Surat Terbuka kepada ITBM

Saya antara yang kerap membeli buku di ITBM.  Jika boleh saya cadangkan pihak ITBM menterjemahkan karya-karya yang ditulis dalam bahasa luar baik dari terbitan dalam Negara mahupun luar Negara.  Sebagai contoh banyak buku berbahasa inggeris yang dijual oleh MPH baik dalam fiksyen dan bukan fiksyen boleh dikategorikan sebagai bacaan bermutu.  Saya mengambil contoh Gramedia yang banyak mengambil inisiatif menterjemah karya luar ke dalam bahasa Indonesia.  Walaupun kebanyakkan pengurusan atasan Gramedia bukanlah bangsa asli Indonesia dan mereka pun adalah kristian, namun semangat nasionalisme dan jatidiri yang kental dan tebal dalam jiwa, mereka menerbitkan banyak bacaan dari terbitan luar ke dalam Bahasa Indonesia. 

Moga pihak ITBM boleh mencontohi jiwa besar mereka.  Tambahan kita pula ramai yang berbangsa asli Malaysia iaitu Melayu dan beragama Islam, perlu lebih hebat dari mereka.  Banyak pada perkiraan saya buku-buku berbahasa asing boleh diterjemah untuk bacaan bangsa kita.  Jika tidak buku berbahasa asing ini hanya terhad memberi manfaat kepada mereka yang tahu kepada bahasa berkenaan.  Begitu juga dengan elit politik, teknokrat dan ilmuwan kita yang terlalu cenderung untuk berkarya dalam bahasa asing. Bagi mereka kebanyakkan dari pembaca bahasa asing ini lebih dominan dari segi pengaruh, kuasa membeli dan tingkat ekonominya yang lebih tinggi, tinggi tahap intelektual dan status sosionya berbanding dengan pembaca Bahasa Melayu yang kurang serba serbinya dari pembaca bahasa asing. Ini persepsi yang diterpahat kukuh  dalam mentaliti minda yang terjajah dan jiwa yang terpasung dengan sikap anglophilia. 

Justeru dengan itu ITBM perlu memperbetulkan persepsi ini dengan memberikan nilai yang lebih tinggi terhadap karya tempatan dan menterjemahkan lebih banyak karya asing ke dalam bahasa Melayu.  Variasi buku perlu lebih pelbagai tidak hanya terhad terhadap puisi, cerpen dan novel.  ITBM perlu menggiatkan penerbitan seperti memoir tokoh-tokoh negarawan, karya-karya bersifat ilmiah yang dipermudahkan dalam bentuk bacaan santai, karya yang membicarakan persoalan pembinaan minda dan jiwa.  Karya Colour of Inequality perlu diterjemahkan dalam bahasa Melayu.  Sebenarnya banyak ilmuwan kita seperti Syed Hussien al-attas, Naquib al-attas yang berkarya dalam bahasa asing, tetapi pihak luar mengambil inisiatif menerbitkan karya mereka ke dalam bahasa mereka untuk bacaan bangsa mereka.  Sudahnya kita sendiri yang rugi kerana membiarkan bangsa luar meneroka ilmu bijak pandai kita.  Sebaliknya dalam konteks tempatan llmu mereka hanya berlegar dalam ruangan academia atau lain-lain forum terbuka yang didominasi oleh mereka bijak berbahasa berkenaan.   Kita tidak mahu bangsa kita dibodohkan dengan keadaan sebegini. 

Moga di PBAKL yang bakal diadakan pada bulan April, terdapat buah tangan karya-karya besar yang terjual baik dari penulisan tempatan ataupun terjemahan dari karya-karya agung atau hebat dari luar.  Saya cemburu melihat jiran kita Indonesia yang begitu terkehadapan dari segi penterjemahan berbanding dengan mereka.  Itulah yang seringkali saya bertanya dengan bangsa Indonesia kenapa mereka begitu hebat dari segi tersebut apabila saya membeli buku dari mereka.  Sebenarnya buku-buku hebat luar Negara banyak saya beli dari rakan-rakan Indonesia, kerana mereka bijak mengintai peluang pemburu dan pembaca dari Malaysia.  Dan ternyata mereka berupaya memberikan buku yang diingini sebab ada pihak penerbitan di Indonesia yang mampu memberikan apa yang mereka perlukan.  Bukan untuk memuji, tetapi mereka tahu apa yang sebenarnya pembaca buku bertaraf tinggi di Malaysia.  Bukan kita tidak berupaya membaca karya dalam bahasa asing, tetapi jika ada buku yang diterbitkan atau diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu lebih baik kita utamakan bahasa kita sendiri.


Memandaikan akal budi bangsa menerusi bahasa bangsanya sendiri.  Itu yang perlu dipegang oleh setiap dari penerbit kita.  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca