedah dan memotong perbelanjaan kerajaan.
Saya memberi amaran kepada Anwar
yang tindakannya itu mungkin menyebabkan kerajaan kehilangan hasil yang
diperlukan bagi membayar gaji kakitangan awam.
Beliau juga cuba memendekkan
tempoh ingkar pembayaran balik hutang daripada enam bulan kepada tiga sebelum
mengisytiharkannya sebagai hutang lapuk. Ini sekaligus menaikkan nisbah hutang
lapuk bank dan menyebabkan ramai peminjam muflis. Perniagaan merosot. Penyakit
yang kita cuba elakkan, muncul. Ubat IMF gagal menghalang
penyakit itu, sebaliknya menjadi punca penyakit. Dalam pada itu pun, Anwar
tetap meneruskan dasar pro-IMF beliau.
Ekonomi kita jelas menuju ke arah
kemelesetan. Banyak syarikat muflis manakala yang lain gagal melangsaikan
hutang bank, lebih-lebih lagi selepas Anwar memendekkan tempoh ingkar bayar
hutang daripada enam bulan kepada tiga dan menaikkan kadar faedah kepada 12
peratus.
Kita memutuskan supaya ditubuhkan
sebuah badan operasi seperti Majlis Gerakan Negara yang ditubuhkan untuk
menangani kesan rusuhan kaum pada 1969. Bagi mengurangkan perbalahan politik
maka kita menjemput semua Ketua Menteri dan Menteri Besar, termasuk daripada
PAS untuk menganggotai sebuah badan yang kita panggil Majlis Tindakan Ekonomi
Negara (MTEN) (2). Pemimpin kesatuan sekerja dan perniagaan serta ketua badan
pemikir juga diajak bersama.
Dengan itu, kita dapat
menjelaskan kepada mereka masalah yang dihadapi oleh negara dan mendengar
pandangan mereka mengenai cara menanganinya. Bagaimanapun, disebabkan bilangan
ahli yang ramai maka Majlis itu tidak dapat bermesyuarat lebih kerap. Jadi,
saya memutuskan supaya diwujudkan sebuah panel penasihat kecil untuk memantau
perkembangan, di samping mencadangkan cara mengatasinya.
Ia perlu disokong oleh
keseluruhan Kabinet walaupun hanya sebilangan Menteri sahaja yang
menganggotainya. Mujurlah Kabinet tidak mempersoalkan bidang kuasa atau
syarat-syarat penubuhan badan yang berpengaruh itu.
Anggota panel penasihat
termasuklah Anwar; Datuk Mustapa Mohamed, iaitu seorang ahli ekonomi yang
dihormati dan kini berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; Ketua Setiausaha Negara,
Tan Sri Samsudin Osman; Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri
Samsuddin Hitam; Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Fong Weng Phak (entah apa
sebabnya, Gabenor tidak pernah menghadiri mesyuarat kami); Ketua Unit
Perancangan Ekonomi, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman; Oh Siew Nam, seorang
eksekutif sektor swasta yang arif mengenai perbankan dan pasaran kewangan serta
Ketua Pengarah ISIS, Tan Sri Dr Noordin Sopiee.
Panel penasihat kecil itu
bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga jam setiap pagi di pejabat saya. Kami
meneliti semua perangkaan mengenai ekonomi dan mentauliahkan penyelidikan
berhubung sebarang isu yang kami rasa mungkin mempengaruhi prestasi ekonomi
atau prospek negara.
Kami memanggil pakar bagi memberi
penerangan dan membuat cadangan mengenai perkembangan semasa. Kami mendengar
banyak taklimat dan sering membuat keputusan mengenai apa yang perlu dilakukan.
Mujurlah kita tidak mengalami
ketegangan sosial sewaktu krisis kewangan. Rakyat Malaysia mungkin telah
terjejas teruk akibat krisis tersebut, tetapi keganasan bukanlah tindak balas
mereka. Pada masa yang sama, kita sedang membuat persiapan akhir bagi Sukan
Komanwel yang akan diadakan pada tahun berikutnya, jadi, kita tidak mampu untuk
menghadapi sebarang bentuk ketidakstabilan.
Sambil menangani krisis itu, saya
meneruskan tugas ke luar negara untuk melaksanakan usaha ekonomi dan
diplomatik. Saya berada di Buenos Aires, Argentina apabila saya tiba-tiba
teringat kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang mengetuai operasi perniagaan
mata wang Bank Negara sewaktu kita mengalami kerugian.
Saya ternampak beliau sedang
berjalan-jalan di Kuala Lumpur sebelum saya berlepas ke Buenos Aires. Wajah
beliau muncul dalam fikiran saya dan saya memutuskan yang beliau mungkin boleh
memberi penjelasan mengenai perniagaan mata wang serta mencadangkan cara untuk
mengatasinya.
Urus niaga mata wang asing kita
yang merugikan itu mungkin boleh menghasilkan suatu kebaikan dan menyelamatkan
kita pada saat-saat kita dikepung oleh peniaga mata wang.
Perkara itu amat mendesak dan
saya tidak boleh menunggu sehingga pulang ke tanah air, lalu saya meminta
pejabat saya mencari dan menerbangkan Nor Mohamed ke Argentina. Tidak lama
selepas itu, beliau dan saya duduk di dalam bilik hotel saya dan beliau
menjelaskan selok-belok perniagaan mata wang serta sebab kita mengalami
kerugian.
Saya bertanya, apakah pengajaran
daripada pengalaman itu yang boleh kita gunakan untuk mengatasi masalah yang
sedang kita hadapi?
Beliau mencadangkan agar kita
mengenal pasti beberapa buah institusi yang memiliki sumber kewangan yang besar
dan menubuhkan sebuah tabung khas untuk membeli ringgit. Kita terima cadangan
itu dan melaksanakannya.
Namun, sekali lagi kita tidak
dapat melawan kekuatan peniaga mata wang. Mereka boleh membuat spekulasi
sehingga 20 kali ganda modal mereka dan kita mungkin kehabisan rizab
antarabangsa kalau kita cuba melawan mereka dengan cara itu. Kita bukan
berdepan dengan sebuah dana spekulasi mata wang, tetapi beberapa buah.
Ternyata percubaan kita itu
gagal. Saya tahu yang Nor Mohamed berpengetahuan lalu memutuskan untuk melantik
beliau menjadi Penasihat Kewangan saya dan salah seorang anggota MTEN.
Kita mengajukan banyak soalan
kepada beliau dalam usaha untuk memahami dan mengawal perniagaan mata wang.
Saya perlu memahami sedalam-dalamya mengenai sistem perbankan dan kewangan, dan
Nor Mohamed berjaya memperjelaskan semuanya.
Disebabkan kita tidak faham
selok-beloknya maka kita telah memperkenalkan langkah-langkah yang terbukti
tidak berkesan. Pada satu peringkat, terlintas dalam fikiran saya untuk
menurunkan nilai ringgit dan menaikkan gaji bagi mengimbangi kesan penyusutan
nilainya.
Apabila saya membincangkan idea
itu dengan beberapa orang kawan dan Menteri, mereka berkeras mengatakan bahawa
ia tidak akan berkesan. Namun, saya terus yakin mesti ada sesuatu yang boleh
dilakukan secara sah oleh kerajaan bagi menghentikan manipulasi mata wang kita.
Sehingga saat itu, saya masih beranggapan yang mata wang sebenar telah bertukar
tangan dalam urus niaga berkenaan.
Saya masih belum memahami
perdagangan mata wang yang dijalankan dalam bentuk abstrak dan maya serta
bagaimana transaksi atas kertas yang bernilai berbilion-bilion dolar boleh
mengalir merentasi dunia dengan lebih pantas berbanding kita membayar RM10
untuk membeli sayur di pasar.
Itulah sebabnya apabila kita
diberitahu yang mata wang kita dibawa keluar, kita menyangka orang yang
terlibat benar-benar membawa wang kita ketika mereka keluar dari Malaysia.
Jadi, kita meminta pegawai kastam di pintu keluar supaya memeriksa beg
pengembara. Kita kehairanan kerana tidak ada wang tunai yang cuba dibawa
keluar.
Bagaimanapun, kita mendapati
jumlah wang dalam edaran di Malaysia berkurangan dengan begitu banyak dan
berjuta-juta ringgit Malaysia telah mengalir ke Singapura. Atas sebab itulah
kita meminta kerajaan Singapura mendepositkan sejumlah pegangan ringgit mereka
ke dalam bank Malaysia.
Kita juga hairan bagaimana
peniaga mata wang di luar Malaysia boleh memiliki berbilion ringgit duit kita
untuk dijual. Saya tertanya-tanya dari mana penyerang mata wang antarabangsa
itu memperoleh ringgit?
Mereka melakukan jualan singkat
dengan mengikat kontrak untuk menyerahkan ringgit yang sebenarnya tidak mereka
miliki. Bagaimanapun lambat-laun mereka perlu juga membuat penyerahan.
Saya bertanya kepada Nor Mohamed
bagaimana sejumlah besar mata wang kita boleh meninggalkan Malaysia tanpa
dikesan dan bagaimana peniaga boleh membawa keluar berbilion-bilion ringgit.
Kita juga tidak mempunyai rekod pembelian ringgit sebelum mereka mula
memperdagangkannya sebagai satu komoditi dan dalam proses itu merosakkan
kestabilan kadar tukarannya.
Pada satu peringkat, saya membuat
kesimpulan bahawa mereka tentu telah membeli sejumlah besar ringgit sebelum
memperdagangkannya di pasaran.
Nor Mohamed menjelaskan kepada
MTEN bahawa sebenarnya tidak ada wang tunai yang dipindahkan. Sejuta ringgit,
walaupun dalam bentuk wang kertas RM100, sudah cukup berat untuk diangkut.
Jadi, tentulah mustahil untuk memindahkan ratusan juta ringgit, apatah lagi
berbilion ringgit. Lagipun, ringgit hanya sah diperlakukan di Malaysia. Ia
tidak boleh digunakan di luar negara.
Bank dan penukar wang di negara
lain mungkin menerima ringgit untuk ditukarkan dengan mata wang tempatan,
tetapi jumlahnya kecil sahaja. Di penghujungnya, mereka pasti memulangkan mata
wang kertas itu kepada Malaysia untuk ditukarkan dengan mata wang pilihan
mereka. Bagaimanapun, ini jelas tidak berlaku. Kalau berlaku pun, kita tentu
dapat melihat barisan van perisai berulang-alik di antara Singapura dan
Malaysia.
Jadi, apakah mata wang yang
diperdagangkan sebenarnya? Nor Mohamed menjelaskan bahawa tidak ada wang yang
terlibat secara fizikal. Sebaliknya wang sebenar ada di dalam bank-bank
Malaysia, kebanyakannya di dalam akaun pemilik wang itu.
Saya bertanya kepada kepada Nor
Mohamed apa yang berlaku apabila wang itu dijual atau dibeli. Menurut beliau,
sejumlah kecil daripadanya mungkin dimasukkan ke dalam bank atau diambil
sebagai tunai. Namun, biasanya wang itu dikreditkan ke dalam akaun penerima
atau didebitkan daripada akaun pembayar. Tidak ada transaksi wang tunai berlaku
sama sekali. Jual beli dibuat di atas kertas semata-mata. Yang berubah hanyalah
angka-angka di dalam akaun bank.
Apabila ringgit didagangkan,
tidak ada wang yang menyeberangi sempadan. Dalam erti kata lain, tidak ada wang
yang keluar dari Malaysia ataupun masuk ke dalam Malaysia secara fizikal.
Proses itu mungkin rumit sedikit bagi dagangan yang melibatkan akaun mata wang
asing di bank-bank asing. Begitu pun, ringgit yang diperdagangkan tidak akan
sama sekali meninggalkan Malaysia.
Saya sedar bahawa itu mestilah
caranya. Jadi, kita meminta Bank Negara menarik balik wang kertas bernilai
RM500 dan RM1,000 bagi menyekat orang ramai menyeludup keluar wang.
Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku selama ini adalah ringgit Malaysia
yang diperdagangkan itu kekal di dalam akaun orang asing di bank-bank Malaysia.
Disebabkan wang itu dimiliki oleh orang asing, maka kita tidak boleh
menggunakannya
.
Ini adalah sesuatu yang baru
kepada saya. Saya bukan seorang ahli perbankan dan urusan saya dengan bank juga
terhad. Saya selalu membuat pembayaran menggunakan cek tanpa memikirkan
bagaimana angka di dalam akaun saya berubah. Transaksi saya umumnya kecil dan
diuruskan oleh pembantu peribadi saya.
Saya mula berasa gerun apabila
menyedari yang saya telah membelanjakan begitu banyak wang negara tanpa
mengetahui apa-apa mengenai operasi bank. Namun, sejak mempelajari bahawa
ringgit yang diperdagangkan itu tidak pernah keluar dari Malaysia secara
fizikal dan jual belinya hanya membabitkan pemindahan hak milik daripada satu
akuan kepada akaun yang lain di dalam bank, maka saya mula berfikir bagaimana
kerajaan boleh menggunakan kuasa kawalan Bank Negara ke atas bank-bank di
Malaysia untuk menghentikan perniagaan mata wang.
Saya yakin ramai rakan-rakan saya
di dalam MTEN tahu bahawa sistem kewangan mewujudkan lebih banyak kredit
berbanding mata wang yang dikeluarkan oleh bank pusat. Bagaimanapun, mereka
tidak nampak bagaimana maklumat itu mungkin boleh membantu mewujudkan kawalan
rasmi ke atas perdagangan mata wang. Mungkin ada baiknya juga kejahilan saya
mengenai sistem kewangan sebelum ini kerana ia memberi saya peluang untuk
melihat dengan persepktif baru tentang bagaimana boleh menggagalkan peniaga
mata wang.
Saya bertanya Nor Mohamed sama
ada kerajaan boleh mengarahkan bank agar tidak memindahkan hak milik apabila
peniaga mata wang membeli dan menjual ringgit. Beliau menjawab, boleh. Saya pun
memikirkan kemungkinan untuk melaksanakannya.
Serentak itu, Tun Daim, Nor
Mohamed dan ahli-ahli perbankan di dalam MTEN mula membincangkan kemungkinan
menyekat peniaga mata wang daripada memperoleh ringgit. Pada masa yang sama,
kita perlu menghentikan jual beli saham syarikat Malaysia melalui Central Limit
Order Book (CLOB) di Singapura atau apa yang disebut sebagai dagangan “atas
kaunter.”
Ia diwujudkan oleh Singapura
untuk meneruskan kegiatan jual beli saham-saham Malaysia selepas kita
memisahkan bursa saham kita daripada bursa saham Singapura pada 1989. Urus
niaga CLOB menyebabkan harga saham kita merosot terus-menerus.
Indeks Komposit kita, iaitu Kuala
Lumpur Composite Index (KLCI) berada di sekitar 1,200 mata apabila serangan ke
atas ringgit bermula. Bagi mengelakkan kehilangan wang yang dilaburkan di
Malaysia, maka pelabur asing berpusu-pusu keluar dengan menjual saham milik
mereka dan menukar ringgit yang mereka peroleh kepada dolar Amerika atau mata
wang lain.
Penjualan ini menyebabkan
kejatuhan harga saham kita menjadi lebih teruk. Pada satu peringkat, ia jatuh
sehingga di bawah 300 mata. Modal pasaran saham yang disenaraikan di bursa
saham kita tinggal satu perempat sahaja daripada nilai sebelum krisis.
Kita mendapati bahawa saham yang
diniagakan melalui CLOB telah didaftarkan atas nama syarikat-syarikat pemegang
amanah. Amalan ini sah dari segi undang-undang, tetapi apabila saham itu dijual
dalam lingkungan syarikat pemegang amanah maka pemilikannya tidak berubah; ia
kekal dalam tangan syarikat pemegang amanah terbabit. Atas dasar itu maka
jual-beli tersebut tidak perlu dimaklumkan kepada Bursa Saham Kuala Lumpur
(BSKL).
Yang menjadi masalah adalah
penjualan berterusan saham-saham itu menyebabkan harganya jatuh. BSKL tidak
dapat berbuat apa-apa mengenai kegiatan CLOB. Transaksi saham-saham Malaysia di
CLOB tidak perlu didaftarkan dengan BSKL selagi ia kekal sebagai urusan atas
kertas oleh syarikat pemegang amanah yang sama.
Kita perlu menghentikan amalan
itu dan memutuskan bahawa tidak ada jual-beli akan diiktiraf kecuali pemilik
sebenar mendaftar dengan BSKL. Kegagalan mereka berbuat demikian boleh
menyebabkan transaksi berkenaan tidak diiktiraf dan saham yang terlibat, dari
segi undang-undang akan dianggap sebagai hak milik penjual.
Sebaik sahaja kita mengenakan
syarat itu, saham-saham tidak mungkin boleh diniagakan lagi di CLOB tanpa
mendaftarkannya dengan BSKL. Tiada siapa akan membeli kalau saham itu tidak
menjadi milik mereka dari segi undang-undang. Ini memaksa pemilik sebenar untuk
mendaftar urus niaga mereka dengan BSKL sebagai syarat untuk mendapatkan
pengiktirafan.
Tindakan kita itu berjaya
menamatkan peranan syarikat pemegang amanah sebagai orang depan dalam
perdagangan CLOB. Semua pemilik perlu mendaftar dengan BSKL. CLOB tidak lagi
berperanan menjual-beli saham Malaysia. Ia terpaksa ditutup.
Sementara itu, kita juga
memutuskan untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika – satu langkah yang
pastinya menimbulkan kontroversi. Bagaimanapun, kita perlu menentukan kadar
tukaran ringgit sebaik sahaja selepas mengarahkan bank agar tidak memindahkan
wang akaun mereka dalam sebarang transaksi.
Kita juga perlu menyediakan rizab
mata wang asing, terutama dolar Amerika yang mencukupi dalam bank tempatan dan
di Bank Negara sekiranya diperlukan oleh pedagang bagi membayar import mereka.
Dan sudah tentulah kita perlu menjamin bekalan ringgit yang mencukupi di bank
untuk ditukarkan dengan mata wang asing pada kadar yang kita tetapkan.
Kita sentiasa mendesak agar
pendapatan penjualan barangan buatan Malaysia kepada pembeli asing dibawa balik
dan didepositkan di dalam bank Malaysia. Sesetengah negara membangun seperti
Argentina membenarkan pendapatan eksport disimpan di luar negara.
Dalam kes negara pengeluar minyak
Timur Tengah pula, sebahagian mereka tidak pernah membawa pulang perolehan
eksport minyak mereka. sebaliknya, mereka membiarkan pendapatan eksport minyak
mereka yang sering disebut sebagai “petrodollar”, mengelilingi dunia mencari
pelaburan yang paling menguntungkan.
Bagi kita pula, kalau kita
benarkan hal ini berlaku maka ia akan mengakibatkan pengaliran keluar yang
berterusan pendapatan eksport negara. Kalau kita tidak dapat menggunakan
tukaran asing hasil eksport kita, maka kita tidak akan dapat membayar kos import
atau melunaskan hutang.
Kesan daripada amalan membawa
balik pendapatan eksport itu menyebabkan Malaysia sentiasa mempunyai rizab mata
wang asing yang mencukupi untuk digunakan oleh pengimport bagi membeli barangan
dan perkhidmatan asing. Apabila kerajaan menetapkan kadar tukaran, ia harus
menjamin bekalan mata wang asing yang mencukupi untuk membayar kos import utama
pada kadar yang ditetapkan itu.
Kita mungkin boleh memperkayakan
diri kita dengan mengukuhkan ringgit kepada paras sebelum krisis, iaitu RM2.50
bagi satu dolar Amerika memandangkan pada masa itu ringgit sudah mula pulih
perlahan-lahan. Pada kadar paling rendah, nilai ringgit susut kepada hampir RM5
bagi setiap dolar Amerika. Ia kemudian berkisar sekitar RM3.80 dan RM4.
Kalau ringgit terlalu kukuh pula
kerana kita menetapkan kadar tukaran yang amat tinggi maka produk Malaysia
tidak dapat bersaing dalam pasaran antarabangsa dengan produk yang serupa dari
Thailand, Filipina dan Indonesia. Kita perlu menetapkan kadar tukaran yang
tidak terlalu memiskinkan kita dan pada masa yang sama menjamin persaingan
produk keluaran kita. Oleh itu, kita memutuskan kadar RM3.80 bagi satu dolar
Amerika.
Kita merahsiakan perkara itu,
tetapi kita mahu Bank Negara dan BSKL melaksanakannya. Kerajaan perlu menyelia
pelaksanaan rancangan itu hampir setiap minit.
Apabila kita mula
melaksanakannya, kita tidak pasti sama ada kawalan itu akan memberi sebarang
kesan atau tidak. Kita pun tidak tahu sama ada keputusan mengenai pendaftaran
wajib jual-beli saham CLOB boleh dilaksanakan atau terbukti tidak praktikal.
Perlu ditegaskan bahawa sewaktu
kita mengambil keputusan tersebut di dalam MTEN, Anwar masih menjadi Timbalan
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Beliau tidak membantah rancangan untuk
menyekat kegiatan peniaga mata wang dan mengawal urus niaga CLOB.
Dr Noordin Sopiee tampil dengan
lebih 30 sebab mengapa kita tidak harus melaksanakan semua rancangan itu. Tidak
semestinya beliau tidak bersetuju dengan hujah itu, tetapi beliau
mengemukakannya bagi mencabar pemikiran kita.
Saya terpaksa berhujah mematikan
setiap bantahan yang beliau kemukakan. Ahli MTEN yang lain menunjukkan tahap
sokongan berbeza-beza, dengan sesetengahnya mengatakan bahawa langkah yang kita
cadangkan itu tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun sebelum ini.
Memang betul ia berisiko,
termasuklah kemungkinan keutuhan mutlak mata wang ringgit. Pasaran gelap
mungkin muncul bagi menjual ringgit dengan harga yang lebih murah daripada
kadar yang kita tetapkan. Kewangan dan ekonomi negara mungkin menjunam dan tidak
boleh dikawal lagi.
Kita sama sekali tidak boleh
menjangka apa yang akan terjadi. Bagaimanapun, hujah yang mengatakan kita tidak
patut melakukannya kerana ia belum pernah dilakukan oleh sesiapa sebelum ini
mungkin sesuai bagi orang yang penakut dan berfikiran kolot. Pendirian itu
pastinya tidak sesuai bagi seorang yang bertanggungjawab kepada negara dalam
menghadapi saat kesukaran yang tidak pernah dialami sebelum ini.
Ada orang membangkitkan bahawa
wujud keadaan di mana penduduk di kebanyakan negara membangun enggan dibayar
dalam mata wang tempatan, sebaliknya mereka mendesak agar dibayar dengan dolar
Amerika. Ringgit juga mungkin ditolak sebagai bayaran. Jika ini berlaku maka
nilainya tidak lebih tinggi daripada harga kertas yang diguna untuk mencetaknya.
Saya mendapat tahu kemudian
bahawa setengah ahli MTEN telah memberitahu beberapa orang Menteri Besar supaya
menghalang saya daripada meneruskan langkah yang dirancang. Malangnya, mereka
tidak bersedia untuk berdepan dengan saya bagi berbahas mengenai perdagangan
mata wang dan CLOB kerana mereka tidak memahaminya.
Malah, pemahaman mereka juga
sangat kurang mengenai betapa kompleksnya langkah yang sedang kami rancang dan
risikonya. Kalau pun ada antara mereka mempunyai keraguan yang berasas, mereka
tidak berkebolehan untuk menyatakan pandangan mereka.
Keadaan itu memberikan kelebihan
kepada saya. Saya berasa lega dengan keputusan yang diambil, tetapi itu bukan
bermakna saya tidak bimbang dengan kemungkinan rancangan kita akan membawa
bencana kepada negara.
Saya berasa gerun mengambil
tindakan yang bertentangan dengan kebijaksanaan konvensional serta bercanggah
dengan pendapat pakar, termasuk daripada IMF dan Bank Dunia.
Strategi kita tidak syak lagi
bercanggah dengan pendapat umum yang dilabelkan oleh pengkritik ekonomi sebagai
“contrarian”. Ia bertentangan dengan amalan konvensional dan kalau ekonomi kita
runtuh akibat daripadanya maka tidak ada sesiapa pun yang akan menolong kita.
Saya sendiri mungkin terpaksa berundur dalam keaiban – sesuatu yang amat saya
takuti.
Bagaimanapun, saya lebih takut
kepada kemungkinan kita akan hilang kawalan ke atas negara kita sendiri seperti
kerajaan Indonesia yang hilang kuasa kepada IMF. Saya amat tidak suka melihat
gambar Camdessus berdiri berpeluk tubuh bersebelahan Presiden Suharto ketika
menyaksikan pemimpin Indonesia itu menandatangani perjanjian dengan IMF.
Camdessus kelihatan begitu puas
dan sinis menyaksikan Presiden Suharto melepaskan kawalan ke atas ekonomi
Indonesia yang berupa asas kedaulatan negara itu – kedaulatan yang
diperjuangkan dengan begitu gigih dan berani menentang Belanda pada 1940-an.
Saya tentunya tidak mahu Malaysia
menderita nasib yang sama. Kita telah cuba memujuk Indonesia agar tidak
menyerah kepada IMF.
Menteri Kewangan Indonesia ketika
itu, Marie Muhammad berhubung rapat dengan Anwar yang mengatakan beliau ada
meminta Marie supaya menasihatkan Suharto agar tidak menurunkan tandatangan.
Saya diberitahu bahawa menjelang
waktu itu. Presiden Suharto sudah tidak boleh tidur. Seramai kira-kira 40 juta
rakyat Indonesia telah hilang pekerjaan. Rupiah sudah runtuh. Nilainya merudum
daripada 2,000 bagi setiap satu dolar Amerika kepada 16,000.
Rusuhan tercetus di ibu negara,
Jakarta. Kedai dibakar dan ramai yang terbunuh. Rakyat peribumi Indonesia
menyalahkan krisis itu kepada orang Cina Indonesia. Mereka tidak menganggap
Amerika dan penguasaannya ke atas IMF sebagai pihak yang bertanggungjawab
terhadap krisis mata wang.
Apabila IMF mengambil alih
kawalan ke atas kewangan Indonesia, langkah yang mereka paksakan terhadap
Indonesia seperti menghentikan subsidi makanan dan minyak telah memburukkan
lagi penderitaan rakyat dan lebih banyak rusuhan berlaku.
Thailand dan Filipina yang turut
menyerah kepada IMF juga menerima nasib serupa. Hanya Korea Selatan berjaya
melakukan pemulihan ketara selepas menyerah kepada IMF.
Saya tidak sedikit pun yakin
terhadap kaedah penyelesaian IMF yang dipaksakan oleh Anwar ke atas negara.
Menteri-menteri mula mengadu bahawa mereka tidak ada peruntukan untuk
melaksanakan projek pembangunan. Semua faedah dan keistimewaan dikurangkan dan
langkah jimat cermat mula memberi kesan negatif.
Anwar mahu melihat lebihan
belanjawan di mana pendapatan mengatasi perbelanjaan, tetapi mustahil boleh
dicapai memandangkan kemerosotan kuasa membeli mata wang ringgit. Jadi, beliau
mengurangkan peruntukan belanjawan sebanyak 25 peratus. Kalau kita terus
mengurangkan belanjawan maka akan tiba masanya nanti kita kehabisan wang di
dalam Perbendaharaan. Kemelesetan ekonomi akan menjadi lebih teruk dan kita
mungkin terpaksa menyerahkan kedaulatan ekonomi kita kepada pihak luar.
Saya berazam untuk meneruskan
pelaksanaan strategi penyelesaian yang telah dipersetujui. Kemudian pada saat
akhir, Anwar menelefon saya untuk memberitahu yang Gabenor Bank Negara, Tan Sri
Ahmad Mohd Don dan Timbalannya, Fong Weng Phak telah menghantar surat peletakan
jawatan. Saya terkejut, tetapi tetap bertekad mahu melaksanakan langkah yang
telah diputuskan.
