Memoir Tun Doktor Mahathir: Anwar Masuk Umno
Saya bukanlah pengagum Datuk Sri Anwar Ibrahim (DSAI), tetapi saya suka membaca buku, ucapan dan artikel penulisan beliau. Di sini kita membaca dan mengenali DSAI pada pandangan Tun Dr Mahathir yang dicoretkan dalam Memoirnya....
Oleh Tun Dr Mahathir Mohamad –
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai UMNO tidak lama selepas saya jadi Perdana
Menteri pada 1981. Saya terkejut juga apabila dapat tahu beliau mahu menyertai
UMNO memandangkan pembabitannya dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) (1)
dan kenyataan-kenyataan awamnya jelas menjadikan beliau sekutu semula jadi PAS.
Bagaimanapun saya fikir, tentulah
lebih menguntungkan beliau jika menyertai UMNO kerana beliau tidak akan dapat
mara dalam politik selagi berada di luar UMNO. Besar kemungkinan beliau akan
selama-lamanya terumbang-ambing dalam politik pembangkang dan ini tentulah
bukan apa yang dikehendakinya.
Saya juga berpendapat beliau
berguna kepada UMNO. Bagi saya, parti lebih penting dan sesiapa sahaja boleh
menyumbang kepada parti, walaupun orang itu tidak sependapat dengan saya, saya
tidak akan halang kemasukannya.
Umum beranggapan UMNO yang
mengambil langkah pertama membawa masuk Anwar, tetapi itu tidak benar. Bagi
tempoh masa yang lama, UMNO telah menjadi parti yang besar dan berjaya. Ia
tidak perlu bersusah-payah mencari ahli. Waktu itu, menyertai UMNO adalah satu
keistimewaan. Dalam tempoh beberapa bulan, sebilangan orang telah datang
memberitahu saya yang Anwar berminat untuk sertai UMNO. Jadi saya pun bersetuju
menemui beliau.
Pertemuan pertama kami
berlangsung di pejabat saya. Itulah interaksi sebenar yang pertama antara kami
tanpa kehadiran orang lain. Beliau nampak begitu berminat untuk menyertai UMNO,
jadi beliau sedia bertolak-ansur dan tidak memperlihatkan tindak-tanduk yang
boleh menyebabkan hasratnya ditolak.
Apabila saya bertanya mengapa
beliau mahu menjadi sebahagian daripada UMNO, beliau berkata yang beliau kini
bersetuju dengan perjuangan UMNO. Beliau mengaku kepimpinan ABIM agak kritikal
dengan keputusannya dan mereka juga hendak tahu mengapa beliau mahu sertai
UMNO. Beliau memberitahu mereka yang beliau mahu mengubah UMNO supaya
sependapat dengan ABIM dan mempengaruhi Kerajaan dari dalam.
Menurut Anwar, agenda beliau
adalah mahu mengubah Kerajaan menjadi Kerajaan Islam dan dengan itu, menyertai
UMNO adalah cara paling berkesan untuk melakukannya.
Pada masa itu pun beliau sudah
menunjukkan kepintarannya. Beliau berjaya menyakinkan ABIM dan membuat
peralihan tanpa memutuskan hubungan dengan pergerakan itu. Bahkan kemudiannya
saya mendapati beliau boleh menyakinkan pihak yang bertelingkah dengannya
bahawa beliau bersetuju dengan mereka semua.
Rancangan beliau untuk mengubah
UMNO dari dalam tidak membimbangkan saya sebab saya yakin saya boleh menangani
beliau. Lagi pun saya berpendapat, kalau beliau sertai PAS tentu beliau boleh
menang pilihan raya dan ini mungkin akan membantu menarik keluar ahli UMNO
daripada parti.
Dalam erti kata lain, besar
kemungkinan beliau akan jadi duri dalam daging jika berada di luar UMNO. Ciri
positif penyertaan beliau dalam UMNO boleh dilihat dari sudut seorang pemimpin
muda yang memiliki ramai pengikut, maka sudah tentu beliau mempunyai banyak
kenalan di kalangan pemimpin belia seluruh dunia.
Bentuk Islam yang
diperjuangkannya tidak mengasingkan beliau daripada pemimpin belia bukan Islam
manakala pemimpin belia Islam dan aktivis Islam yang lain menganggap beliau
seorang pemimpin besar Islam.
Sebagai pemimpin ABIM, beliau
mempunyai pengikut yang ramai dan ini boleh memberi kelebihan kepada UMNO. Di
kalangan pergerakan Islam Malaysia, ABIM memang luar biasa. Ia cergas membantu
belia Islam menimba ilmu, menyebarkan ajaran Islam dan membuat kerja-kerja
kebajikan.
Walaupun ABIM tidak rapat dengan
UMNO atau kerajaan pimpinan UMNO, ia pula tidak menampakkan sifat melampau.
Penyertaan Anwar dalam UMNO mungkin dapat melembutkan pendirian ABIM terhadap
kerajaan atau setidak-tidaknya menumpulkannya sedikit.
Dengan imej Islamnya, saya
berharap Anwar akan memperkukuhkan kewibawaan UMNO sebagai parti yang
memperjuangkan Islam. Setelah saya putuskan untuk menerima keahlian beliau dan
mendapati tidak ada bantahan kuat daripada rakan-rakan, maka saya pun
mengaturkan supaya beliau menandatangani borang keanggotaan di pejabat saya.
Anwar secara rasmi menyertai UMNO
pada 1982. Saya adakan satu sidang akhbar di pejabat saya bagi mengumumkan hal
itu dengan dihadiri oleh Anwar sendiri. Tindakan saya menggunakan premis
kerajaan untuk urusan parti dikecam oleh Tan Sri Tan Chee Khoon, bekas pemimpin
Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (PEKEMAS) (2).
Tan terkenal di seluruh negara
sebagai Mr Opposition (Tuan Pembangkang). Saya membalas dengan mengatakan
bahawa ia akan dilihat sebagai satu lakonan kalau saya keluar dari pejabat bagi
urusan menandatangani surat penyertaan itu dan kemudian balik semula ke pejabat
untuk menemui Anwar seperti yang lazim saya lakukan dengan semua tetamu, tidak
kira orang politik atau bukan politik.
Saya kenal bapa Anwar, Datuk
Ibrahim Abdul Rahman, seorang penyokong kuat UMNO yang menjadi Ahli Parlimen
bersama-sama saya di antara tahun 1964 dan 1969. Dengan itu saya berpendapat
tentulah di dalam hatinya, Anwar juga orang UMNO. Malah beliau menjadi
penyokong saya sewaktu saya berselisih faham dengan Tunku sekitar tahun
1969-1970.
Anwar juga mempunyai ciri-ciri
yang boleh menyumbang ke arah memperbaiki kedudukan UMNO di kalangan
cendekiawan. Beliau banyak membaca dan boleh memetik kata-kata hikmat ramai
ahli falsafah dan pemikir, daripada Sun Tzu kepada Malik Bennabi.
Pencapaian bahasa Melayu beliau
cemerlang dan gemar menggunakan bahasa sastera dalam ucapan-ucapannya. Walaupun
ramai yang terpaksa merujuk kamus kerana istilah-istilah yang digunakannya,
gaya beliau berucap tetap mengagumkan mereka.
Beliau juga boleh bergaul baik
dengan ahli akademik di dalam dan luar negara. Saya benar-benar percaya beliau
akan menjadi aset kepada parti, jadi saya cenderung untuk memberi sokongan saya
kepada beliau.
Sesetengah ahli UMNO bagaimanapun
bimbang dan berasa terancam oleh Anwar. Ketika Tun Razak menjadi Perdana
Menteri, golongan ini telah bekerja keras menentang kegiatan antikerajaan
Anwar. Kumpulan yang tidak sukakan Anwar itu dipimpin oleh Tun Abdullah Ahmad
Badawi dan antara anggotanya ialah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, bekas
Setiausaha Politik saya yang kemudiannya dilantik menjadi Menteri. (3)
Saya tidak fikir Aziz menerima
hakikat kemasukan Anwar ke dalam UMNO. Bahkan kedua-dua Tun Abdullah dan Aziz
berpendapat tindak-tanduk dan kata-kata Anwar hanyalah satu lakonan. Datuk Dr
Wan Ismail Wan Mahmud, yang kemudiannya menjadi bapa mertua Anwar, juga adalah
antara orang yang menentang keras terhadap beliau.
Pada masa itu, Wan Ismail bekerja
dengan sebuah unit perang saraf dan menjadi seorang penyokong kuat Kerajaan.
Apabila saya mendapat tahu yang beliau membantah Anwar mengahwini anaknya, Dr
Wan Azizah, saya memujuk beliau agar berlembut. Ini berlaku sebelum Anwar
menyertai UMNO.
Petanda tidak baik yang pertama
mengenai Anwar muncul apabila saya membentuk Kabinet pada 1982 dan melantik
beliau sebagai Timbalan Menteri. Beliau datang berjumpa saya bagi menyatakan
kehampaan kerana tidak dilantik menjadi Menteri penuh. Saya tergamam. Saya
kata: “Ada ramai lagi orang yang lebih kanan daripada awak. Bagaimana saya
hendak melantik awak?”.
Saya juga memberitahunya belum
pernah sesiapa yang menjadi pengkritik kerajaan diangkat sebagai anggota penuh
Kabinet dalam masa yang singkat. Lagipun, beliau baru sahaja menyertai UMNO.
Anggota kanan Kabinet tentu tersinggung kalau beliau terlalu cepat dinaikkan
pangkat menjadi Menteri penuh. Saya sudah pun memberi beliau jawatan yang
tinggi dengan melantiknya menjadi Timbalan Menteri.
Jadi, tindakan beliau merungut
mengenainya adalah tidak wajar dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa
itu saya tidak sedar betapa tingginya cita-cita beliau. Mungkin saya sepatutnya
berhati-hati sejak saat itu lagi mengenai cita-cita beliau dan kemarahannya
yang amat sangat apabila rancangannya dihampakan.
Satu lagi bukti tentang cita-cita
Anwar yang tinggi dapat dilihat pada pemilihan UMNO 1982 apabila beliau
memutuskan untuk bertanding jawatan tertinggi Pemuda.
Ketua Pemuda waktu itu, Datuk
Suhaimi Kamaruddin suka memegang lama jawatan yang disandangnya dalam mana-mana
pertubuhan yang diketuainya. Misalnya, sewaktu memimpin Gerakan Belia 4B
Malaysia (4) beliau sentiasa mengubah peraturan supaya boleh terus memimpin.
Saya menyokong usaha Anwar itu,
tetapi Suhaimi menolak cadangan mengundurkan diri untuk Anwar. Akibatnya,
hubungan saya dengan Suhaimi jadi agak tegang. Beliau tetap berkeras mahu
menentang Anwar. Suhaimi kalah dan berasa amat marah. Pada 1987, beliau menyokong
Tengku Razaleigh mencabar kepimpinan saya. Hal ini akan saya ceritakan
kemudian.
Mulai saat itu, cita-cita Anwar
yang tidak kenal sempadan semakin jelas. Beliau mahu mara dalam hieraki UMNO
secepat mungkin, seolah-olah itu sahajalah matlamat beliau menyertai UMNO.
Saya segera menyedari hal ini,
tetapi tidak mengambil sebarang langkah untuk menghalang kerana saya tahu
beliau mempunyai sifat seorang pemimpin yang baik lagipun, elok juga kalau ada
seorang yang boleh diharapkan dalam barisan kepimpinan untuk bersedia mengambil
alih tempat saya.
Bagaimanapun, menjadi Ketua
Pemuda UMNO tidak memberi kepuasan yang lama kepada Anwar. Beliau mahu menjadi
Naib Presiden yang dipilih pula. Sebagai Ketua Pemuda, beliau secara automatik
adalah Naib Presiden sebagaimana ketua-ketua sayap UMNO yang lain kecuali
Puteri UMNO kerana baru ditubuhkan.
Saya dapat tahu hasrat Anwar
untuk bertanding jawatan Naib Presiden daripada Tan Sri Megat Junid Megat Ayub
yang ketika itu adalah seorang Timbalan Menteri. Saya beritahu Megat bahawa
Anwar sepatutnya berpuas hati dengan kedudukannya dan bagi peluang orang lain
untuk naik.
Bagaimanapun akhirnya, disebabkan
Anwar begitu mendesak, saya biarkan juga beliau bertanding. Mengapa saya sokong
beliau? Mengapa saya tidak sekat beliau daripada bertanding? Sebenarnya saya
tidak menyokong beliau, tetapi saya juga tidak menghalang. Apakah ada cara bagi
saya untuk berkata jangan bertanding?
Sesetengah orang mungkin
menganggap bahawa kebenaran yang saya berikan kepada Anwar untuk bertanding
menandakan saya menyokongnya. Tidak sama sekali. Ia bukanlah sokongan cuma saya
tidak ada sebarang alasan untuk menyekat hasrat beliau.
Namun saya ada beritahu Megat
bahawa pada pendapat saya, langkah Anwar itu tidak patut dan sikap tidak sabar
beliau jelas kurang sopan. Bagaimanapun, tindakan beliau itu tidak melanggar
parti.
Ada tiga jawatan Naib Presiden
yang dipilih di dalam UMNO. Ia adalah jawatan paling kanan selepas Presiden dan
Timbalan Presiden. Mengikut resam, Presiden akan jadi Perdana Menteri dan
Timbalan Presiden jadi Timbalan Perdana Menteri.
Disebabkan kedudukan Naib
Presiden hanya setapak ke jawatan Timbalan Perdana Menteri, maka pertandingan
untuk kerusi itu amat sengit. Inilah peringkatnya penyandang cuba membuktikan
kebolehan dan memperkukuhkan kedudukan sebagai bakal pengganti untuk jawatan
Timbalan Presiden dan seterusnya Presiden.
Saya tahu benar betapa sengitnya
pertandingan jawatan itu, terutama kalau penyandang tidak bersedia mengundurkan
diri untuk mewujudkan kekosongan. Ini kerana saya sendiri pernah bertanding
merebut salah satu daripada tiga jawatan Naib Presiden di mana semua tiga
penyandang turut bertanding, iaitu pada 1971/1972 dan saya tewas.
Saya tidak pernah bercakap dengan
Anwar mengenai hasrat beliau untuk bertanding jawatan Naib Presiden. Tindakan
saya yang tidak melarang atau menggalakkan Anwar daripada bertanding tidak ada
kena-mengena dengan sikap saya terhadap beliau. Itu memang cara dan peribadi
saya.
Sebagai Presiden UMNO juga, saya
jarang cuba mempengaruhi pemilihan parti. Jika saya melibatkan diri, ia adalah
dengan matlamat umum dan buka peribadi. Saya memilih untuk tidak campur tangan
dalam pertandingan untuk jawatan tertentu parti. Saya tidak suka menyokong
seorang yang tewas dan kemudian terpaksa bekerja dengan yang menang.
Namun saya sedar bahawa walaupun
saya sendiri tidak peduli sangat hal-hal sebegitu, ramai ahli UMNO menganggap
pendirian berkecuali saya sebagai tanda sokongan dan meletakkan nilai yang
tinggi kepada etika dan petunjuk lampau tradisi Melayu.
Apa pun, mereka masih melihat
sikap gelojoh Anwar untuk naik sebagai tidak wajar sama sekali. Sebahagian
sebab Anwar pantas membina asas kuasa dalam parti adalah kerana imej
keagamaannya dan apabila beliau menjadi Menteri Pelajaran, beliau berbuat baik
dengan guru-guru Melayu dan kesatuan mereka.
Sebelum orang Melayu menonjol
dalam sektor perniagaan sekitar 1990-an, guru adalah kumpulan yang mempunyai
pengaruh kuat di dalam UMNO dan dianggap sebagai satu blok kuasa yang besar di
dalam parti. Mereka juga mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Melayu akar
umbi, pengundi di kampung dan Melayu bandar. Mereka memahami sentimen dan
aspirasi orang Melayu.
Apabila Anwar hendak mengambil
hati dan mendapatkan sokongan, beliau sangat berbudi bahasa dan menawan. Beliau
boleh memikat hati orang alim Arab dan berbaik-baik dengan pelampau Yahudi yang
anti-Arab. Beliau tidak dilihat sebagai seorang ekstremis Islam.
Bahkan selepas didapati bersalah
kerana rasuah dan liwat pada 1999, pun masih ramai orang Islam yang terus
mempercayai Anwar. Mereka juga percayakan cerita kejadian itu mengikut versi
beliau.
Dalam hubungan ini, jelaslah
beliau seorang lelaki yang agak luar biasa. Anwar begitu menyakinkan dan tahu
bagaimana memujuk orang ramai agar mempercayai beliau.
Bagi kebanyakan orang Islam,
Anwar tampil sebagai seorang yang sangat warak. Sebelum menyertai UMNO, beliau
sudah pun membentuk barisan pengikut yang besar di kalangan orang Islam
antarabangsa. Saya teringat seorang anggota Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur
memandang serong terhadap saya, tetapi mengubah pendiriannya terhadap
kepemimpinan saya selepas Anwar menyertai Kerajaan.
Anwar pandai berbaik-baik dengan
orang dan tahu bagaimana memenangi sokongan mereka. Beliau banyak mengembara
sewaktu menjadi pemimpin belia, menemui orang Afghanistan, Pakistan dan ramai
pemimpin belia Islam dan bukan Islam yang terkemuka. Beliau memastikan dapat
berjumpa dan berbincang dengan mereka. Beliau adalah segala-galanya kepada
semua orang.
Beliau juga berbaik-baik dengan
orang seperti Paul Wolfowotiz yang ketika itu Timbalan Setiausaha Pertahanan
Amerika dan penyokong kuat pencerobohan Israel ke atas Palestin dan Iraq . (5)
Anwar juga mesra dengan media
antarabangsa melalui paparan imej seorang liberal. Beliau tidak teragak-agak
menunjukkan kepada mereka bahawa beliau menentang banyak amalan Kerajaan
Malaysia yang beliau sendiri adalah salah seorang anggotanya. Beliau mengumpan
mereka dengan janji bahawa keadaan akan berubah sebaik sahaja beliau mengambil
alih.
Ramai orang datang memberitahu
saya yang beliau sedang berusaha membina populariti peribadi, khususnya di
kalangan pemimpin dan ahli UMNO. Beliau kerap melawat bahagian dan cawangan
parti, yang pada pandangan saya adalah perkara biasa. Semua ahli politik cuba
mendampingi orang ramai dengan tujuan menjadi popular.
Jadi apabila Anwar menjadi
Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, saya anggap hubungan baik
beliau dengan pemimpin bahagian adalah sesuatu yang berguna. Suatu hari nanti,
beliau akan mengambil alih kepemimpinan. Apabila ini berlaku, beliau memerlukan
orang yang begitu kenali dalam parti untuk membantunya memimpin UMNO dan negara
secara lebih berkesan.
Untuk beberapa tahun lamanya,
kami mempunyai hubungan peribadi yang baik. saya menunggang kuda dan beliau pun
belajar menunggang kuda, tetapi Anwar terbukti seorang penunggang yang tidak
sabar. Sebelum beliau belajar menunggang dengan betul, beliau sudah mula
menderap menyebabkannya terjatuh dan hampir patah tengkuk. Beliau terpaksa
dimasukkan ke hospital. Kemudian (semasa dibicara atas tuduhan) beliau mendakwa
polis mencederakan tengkuknya.
Sebelum beliau jadi Timbalan
Perdana Menteri, saya kerap bawa beliau bersama-sama saya dalam lawatan rasmi
ke luar negara. Di dalam kapal terbang, kami akan berbual dan berbincang
mengenai politik dan agama, dua tajuk yang kami berdua minati. Beliau begitu
berpengetahuan dan nampak komited dalam hal-hal agama – mengambil wuduk dan
bersolat walaupun di dalam pesawat.
Beliau memikat saya sebagai
seorang yang mengagumkan dan warak. Beliau adalah salah seorang penyokong kuat
saya dan sering mengucapkan kata-kata yang betul. Tidak syak lagi ada aura
istimewa – satu karisma – mengenai beliau dan saya juga mungkin terpengaruh.
Salah satu amalan dalam UMNO
adalah bagi Perdana Menteri mengunjungi rumah timbalannya pada petang hari
pertama Aidilfitri selepas semua pelawat meninggalkan kediamannya.
Kunjung-mengunjungi di kalangan orang Islam bertujuan menghapuskan segala salah
faham dan memperbaharui muhibah dan persaudaraan untuk tahun akan datang. Ini
adalah amalan orang Islam di mana sahaja dan amat dihargai oleh orang Melayu
dan orang Islam Malaysia.
Hubungan di antara Perdana
Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, sebagaimana yang saya sendiri alami
dengan Tun Hussein, adalah sangat kompleks. Jadi amat penting, kepercayaan
antara dua pemimpin tertinggi parti dan kerajaan ini diulang tegas.
Bagaimanapun, di antara Anwar dan
saya tidak wujud keperluan khusus untuk membina muhibah atau mengubati luka
kerana keluarga kami sangat rapat antara satu sama lain. Isteri beliau, Datin
Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyediakan masakan utara yang saya suka dan
beliau dengan Hasmah sangat akrab.
Saya menyenangi Wan Azizah yang
mempunyai tarikan tersendiri. Walaupun selepas kami berpecah haluan, saya tidak
dapat menganggap beliau sebagai musuh politik atau seseorang yang bergaduh
dengan saya. Saya faham keputusan beliau untuk menyokong suaminya.
Anwar juga seorang yang gemar
menerima tetamu. Pada bulan puasa, beliau akan menghabiskan banyak hari untuk
berbuka dengan ramai orang di rumahnya. Di majlis itu, saya dapati beliau juga
menjemput Menteri Besar dari semua negeri.
Saya sendiri tidak pernah
melakukannya kerana memikirkan tentulah sukar bagi orang di luar Kuala Lumpur
hendak datang hanya kerana jamuan malam yang pendek. Kerajaan yang bayar
belanja perjalanan mereka. Namun Anwar tentu merasakan ia adalah satu amalan
hubungan awam yang baik dan menguntungkan dari segi politik.
Selepas dapat jawatan Naib
Presiden, Anwar masih resah. Matlamat beliau seterusnya ialah jawatan Timbalan
Presiden. Beliau tahu Timbalan Presiden akan jadi Timbalan Perdana Menteri.
Pada masa lalu, Timbalan Presiden
jarang dicabar. Cabaran hanya berlaku dalam keadaan luar biasa seperti pada
1987 apabila saya sebagai Perdana Menteri dan Tun Ghafar Baba sebagai Timbalan
Perdana Menteri, telah ditentang. Saya dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah
manakala Tun Musa Hitam mencabar Tun Ghafar.
Jadi dengan mencabar Tun Ghafar,
Anwar bukan sahaja melanggar tradisi parti, tetapi juga mempamerkan
ketidaksabaran beliau untuk sampai ke puncak. Apabila beliau datang menemui
saya untuk menyatakan hasratnya itu, saya tegaskan kepadanya bahawa tidak
sesuai mencabar Tun Ghafar kerana Tun Ghafar adalah calon saya untuk jawatan
Timbalan Perdana Menteri. Saya minta beliau agar tidak bertanding. Buat
seketika beliau nampaknya mendengar nasihat saya dan tidak berkempen.
Bagaimanapun apabila saya
mengkritik sesetengah pemimpin UMNO Terengganu kerana kekal terlalu lama dalam
jawatan dan tidak memberi peluang kepada golongan muda, beliau menakrifkan
hujah saya itu sebagai bermaksud bahawa saya mahu pemimpin yang lebih tua
seperti Tun Ghafar berundur.
Anwar anggap cabaran beliau
terhadap Tun Ghafar adalah sejajar dengan pandangan saya. Jadi tanpa meminta kebenaran
saya, beliau memulakan kempennya.
Saya tidak tahu macam mana Anwar
melakukannya, tetapi lebih daripada dua pertiga bahagian mencalonkan beliau
untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden. Malah bahagian-bahagian yang memang
diketahui penyokong kuat Tun Ghafar pun tidak mencalonkan Tun Ghafar dan
jelaslah beliau akan kalah.
Melihat keadaan yang tidak
memberi harapan kepada beliau maka Tun Ghafar memilih untuk mengundurkan diri
dan Anwar menang tanpa dicabar.
Saya tidak mahu menggugurkan Tun
Ghafar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, tetapi apakah alasan kalau
saya tidak melantik Timbalan Presiden baru UMNO ke jawatan itu?
Saya sentiasa menimbang dan
mengikut kehendak UMNO. Misalnya, pada 1993 apabila parti memilih Tun Abdullah
sebagai salah seorang Naib Presiden, saya bawa beliau balik semula ke dalam
Kabinet walaupun beliau menyokong Tengku Razaleigh menentang saya pada
pemilihan 1987.
Kemudian saya diberitahu yang
Anwar sedang giat mencari sokongan untuk dirinya di kalangan bahagian UMNO dan
pada masa yang sama menggesa mereka mengkritik saya. Itu pun saya tidak peduli.
Saya beritahu diri sendiri, tidak mengapalah Anwar buat begitu sebab beliau pun
akan menjadi Perdana Menteri menggantikan saya.
Saya mahu mengekalkan hubungan
kerja yang baik dengan beliau, jadi saya bersedia mengetepikan sikap tidak
sabar beliau berhubung persaraan saya.
Adalah sukar untuk menyalahkan
ahli politik kerana bercita-cita besar, bekerja kuat dan berpandangan jauh.
Mungkin masyarakat Melayu sekarang memerlukan pemimpin seperti beliau dan lagi
ramai lagi baik. Kita sudah jauh meninggalkan zaman ramah mesra Tunku yang amat
membimbangkan saya sekitar lewat 1960-an. Mungkin itu ada baiknya, dan
pendekatan agresif Anwar adalah manifestasi politik baru orang Melayu.
Seperti yang telah saya katakan
bahawa apabila Anwar menyertai UMNO, ramai ahli kanan parti tidak sukakan
beliau kerana beliau menjadi ancaman kepada cita-cita mereka. Hubungan Anwar
dan Tun Abdullah tidak pernah baik kerana sewaktu Tun Abdullah menjadi kakitangan
awam, beliau telah ditugaskan oleh Tun Razak untuk menentang kepemimpinan Anwar
dalam gerakan pelajar dan belia Islam.
Dengan peningkatannya yang pantas
dalam UMNO, Anwar sudah tentulah menjadi ancaman kepada kepemimpinan Tun
Abdullah di dalam UMNO Pulau Pinang. Kebimbangan Tun Abdullah itu menjadi
kenyataan apabila Anwar menjadi Timbalan Persiden dan menggantikan Tun Ghafar
sebagai Timbalan Perdana Menteri. Anwar segera mengambil alih jawatan Tun
Abdullah sebagai ketua perhubungan UMNO dan Barisan Nasional Pulau Pinang.
Masa berlalu dan saya dapati
kecaman Anwar terhadap Kerajaan, terutama berkaitan dakwaan kronisme menjadi
semakin terbuka. Beliau bercakap mengenai apa yang disifatkannya sebagai
penyalahgunaan amanah rakyat dan dengan menyusun kata-kata sebegitu rupa,
beliau memberi gambaran saya terbabit.
Secara prinsipnya beliau mengutuk
kronisme dan ini sangat saya alu-alukan, tetapi kata-kata beliau itu ibarat
gergaji bermata dua. Retorik beliau adalah mainan moral – beliau adalah baik
dan sesiapa sahaja yang ditendangnya adalah jahat.
Apabila beliau bercakap lantang
menentang kronisme di peringkat atas, kepada siapakah beliau tujukan kata-kata
itu kalau bukan kepada saya? Di atas adalah saya dan beliau, tidak ada orang
lain lagi.
Lagipun dengan mengutuk kronisme,
beliau cuba memberi gambaran yang beliau sendiri tidak terlibat. Ia adalah
strategi yang baik bagi mengalih pandangan daripada kronisme beliau sendiri.
Ahli kanan UMNO memberi amaran
kepada saya bahawa Anwar sedang merancang sesuatu yang tidak baik dan beliau
tidak setia kepada parti. Selepas menyingkirkan Tun Ghafar, kata mereka,
sasaran Anwar yang berikutnya adalah saya. Namun saya tidak bimbang. Saya tidak
fikir beliau akan berjaya dan saya amat yakin dengan kedudukan saya.
Walaupun keadaan sudah menjadi
tidak ‘selesa’ lagi, saya fikir saya boleh menanganinya. Saya tidak percaya
beliau boleh mendapat cukup sokongan kalau menentang saya. Sekalipun saya masih
anggap Anwar sebagai seorang pemimpin yang berkesan, saya rasa hasrat beliau
untuk menyingkirkan saya terlalu tergesa-gesa.
Bagaimanapun, dengan keyakinan
teguh terhadap diri sendiri dan jalan yang saya pilih telah membolehkan saya
menerima sebarang perbezaan pendapat dengan orang yang berfikir dan bertindak
berlainan daripada saya. Mungkin saya terlalu yakin, tetapi bagi saya adalah
penting semua pihak yang bertelagah diberikan ruang di dalam parti.
Kalau kita menyingkirkan seorang
pemimpin, seorang yang lain pasti akan mengorak langkah untuk mengambil
tempatnya. Tidak ada jaminan orang yang menggantikan itu tidak bercita-cita
besar atau menimbulkan masalah. Kita masih terpaksa berdepan dengannya. Saya
tahu mesti ada yang akan menyokong Anwar jika beliau mencabar saya, dan
pergeseran ini akan melemahkan UMNO. Namun, saya bersedia menangani semua ini.
Beberapa orang yang rapat dengan
saya – orang yang tidak ada kedudukan atau kepentingan dalam politik – juga
memberitahu saya tentang apa yang mereka lihat dan dengar mengenai Anwar.
Mereka tidak disuruh oleh sesiapa untuk memaklumkannya kepada saya, jadi tidak
ada sebab untuk saya mempersoalkan motif mereka.
Ketika itu, bermacam-macam cerita
sudah disebarkan dan digalakkan penyebarannya. Sesetengah khabar angin mengenai
tuduhan rasuah dan kronisme terhadap saya mula sampai kepada akhbar. Kesudahannya,
bagi menghentikan semua tuduhan itu, saya terpaksa siarkan nama semua orang
yang mendapat kontrak kerajaan sewaktu Anwar menjadi Menteri Kewangan.
Senarai itu menunjukkan ramai
daripada mereka yang mendapat kontrak secara rundingan adalah kawan-kawan dan
anggota keluarga beliau. Terdapat juga seorang dua anggota keluarga saya dan
orang yang ada kaitan dengan saya, tetapi kontrak mereka terlalu kecil.
Memekik “pencuri” adalah helah
terbaik untuk mengalih perhatian orang daripada kita dan itulah strategi yang
diguna oleh Anwar. Saya khuatir strategi itu masih digunakannya.
Saya perhatikan Anwar mempamerkan
watak yang mengagumkan di khalayak ramai. Beliau juga berjaya meninggalkan
kesan kepada wartawan Amerika dan Barat dengan idea-idea beliau yang pada zahirnya
nampak liberal.
Beliau mengatur lawatan senator
dan ahli kongres Amerika ke Malaysia setiap tahun dengan dibiayai oleh tabung
yang ditubuhkannya. Senator dan ahli kongres itu percaya Anwar adalah seorang
ahli politik yang liberal dan demokratik. Mereka sukakan Anwar.
Pada masa yang sama, beliau
mengekalkan hubungan dengan ramai aktivis Islam di dunia Islam. Semua landasan
yang beliau bina ini terbukti berguna kemudiannya. Perhubungan yang dijalin dan
imejnya yang menyerlah telah meletakkan beliau di atas landasan yang kukuh
apabila beliau dihadapkan ke mahkamah dan dihukum atas tuduhan jenayah. Mereka
percaya dengan cerita beliau yang ianya telah diperangkap bagi menghalangnya
menjadi Perdana Menteri.
Tidak syak lagi orang Amerika
anggap beliau akan menjadi Perdana Menteri yang lebih baik daripada saya.
Itulah yang diuar-uarkan oleh sebilangan akhbar dan majalah perdagangan utama
mereka.
Saya kononnya kasar dan tidak
pernah disukai oleh orang Amerika. Itu pun saya masih cuba memenuhi kehendak
Anwar dengan menemui senator dan ahli kongres yang dijemputnya ke Malaysia dan
menyertai seminar yang beliau anjurkan. Mengapa pula saya mesti menolaknya?
Saya tidak mempertikaikan
matlamat beliau mengundang mereka ke Malaysia setiap tahun atas andaian
membolehkan mereka mengenali Malaysia dengan lebih baik.
Apabila tindakan diambil terhadap
beliau kerana melanggar undang-undang jenayah kita, semua orang ini mengutuk
saya dan menuntut pembebasan beliau. Memandangkan Anwar popular di pentas
antarabangsa maka penangkapan dan perbicaraannya atas dua tuduhan jenayah
menjadi masalah yang terpaksa kerajaan tangani.
Sekali lagi masalah timbul
apabila Anwar mendakwa beliaulah yang berjaya menangani krisis mata wang
1997/1998.
Di dalam negara, sesetengah
pemimpin UMNO yang beliau tidak suka atau yang rapat dengan saya, mengadu
bahawa sebagai Timbalan Perdana Menteri, Anwar buat hidup mereka susah. Seorang
Ketua Menteri dituduh mempunyai hubungan sulit dengan seorang pelajar
perempuan. Beliau mendakwa, Timbalan Perdana Menteri mengarahkan kes itu
diberikan publisiti yang luas dan akhirnya, Ketua Menteri itu hilang jawatan.
Pada 1993, Ketua Polis Negara
ketika itu, Tun Mohamad Hanif Omar datang menemui saya dengan bukti salah laku
seksual Anwar. Tuduhan itu terlalu serius sehingga saya fikir, mustahil ia
benar dan mungkin itu adalah sebahagian daripada rancangan tak masuk akal untuk
menjatuhkan beliau
Saya tidak mencadangkan agar
tindakan diambil, tetapi mengikut amalan polis, mereka akan tetap meneruskan
pengawasan. Selepas itu, tidak ada lagi laporan dibuat kepada saya sehinggalah
pada 1998 apabila terdapat bukti yang sangat kuat sehingga memaksa saya
bertindak. Saya akan bincangkan perkara ini di dalam bab yang lain.
Sementara itu, percubaan Anwar
untuk memaksa saya berundur semakin ketara. Walaupun saya tidak begitu bimbang,
hubungan kami terus tegang dan saya mula ragu-ragu sama ada beliau boleh
menjadi pemimpin yang baik dan seterusnya menggantikan saya. Saya tetap
meneruskan tugas seolah-olah tidak ada apa yang berlaku, sama seperti keadaan
menjadi sukar dengan Tun Musa. Itulah cara saya berurusan dengan orang – saya
tidak menuduh mereka apa-apa. Saya teruskan kerja.
Sewaktu Tun Musa menentang saya,
saya fikir beliau merosakkan dirinya sendiri kerana beliau menjadi tidak popular
dengan parti. Saya sedia menerima beliau semula dan saya tidak membantah
apabila penyokongnya mahu beliau kembali sebagai Timbalan Perdana Menteri dan
Timbalan Presiden parti. Itu terbukti satu strategi yang betul.
Kini dengan Anwar, saya mengambil
pandangan dan pendekatan yang serupa. Anwar kekal dengan sifat mengambil hati
dan bertindak seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Sementara itu, saya
dengar ada beberapa orang anggota Kabinet yang pergi merata-rata tempat
bercakap buruk mengenai saya.
Namun apa pun yang beliau dan
sekutunya lakukan serta taktik kotor yang digunakan, Anwar kekal dengan
reputasinya sebagai orang warak dan terhormat.
Saya simpan di dalam hati
sebarang keraguan mengenai beliau. Saya yakin jika beliau melancarkan cabaran
terbuka terhadap kedudukan saya sebagai Presiden UMNO, saya boleh
menewaskannya.
Rancangan saya meletak jawatan
selepas Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 bagaimanapun terbantut akibat serangan
terhadap ringgit Malaysia oleh peniaga mata wang antarabangsa pada 1997-1998.
Apa pun rancangan peribadi saya,
ternyata saya tidak boleh berundur dalam keadaan sebegini. Saya tidak boleh
bersara sewaktu negara menghadapi krisis besar. Saya berpendapat bahawa menjadi
tugas saya memperbetulkan keadaan.
Ini menjadi lebih mendesak kerana
Anwar, sebagai bakal pengganti saya, nampaknya tidak berupaya menangani krisis
itu. Beliau telah bertindak mengikut formula IMF dan keadaan menjadi bertambah
buruk. Kecuali tindakan pembetulan dibuat, negara yang bakal diwarisi oleh
pengganti saya akan menderita kemelesetan ekonomi yang teruk.
(1) Angkatan Belia Islam
diasaskan pada tahun 1972 dan telah menyokong kebangkitan semula Islam dan
penubuhan sebuah negara Islam di Malaysia.
(2) Tan adalah pengasas Gerakan,
tetapi telah menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat Malaysia, iaitu sebuah parti
pelbagai kaum pada 1972 setelah Gerakan menyertai Kerajaan Barisan Nasional.
Walau bagaimanapun, dalam Pilihan Raya Umum 1974, hanya beliau sahaja ahli
parti yang telah memenangi kerusi Persekutuan. Parti tersebut dibubarkan
apabila beliau bersara pada 1977 dan kebanyakan ahlinya menyertai DAP.
(3) Datuk Abdul Aziz Shamsuddin
menjadi Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar pada 2006 sebelum hilang
kerusi Persekutuannya kepada Khalid Abdul Samad dari PAS dalam Pilihan Raya
Umum 2008.
(4) Gerakan Belia 4B Malayisa
yang ditubuhkan pada 1966 sebagai sebuah pergerakan remaja kebangsaan telah
bertindak sebagai medan ujian bagi pemimpin muda UMNO
.
(5) Seorang ahli politik Amerika
Syarikat yang telah berkhidmat dalam pentadbiran Ronald Reagan dan George W.
Bush, Wolfowitz juga adalah duta Amerika Syarikat ke Indonesia sebelum
berkhidmat sebagai Presiden Bank Dunia sehingga Jun 2007, apabila beliau
dipaksa meletakkan jawatan atas dakwaan membabitkan kenaikan pangkat yang tidak
wajar seorang pekerja bank bernama Shaha Reza, yang merupakan teman wanitanya.
Ulasan
Catat Ulasan