Denggi salah siapa?

Hari Jumaat yang lepas (6 Mac) Masjid Negeri Selangor, di Shah Alam telah diadakan solat hajat usai menunaikan solat Jumaat.  Ini adalah rentetan dari kes Denggi yang semakin membarah di Selangor dengan peningkatan kes kematian.  Sehingga kini Minggu Epid ke-6 (8 Feb 2015) sejumlah 8840 kes dilaporkan dengan 23 kematian diseluruh Selangor  sahaja. Kes ini dilaporkan dari 15039 dan 40 kematian diseluruh negara (sumber Vektor KL).  Sehingga kini tiada tanda-tanda yang menunjukkan wabak ini akan reda atau menurun.  

Islam adalah agama yang sempurna.  Jika kita mentaati ajaran Islam yang sebenar, mustahil akan berlakunya peningkatan wabak denggi.  Islam agama yang amat mementingkan kebersihan.  Kebersihan dalam definisi Islam tidak hanya terhad dalam ruang lingkup peribadatan sahaja namun merangkumi semua aspek.  Aspek menjaga kebersihan di persekitaran kita dengan jiran tetangga dan masyarakat serta penjagaan terhadap alam. Sekiranya kita mengikuti dan menyantuni apa yang diajar oleh agama Islam mustahil kita berdepan dengan masalah sebegini.  Sepatutnya dengan komposisi penduduk beragama Islam melebihi 60% masalah ini tidak berlaku, ironinya inilah yang berlaku. 

Namun jika setakat berdoa sahaja ia tidak membantu.  KKM khususnya bahagian vektor dan malaria dengan kerjasama bahagian kawalan penyakit dan promosi kesihatan giat mengadakan aktivtiti pengasapan dan penyemburan serta ceramah kesihatan di semua lokaliti yang dilaporkan positif dengan denggi.  Sekarang dilaporkan bahawa aedes telah mengalami mutasi atau perubahan dari segi trait dan ketahanan sehingga melahirkan virulen yang cukup kuat dan kebal.  Pengasapan menggunakan bahan kimia yang lama tidak algi efektif kerana imuniti yang terbina.  Bahagian vector dengan kerjasama Institut Perubatan Malaysia (IMR) sedang giat mencari kaedah atau mekanisme terbaru baru menghadapi strain yang baru ini.  Sehingga kini tiada vaksin yang mampu menyembuhkan mangsa melainkan dengan hanya langkah pengawalan. 


Mereka berkerja 7 hari seminggu, 365 hari setahun, tanpa henti demi mengekang penularan wabak denggi ini.  Jika kita mengharapkan Cuma sebelah pihak sahaja berusaha untuk mengawal dan mencegah, ia langsung tidak membantu.  Mereka Cuma mampu mencegah buat sementara sahaja.   Jangan terlalu mengharap dan membebankan mereka sahaja.  Selebihnya adalah tanggungjawab kita sebagai penduduk di sesuatu kawasan bagi memainkan peranan pencegahan dengan lebih efektif.  Kesedaran perihal menjaga kebersihan di kawasan penempatan kita masih lagi rendah, tambahan pula dengan kewujudan penempatan koloni warga asing yang mendiami bersama atau berdekatan dengan kita, menambahkan keseriusan wabak berkenaan. Penempatan manusia yang mempunyai kepadatan populasi yang tinggi seringkali menyebabkan wabak berkenaan berulang jika pendekatan pengawalan tidak diamalkan.   


Kita sedia maklum bahawa mentaliti mereka khususnya warga asing dan termasuk juga rakyat kita yang langsung tidak ambil peduli dengan kebersihan di persekitaran kediaman malahan di dalam rumah sendiri.  Sampah dibuang merata tempat, longgokan sampah dibiarkan ditepi-tepi jalan atau taman atau dikawasan lapang, sistem saliran dan perparitan yang ditidak selenggara, ruangan penakungan air yang tidak diperiksa dan terbiar semuanya menyumbang kepada peningkatan demam denggi kerana membenarkan nyamuk eades untuk bertelur.  Semuanya ini adalah dari dosa-dosa kita yang langsung tidak peka terhadap sensitivity alam. 


Keadaan ini tidak akan mengubah apa-apa statistik demam denggi jika kita tidak ada kesedaran dalam mengawal penularan wabak berkenaan.   Kerjasama dari semua pihak adalah amat diperlukan.  Sikap individualistic atau silo, iaitu Cuma mementingkan diri sendiri kerana menganggap tanggungjawab menjaga kebersihan hanya pada persekitaran mereka sahaja tidak akan membantu bagi meredakan keadaan seandainya jiran atau orang lain dipersekitaran langsung tidak mengendah kebersihan.  Pengawalan denggi adalah tanggungjawab semua.  

Program COMBI atau Combination Behavioural Impact yang membabittkan komuniti disesuatu kawasan banyak membantu dalam menangani permasalahan ini.  Tingkahlaku atau perbuatan masyarakat yang dipandukan dengan betul berupaya untuk menjadikan sesuatu kawasan tersebut bebas dari denggi.  Sebagai contoh dari program ini adalah gotong-royong.  Persatuan penduduk disesuatu lokaliti boleh mengadakan sesi gotong-royong secara berkala dalam setiap bulan.  Pemantauan selama 10 minit seminggu oleh setiap penduduk terhadap persekitaran kediaman dengan memeriksa setiap takungan dan membersihkannya seperti yang dikempenkan oleh KKM turut membantu dalam mengurangkan peningkatan wabak ini.  Kita perlu menjadi masyarakat yang menyintai kebersihan.  Kebersihan adalah sebahagian dari iman.  Ini adalah asas kepada Islam.  Tidak sempurna iman seseorang jika membiarkan diri dan masyarakat sehingga memudaratkan mereka semua.    

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca