Nasib Bahasa Melayu....



Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu telah berakhir pada Jumaat lepas, 22 Feb 2013 yang diadakan di PICC  Putrajaya.  Johan bagi kategori Nusantara dimenangi oleh Malaysia-USIM, manakala antarabangsa dari Panama (mualaf)..mereka berpidato dengan menggunakan aksen BMT yang hebat. 





Andai mereka mengetahui realiti BM yang mereka pidatokan ini di Malaysia pasti menyedihkan dan mendukacitakan mereka.  Biarlah pekung yang mengaibkan didedahkan agar mereka mengetahui hakikat sebenarnya BM ini.  BM hampir tidak didaulatkan atau diletakkan ditempat yang sewajarnya atau diperlakukan dengan adil oleh sebahagian besar warganya, baik dari penutur jati (bangsa melayu) apatah lagi bukan penutur jati (bangsa bukan melayu/imigran).  BM tidak dimartabatkan dengan sewajarnya dalam IPTA, apatah lagi IPTS yang secara terang-terangan melacurkan BM dengan bahasa asing/penjajah. Dasar pendidikan Negara, turut menerima tempiasnya akibat dari pelaksanaan PPSMI yang disokong oleh golongan anglophilia.  BM juga diperlekehkan nilai ekonominya dalam bidang perekonomian dan perniagaan oleh sebahagian besar pemain ekonomi yang didominasi oleh bukan melayu.  Dalam temuduga swasta BM langsung tidak diberikan keutamaan, sebaliknya hanya bahasa penjajah yang mempunyai nilai material, ekonomi dan keuntungan yang terpakai. 

BM juga direndahtarafkan nilai keadilannya dalam institusi kehakiman dan perundangan Negara.  BM juga dirojakkan dengan sewenangnya dalam komunikasi harian warganya.  Negara telah pun merdeka hampir 56 tahun dan 7 tahun lagi untuk mencapai status Negara maju menjelang 2020, yang kononnya dibentuk berasaskan acuan sendiri, namun dari segi kemajuan bahasanya langsung tidak diikutsertakan malahan terlalu jauh ditinggalkan.  Di mana maruah BM...

Tetapi hakikat yang pahit inilah yang perlu diberitahu kepada semua peserta PABM...
Hakikat yang warga sendiri tidak pernah meletakkan BM ditempat yang sepatutnya..
Kita wajar malu dengan mereka yang menuturkan BM dengan begitu baik sekali. 
Yakinilah bahawa BM juga setaraf dengan kehebatan bahasa bangsa maju di dunia..
Mereka ini dahulu pun tidak begitu menyakini bahawa bahasa mereka boleh menjadi maju..
Apa yang penting mereka terus berusaha memperkasakan bahasa mereka dengan pelbagai bentuk pengisian yang memperkayakan bahasa mereka dengan nilai ekonomi, ketenteraan, ilmu tinggi, keagamaan, falsafah, sains dan teknologi.  Natijahnya mereka berjaya menjadi bangsa yang berjaya dan bertamadun tinggi....

Sebaiknya BM perlu diangkat martabatnya kerana bahasa adalah satu dari simbol jati diri, maruah dan identifikasi kepada kewujudan sesuatu bangsa di muka bumi ini...
Maju atau mundurnya sesuatu bahasa bergantung kepada sikap dan keyakinan sesuatu bangsa.  Jika mereka yakin bahasa yang dituturkan ini juga akan mencapai kemajuannya setaraf dengan bangsa maju yang meyakini kekuatan bahasa bangsa mereka...jika ia menjadi seperti umang-umang yang tidak mempu membina cengkerangnya sendiri untuk berlindung, sebaliknya terpaksa bergantung kepada cengkerang yang ditinggalkan untuk hidup atau bermandiri....alangkah ruginya dan malunya mereka ini. 

Terpaksa bergantung kepada bahasa orang lain untuk maju.  Dan lagi malang lagi pergantungan kepada bahasa orang lain dilakukan secara terus menerus dan selama-lamanya, tanpa ada usaha untuk bangkit menjadi bangsa maju berasaskan bahasanya sendiri....

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Doa untuk Anak-anak

Memori pentauliahan Intake 21 UPM..

Kenapa saya suka membaca