Mentaliti Pemandu Teksi Kita

Kerap juga saya diajukan persoalan yang berbaur politik apabila menaiki teksi.  Pengalaman ini saya alami dalam teksi di Kelantan, KLIA dan Kedah.  Prinsip saya mudah.  Saya cuba tidak berpatisan atau sekadar mendengar sahaja apa yang mereka cakapkan.  Jangan sesekali berargumentasi dengan mereka.  Kebanyakkan dari mereka bercakap dengan nada emosional, bercakap lepas, tidak berlapik dan terlalu kritikal serta kurangnya fakta.  Itu pandangan mereka, mungkin mereka mendengarnya dari perbualan sesama mereka, media sosial mahupun akbar ataupun ceramah. 

Dari perbualannya bolehlah diandaikan kita terlalu banyak mengeluh, mengadu itu dan ini dan mengatakan apa yang dibuat oleh orang lain semua tidak betul.   Sebenarnya apabila terlalu banyak kita mengeluh, membimbangi semua perkara, bimbang pun sebab sekadar dengar-dengar orang lain cakap, tetapi tidak membaca, akhirnya segalanya dilihat terlalu sukar dan hidup ini menjadi terlalu sempit dan sukar.  Terlalu cepat membuat andaian dan kesimpulan akhirnya kehidupan ini dihabiskan dengan keluh kesah.  Kehidupan kita terlalu banyak dikelilingi oleh aura yang negatif sehingga yang positif pun menjadi negatif.  Ironinya mereka yang sering mengadu keluh kesah ini dahulunya bekerja dengan kerajaan, hidup berpencen besar dan tidak kelihatan terlalu susah tetapi sentiasa berkeluh kesah. 

Jika kita banyak membaca dan membuat perbandingan dengan adil serta bercakap dengan menggunakan bahasa yang tersusun saya boleh sahaja menerimanya kerana kita meraikan perbezaan pendapat.  Walaupun perkara yang benar dan betul, tetapi jika tidak cakap dengan nada yang buruk tetap buruk juga bunyi.  Namun jika perkara yang tidak betul, tetapi cara pembicaraan dan penyampaiannya dibuat dengan kemas, teratur dan cerdik memperlihatkan ianya seolah-olah betul.  Apatah lagi jika perkara itu betul dan disampaikan dengan bernas dan bijak sememangnya ianya adalah benar. 


Ada juga pemandu teksi yang berhemah, tetapi sukar untuk menemui orang sebegini.  Kebanyakkan begitulah mentalitinya.  Kurang membaca benda-benda yang berfakta tetapi banyak bercakap benda-benda yang meragukan dan menimbulkan pelbagai persepsi.  Hidup ini sebenarnya mudah, tetapi yang tidak mudah adalah apabila kita sentiasa berfikiran negatif.    

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca