Memori Tun Doktor Mahathir: Cabaran Anwar
Oleh Tun Dr Mahathir Mohamad –
Empat tahun selepas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Haniff Omar pertama kali
memberitahu saya tentang dakwaan-dakwaan mengaitkan Anwar dengan pelakuan
homoseksual, saya menerima satu naskah buku ’50 Dalil Kenapa Anwar Ibrahim
Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri’ (50 Reasons Why Anwar Ibrahim Cannot Become
Prime Minister.)
Buku itu ditulis oleh Datuk
Khalid Jafri, bekas pengarang Utusan Malaysia. Menyedari buku tersebut begitu
sensasi dan menganggapnya tidak lain daripada usaha untuk mendapatkan wang,
saya enggan membacanya.
Namun, khabar-khabar angin
berhubung Anwar masih tidak dapat dilenyapkan.
Pada 1997, saya menerima sepucuk
surat daripada seorang wanita bernama Ummi Hafilda.
Kandungan surat tersebut mengusik
hati kerana apa yang diperkatakan begitu spesifik dan terperinci mengenai
dakwaan-dakwaan liwat terhadap Anwar.
Saya kemudian mendapat tahu Ummi
sebenarnya adik kepada setiausaha politik Anwar, Mohd Azmin Ali.
Saya mengaku walaupun begitu saya
masih menganggap segala dakwaan tersebut tidak masuk di akal.
Jika kandungannya mengenai
hubungan Anwar dengan wanita, mungkin saya boleh mempercayainya, tetapi dalam
hal ini macam mana pula seseorang yang begitu alim membabitkan diri dengan
kegiatan-kegiatan homoseksual?
Payah bagi saya untuk mempercayai
seorang dewasa berkedudukan tinggi dan seorang Muslim yang boleh dicontohi
melakukan perkara yang didakwa itu.
Walaupun dakwaan Ummi mengukuhkan
laporan KPN yang disampaikan kepada saya empat tahun sebelum itu, saya tidak
menganggapnya sebagai serius.
Sebulan kemudian, sepucuk lagi
surat Ummi menyusul. Kali ini untuk memaklumkan dia menarik balik
dakwaan-dakwaan tersebut.
Saya berasa hairan mengapa pula
kali ini dia menafikan apa yang didakwanya sebelum itu.
Sementara itu, polis meneruskan
pemerhatian ke atas segala aktiviti Timbalan Perdana Menteri, seperti mana
lumrah dilakukan mereka.
Walaupun sekiranya saya menyuruh
mereka jangan melakukannya, saya yakin mereka tidak akan ikut.
Kali ini mereka mempunyai bukti,
termasuk gambar-gambar dan pengakuan beberapa orang yang terbabit.
Apabila KPN baru, Tan Sri Abdul
Rahim Noor dan pegawai penyiasatnya Tan Sri Musa Hassan mengemukakan bukti
kepada saya, barulah saya sedar yang saya tidak lagi boleh mengetepikannya.
Lalu saya berkata saya mahu
berjumpa dengan kesemua saksi dan berbincang dengan mereka secara peribadi.
Tindakan itu agak rumit kerana ia bermakna saya membabitkan diri secara terus
dengan perkara berkenaan.
Pada waktu itu saya sedang dalam
proses mencari penyelesaian kepada krisis mata wang. Ia merupakan sesuatu yang
saya perlu memberikan perhatian penuh memandangkan Sukan Komanwel 1998 akan
diadakan.
Sukan tersebut amat penting bagi
saya, dan itulah sebabnya saya berasa tidak selesa kerana isu terbaru itu juga
memerlukan perhatian saya.
Tidak lama kemudian saya bertemu
dengan kesemua saksi secara individu dan tertutup di kediaman rasmi saya, Sri
Perdana, Kuala Lumpur.
Saya memberikan kepada mereka
jaminan bahawa segala yang dibincangkan adalah rahsia dan saya hanya mahu
mendengar sendiri cerita-cerita tersebut.
Di antara saksi termasuk Azizan
Abu Bakar, pemandu isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut polis Anwar meliwat
Azizan beberapa kali, jadi saya bertanya kepada Azizan mengenai segala dakwaan
itu. Sememangnya dia berasa amat takut kerana Anwar ketika itu Timbalan Perdana
Menteri.
Disebabkan itu mesyuarat di
antara kami mendapati dirinya begitu takut dan tidak keruan.
Azizan memberitahu segala-gala
secara terperinci tentang kejadian itu.
Dia berkata dia amat takut kerana
Anwar seorang yang begitu berkuasa dan boleh memberikannya masalah besar.
Itulah sebabnya dia mengaku tidak berani melawan.
Saya sedar betapa payah untuk
mengingat kembali tarikh sebenar dan waktu segala-galanya berlaku. Itulah
sebabnya saya tidak mementingkan sangat butiran-butiran tersebut.
Pada saya pertemuan tersebut
mencukupi untuk meyakinkan saya bahawa Azizan bercakap benar.
Di mahkamah, tarikh sebenar dan
waktu amatlah penting dan cukup bagi digunakan sebagai bahan bukti sama ada
untuk menghukum atau membebaskan seseorang tertuduh, tetapi saya juga percaya
para peguam dan hakim juga tidak mungkin mudah mengingati secara terperinci dan
dengan tepat apa yang mereka lakukan setahun lalu.
Sesetengah orang mungkin
menyimpan catatan dalam diari, tetapi saya rasa tidak siapa pun yang
mencatatkan segala-gala yang mereka lakukan setahun lalu.
Saya turut menemuramah empat
orang wanita yang memberitahu saya mereka dipujuk oleh seorang lelaki India
bernama Nalla supaya pergi berjumpa dengan seseorang yang amat berkuasa.
Beliau dikatakan membawa
wanita-wanita tersebut secara berasingan ke sebuah rumah di Bukit Kenny, sebuah
kawasan eksklusif orang-orang kaya di Kuala Lumpur. Di sana mereka bertemu
dengan seorang yang mereka mengenali sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Mereka disuruh menanggalkan
pakaian dengan tujuan melakukan hubungan seks. Dua daripada mereka enggan
melakukannya, tetapi yang dua orang lagi bersetuju.
Mereka mengaku bersedia untuk
mengadu kepada polis dan kepada saya, tetapi mereka berkeras tidak mahu hadir
di mahkamah untuk memberi keterangan.
Pihak polis memberikan taklimat
terperinci kepada saya mengenai hasil penyiasatan mereka serta pendapat mereka
berhubung segala bukti yang dikumpulkan.
Mereka juga mengaku beryakinan
bahawa kesemua saksi yang mengadakan pertemuan dengan saya bercakap benar.
Berhadapan dengan segala maklumat
daripada polis dan hasil temuramah saya sendiri, saya berasa terpanggil untuk
melakukan sesuatu.
Saya tidak boleh membiarkan orang
berkarakter seperti itu menggantikan saya sebagai Perdana Menteri Malaysia,
malahan saya langsung tidak mahu beliau dalam kerajaan.
Segala tindakan dan
kemunafikannya berselindung di sebalik wajah seorang yang alim tidak boleh
diterima. Saya juga tidak dapat menerima cara-cara keji yang digunakan beliau
untuk memerangkap orang dan seterusnya memastikan mereka menutup mulut.
Saya kemudian memanggil kesemua
Menteri Besar UMNO, Ketua Menteri dan ketua-ketua negeri ke Sri Perdana untuk
bermesyuarat. Saya juga mengarahkan pihak polis supaya memaklumkan kepada
kesemua saksi bersedia untuk dipanggil.
Kemudian saya memberi taklimat
kepada pemimpin-pemimpin parti tersebut mengenai apa yang saya dimaklumkan
mengenai Anwar. Saya menunjukkan kepada mereka gambar-gambar kesemua saksi.
Saya bertanya kepada mereka sama
ada mahu menyoal kesemua saksi, tetapi setelah berbincang sesama sendiri mereka
menyatakan keyakinan terhadap apa yang didakwa dan tidak berasa perlu untuk
menemuramah saksi-saksi tersebut.
Saya tanya mereka apa tindakan
yang harus saya ambil. Saya berkata sekiranya saya menyembunyikan bukti dan membenarkan
Anwar meneruskan tugasnya, lambat laun apa yang dilakukannya akan dibongkar jua
dan digunakan untuk memeras ugutnya.
Dan dengan demikian dia akan
terus terdedah kepada bahaya bukan hanya kepada diri sendiri, tetapi juga
kepada Malaysia.
Malahan saya juga akan terbabit
sekiranya diketahui saya sememangnya tahu segala yang berlaku tetapi gagal
mengambil sebarang tindakan.
Jika itu berlaku saya pasti
dituduh bersekongkol menutup perkara tersebut.
Macam mana sekali pun, saya tidak
boleh membenarkan beliau terus memegang jawatannya. Saya perlu melakukan
sesuatu yang betul dan menyingkir beliau.
Saya juga merasakan apabila orang
ramai mengetahui tindakan yang saya ambil, saya yakin mereka akan bersetuju.
Seterusnya para pemimpin yang
mengadakan pertemuan dengan saya sebulat suara menyetujui rancangan saya dan
berkata mereka akan menyokong saya sekiranya berlaku sesuatu.
Berbeza daripada proses untuk
menyingkir seseorang hakim, tindakan untuk menyingkir Anwar tidak perlu
mematuhi sebarang prosedur Perlembagaan.
Sebagai Perdana Menteri saya
mempunyai kuasa untuk menyingkir beliau daripada jawatan Timbalan Perdana
Menteri selain menggugurkan beliau daripada Kabinet, seperti mana saya
mempunyai kuasa untuk melantik beliau.
Bagaimana pun, selepas beliau
berhenti menjadi anggota kerajaan, beliau masih menjadi ahli UMNO dan Timbalan
Presiden parti itu. Itu juga tidak dapat diterima.
Hakikatnya, penyingkirannya
sebagai Timbalan Presiden dan ahli parti hanya boleh dilakukan dengan
persetujuan Majlis Tertinggi UMNO.
Pada masa itu saya juga sedang
serius membuat rancangan untuk berundur, jadi saya perlu membuat keputusan
segera.
Pada 2 September 1998 saya
mengeluarkan kenyataan melalui agensi berita Bernama bahawa Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipecat daripada Kerajaan.
Pada waktu itu ramai orang telah
membaca buku Khalid Jafri yang disebarkan juga kepada kesemua perwakilan di
Perhimpunan Agung UMNO. Buku tersebut juga laris dijual di pasar-pasar malam.
Ramai yang mengetahui tentang
surat Ummi Hafilda, tetapi kebanyakannya sama ada tidak menyedarinya atau tidak
yakin apa yang berlaku.
Rata-rata ramai yang mempercayai
pemecatan Anwar satu tindakan bermotifkan politik kerana bukan rahsia lagi
usaha beliau untuk menjejaskan kredibiliti saya dan menghakis sokongan terhadap
saya di kalangan ahli UMNO.
Para penyokong beliau menuduh
saya mengamalkan kronisme dan rasuah hinggakan sewaktu Perhimpunan Agung UMNO
1998 ada di antara mereka yang secara terbuka mengkritik saya dan kepimpinan
saya.
Orang ramai sedar Anwar
sebenarnya orang di sebalik serangan tersebut, tetapi pada waktu itu saya masih
belum bersedia untuk mengumumkan segala salah lakunya. Saya hanya sekadar
memberikan isyarat tetapi tidak mendedahkannya semasa menyampaikan ucapan
penutup.
Apa yang saya dedahkan secara
terperinci kepada pihak Menteri Besar dan pemimpin-pemimpin UMNO tidak dapat
didedahkan kepada orang ramai. Disebabkan itulah ramai yang menganggap tindakan
saya menyingkirkan Anwar disebabkan kebimbangan kononnya Anwar akan menggulingkan
saya.
Hingga sekarang pun masih payah
bagi saya untuk menerangkan dengan meyakinkan bahawa sebenarnya saya tidak
takut segala ini berlaku.
Dengan kepercayaan saya masih
popular di kalangan majoriti ahli UMNO, saya terus yakin akan berjaya mengatasi
sebarang cabaran daripada Anwar.
Saya berjaya mengatasi Tengku
Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam – kedua-duanya tokoh UMNO yang terbukti
berpengaruh, sementara Anwar pula hanya seorang individu dari luar yang pernah
memusuhi parti di masa lalu.
Saya telah mendidik dan membentuk
beliau dan membantu beliau naik dalam UMNO sehingga menjadi Timbalan Presiden
dan seterusnya Timbalan Perdana Menteri.
Saya yakin seluruh ahli UMNO
dapat melihat bagaimana beliau sebagai anak didik saya bersikap begitu tidak
mengenang budi dan tidak sabar, apatah lagi bagi seorang muka baru.
Di kalangan veteran parti beliau
hanya seorang yang berlagak – seorang yang telah mengguris hati ramai penyokong
serta tokoh dalam kerakusannya untuk membolos diri naik ke atas.
Mungkin beliau mempunyai barisan
penyokong yang komited dan kuat – yang sanggup menuruti dan berhutang budi
dengan beliau atau untuk kepentingan lain. Bagaimana pun, saya yakin akan dapat
mengatasi beliau sekiranya beliau mencabar.
Dakwaan saya menyingkirkan beliau
kerana takut beliau akan menggulingkan saya tidak berasas sama sekali.
Saya menyingkir beliau di atas
dua sebab – bahawa beliau tidak sesuai meneruskan perkhidmatan dalam kerajaan
dan beliau juga tidak sesuai menggantikan saya sebagai Perdana Menteri.
Sekarang saya terpaksa membawa
kes Anwar ke Majlis Tertinggi UMNO. Dan kerana kesemua Menteri Besar yang saya
telah yakinkan tentang perkara tersebut juga ahli Majlis Tertinggi, saya
percaya akan mendapat sokongan padu daripada mereka.
Tetapi Anwar juga seorang ahli
parti, malahan Timbalan Presiden. Ini bermakna beliau akan hadir pada mesyuarat
Majlis dan duduk di sebelah saya.
Mesyuarat bagi menentukan nasib
Anwar diadakan beberapa hari kemudian di ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan
Dunia Putra.
Saya memulakan mesyuarat dengan
menerangkan secara terperinci rasional di sebalik tindakan menyingkir beliau
daripada kerajaan. Dan dengan pihak yang dimaksudkan duduk di sebelah saya,
suasana amat tegang dan saya tidak berasa selesa.
Tetapi saya tidak mempunyai
pilihan – saya tidak dapat mengarahkan beliau supaya keluar kerana sebagai
seorang ahli beliau berhak hadir dalam mesyuarat.
Setelah saya habis menerangkan
rasional tindakan saya itu, saya memberikan peluang kepada Timbalan Presiden
UMNO untuk menjawab segala tuduhan terhadapnya selain memberi sebab kenapa
beliau tidak patut dipecat.
Sepanjang keterangannya, Anwar
tidak sekali pun menyentuh persoalan mengenai homoseksual, tetapi hanya memberi
penumpuan kepada hubungan beliau dengan wanita.
Dia bertegas mengatakan tidak
melalukan sebarang yang luar biasa. Beliau berkeras berkata semua termasuk
ahli-ahli Majlis Tertinggi juga pernah melakukan perkara sama.
Dia menepuk meja sekali dua bagi
menunjukkan kemarahan.
Kesemua ahli Majlis mendengar apa
yang dikatakannya tanpa sekali pun menyampuk atau menyuruh beliau
berhenti.Setelah habis, ahli yang pertama bercakap ialah Datuk Paduka Ibrahim
Ali. Beliau mengaku mengenali Anwar sejak sekian lama – sejak tahun-tahun
1970an dan kedua-dua mereka pernah ditahan di Pusat Tahanan Kamunting.
Beliau mengkritik Anwar kerana
menepuk meja dan seterusnya berkata beliau mahu mempercayai apa yang dikatakan
kerana beliau telah membaca buku Khalid Jafri dan juga surat Ummi Hafilda
(salinan surat tersebut sebenarnya disebarkan secara terbuka.) Ibrahim berkata
Anwar bukan saja patut dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri,
tetapi juga daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO dan ahli UMNO.
Seperti lumrah prosedur yang saya
sentiasa ikuti, saya membenarkan semua orang berhujah. Ramai yang menyatakan
pendapat, kebanyakannya menentang Anwar, tetapi tidak selantang Ibrahim.Mereka
menyokong tindakan saya memecatnya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri,
dan selepas itu ada di antara mereka yang mencadangkan Anwar disingkir daripada
jawatannya dalam UMNO. Ada yang menggesa supaya keahlian UMNO beliau ditarik
balik.Saya masih tidak bersedia untuk membincangkan tindakan yang akan diambil.
Semua orang telah bercakap dan saya menyuruh Anwar memberikan reaksi kepada
segala pandangan oleh ahli-ahli Majlis.
Beliau enggan dan seterusnya
berdiri dan meninggalkan mesyuarat.
Selepas itu saya bertanya kepada
Majlis apa yang harus dibuat. Saya mengingatkan mereka berhadapan dengan dua
pilihan: penyingkiran sebagai Timbalan Presiden dan penyingkiran daripada
parti. Majoriti menyetujui tindakan penyingkiran, yang bermakna Anwar tidak
lagi memegang jawatan Timbalan Presiden.
Jam hampir tengah malam apabila
mesyuarat berakhir, tetapi saya tidak pulang kerana perlu menandatangani
beberapa surat, sementara yang lain-lainnya meninggalkan ruang. Saya diberitahu
para penyokong Anwar berkumpul di tingkat bawah, tetapi polis akan memastikan
tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.
Tidak lama kemudian apabila saya
menuju ke bawah saya mendapati kira-kira 60 orang penyokongnya dalam keadaan
marah. Mereka membaling botol plastik ke arah saya sebelum saya sempat memasuki
kereta. Mereka menjerit dengan marah dan mengeluarkan kata-kata termasuk
‘zalim’ dan ‘diktator’
Sebenarnya Anwar telah menjemput
kumpulan yang setia dengan beliau ke situ. Beliau juga telah bercakap dengan
mereka selepas keluar daripada mesyuarat.
Dengan dilindungi pengawal
peribadi dan anggota polis, saya yakin mereka tidak akan dapat mencederakan
saya kerana keadaan terkawal.
Sejak sekian lama sehingga pada
malam itu saya biasa berhadapan dengan orang yang menghormati saya ke mana saja
saya pergi, tetapi kali ini merupakan pengalaman berbeza. Saya terkejut melihat
para penyokong Anwar di situ.
Walaupun di masa-masa lampau
beberapa orang tokoh pernah dipecat, termasuk Datuk Harun Idris, Aziz Ishak dan
juga diri saya sendiri, namun keadaan seperti yang berlaku pada malam itu tidak
pernah terjadi.
Pada pengalaman saya drama yang
berlaku itu sememangnya stail Anwar. Selepas beliau dipecat, beliau terus
mengapi-apikan pengikutnya.
Beliau menjelajah ke seluruh
negara memberitahu orang ramai kononnya pemecatan itu sebahagian daripada
konspirasi untuk menggagalkan rancangannya beliau untuk menjadi Perdana
Menteri, dan kononnya segala-gala yang berlaku tidak lain daripada percaturan
politik.
Beliau tidak pun menyebut atau
pun menyentuh keterlibatannya dalam aktiviti-aktiviti tidak bermoral.PAS yang
mengecamnya sewaktu berada di dalam UMNO kini mempertahankan belau.
Ahli Parlimen PAS Mohamad Sabu
yang sebelum itu sentiasa menyelitkan bayang-bayang kegiatan homoseksual dan
tidak bermoral Anwar kini begitu teruja hinggakan seolah-olah memeluknya erat.
Seterusnya ahli-ahli PAS
mengadakan perhimpunan dan menarik hingga seramai 30,000 orang di mana saja
Anwar berucap. Kebanyakan mereka ahli PAS atau penyokong parti itu. Ada juga
ahli UMNO yang turut hadir.
Saya tidak mahu menjadikan kempen
riuh di serata negara beliau sebagai satu isu besar kerana Sukan Komanwel
sedang berlangsung. Tentu sekali tidak sesuai bagi saya menjelajah ke seluruh
negara untuk menerangkan keadaan sebenar.
Ia merupakan sesuatu yang rumit –
bukan sesuatu yang mudah diterangkan kepada audiens yang besar.Saya, bagaimana
pun, memanggil kesemua pemimpin UMNO akar umbi untuk memberikan penjelasan.
Kebanyakannya mempercayai apa yang saya terangkan tetapi ada juga yang
melemparkan perkataan-perkataan kesat dan meninggalkan perjumpaan.
Sememangnya payah untuk
meyakinkan orang ramai bahawa Anwar bukannya dimangsakan atau pun simbol
kemurnian yang sentiasa dilaungkannya.
Telah begitu lama beliau bersama
para pemimpin UMNO bahagian serta ahli-ahli. Ini kerana saya merestui beliau
membantu memantapkan talian hubungan dan komunikasi dia antara pejuang parti
dan akar umbi.
Tetapi beliau menggunakan peluang
tersebut untuk mempromosikan diri, terutama di kalangan orang kampung. Beliau
berjaya memimpin dan mengimamkan orang Islam dalam solat berjemaah dan
menyampaikan khutbah-khutbah yang meyakinkan.
Dalam keadaan sedemikian amat
payah bagi orang ramai mempercayai beliau melakukan perkara-perkara yang
bertentangan dengan ajaran Islam.
Pada pemikiran mereka, jika
beliau seorang yang baik, orang yang menuduhnya , iaitu saya, semestinya jahat.
Begitu mudah dan ringkas pendirian mereka – pendirian yang dengan liciknya
dibentuk oleh seorang yang pakar dalam berhujah dan payah dibidas.
Akhirnya saya digambarkan sebagai
tidak adil di mata ramai rakyat Malaysia yang alim.
Beberapa hari selepas pemecatan
Anwar daripada Kerajaan, ketua pembangkang di Parlimen Lim Kit Siang
mengeluarkan satu kenyataan media bahawa saya sebagai Perdana Menteri mempunyai
tanggung jawab untuk memberikan penjelasan kepada rakyat dan masyarakat
antarabangsa berhubung pemecatan Anwar.
Presiden Aliran, P. Ramakrishnan
juga berkata rakyat berhak diberitahu sebab-sebab Anwar dipecat.
Lagi pun, terdapat 14 NGO
mengeluarkan kenyataan media bersama mendesak supaya saya “menerangkan dengan
betul” mengenai penyingkiran Anwar.
Dengan suara dan desakan yang
semakin lantang dari pelbagai pihak meminta saya memberikan penjelasan, saya
pun mengadakan satu sidang media di pejabat saya pada 22 September.
Di sidang media itu, seorang
wartawan bertanya mengapa saya memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri,
Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden UMNO.
Saya menjelaskan pada mulanya
saya sendiri tidak mempercayai segala dakwaan homoseksual terhadap Anwar,
tetapi kemudian semakin yakin selepas menemuramah pasangan-pasangan Anwar.
Anwar kemudian mengemukakan saman
malu RM100 juta terhadap saya.
Mahkamah Tinggi kemudian
membatalkan tindakan saman tersebut kerana saya dilindungi prinsip kebenaran
dan perlindungan bersyarat (qualified privilege).
Dalam perundangan kebenaran
merupakan pembelaan lengkap dalam kes saman malu.
Menurut Mahkamah Tinggi, sebagai
Perdana Menteri saya mempunyai tanggung jawab di bawah undang-undang selain
tanggung jawab moral dan sosial untuk memaklumkan kepada seluruh negara
berkenaan perkara-perkara berkaitan Anwar dan kelayakan beliau memegang jawatan-jawatan
awam. Perkara tersebut telah menjadi isu kepentingan awam.
Saya mempunyai tanggung jawab
untuk menerangkan kepada negara reaksi Kerajaan dan UMNO berhubung beberapa
serangan serta dakwaan oleh Anwar.
Kesemuanya merupakan isu-isu am
kepentingan awam, yang mereka mempunyai sebab dan kepentingan untuk
dimaklumkan.
Mahkamah Tinggi berkata tindakan
saya dilakukan dengan jujur dan tidak bertujuan jahat apabila saya bercakap
mengenai Anwar. Oleh itu, saya dilindungi pembelaan bersyarat.
Mahkamah Rayuan tidak membenarkan
rayuan Anwar dan mengulangi apa yang dikatakan oleh Mahkamah Tinggi, iaitu saya
dilindungi pembelaan kebenaran dan pembelaan bersyarat.
Mahkamah Persekutuan juga tidak
membenarkan permohonan Anwar supaya dibenarkan membuat rayuan. Mahkamah
tersebut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, beberapa
perkembangan di Indonesia menggalakkan lagi Anwar dan penyokongnya.
Pada 21 Mei, 1998 Presiden
Suharto digulingkan melalui tekanan demonstrasi jalanan yang berterusan dan
besar-besaran. Mengambil iktibar daripada kempen anti Suharto di Indonesia,
Anwar mula bercakap tentang reformasi dan menggambarkan saya sebagai korup dan
lebih mementingkan kronisme.
Pada 20 September, sehari sebelum
upacara penutup Sukan Komanwel, Anwar mengadakan perhimpunan besar di Dataran
Merdeka di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur yang juga merupakan tapak
bersejarah di mana negara ini mengisytiharkan Merdeka pada 1957.
Lokasi tersebut pada beliau dan
para penyokongnya merupakan sesuatu yang simbolik dan bijak, tetapi bagi ramai
ahli UMNO, ia merupakan satu persendaan.
Perhimpunan tersebut sengaja
diadakan pada masa yang sama dengan lawatan Queen Elizabeth II ke Gereja St
Mary yang terletak di sebelah kawasan tersebut. Ini dilihat sebagai satu
tindakan tidak menghormati lawatan seorang pembesar negara, tetapi Anwar tidak
mempedulikannya.
Anggota polis ditempatkan di
sekitar kawasan berkenaan dan memastikan Queen Elizabeth tidak diancam bahaya.
Anwar seterusnya menggesa
pengikutnya membakar kediaman saya dan juga ibu pejabat UMNO. Berikutan itu
satu kumpulan berjaya memecah masuk bangunan UMNO dan merosakkan beberapa buah
bilik.
Satu lagi kumpulan berjaya
menghampiri satu kilometer dari kediaman saya, tetapi sempat disuraikan oleh
anggota polis. Pihak polis, bagaimana pun, tidak lagi dapat membiarkan tunjuk
perasaan oleh Anwar dan penyokongnya, tidak kira sama ada Sukan Komanwel sedang
berlangsung atau pun tidak.
Pada petang 20 September, mereka
menangkap beliau di rumahnya.
Sejak waktu itu saya sedar akan
timbul lebih banyak masalah, namun saya berharap ia tidak berlaku sewaktu Sukan
Komanwel sedang berlangsung.
Kumpulan wartawan luar yang
berada di sini untuk membuat liputan pemberontakan oleh Anwar menganggap
perkembangan yang berlaku sebagai peluang untuk menghentam dan mengutuk
Malaysia kerana menangkap seorang pemimpin Pembangkang. Itulah yang mereka amat
harapkan berlaku.
Sementara itu, wartawan tempatan
yang mengetahui latar belakang segala isu, mengehadkan liputan mereka kepada
perkembangan dan keputusan Sukan Komanwel, terutama prestasi Malaysia yang
cemerlang. Laporan mereka mengenai demonstrasi itu hanya berdasarkan fakta
semata-mata.
Tetapi apabila kami mengadakan
majlis makan tengah hari untuk media di Hotel Mint yang merupakan pusat media
sepanjang Sukan Komanwel, seorang wartawan wanita dari Australia bertanyakan
tentang Anwar.
Beliau begitu sinis apabila
menyentuh tentang tuduhan salah laku moral dan liwat di antara orang dewasa
berdasarkan suka sama suka apabila menganggapnya sebagai perkara biasa. Bagi
beliau dan mereka yang sehaluan dengannya Anwar tidak melakukan sebarang
kesalahan.
Pada waktu itu saya masih sibuk
mengatur dan menyelia kawalan mata wang.
Para pemerhati dan wartawan asing
berkata perbezaan cara Anwar dan saya menangani krisis kewangan di antara sebab
beliau dipecat, tetapi tuduhan itu tidak benar.
Perbezaan di antara kami amat
sesuai dibahas di Kabinet, tetapi ia tidak sesuai dibawa hingga ke peringkat
itu. Ia sememangnya tidak perlu kerana sebagai ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara
(MTEN), Anwar bersetuju dengan idea saya mengenai pengawalan mata wang,
sekurang-kurangnya begitulah dilihat secara luaran.
Ada juga pihak yang mengatakan
Anwar orang di sebalik peletakan jawatan oleh Gabenor dan Timbalan Gabenor Bank
Negara. Bagaimana pun, pada waktu itu saya tidak mengesyaki apa-apa.
Dakwaan kononnya saya memecat
Anwar kerana perbezaan cara kami menangani krisis kewangan sememangnya tidak
tepat.
Beliau juga tidak disingkirkan
kerana sebab-sebab politik, seperti cubaannya untuk menjejaskan sokongan parti
terhadap saya. Sekira itu tanggapannya, saya pasti dengan mudah menguruskannya
tanpa perlu memecat beliau.
Apabila KPN memaklumkan kepada
saya bahawa polis telah mengambil keputusan untuk menangkap Anwar bersabit
tindakan menghasut keganasan, saya berasa agak bimbang.
Ini kerana mereka yang bersimpati
dengannya tidak akan menerima saja tindakan tersebut, malahan ia juga akan
menyebabkan Anwar dijulang sebagai simbol ‘perjuangan’ politik mereka.
Lantaran saya menasihati KPN
supaya jangan menggunakan kekerasan atau pun menggari Anwar apabila ditangkap.
Bagaimana pun, sebaliknya polis menggunakan pendekatan yang biasa digunakan
dalam amalan dan prosedur mereka – mereka pergi ke rumah Anwar dengan memakai
tutup kepala, memecahkan pintu dan menggarinya. Beliau dihumban ke dalam van
polis dan dibawa ke ibu pejabat polis.
Saya menyangka beliau akan
dikenakan tuduhan di mahkamah serta merta, tetapi setelah beberapa hari tiada
apa yang berlaku. Kemudian saya diberitahu beliau ditahan di bawah Akta
Keselamatan dalam Negeri.
Berkali-kali saya bertanyakan
kepada polis mengapa beliau belum lagi dikenakan tuduhan, tetapi mereka hanya
memberikan jawapan yang samar.
Akhirnya saya mendapat tahu
beliau mengalami kecederaan di bahagian mata sewaktu dalam tahanan dan polis
mahukan supaya kecederaan itu sembuh sebelum beliau dibawa ke mahkamah dan
menghadapi kamera.
Kesan lebam di mata itu,
bagaimana pun, memakan masa untuk hilang dan memandangkan saya sendiri pun
tidak mahu beliau ditahan di bawah ISA, saya memberitahu polis tidak lagi boleh
berlengah.
Anwar dihadapkan dengan tuduhan
pada 29 September 1998, sembilan hari selepas beliau ditangkap. Hari itu hari
pertama beliau muncul di khalayak ramai dan lembam di matanya masih ketara.
Sebagai seorang doktor saya tahu
betapa mudahnya bagi seseorang mengalami lebam di mata. Itulah sebabnya pada
peringkat awal saya menyangka beliau telah terhantuk kepala.
Saya tidak pernah bayangkan
seseorang membelasahnya. Perkara tersebut amat dimarahi ramai apabila saya
berkata kemungkinan kecederaan itu disebabkan perlakuan sendiri, tetapi secara
jujur saya tidak percaya polis membelasah beliau, terutama apabila saya telah
mengarahkan KPN supaya berhati-hati.
Rupa-rupanya KPN Rahim sendiri
yang bertanggung jawab menyebabkan lebam di mata Anwar. Dia membenarkan Anwar
membangkitkan kemarahannya, lantaran ditempelengnya Anwar tanpa menyedari apa
yang berlaku akan digunakan sepenuhnya sebagai modal oleh Anwar dan para
penyokongnya.
Sebenarnya Rahim bukannya
membantu saya dari segi politik – apa yang dilakukannya lebih banyak membawa
mudarat kepada kedudukan Malaysia di mata dunia.
Dengan itu para penyokong Anwar
dan parti-parti pembangkang memperoleh bukti nyata berhubung tuduhan saya
bersikap ‘diktator. Mereka seterusnya mempamerkan poster-poster Anwar dengan
mata lebamnya di seluruh pelosok negara.
Penyokong beliau menjadikan
seolah-olah saya yang secara peribadi bertanggung jawab ke atas layanan ganas
itu, walaupun saya cuba memastikan perkara tersebut tidak berlaku.
Anwar menghadapi tuduhan
berasingan bersabit rasuah dan meliwat, tetapi kedua-dua tuduhan mempunyai
kaitan dengan dakwaan beliau meminta seorang pegawai kanan polis, Datuk Mohamad
Said Awang, Pengarah Cawangan Khas supaya mengugut Ummi Hafilda hingga memaksa
dia menarik balik surat aduan pertama kepada saya itu.
Perbicaraan rasuah yang bermula
pada 2 November, 1998 berlangsung selama lima bulan. Tahap keterujaan di
mahkamah sewaktu keterangan diberikan oleh Mohamad Said begitu tinggi apabila
beliau menjelaskan bagaimana Anwar mengarahkan beliau “menukar” pendirian Ummi
Hafilda dan memaksa beliau menarik balik dan seterusnya menafikan kandungan
suratnya kepada saya.
Tindakan tersebut dianggap
sebagai rasuah dan penyalahgunaan kuasa, dan mahkamah mendapati beliau bersalah.
Sejak daripada itu segala usaha perundangan Anwar gagal kerana kesemua
rayuannya ditolak oleh mahkamah.
Perbicaraan liwat bermula pada 7
Jun 1999. Usaha untuk mengikuti perkembangan perbicaraan di akhbar amat
mendukacitakan kerana berlaku beberapa kecuaian pihak pendakwa.
Satu peringkat yang amat
menjengkelkan apabila pihak pembelaan mendakwa tindakan meliwat tidak berlaku
pada hari yang disebutkan dalam tuduhan.
Peguam Negara Tan Sri Mohtar
Abdullah tidak berkata apa-apa, seolah-olah menyetujui jenayah tersebut tidak
berlaku, dan surat khabar pula turut melaporkan tiada pelakuan liwat.
Tetapi, walaupun ia tidak berlaku
pada hari yang dinyatakan, tidak bermakna ia tidak berlaku sama sekali.
Masalahnya dengan pihak pendakwa,
mereka kesemuanya penjawat awam belaka dan tidak mengerti tentang pemikiran
penjenayah.
Amat mengecewakan mengikuti
perkembangan tersebut kerana mereka tidak sebenarnya menjalankan tugas secara
betul dan baik. Saya tidak dapat berbuat apa-apa.
Mereka mengemukakan begitu banyak
bukti yang tidak relevan di mahkamah hingga menyebabkan orang ramai semakin
kurang yakin kesahihan kes tersebut.
Walaupun akhirnya Mahkamah Tinggi
mendapati Anwar bersalah, namun beliau berjaya mengutip kelebihan hinggakan
ramai rakyat Malaysia berasa yakin beliau sebenarnya mangsa satu konspirasi
politik.
Macam mana orang boleh percayakan
ini saya sendiri tidak faham.
Untuk berkomplot menjatuhkan
Anwar dengan cara ini saya memerlukan bantuan polis, Peguam Negara dan
pendakwa-pendakwanya, saksi, hakim, pakar makmal forensik dan lain-lain lagi.
Tentu sekali seorang daripada
kumpulan konspirator yang begitu ramai ini akan lambat laun membocorkan butiran
komplot tersebut.
Walaupun beberapa orang saksi
menganggap saya sebagai musuh, namun tidak seorang pun tampil untuk menyatakan
bahawa dia dipaksa berbohong untuk menyokong saya.
Di antara saksi-saksi itu
termasuk bekas Ketua Pengarah Agensi Pencegah Rasuah (ACA), Datuk Shafee Yahya,
yang sebelum itu menuduh saya mencampuri penyiasatan agensi tersebut ke atas
Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman.
Pada 1998 saya menerima banyak
aduan mengatakan ACA keterlaluan sewaktu menjalankan penyiasatan. Oleh yang
demikian dengan menyedari bagaimana kadangkala pegawai kerajaan bertindak
keterlaluan dalam menjalankan tugas mereka, saya bertanya kepada Shafee supaya
menerangkan keadaan tersebut.
Pertemuan kami tidak berjalan
lancar dan Shafee menjadi marah dan menuduh saya mengganggu tugasnya.
Sebenarnya, apa yang berlaku
dengan ACA tidak ada kaitan dengan kes Anwar. Tetapi Shafee berjaya diberi
kesempatan di mahkamah dan begitu gembira berjaya dapat mencerca saya.
Walaupun Mahkamah Rayuan
mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, namun Mahkamah Persekutuan dengan suara
majoriti membatalkan keputusan tersebut dan membebaskan Anwar bersabit tuduhan
meliwat.
Mahkamah Persekutuan berkata
bukti yang dikemukakan tidak selari dengan keterangan Azizan, iaitu dia diliwat
oleh Anwar dan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja (adik angkat Anwar) pada waktu,
tarikh dan tempat yang disebutkan.
Kebanyakan rakyat Malaysia tidak
mengetahui kandungan keputusan penghakiman Mahkamah Persekutuan yang
membebaskan Anwar berikutan kesilapan teknikal berhubung tarikh kejadian yang
didakwa berlaku.
Mereka juga tidak menyedari
bahawa majoriti Mahkamah Persekutuan berpendapat terdapat “…bukti untuk
mengesahkan pihak perayu (Anwar dan Sukma) terbabit dalam perlakuan
homoseksual, dan oleh itu kami lebih mempercayai insiden di Tivoli Villa memang
benar berlaku…”
Walaupun keputusan dibatalkan kerana
kesilapan teknikal, hakikatnya apa yang dipersetujui secara konklusif oleh
Mahkamah Persekutuan ialah keterlibatan Anwar dan Sukma dalam kegiatan
homoseksual.
Satu lagi elemen yang didakwa
sebagai “konspirasi’ saya terhadap Anwar ialah apa yang dianggap sebagai campur
tangan saya dalam sistem perundangan.
Saya sering kali dituduh
mencampuri urusan mahkamah, menghina hakim dan bermusuhan dengan profesion
perundangan. Ini saya huraikan di muka surat lain.
Di sini saya hanya perlu
menyatakan bahawa Anwar dibicarakan di mahkamah dalam kes yang saya lihat
sebagai jelas.
Orang Melayu secara amnya alim
dan bersifat konservatif, dan pada mereka meliwat adalah dosa besar. Mereka
tidak akan membiarkan pelakuan sebegitu berlaku atau menunjukkan simpati terhadap
orang yang melakukannya.
Bagaimana pun, nama baik Anwar
yang diselubungi sifat alim telah mempengaruhi ramai orang bahawa tuduhan
terhadapnya tidak dapat diterima akal.
Mereka enggan percaya Anwar
sanggup berkelakuan sedemikian, walaupun pihak mahkamah mendapati beliau
bersalah.
Media tempatan dan Barat juga
keberatan untuk melepaskan persepsi mengenai imej saya yang didakwa bersikap
‘diktator’.
Media asing, terutama, berkata
Anwar tidak bersalah dan pendapat itu diterima bulat-bulat oleh sesetengah rakyat
Malaysia.
Dalam pada itu parti-parti
pembangkang dan surat khabar mereka terus meletakkan saya dalam keadaan yang
seburuk yang mungkin.
Saya dibuat seperti saya yang
sedang dibicarakan, dan jika seseorang itu mempercayainya , seolah-olah
keseluruhan hidup saya dan kerja-kerja saya hanya ditumpukan untuk membinasakan
Anwar dan kerjayanya.
Sekali lagi Anwar mengemukakan
saman malu terhadap saya berdasarkan jawapan saya kepada satu soalan oleh
seorang wartawan selepas saya menyampaikan ucapan perasmian persidangan “Human
Rights and Globalisation’ (‘Hak Asasi Manusia dan Globalisasi) yang ditaja oleh
SUHAKAM pada 9 September 2005.
Menjawab soalan berhubung isu
Anwar, saya menerangkan bahawa dalam masyarakat kita, meliwat tidak boleh
diterima dan saya tidak boleh membenarkan seseorang yang bersifat sedemikian
dalam Kabinet saya, dan bakal menggantikan saya sebagai Perdana Menteri.
Saya juga berkata, “Bayangkan
kami mempunyai seorang Perdana menteri yang ‘gay’…tak ada seorang pun akan
selamat.”
Bagaimana pun, Mahkamah Tinggi
membatalkan saman malu Anwar terhadap saya…sekali lagi berdasarkan bahawa saya
dilindungi pembelaan kebenaran (justifikasi) dan perlindungan bersyarat.
Rayuan Anwar seterusnya kepada
Mahkamah Rayuan juga dibatalkan kerana terdapat beberapa kecacatan dalam Rekod
Rayuan yang difailkan oleh peguamnya.
Pada 24 November 2010, Mahkamah
Persekutuan memutuskan supaya permohonan Anwar untuk kebenaran mengemukakan
rayuan ditolak.
Pada waktu Anwar dipecat,
ahli-ahli Majlis tertinggi UMNO sering kali mengadu mengenai sikap media.
Beberapa orang daripada mereka mencadangkan supaya tindakan diambil ke atas
wartawan yang mengkritik, terutama apabila kritikan mereka ditujukan kepada
saya secara peribadi.
Jika itu dilakukan – apabila
pengarang-pengarang kanan dibuang atau dipindahkan, saya juga akan
dipersalahkan oleh mereka di luar Majlis Tertinggi. Mereka akan berkata saya
yang mengarahkan supaya mereka dibuang atau dipindahkan.
Saya perlu mengaku bahawa saya
tidak pernah menyangkal segala yang didakwa, tetapi sebaliknya menyetujui
keputusan Majlis Tertinggi kerana saya tidak mahu mereka yang mengambil berat
tentang saya merasakan seolah-olah saya mengecewakan mereka.
Saya berpendapat mereka ikhlas
menyokong saya. Tetapi apabila saya meletakkan jawatan mereka dengan pantas
menentang saya untuk dilihat sebagai berpihak kepada bos baru mereka.
Secara kebetulan di bawah
kepimpinan bos baru itulah Tan Sri Abdullah Ahmad , pengarang New Straits Times
disingkirkan tanpa rasa ragu-ragu.
Beberapa orang pengarang kanan NST
dan Utusan Malaysia turut disingkirkan. Ketika itu tidak seorang pun menuduh
pengganti saya bertindak ke atas para pengarang yang tidak menyokong beliau.
Sama ada kita dapat menerimanya
atau tidak, saya perlu menerima segala-galanya sebagai sifat kita orang
Malaysia. Apabila kita berada di atas, orang akan cuba membaca pemikiran kita
dan berusaha melakukan apa yang mereka berpendapat kita inginkan.
Mereka berasa marah bagi pihak
kita, dan kita akan dilihat sebagai mengecewakan mereka sekiranya kita tidak
turut berasa marah seperti mereka.
Seperti yang saya telah sebutkan,
apabila Perdana Menteri Australia Paul Keating melabelkan saya sebagai seorang
yang degil dan keras kepala, saya tidak marah – beliau berkata demikian kerana
saya enggan mengikut jejak majoriti, dan label sedemikian sememangnya agak
sesuai untuk saya.
Saya sering tidak melakukan
segala yang dilakukan orang lain
Kebanyakan orang Malaysia memang
macam itu, dan ia membolehkan negara ini menunjukkan betapa kita boleh berdiri
di atas kaki sendiri dan berkeupayaan.
Tetapi mereka berkata saya
sepatutnya berasa tersinggung dengan apa yang dikatakan Keating. Mereka pula
yang berasa terhina bagi pihak saya berikutan apa yang diluahkan PM Australia
itu. Saya tidak mahu memalukan mereka, jadi saya pun ikut saja.
Hal berhubung Anwar dan krisis
mata wang telah menyebabkan Malaysia tidak stabil, justeru sememangnya menjadi
tanggung jawab saya untuk bertindak mengimbangi keadaan ekonomi dan politik
negara.
Menjelang lewat 1998, ekonomi
negara semakin menunjukkan pemulihan, tetapi situasi politik masih tidak
bertambah baik.
Pergerakan reformasi Anwar dan
penubuhan Parti Keadilan disusuli dengan lebih banyak demonstrasi jalanan serta
perhimpunan.
Walaupun saya telah bersara
sebagai Perdana Menteri beberapa tahun lalu, dakwaan tentang aktiviti
homoseksual Anwar tidak juga lenyap.
Segala-galanya berulang kembali
apabila timbul dakwaan baru mengenai kegiatan homoseksual beliau.
Kali ini ia membabitkan
pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang berusia 23 tahun. Dia mendakwa
diliwat oleh Anwar pada 26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
Pada 7 Ogos tahun yang sama Anwar
dihadapkan ke mahkamah bersabit tuduhan meliwat Saiful.
Pada 15 Ogos Saiful bersumpah
menggunakan Quran di hadapan pegawai-pegawai Masjid Wilayah Persekutuan bahawa
dia telah diliwat oleh Anwar.
Ini merupakan cara Saiful cuba
membuktikan dia bercakap benar. Saiful kemudian mencabar Anwar supaya turut
bersumpah menggunakan Quran dan menafikan tuduhan itu.
Pada 16 Ogos saya juga mencabar
Anwar bersumpah menggunakan Quran bagi membuktikan yang beliau tidak bersalah.
Saya kata sebagai seorang tokoh terkemuka di arena politik Malaysia Anwar
sepatutnya bertindak mengikut sentimen orang ramai dan bersumpah dengan cara
sedemikian selain mengemukakan kenyataan bersumpah berhubung dakwaan yang
dibuat oleh Saiful.
Anwar tidak bersumpah menggunakan
Quran untuk menafikan tuduhan bahawa beliau pernah meliwat Saiful. Dan oleh
kerana perbicaraan masih berterusan saya tidak mahu membuat sebarang komen.
Tidak dapat dinafikan Anwar
seorang yang berkarisma dan beliau tahu cara untuk mendapatkan sokongan
daripada orang lain. Segala-gala yang saya lakukan untuk Anwar di masa-masa
lalu kini diketepikan.
Saya digambarkan seolah-olah
telah memangsakan beliau dan menghumbankannya ke dalam penjara, seolah-olah
tiada perbicaraan dilakukan.
Apabila nama saya disebutkan di
dalam mana-mana buku atau rencana, saya digambarkan sebagai seorang Perdana
Menteri yang menghumban timbalannya ke dalam penjara. Apa yang nyata beliau
sebenarnya dituduh mengikut prosedur dan seterusnya dibicarakan, tetapi ini
tidak pula disebutkan.
Sememangnya sifat saya untuk
memaafkan orang, dan saya telah memulihkan karier beberapa orang yang pernah
cuba menjejaskan kedudukan politik saya. Ini saya lakukan hingga sanggup
menamakan seorang daripada mereka sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas
Anwar dipecat.
Tetapi saya mendapati sukar untuk
memaafkan Anwar kerana tindakannya memburukkan saya di mata dunia.
Sepatutnya hari ini Anwar menjadi
Perdana Menteri Malaysia, tetapi ia tidak menjadi kenyataan kerana tindakannya
sendiri. Beliau tidak memberikan saya pilihan selain menyingkirkan beliau, dan
saya berpendapat apa yang saya lakukan adalah yang terbaik untuk negara.
Mungkin saya pernah melakukan
banyak kesilapan, tetapi memecat Anwar bukan satu daripadanya.
Hai,
BalasPadamSalam. Di mana saya boleh mendapatkan buku ini dalam bentuk ebook?
Terima kasih