Saya meminta pegawai ketiga
paling kanan di Bank Negara supaya datang menemui saya. Pada masa itu, Tan Sri
Dr Zeti Akhtar Aziz adalah Penolong Gabenor yang bertanggungjawab bagi hal
ehwal ekonomi, operasi luar dan pasaran mata wang serta kawalan tukaran asing
.(3)
Saya kenal beliau, tetapi
tidaklah rapat. Kita kesuntukan masa untuk mencari Gabenor baru, jadi saya
serta-merta melantik beliau menjadi Pemangku Gabenor. Beliau datang ke kediaman
saya dan saya jelaskan kepadanya apa yang sedang berlaku serta apa yang harus
beliau lakukan.
Mujurlah beliau seorang yang
berkebolehan dan memberikan sepenuh kerjasama. Menurutnya, beliau akan
menghubungi bank dan menghentikan semua pemindahan besar wang yang terbabit
dalam perdagangan mata wang. Dalam pada itu, beliau juga akan memastikan
pembayaran untuk transaksi perniagaan biasa diteruskan.
Pada 1 September 1998, Zeti
secara rasmi mengumumkan pelaksanaan kawalan mata wang dan ikatan ringgit
kepada dolar Amerika. Beliau memberitahu media massa: “Kita perlu bertindak
bersendirian memandangkan masyarakat antarabangsa telah gagal mengemukakan sebarang
penyelesaian yang bermakna kepada keadaan huru-hara kewangan global.
Sebaik-baiknya dunia patut bertindak seiringan dan bukannya memaksa negara
bertindak sendirian.”
Zeti yang kemudiannya dilantik
menjadi Gabenor telah dijemput untuk menyertai MTEN. Beliau memberi maklum
balas yang baik mengenai keadaan semasa pasaran dan pergerakan ringgit. Sejak
menjadi Gabenor, Zeti telah memenangi beberapa anugerah antarabangsa kerana
kepemimpinannya di Bank Pusat.
Antara perkembangan lain yang
diperhatikan adalah kemungkinan munculnya pasaran gelap mata wang ringgit. Kita
memantau harga barang bagi memastikan tidak ada pihak cuba membuat keuntungan
berlebihan. Kita memastikan bekalan semua barang keperluan utama adalah
mencukupi.
Mesyuarat harian MTEN diteruskan.
Bank disyaratkan supaya mendepositkan semua tukaran asing yang mereka terima di
Bank Negara. Dengan itu, kita tidak pernah kekurangan mata wang asing untuk
dijual kepada pengimport tulen. Ikatan ringgit kepada dolar Amerika pada kadar
RM3.80 bagi setiap dolar telah dikuatkuasakan dengan begitu tegas sekali dan
ini terbukti baik bagi pengimport serta pengeksport.
Kalangan ahli perniagaan gembira
menerima ringgit pada kadar RM3.80 setiap kali mereka menukar dolar Amerika
atau mata wang lain. Mereka juga selesa dengan jaminan bahawa kita akan
mengekalkan kadar tukaran sehinggalah keadaan menjadi stabil semula. Mereka
kini boleh merangka belanjawan untuk sepanjang tahun tanpa perlu membabitkan
diri dalam kegiatan melindungi nilai ringgit. Ini secara langsung mengurangkan
kos menjalankan perniagaan.
Tindakan mensyaratkan pemilik
saham mendaftar dengan BSKL dan menghentikan penjualan saham Malaysia yang
dipegang oleh syarikat pemegang amanah juga telah membantu menyekat kejatuhan
harga di BSKL. Dalam jangka masa singkat, indeks komposit BSKL yang jatuh di
bawah 300 mata telah naik semula kepada lebih 800 mata.
Jumlah hutang lapuk turut
berkurangan selepas tempoh gagal bayar dinaikkan semula kepada enam bulan dan
ekonomi mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
Sewaktu krisis, kita
memperkenalkan beberapa langkah bagi mengurangkan masalah yang tercetus.
Misalnya, apabila jualan hartanah membeku maka kita menganjurkan kempen
pemilikan rumah yang menggabungkan pemaju, pembeli, pembiaya, pegawai kerajaan
dan peguam. Pada pameran promosi pertama, kira-kira RM3 bilion hartanah dijual.
Bagi menggerakkan semula industri
pembinaan maka kita memutuskan supaya dibina 40,000 unit pangsapuri untuk
menempatkan penghuni setinggan. Memandangkan jualan runcit tidak berkembang
mengikut keadaan yang sepatutnya maka kita menyediakan tempat pameran untuk
peruncit dan di mana perlu, kita membantu mereka merundingkan bekalan pada
harga yang lebih murah.
Di samping itu, kita meneliti
laporan penggunaan elektrik, pergerakan kargo dan kontena di pelabuhan,
ketibaan pelancong, penumpang kapal terbang, pendaftaran kenderaan baru dan
banyak lagi. Jadi kita tahu secara terperinci prestasi ekonomi dan sering
mencari jalan untuk merangsangnya.
MTEN memberi perhatian utama
kepada operasi Pengurusan Danaharta Nasional Bhd, Danamodal Nasional Bhd dan
Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat yang semuanya ditubuhkan untuk
menangani masalah hutang lapuk serta permodalan semula bank.
Kita tidak membenarkan penjualan
serta-merta saham yang diperoleh melalui CLOB kerana ini akan menyebabkan
kejatuhan harga semua saham. Pemilik saham juga perlu mendaftar terlebih dahulu
dengan BSKL. Kemudian kita menubuhkan pula sebuah syarikat khas untuk membeli
saham berkenaan, memantau kepulangannya dan akhir sekali menjualnya secara
beransur-ansur supaya tidak mengganggu harga saham di BSKL.
Pada mulanya, pemilik saham CLOB
itu tidak begitu gembira. Namun, hasil pemulihan pesat BSKL menyebabkan harga
saham naik 200 peratus sewaktu syarikat khas yang kita tubuhkan itu mula
membeli saham-saham CLOB.
Jadi, mereka terselamat daripada
mengalami kerugian besar kewangan yang amat mereka takuti. Mereka juga menunggu
seketika sebelum menjual saham mereka dan memperoleh keuntungan besar. Syarikat
khas berkenaan turut membuat keuntungan dan kerajaan mendapat balik modalnya
yang diberikan dalam usaha menyelamat yang berani.
Dunia mengutuk kawalan mata wang
yang kita lakukan dan ramai ahli ekonomi berkata bahawa ia tidak selari dengan
sistem perdagangan terbuka. Pakar-pakar meramalkan kemusnahan Malaysia dan
dengan gembira menunggu kepulangan kita ke pasaran dunia sebagai pengemis.
Kita bagaimanapun tidak gentar.
Kita percaya yang kita telah menemui jawapan tepat kepada penjarahan negara
kecil oleh peniaga mata wang. Cara kita mungkin tidak konvensional, tetapi
berkesan.
Biarlah orang lain mempertahankan
doktrin ekonomi, tetapi bagi kita, yang lebih utama adalah menyelamatkan negara
dan diri kita. Akhirnya, kita pulih dengan lebih cepat daripada semua negara
yang menerima pinjaman IMF, sama ada secara sukarela atau kerana tekanan.
Negara-negara itu telah menyerah diri kepada langkah penyelesaian yang sama
untuk semua.
Peniaga mata wang menghentikan
operasi mereka. bahkan IMF pun akhirnya mengakui yang cara kita berkesan
walaupun mereka tidak memperakukannya kepada negara lain. Pakar ekonomi dan
pemenang Hadia Nobel, Joseph Stiglitz menyokong pandangan kita.(4)
Malah, Soros turut mengakui
bahawa Malaysia telah mengambil langkah yang betul dengan tidak menyerah kepada
IMF.
Dasar yang kita laksanakan
berkesan untuk negara kita, tetapi tidak banyak negara membangun berada dalam
keadaan yang serupa dengan kita. Ia berkesan bagi kita kerana selain keazaman
politik dan kepakaran merangka dasar yang praktikal, kita juga mempunyai
simpanan mata wang asing yang banyak di Bank Negara untuk digunakan bagi
melindungi kedaulatan ekonomi kita. Selain itu, kita mempunyai simpanan yang
besar hasil pengurusan ekonomi yang bertanggungjawab selama ini.
Kejayaan kita menyekat kemaraan
peniaga mata wang dan menolak campur tangan IMF bukanlah semata-mata kerana
tindakan tegas kita pada masa itu. Ia sebaliknya berpaksikan kepemimpinan
ekonomi yang mantap oleh kerajaan dan ketetapan dasar yang dilaksanakan,
khususnya dalam dekad 70-an dan 80-an.
Bagaimanapun, krisis mata wang
bukanlah satu-satunya masalah yang terpaksa kita tangani. Sehari selepas Zeti
mengumumkan kawalan terhad mata wang, masalah saya dengan Anwar meletus.
(1) Perwakilan daripada 44 buah
negara bertemu tidak lama sebelum Perang Dunia II untuk berbincang bagaimana
memulihkan semula ekonomi dunia.
(2) MTEN ditubuhkan pada 7
Januari 1998 untuk menasihat kerajaan berhubung isu-isu yang berkaitan dengan
krisis kewangan.
(3) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz
adalah satu-satunya Gabenor wanita Bank Pusat di Asia. Beliau adalah anak
kepada Profesor Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid, pakar Ekonomi Melaya negara yang
pertama dan bekas Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Malaya. Beliau juga adalah
cucu saudara Datuk Onn Jaafar, Pengasas UMNO.
(4) Buku beliau, Globalisation
and its Discontents mengkritik cara IMF menangani krisis kewangan
Ulasan
Catat Ulasan