Di mana bumi dipijak Di situ langit dijunjung....

Datuk Bandar London Boris Johnson berkata “ Semua orang di negara ini terutama penjawat awam wajar mahir berbahasa Inggeris.  Semua orang di London yang bekerja di negara ini, harus mampu bercakap dalam bahasa Inggeris”.  Beliau menambah bahasa berkenaan telah dipertuturkan sejak seribu tahun.  Kenyataan ini merujuk kepada sesetengah warga khususnya golongan pendatang yang telah menetap di siti sejak beberapa generasi yang masih gagal bertutur dengan baik bahasa berkenaan dan alasan sebegini sukar untuk diterima.     Hal ini disebabkan kewujudan media dalam bahasa ibunda mereka mampu memberikan apa-apa jua maklumat yang diperlukan.  Sehubungan dengan itu beliau meminta dihentikan amalan menterjemahkan maklumat ke dalam bahasa asing.  Beliau berpendapat bahawa amalan tersebut merupakan satu malapetaka sambil menambah bahawa sepatutnya mengajarkan bahasa inggeris dan sewajarnya golongan pendatang ini mempelajari bahasa inggeris. 

Hakikat atau kenyataan inilah juga yang terjadi di Malaysia yang memperlihatkan sebahagian besar warga yang bukan peribumi dan pendatang yang masih tidak mahir dan fasih berbahasa Melayu.  Ketidakupayaan yang pernah diketengahkan isu ini dalam Pelita Bahasa tidak berapa lama dahulu adalah disebabkan pilihan atau alternatif yang dimiliki oleh golongan ini bagi mengakses maklumat dalam bahasa ibunda mereka sendiri.  Bukan sekadar itu sahaja malahan pengekalan sistem pendidikan vernacular yang merupakan legasi penjajah dikekalkan demi kepentingan politik dan menagih keuntungan undi.  Situasi sebegini banyak berlaku di penempatan yang dihuni majoritinya oleh golongan ini seperti di Tronoh, Jinjang, Pulau Ketam dan puluhan tempat atau koloni yang dihuni oleh bukan peribumi dan asing. 

Pada tahun lepas, 2014 kajian yang dibuat oleh Professor Linguistik Dato Dr Teo Kok Seong menunjukkan bahawa lebih kurang 700 lebih dari pelatih PLKN yang bukan peribumi gagal secara mutlak dalam penguasaan Bahasa Melayu peringkat asas.  Apakah ini manifestasi terhadap kegagalan sistem pendidikan asas iaitu 11 tahun dalam melahirkan warga yang fasih dan mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Kebangsaan?  Perkara ini perlu diberi perhatian, kerana wajah bangsa atau tempatan apakah yang hendak  ditonjolkan kepada orang luar?  Apakah kriteria atau petunjuk yang perlu ditunjukkan bagi membuktikan bahawa kita ini warga Malaysia?  Tidak lain dan tidak bukan adalah Bahasa Melayu, sebagai bahasa pemersatuan, bahasa pembangunan dan kemajuan bangsa, bahasa perpaduan, bahasa persuratan dalam semua urusan media baik bercetak mahupun elektronik, bahasa pengungkapan dan wacana ilmu dan budaya tinggi di semua institusi pengajian pendidikan, bahasa ekonomi dan perusahaan dan bahasa perundangan serta bahasa sains dan teknologi.


Sehingga kini tiada lagi terdetik oleh mana-mana pemimpin Melayu bagi mengwujudkan transformasi dan renaisans terhadap Bahasa Melayu supaya digunakan secara mutlak dan tunggal dalam semua institusi negara termasuk yang paling asas adalah institusi pendidikan. Kita tidak pernah menafikan kepentingan bahasa asing dalam menjadikan warga kita lebih kompetitif dalam dunia yang lebih terbuka, tetapi apa kita harapkan adalah keadilan terhadap Bahasa Melayu supaya tidak berlaku peminggiran secara sistematik terhadap bahasa berkenaan.   

Artikel yang ditulis ini adalah adaptasi dari rencana dari Pelita Bahasa edisi Feb 2015 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca