Titah Ucapan Raja Nazrin Shah : Pertahan resipi kekuatan Melayu
DYTM Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Paduka Seri Sultan Azlan
Muhibbuddin Shah
Raja Muda Perak Darul Ridzuan
TEKS titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah Ibni Sultan
Azlan Muhibbuddin Shah di majlis pelancaran buku The Malays di Universiti
Kebangsaan Malaysia pada 10 Mac 2009.
Beta bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, beta
dan Raja Puan Besar dapat berangkat ke majlis pelancaran buku The Malays hasil
kajian Profesor Anthony Milner, Profesor of Asian History, Australian National
University.
Majlis pagi ini memaparkan lima elemen yang amat signifikan.
Pertama: The Malays' dihasilkan dalam bahasa Inggeris oleh
seorang ahli akademik Australia, pelancarannya dilangsungkan dalam bahasa yang
memberikan penghormatan kepada bahasa Melayu, bahasa yang termaktub dalam
Perlembagaan negara sebagai bahasa kebangsaan.
Perjuangan menobatkan bahasa Melayu telah melalui perjalanan
yang jauh dan memakan masa yang lama. Raja-Raja Melayu dalam mesyuarat Durbar
pada 1903 di Kuala Lumpur telah membangkitkan soal pengiktirafan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi. Usaha menobatkan bahasa Melayu mencapai kemuncak apabila
bahasa Melayu dilaksanakan sepenuhnya menjadi bahasa ilmu di pusat-pusat
pengajian tinggi dan menjadi lengkap apabila terlaksana penggunaannya di kamar
mahkamah di negara ini.
Dalam ucapan di Malam Teguh Bahasa pada 11 September 2005,
Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mengingatkan,
daripada 6,000 bahasa yang dipertuturkan, hanya 300 sahaja yang dituturkan oleh
lebih sejuta orang, 5,700 bahasa dituturkan oleh kurang daripada sejuta orang.
Dijangkakan separuh dari 5,700 bahasa ini akan pupus dalam tempoh seabad lagi
kerana tidak dipertuturkan dan tidak diajar kepada golongan muda.
Sejarah menunjukkan, untuk sesuatu bahasa itu pupus, ia
mengambil masa antara 50 ke 100 tahun, tetapi dengan keganasan gelombang
globalisasi, kadar kebinasaan bahasa boleh berlaku dalam tempoh satu generasi
sahaja. Bahawa globalisasi boleh mempercepatkan kepupusan bahasa, jika
langkah-langkah bijak lagi tegas tidak dilakukan untuk memastikan bahasa milik
bangsa Melayu ini tidak akan berakhir dengan nasib yang menimpa bahasa Latin.
Kedua: Majlis pelancaran ini dilangsungkan di Universiti
Kebangsaan Malaysia; sebuah universiti yang dilahirkan sebagai puncak
manifestasi perjuangan memartabatkan bahasa Melayu. Universiti Kebangsaan
merupakan universiti pertama yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
penyampaian ilmu di peringkat pengajian tinggi, sekali gus membuktikan
keupayaan bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa perantaraan ilmu.
Universiti Kebangsaan adalah manifestasi kesungguhan negara
bangsa melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan dan melaluinya, telah membantu
meningkatkan tahap pencapaian ilmu di kalangan rakyat jelata, berupaya menjadi
cerdik pandai di samping mengembangkan daya intelek di kalangan warga.
Ketiga: Walaupun bilangan orang Melayu di Malaysia hanya
dalam lingkungan 15 juta orang, kurang dari 0.5 peratus daripada jumlah 350
juta orang yang tergolong dalam rumpun Melayu, namun Profesor Anthony Milner
telah memberikan pengiktirafan kepada bumi Melayu di negara yang bernama
Malaysia ini untuk dilangsungkan pelancaran The Malays. Halaman 151, The
Malays, mencatatkan:
Although Malaya (and its expanded form Malaysia) has in many
ways been the 'Malay' success story -- an experiment in nation building founded
(at least in large part) on 'Malay' ethnic sentiment -- this outcome was not
inevitable.'' Anthony Milner, The Malays, muka surat 151.
Milner turut merakamkan antara peristiwa yang memperlihatkan
keyakinan rumpun Melayu terhadap kepimpinan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya)
seperti yang terkandung di halaman 168.
"Some 250,000 people signed a petition to the United
Nations with the aim of incorporating Pattani and other southern Muslim
provinces (Yala, Nrathiwat and Satun) in the emerging Malaya.'' Anthony Milner,
The Malays, muka surat 168.
Huraian dan analisis Milner dalam penerbitan beliau
sebahagian besarnya ditumpukan kepada Malaysia, serta dinamik politik yang
berlaku di Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang komposisi warganya
terdiri daripada pelbagai agama, kumpulan etnik dan budaya tetapi termaktub di
dalam Perlembagaan negara status agama Islam, bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu
serta keistimewaan dan perlindungan kepada bangsa Melayu.
Keempat: Pengiktirafan yang diberikan oleh Profesor Anthony
Milner kepada Kesultanan Melayu apabila beliau merafakkan sembah jemputan
kepada beta untuk berangkat bagi melafazkan titah menyempurnakan pelancaran The
Malays'. Beta mentafsirkan, pengiktirafan tersebut adalah pengiktirafan beliau,
bukan atas batang tubuh peribadi beta, tetapi pengiktirafan yang didedikasikan
kepada institusi Kesultanan Melayu. Ini adalah selaras dengan kupasan-kupasan
kajian beliau akan peranan penting Raja-Raja dan Kerajaan di kalangan rumpun
Melayu. Di halaman 233, Anthony Milner mencatatkan:
"The Sultan could be presented as 'cement' helping to
bond the bangsa, or as the 'symbol' of the Malay race." Anthony Milner,
The Malays, muka surat 233.
Di halaman 177, Anthony Milner turut memetik tulisan Wan
Syaifuddin pada tahun 2003, berjudul Kronik Mahkota Kesultanan Serdang terbitan
Yandira Agung, Medan.
"One prominent development in post-Suharto Indonesia
has been a widespread revival of sultanates, including many described as
'Malay'. Among these are Landak, Mempawah, Puntianak and Sambas (West
Kalimantan); Bulungan, Kutei, and Pasir (East Kalimantan); and Serdang (north
Sumatra). There is even a new interest in the Pagaruyung monarchy.... The
Sultan of Mempaweh in Kalimantan is reported to have declared that in times of
uncertainty, 'Dayaks' run to the long house but 'Malays' run to the palace;....
Anthony Milner, The Malays, muka surat 177.
Milner turut memetik manuskrip tulisan Gerry van Klinken,
bertajuk Return of the Sultans: The Communitarian Turn in Local Politics.
"The Sultans have formed a 'Communication Forum for the
Kratons (royal palaces) of Indonesia...'' Anthony Milner, The Malays, muka
surat 177.
Beta menghargai pendirian Profesor Anthony Milner
mengiktiraf bahawa Raja Melayu itu adalah institusi penting warisan bangsa
Melayu. Sesungguhnya sejarah mencatatkan Istana Raja Melayu itu berperanan
sebagai pusat berkembangnya tamadun bangsa. Istana memperlihatkan sehalus
budaya - mencerminkan secantik bahasa, melindungi khazanah tamadun bangsa -
menyimpan kekayaan budaya bangsa.
Raja Melayu itu adalah lambang kedaulatan negara - simbol
kekuatan warga - payung mahkota negara tempat rakyat tumpang berteduh. Raja
Melayu itu memberi identiti kepada negara bangsa. Raja itu adalah lambang
Kerajaan. Rakyat yang memahami 'budaya rakyat beraja - negeri bersultan'
memahami akan falsafah pemerintahan beraja, akan peranan Raja secara tersirat
di sebalik yang tersurat, melindungi kepentingan bangsa Melayu.
Dalam puisi Korban Hang Tuah penyair Zurinah Hassan cuba
menyelami gelombang serba salah yang menghempas dada Hang Tuah ketika terpaksa
membuat perhitungan untuk memilih antara kesetiaan kepada sahabat dan kesetiaan
kepada Raja. Hang Tuah akhirnya terpaksa memilih, mengorbankan sahabat
kesayangannya walaupun dituduh melakukan kesetiaan melulu. Zurinah menghuraikan
Hang Tuah sebenarnya tidak sekadar membunuh Hang Jebat tetapi menentang satu
penderhakaan - menentang perebutan kuasa. Bagi Zurinah, Hang Tuah bukan bukan
sekadar mempertahankan seorang Raja tetapi mempertahankan lambang negara kepada
sebuah kerajaan demi memastikan bahawa Melayu tidak akan hilang di dunia. Tanpa
kerajaan apalah ertinya lagi sebuah negara.
Milner mencatat, kerajaan-kerajaan berpaksikan Melayu itu
adalah kerajaan yang mempunyai raja baik di Riau, Lingga, Deli, Siak, Langkat,
Kampar dan Inderagiri di Sumatera begitu juga di negeri-negeri Kutei, Bulangan,
Puntianak, Landak, Mempawah dan Sambas di Kalimantan. Di Persekutuan Tanah
Melayu, Raja-Raja Melayu diiktiraf bukan sahaja menjadi asas berkerajaan malah
terlibat langsung dalam gerakan menentang Malayan Union. Demikian juga
berperanan penting dalam usaha memperjuangkan dan mencapai kata sepakat
menuntut kemerdekaan. Kesembilan Raja Melayu memberikan perkenan untuk
ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu dan turut berkenan untuk dilantik salah
seorang daripada baginda-baginda itu menjadi Ketua Negara secara bergilir-gilir
dengan gelaran Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.
Kelima: Karya Anthony Milner menimbulkan semula
catatan-catatan sejarah tentang bangsa Melayu di samping mengemukakan
penemuan-penemuan baru. Profesor Milner dalam tahun 1982 telah menghasilkan
penerbitan berjudul "Kerajaan: Malay Political Culture On The Eve of
Colonial Rule" dan pada tahun 1995 menghasilkan penerbitan berjudul
"The Invention of Politics in Colonial Malaya''. Bibliografi yang
disenaraikan oleh Milner memperlihatkan senarai panjang, kumpulan penyelidik,
pengkaji dan penulis tentang bangsa Melayu.
Beta percaya terdapat banyak lagi bahan penyelidikan dan
penulisan tentang bangsa Melayu yang telah, sedang dan akan terus dilakukan.
Minat di kalangan bukan Melayu melakukan penyelidikan terhadap bangsa Melayu
memperlihatkan bahawa Melayu itu adalah satu bangsa yang sentiasa mendapat
perhatian dari pelbagai pihak.
Definisi "Melayu" itu tidak terhenti daripada
terus menjadi bahan diskusi dan subjek kajian. Definisi bangsa Melayu itu tidak
terbatas kepada satu definisi sahaja. Tergabung dalam rumpun Melayu itu
himpunan kekayaan pelbagai suku keturunan yang juga menguasai pelbagai dialek
dan pelbagai subbudaya.
Alam Melayu itu merentasi kawasan geografi yang luas dari
Filipina ke Madagascar, dengan saiz komuniti berjumlah 350 juta. Melalui
perdagangan dan penghijrahan, rumpun Melayu itu turut merentasi kawasan
geografi yang luas, mengembara jauh di luar gugusan kepulauan Melayu.
Terdapat pelbagai deskripsi menggambarkan watak Melayu.
Melayu digambarkan bangsa yang bertoleransi, penuh beradat - sangat bersopan,
juga digambarkan suka melatah, mudah mengamuk. Dalam hikayathikayat lama dan
cerita-cerita rakyat, terkandung pula sifat-sifat dendam, khianat, dengki,
menipu, zalim, bodoh dan malas yang diimbangkan pula dengan sifat-sifat mulia,
adil, ikhlas, jujur, cerdik, rajin, tekun, taat dan setia.
Jika demikian pelbagai deskripsi tentang bangsa Melayu ini,
rumusan yang dapat disimpulkan ialah bangsa Melayu itu adalah insan yang
bernama dan bersifat manusia, kerana sifat dan karakter manusia yang pelbagai
itu, terdapat di kalangan semua bangsa dan tamadun lain, baik di Barat mahupun
di Timur.
Gugusan kepulauan Melayu itu berada di antara dunia barat
dan dunia timur, demikian juga antara Asia barat dan Asia Timur. Ia merupakan
gugusan yang amat terdedah kepada dunia. Pelbagai agama, budaya dan bahasa
sampai ke gugusan kepulauan Melayu, lalu berlaku proses integrasi dan asimilasi
pengaruh daripada pelbagai agama, budaya dan bahasa. Bahasa Sanskrit dan Arab
sebagai contoh telah mempengaruhi pemikiran dan tahap literasi bangsa.
Perkataan daripada bahasa-bahasa Parsi, Mandarin, Tamil dan
Portugis, turut terdapat dalam perbendaharaan kata Melayu. Pengaruh bahasa
Inggeris begitu dominan, susulan daripada pengembangan sistem pendidikan serta
kemajuan sains dan teknologi.
Ini telah mempengaruhi Bahasa Melayu itu berubah secara
dinamik dengan perbendaharaan kata yang semakin bertambah. Bahasa Melayu telah
melalui proses transformasi, berasal dengan bahasa lisan, diperkaya dan
diperkembangkan melalui adaptasi penulisan, bermula dengan tulisan jawi,
disusuli dengan tulisan rumi. Perkembangan bahasa Melayu itu telah berperanan
penting dalam meningkatkan daya intelek dan daya analisis bangsa.
Demikian juga proses penyerapan, pengubahsuaian, percantuman
yang berlaku dalam budaya Melayu. Nyatalah Melayu sebagai satu rumpun bangsa,
sebagai satu budaya kehidupan, tidak statik. Rumpun Melayu itu berupaya
melakukan adaptasi kepada dinamik yang berlaku di persekitaran kehidupannya dan
berupaya melakukan perkasaan sosial dan penyesuaian ideologi. Namun bangsa itu
juga secara bijaksana berupaya mempertahankan identiti asas bangsanya, secara
bijaksana berupaya mengimbangkan antara yang lama dengan yang baru, antara
tradisi dan modenisasi, antara lokal dan global. Bangsa Melayu yang memiliki
jati diri yang tinggi telah berjaya melakukan perubahan tanpa melupakan tradisi
dan nilai kesinambungan.
The Malays memetik dan mengulas kata-kata hikmat pesanan
Hang Tuah, "Tak kan Melayu Hilang Di Dunia". Kemudian mencatatkan
peringatan Munsyi Abdullah bahawa survival bangsa sebenarnya bergantung pada
pelajaran, dan merakamkan kebimbangan Ishak Haji Mohamad bahawa "Melayu
itu boleh hilang di dunia".
Berlaku pertentangan ungkapan antara pahlawan Melayu bernama
Hang Tuah dan nasionalis Melayu bernama Ishak Haji Mohamad, di tengah-tengah
peringatan seorang Munsyi bernama Abdullah.
Sewaktu menyampaikan titah di International Conference on
Malay Civilization pada 30 September 2002, beta pernah memajukan persoalan
menyentuh perkembangan antara tuntutan tradisi (claims of tradition) dan
permintaan terhadap kemodenan (demands of modernity) dalam masyarakat pada hari
ini. Dikatakan bahawa budaya yang progresif menekankan kepada masa depan
sementara budaya yang statik menekankan sejarah lama dan suasana semasa.
Peringatan beta, jangan bangsa sampai ke peringkat
keterlaluan. Bahawa tidak semua yang berbentuk tradisi itu menghalang kemajuan
kerana tradisi yang berjaya ditafsir secara bijak dan dilaksanakan secara arif
dapat berfungsi sebagai pemudah cara memajukan bangsa. Bahawa elemen-elemen
yang berperanan sebagai faktor penyatuan bangsa selama hari ini, adalah modal
sosial yang amat berharga yang wajib dipertahankan.
Dalam konteks bangsa Melayu di Malaysia, elemen-elemen
tersebut terdiri daripada faktor-faktor agama, bahasa dan budaya yang berada di
bawah payung naungan dan perlindungan Raja-Raja Melayu mengikut yang termaktub
di dalam Perlembagaan Negara. Klausa-klausa menyentuh agama Islam, institusi
Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa
orang-orang Melayu dimaktubkan di dalam Perlembagaan Negara.
Takrif bangsa Melayu diperkemas, diikat dengan adat,
disimpul dengan bahasa, disalut dengan agama. Itulah resipi kekuatan Melayu di
bumi ini. Hari ini telah timbul usaha-usaha radikal daripada kalangan yang
tidak mendalami muslihat di sebalik yang tersirat yang mahu mengubah resipi
tersebut.
Survival Melayu sebagai satu bangsa bergantung kepada
beberapa faktor yang telah selama hari ini memberikannya identiti dalam bentuk
agama, bahasa dan budaya, termasuk budaya bernegara dan berkerajaan berpegang
kepada prinsip rakyat beraja - negeri bersultan.
Betapa malangnya bangsa apabila berlakunya tindakan-tindakan
yang mahu menghapuskan tradisi dan meruntuhkan institusi Melayu. Betapa
terancamnya survival bangsa apabila tradisi dan institusi sudah tidak lagi
dihormati dan disifatkan sebagai antitesis kepada pemikiran rasional, modeniti
dan sains. Betapa malangnya apabila generasi yang cetek terhadap latar belakang
sejarah mengaitkan 'tradisi' sebagai amalan jahiliah, tahyul dan dogmatik.
Bahawa tidak ada tamadun agung yang dapat dibina tanpa
menghargai, mengiktiraf dan meneruskan kesinambungan tamadun dengan sejarah
masa lalu - merangkaikan antara satu generasi dengan generasi yang lain,
mengkhazanahkan himpunan pengalaman dan pengetahuan bangsa untuk dijadikan
"memori sosial" bangsa lalu dijadikan asas utama dalam membina
identiti sebuah negara bangsa.
Setiap negara bangsa memerlukan minda sejarah dan
penghargaan terhadap sejarah yang telah membina tamadun bangsa dan memberikan
identiti kepada bangsa. Negara China sebagai contoh telah melalui proses
evolusi dan juga revolusi budaya yang hebat, dari sebuah negara Maharaja
menjadi negara komunis. Tetapi memori sosial dan memori budaya bangsa China
tidak terpadam. Acara pembukaan Sukan Olimpik Beijing 2008, memperlihatkan
bukti kebanggaan satu bangsa terhadap sejarah dan tamadun zaman silamnya.
Dalam mengharungi gelombang globalisasi dan dalam menghadapi
dinamik politik yang sedang berlaku di negara ini, bangsa Melayu berada di
persimpangan jalan - bangsa Melayu menghadapi dua kemungkinan. Kemungkinan
pertama, bangsa Melayu itu akan terus survive, berkembang dan kuat, serta
dihormati dan diiktiraf sebagai rumpun bangsa yang agung di dunia global, atau
kemungkinan kedua, barang dijauhkan AIlah daripada berlaku, bahawa bangsa
Melayu itu akan hanyut dalam gelombang globalisasi, menjadi lemah kerana akar
budaya dan tradisinya telah dicabut.
Pemikiran, gaya hidup dan nilai-nilai budaya bangsa makin
disisihkan. Akhirnya Melayu itu akan pupus dan tinggal sebagai nama dan cerita
yang terkandung dalam hikayat-hikayat lama.
Ketika itu tidak akan ada lagi minat untuk dilakukan kajian
sosiopolitik dan sosioekonomi bangsa Melayu secara dinamik. Kalau masih ada
yang berminat mengkaji bangsa Melayu, ia mungkin terbatas kepada sejarah
kejatuhan bangsa ini ataupun lebih tertumpu kepada aspek antropologi dan arkeologi
bangsa Melayu yang hanya tinggal dalam sejarah. Untuk itu perlulah bangsa
mengambil renungan akan kisah kebodohan Pak Kaduk, memiliki ayam sabung yang
hebat, lalu dipermainkan oleh pihak lawan; akhirnya Pak Kaduk menyerahkan ayam
sabungnya kepada lawan; Pak Kaduk sekadar bersorak menang sabung sedangkan
kampungnya telah digadai.
Beta menzahirkan ucap tahniah kepada Profesor Anthony Milner
atas daya usaha melakukan kajian mendalam dan komprehensif. Penemuan dan
kupasan beliau pastinya akan menjemput pelbagai ulasan dan diskusi untuk
mencambahkan perkembangan ilmu dan perkembangan intelek. Usaha-usaha beliau
sewajarnya diberikan penghargaan oleh bangsa Melayu, paling minimumnya
menjadikan The Malays sebagai teks yang wajib dirujuk oleh para pelajar sosiopolitik
Melayu.
Dengan kebesaran dan semoga mendapat keberkatan kalimah
Bismillahi Rahmani Rahim, beta dengan sukacitanya merasmikan pelancaran buku
The Malays.
Ulasan
Catat Ulasan