Perpaduan sekadar ciptaan luaran..


Perpaduan…Selama ini kita menggunakan metod yang salah untuk membentuk perpaduan.  Kita hanya mengekang perpecahan.  Bila ada pelbagai tuntutan dari Cina atau India kita beri. Itu semua untuk matlamat yang singkat. 

Sebenarnya ia tidak sukar.  Kita lihat diperingkat sekolah rendah.  Bagaimana hendak mencapai perpaduan jika sejak dari tadika lagi telah diwujudkan pelbagai aliran tadika berasaskan kaum.  Yang cina lebih selesa menghantar anaknya ke tadika beraliran cina atau inggeris, begitu juga halnya dengan India.  Melayu pula samada dibawah kelolaan kerajaan ataupun persendirian (termasuk yang dimilik oleh parti politik).  Kemudian ia diteruskan lagi apabila mereka memasuki alam persekolahan, mereka lebih selesa ke sekolah berasaskan kaum masing-masing, berbanding untuk ke sekolah kebangsaan atau integrasi.  Ini bermakna kita menanam lalang, janganlah diharapkan padi akan tumbuh. 

Maka perlulah kita wujudkan sekolah satu aliran kebangsaan.  Tidak perlu lagi sekolah jenis kebangsaan.  Mungkin kita tidak perlu terlalu ekstrem seperti Indonesia, Singapura, Thailand atau Filipina yang bertindak mengharamkan terus sekolah jenis kebangsaan.  Tetapi jika perlu dilaksanakan secara terpaksa, kita perlu lakukan juga.  Letakkan keutamaan negara mengatasi kepentingan sempit bangsa masing-masing.  Sekolah jenis kebangsaan atau vernakular adalah legasi penjajah yang mengarut yang telah dirangka sebagai agen pemecahbelahan bangsa untuk jangka panjang. 

Untuk mengatasi permasalahan ini, apa yang diperlukan adalah political will yang amat kuat dalam mengadakan satu perubahan yang drastik.  Kepentingan umum perlu diletakkan sebagai satu ultimatum priority.  Kita perlu lakukan secara drastic kerana kita telah lama hidup dalam kepompong perpecahan yang langsung tidak menggalakkan perpaduan.  Kita hanya berjaya mengekang perpecahan, tetapi tidak perpaduan.  Berapa lama kita mampu mengekang perpecahan ini kerana nisbah penduduk kita kian tidak seimbang.  Semua ini adalah bom jangka yang hanya menunggu masa untuk meledak sahaja. 

Akibat sosialnya memang tidak boleh dijangka.  Kita harus tahu bahawa, tidak ada kerajaan dalam dunia ini yang berani mengadakan sekolah pelbagai aliran.  Hanya Malaysia sahaja, sebab MALAYSIA BOLEH atau 1 MALAYSIA…Tidak mustahil peristiwa pergaduhan kaum yang berskala besar dan lebih berdarah akan berlaku.

Jelas pendidikan vernakular ini akan melahirkan Melayu vs Cina vs India.  Scenario yang sama juga berlaku dalam politik dengan keadaan parti politik dominant melayu khasnya UMNO seringkali terpaksa berkompromi dengan parti dalam komponen.  Ini belum lagi termasuk parti pembangkang yang begitu rapuh kerjasamanya, sekadar berpegang kepada matlamat untuk menawan Putrajaya, tetapi tidak mempunyai idealisme kukuh dalam menyelesaikan sebarang tuntutan yang maha mengarut.  Hakikat dari ini masa depan melayu agak kabur, ia bukan dirancang oleh orang atau bangsa lain, melainkan hanya bangsa melayu sahaja. 

Mungkin alternative adalah PAS, kerana mereka memiliki sebahagian besar pengikut yang taksub boleh memberikan harapan. Tetapi jika sekadar harapan dan semangat ia tidak ke mana…Mereka punya kemahiran dari segi agama, tetapi mereka tidak cekap untuk mentadbir.  Itu hakikat dan realiti.  Mana mungkin penyelesaian ekonomi diselesaikan dengan laungan takbir sahaja.  Kita perlukan ilmu. 

Bahasa Melayu adalah instrumen berkuasa untuk membentuk perpaduan.  Andainya sukar sangat hendak menghapuskan sekolah jenis kebangsaan, biarkan sahaja.  Tetapi pastikan semua mata pelajaran di ajar dalam BM.  Bahasa ibunda mereka sekadar perlu dijadikan subjek seperti mana bahasa inggeris yang diajar untuk subjek tersebut sahaja.  Pengantarnya mestilah dalam BM.  Tetapi beranikah pemimpin kita. 

Penggunaan BM mesti kuat dan diperkasakan.  Semua surat menyurat atau apa jua dokumen yang dihantar kepada pihak kerajaan perlulah ditulis sepenuhnya dalam BM, bahasa selain dari BM tidak perlu dilayan.  Semuanya ini memerlukan keazaman dan kesungguhan politik yang amat kuat.  Amnya kebanyakkan dari pemimpin kita mendapat pendidikan luar negara yang pastinya menggunakan bahasa inggeris.  Ini menimbulkan permasalahan kerana mereka lebih selesa berkomunikasi menggunakan bahasa tersebut, tidak terkecuali juga pegawai lain. 

Sukar untuk kita membaiki masa lalu.  Tetapi apa yang perlu dan boleh dilakukan perbetulkan kesilapan lalu pada masa kini.  Adakah kita sedar kita cuba membaikinya dengan memberanikan diri mendepani cabaran mendatang?...

Apa yang kita perhatikan orang melayu kini berada dalam persimpangan dilemma.  Mara ke hadapan pun terasa rugi dan mengundur ke belakang pun tidak untung.  Semuanya serba salah.  Dari segi social soal perpaduan kita hanya berjaya mengekang perpecahan yang bersifat superficial atau luaran atau lahiriah sahaja. Dalam bidang politik, perebutan kuasa dan konspirasi tidak habis-habis ditimbulkan.  Jadi kepada siapa melayu hendak harapkan? Banyak orang tidak memahami apa itu konspirasi, mereka sekadar membaca akbar secara pilihan khasnya akbar nyamuk atau akbar parti tertentu.  Mungkin kita boleh mengambil contoh teori konspirasi yang seringkali dicanangkan oleh Anwar Ibrahim.  Dr Mahathir telah meletakkan Anwar sebegitu rupa, maka tentulah ia sesuatu yang tidak disenangi oleh Anwar.  Ini bukanlah konspirasi.  Itu adalah pemecatan Anwar.  Jika Anwar membentuk satu barisan untuk menentang pemecatannya itu baru konspirasi.  Atau sebelum itu beliau memang merancang sesuatu untuk mengambil alih kuasa kepimpinan Dr Mahathir, itu pun dinamakan konspirasi.  Iaitu orang bawahan menentang ketuanya. 

  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca