Calon, Aku Janji dan Manifesto
Pengumuman nama
calon telah pun dibuat oleh semua parti yang bakal bertanding dan penamaan
calon telah pun dilakukan. Mana – mana
calon yang terpilih, mereka diberikan kepercayaan dalam menggalas mandatbagi
memikul bebanan tanggungjawab seperti yang diamanahkan oleh rakyat dalam
menjaga kepentingan dan kesejahteraan mereka.
Mereka yang
terpilih mestilah memiliki kewibawaan yang tinggi, nilai kepemimpinan yang
boleh ditauldani, integriti yang tinggi, akhlak dan moral yang mulia dan
semestinya mereka mestilah terlibat bersih, bukan sekadar bersih sahaja. Selain dari itu mereka wajar memiliki
semangat patriotisme yang kental dan berjati diri sebagai nasionalis atau
pejuang kepentingan bangsa yang asli dalam memberikan komitmen yang terbaik
untuk berkhidmat kepada nusa dan Negara.
Seharusnya PRU
ini perlulah dijadikan satu platform permulaan yang hebat dalam perencanaan
pembangunan negara dengan memasuki era politik yang bermandiri, progresif
dengan memperlihatkan kematangan berpolitik, bersikap profesional dan praktikal
serta menjunjung keunggulan prinsip demokrasi . Dalam tempoh hampir 56 tahun kita mengecap
kemerdekaan, kita perlu menunjukkan sikap matang dalam menguruskan agenda
politik kita. Kita perlu mengetengahkan
isu-isu yang relevan atau bersangkut paut berkenaan kepentingan rakyat. Mereka inilah
yang wajar kita didahulukan disamping mengutamakan pembangunan yang
boleh memberikan keselesaan dan kesejahteraan buat mereka. Kita tidak wajar memainkan perkara – perkara
yang menyentuh sensitiviti atau sentimen yang sempit baik dari perkara
berkaitan perkauman, hak-hak bangsa, agama, bahasa dan lain-lain dalam usaha
meraih undi atau untuk menjadi popular atau menjadi jaguh dalam isu yang
dimainkan.
Pendekatan
berkempen perlulah mengutamakan matlamat besar kita agenda perpaduan
Negara. Di bawah sistem demokrasi
berparlimen, aku janji atau manifesto yang dibentangkan dalam memperoleh
sokongan demi mendapat mandat dari rakyat perlulah bersifat rasional, munasabah
dan praktikal untuk dilaksanakan serta tidak memudaratkan Negara kelak. Bukan sekadar umpan untuk memancing undi,
tetapi tidak dilaksanakan atau dikotakan apabila memperoleh mandat. Sebagai individu yang dipertanggungjawabkan
mereka wajar memikul amanah yang telah dijanjikan, bukan dengan mengeluarkan
pelbagai alasan demi mewajarkan tindakan yang tidak mengotakan janji dalam
manifesto atau aku janji. Sebab ia akan
memberikan imej yang buruk terhadap parti yang dinaunginya.
Jika rakyat
benar-benar focus kepada perjuangan sesuatu parti politik, tiada yang
menghairankan jika mana-mana parti politik menampilkan manifesto atau aku janji
yang hampir sama, kerana penilaian sebenar adalah kepada kebolehan mereka untk
merealisasikan apa yang dijanjikan. Isu
siapa tiru siapa tidak menjadi persoalan, kerana apa yang menjadi keutamaan
adalah keupayaan mereka untuk menunaikan apa yang dicanangkan. Kata mesti dikota, itu baru pemimpin yang
bertanggungjawab.
Kata-kata sahaja
tidak mencerminkan hasrat yang sebenar.
Ia tidak cukup untuk menjadi bekalan bagi merancang masa hadapan,
tambahan pula ada pemimpin yang mengatakan bahawa manifesto adalah bukan
janji. Dengan menjadikan pencapaian
pihak pemerintah sebagai bench mark, pihak yang lain cuba untuk menambahbaik
satu demi satu apa yang telah dilakukan oleh pemerintah terdahulu dalam usaha
untuk mendapatkan laba politik dan seterusnya merendah-rendahkan pesaing
politik mereka. Di atas kertas
sememangnya mudah, semudah mulut yang menjanjikan pelbagai. Ia tampak sempurna dan indah, tetapi itulah
pengisian populis kerana aspek pelaksanaan tidak dijadikan agenda yang diberi
keutamaan. Apa-apa pun kita berbalik
kepada asas kemampuan ekonomi dan kewangan Negara kita. ia berpandukan kepada berapa jumlah
peruntukkan yang diperlukan untuk membelanjakan apa yang telah kita janji dan
ia mesti disertai dengan kemampuan kita semula untuk menjana semula perolehan
pendapatan menerusi pelan pembangunan ekonomi yang bersifat transformatif,
komprehensif dan inklusif (keterangkuman).
Kita perlu bijak dalam berpengurusan dan bukan hanya bijak bercakap
dengan kata-kata yang retorik.
Proses
pelestarian pembangunan perlu dilakukan dengan segera sebagai bukti kesediaan
untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.
Jika ia tidak dilaksanakan dengan segera ia akan mengakibat kesan yang
negatif. Apa yang perlu diberi penekanan
adalah pengisian kepada agenda pembangunan yang telah kita rancangkan pasca
pilihan raya. Ia adalah demi memastikan
keberlangsungan kehidupan kita tidak terjejas. Bukan dengan meneruskan agenda
politik dan mempolemik segala perkara sehingga membawa kepada konotasi yang
tidak baik, polarisasi kaum dan menyebabkan agenda pembangunan tidak dapat
dilakukan hanya semata – mata kita menumpukan usaha untuk berpolitik. Inilah yang perlu kita lakukan sebagai
pemimpin yang berjiwa besar dalam menghadapi tantangan cabaran yang besar dalam
usaha untuk melestarikan pembangunan dan kemajuan serta pada masa yang sama
memastikan perpaduan kekal utuh selain menjaminkan keadilan kepada semua pihak.
Ulasan
Catat Ulasan