Kenapa perlu berkira untuk kesihatan diri…

Semakin maju taraf kehidupan kita, semakin tinggi tahap
pendidikan kita, semakin maju teknologi dan ilmu kesihatan dan semakin maju
taraf lingkungan persekitaran kita semakin tinggi pula kesedaran kita berkenaan
penjagaan kesihatan.
Kesihatan diri kita merupakan satu indikasi kepada
kesejahteraan atau kemaslahatan kehidupan kita.
Namun cabarannya tetap ada.
Semakin selesa kehidupan kita, kita punya kuasa membeli dan nafsu untuk
memiliki sesuatu semakin meluap. Dalam
negara kita yang terkenal dengan kemajmukan kaumnya, menambahkan lagi
kerencaman kita dalam memperolehi pelbagai bentuk makanan yang mewakili setiap
kaum. Secara relatifnya harga bahan
mentah di negara kita agak terkawal dengan pemberiaan subsidi oleh pihak
kerajaan. Lantaran dengan itu hampir
semua kebanyakkan makanan dijual dengan harga yang berpatutan. Oleh itu ia meluaskan spectrum khalayak warga
untuk membeli makanan.
Negara kita dikenali dengan syurga makanan. Setiap makanan mewakili identiti bangsa yang
menyediakannya. Kita punya banyak
pilihan untuk menikmati makanan.
Kesibukan berkekerjaya menuntut sebahagian besar warga untuk makan
makanan yang sedia dimasak atau makan makanan segera. Ia telah menjadi satu budaya. Budaya makan segera seperti kewujudan
francais makanan seperti Mc D, KFC, Pizza Hut, A&W, Subway dan ratusan nama
lagi telah mewarnai kehidupan warga kita.
hampir semua dari kita pernah mengenal, mendengar dan menikmati makanan
seperti ini. Ini tidak termasuk lagi
kewujudan restoren atau kedai atau kiosk seperti Burger yang dijenamasemulakan
atau diberi inovasi dengan pelbagai bentuk penyediaan yang kreatif seperti
Burger Bakar, Burger Lava, Burger Gergasi dan pelbagai lagi. Ia telah memberi satu alternatif kepada warga
untuk menikmati makanan. Mahal atau
murah bukan menjadi ukuran. Yang penting
kita punya kemampuan untuk menikmati makanan yang dahulunya dikira agak
eksklusif. Berkat perkembangan ilmu
kulinari, para penyedia makanan menjadi semakin kreatif dalam mempelbagai
bentuk penyediaan makanan dengan harga yang berpatutan yang mampu dibeli oleh
semua orang. Kita tidak pernah berkira untuk menikmatinya..

Inilah nikmati dari kemajuan yang kita kecapi,
Alhamdulilah. Namun disebalik nikmat
tersebut, kita didedahkan pelbagai bentuk penyakit akibat dari amalan kita
sendiri yang telah berubah. Mungkin dari
amalan pemakanan kita, khasnya bangsa melayu banyak mengambil makanan yang
berunsur karbohidrat kerana nasi atau pulut adalah makanan ruji kita selain
dari makanan yang kaya dengan santan dan berminyak, tetapi itu sebab kita
bekerja di sawah, bendang, bertani atau apa sahaja kerja yang memerlukan kudrat
kita. kita memang memerlukan tenaga yang
banyak dan makanan yang kita makan akan dibakar dalam bentuk kalori. Itu tidak menjadi masalah kerana apa yang
dimakan akan dibakar semula. Ia
menjadikan warga terdahulu sihat dan kematian mereka jarang sekali diakibatkan
oleh terlebih makan.

Berbalik semula kepada zaman pasca industri lewat tahun 70an
sehingga kini, memperlihatkan pola perubahan cara hidup. Kita bekerja dalam ruangan berpendingin hawa
(aircond), tidak banyak bergerak atau kehidupan sedentari, masuk kerja pagi
pulang lewat petang atau bekerja syif. Kita tidak lagi bekerja dibawah bahang
mentari, atau bekerja yang memerah keringat dan tenaga. Sayang sekali perubahan yang berlaku dalam kehidupan
tidak diikutsertakan dengan pola pemakanan kita. Selera dan cara makan kita masih lagi kekal
seperti dahulu, malahan lebih lagi.
Penyakit berkaitan metabolic atau degenaratif seperti berkait dengan
jantung, darah tinggi, kencing manis, gout, angin ahmar dan kanser akibat dari
cara hidup kita telah menjadi sebahagian dari kehidupan warga kita. Adalah tidak menjadi satu kehairanan jika
negara kita dinobatkan sebagai juara bagi peringkat kencing manis di rantau
Asia Pasifik dan antara yang tertinggi di dunia. Ini belum lagi mengambil kira penyakit yang
berangkai dengan kencing manis. Tubuh warga
kita menjadi terlalu berat, ia menambah bebanan kepada tubuh. Lemak yang menyelimuti organ, kandungan LDL
atau gula yang tinggi dalam darah turut dikenali sebagai kolestrol darah dan
gula darah menambahkan lagi perit terhadap organ dalaman.
Banyak duit dilaburkan demi tujuan perubatan atau
perawatan. Wang yang dicari diwaktu
sihat, hangus begitu sahaja apabila dilaburkan untuk perawatan demi
mengurangkan penyakit yang dihadapi. Penyakit berkait degeneratif ini mengambil
masa yang lama untuk memunculkan diri. Sampai
masa dan ketika yang sesuai ia mula menunjukkan kesan awalan. Namun seringkali kita mengabaikan akan
petanda berkenaan, kita masih lagi makan dengan mengikut nafsu dan mengamalkan gaya hidup yang tidak
sihat, dan sampai ketikanya apabila kita merasa kesakitan yang amat sangat,
kita telah pun terlambat. Penyakit kronik
ini telah pun memunculkan diri secara signifikan dari hosnya dan ketika kita
telah pun terlewat. Bukan tidak boleh
berlakunya penyembuhan tetapi ia akan mengambil masa yang lama dan hidup kita
bergantung dengan rawatan, mesin rawatan dan ubatan serta berpantang dari
mengambil sebarang makanan. Ini boleh
menyebabkan depresi atau stress kepada kita.
Perkara yang terbaik adalah mencegah. Di sinilah perlu satu bentuk kesedaran dan
pemahaman berkenaan amalan pemakanan yang sihat dan gaya hidup.
Kita boleh makan apa jua bentuk makanan tetapi perlulah diimbangi dengan
dengan kuantiti yang sepatutnya seperti yang dipaparkan dalam piramid makanan. Apa yang perlu lebih diambil dan apa yang
perlu dikurangkan. Kita juga boleh
mencuba pelbagai bentuk NUTRISI yang diformulasikan dari pelbagai sumber
makanan yang terbaik. Semuanya ini
memerlukan sedikit ilmu dan kesedaran. Kita
juga perlu mengubah cara kehidupan kita seperti lebihkan bergerak dengan
memperbanyakkan langkah berjalan, berlari, bersenamrobik, bersukan atau
melakukan pergerakkan kerja di rumah. Ini
boleh dilakukan mengikut kreativiti masing-masing. Jika berkemampuan laburkan sedikit wang untuk
ke pusat kecergasan (fitness centre), ke spa, atau mengikut program diet dari
agen yang ditauliahkan menerusi produk yang diluluskan. Atau jika kurang berkemampuan boleh melakukan
apa jua aktiviti fizikal yang tidak memerlukan sebarang perbelanjaan yang
banyak, atau mulakan dengan mengambil makanan yang lebih serat. Makanan yang murah kebiasaannya mempunyai
kandungan sayur dan serat yang tinggi berbanding dengan makanan yang dipenuhi
lauk dan air manis.

Mulakan dengan langkah pertama untuk menjadi mereka yang
mementing gaya
hidup sihat. Salah satu dari perancangan
transformasi social yang dinyatakan oleh kerajaan adalah memerangi gejala obesiti
atau kegemukkan atau berlebihan berat badan.
Kita perlu menyahut cabaran ini demi menjadikan Malaysia yang
lebih sihat. Ubah cara makan dan gaya hidup kita…Kerana
segalanya tidak akan menjadi kenyataan sehinggalah anda sendiri yang berazam
dan komited dengan tekad untuk menjadi lebih sihat. Laburkan sedikit wang untuk kesihatan diri
dan keluarga, berikanlah peluang kepada diri untuk menjadi lebih sihat. Jika kita
tidak berkira untuk membeli apa jua makanan atau barangan kenapa perlu kita
berkira untuk kesihatan kita. Tubuh yang
sihat adalah satu amanah dari Allah, hargailah nikmat tersebut dengan
mensyukuri menerusi amalan kehidupan yang positif.
Ulasan
Catat Ulasan